Thursday, June 7, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 7


7
Perlahan-lahan aku tarik gebar agar tubuh Alia dan Azira diselimuti daripada dinginnya angin malam. Lena mereka tidur. Mungkin aktiviti persekolahan menghidupkan lena mereka. Tahun ini Alia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Manakala Azira pula akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah. Harapnya mereka akan memperolehi keputusan cemerlang untuk aturan hidup yang lebih baik.
Namun aku risau kalau-kalau ilmu yang mereka dapat di sekolah, masih belum cukup untuk menjadikan mereka bersedia dengan peperiksaan yang bakal menjelma. Bukan apa, rata-rata pelajar kini mendapatkan kelas tuisyen sebagai tambahan persedian. Kalaulah aku berkemampuan untuk berbuat begitu, sudah lama aku tenang. Namun, buat masa sekarang ni, aku masih belum berkemampuan untuk menjadikannya kenyataan. Mudah-mudahan, dengan berita kenaikkan pangkat yang baru aku terima, gajiku juga bakal bertambah. Jadi bolehlah aku merealisasikan kehendak hati ini.
Kakiku beralih, melangkah ke arah katil tunggal milik Amira pula. Dalam bilik yang sama, mereka berkongsi tempat tidur. Ya, hanya ada tiga bilik di dalam rumah teres ini. Bilik mereka, bilikku dan bilik arwah ayah yang masih lagi tidak berubah sebarang kedudukannya. Aku tidak benarkan sesiapapun mengoncang kenangan yang ada di dalam bilik itu. Sungguhpun ayah sudah tiada, namun saat aku membawa diri ke dalam bilik itu, aku dapat rasakan semangat arwah ayah ada di situ. Aku perlukan semangat itu untuk membesarkan mereka bertiga.
Kukucup perlahan dahi Amira. Aku lihat diriku dalam dirinya. Dia hanya berusia 6 tahun dan kini dia hanya punya aku. Tiada lagi ibu, tiada lagi ayah. Tapi kenapa rasa kasih yang ada dalam diri buat dia dan dua lagi kakaknya begitu sukar untuk luahkan dengan rasa mahupun dengan kata-kata. Masakan tak ada rasa kasih buat mereka sedangkan akulah orang menjaga mereka sejak dari kecil. Berkali-kali masa menasihatkan untuk aku membuang semua rasa cemburu dan amarah atas kasih sayang yang mereka terima daripada arwah ayah dahulu. Tapi hati enggan dan masih terus mengeras di situ. Sudahnya menjadikan mereka terus asing dalam hidupku.
Belum sempat aku angkat tangan yang tadinya rasa aman menyentuh pipi mulus Amira, tangan Amira terlebih dahulu memegang tanganku, dan membawanya ke dalam dakapan. Erat pegangan itu membuatkan bibirku menguntum senyuman. Aku biarkan tanganku terus berada di dalam dakapannya untuk seketika. Mahu dia menyulam mimpi indah. Cukup! Hati seakan tidak senang dengan tindakanku sendiri. Lalu dengan perlahan aku menarik tanganku, melepaskannya daripada terus didakap erat. Kemudiannya, laju langkah aku bawa ke kamarku sendiri.  
Pagi perlahan-lahan menunjukkan wajah, namun mata dari tadi masih belum dapat terpejam rapat, apatah lagi lena. Kesunyian yang menggigit rasa itu membuatkan aku mendapatkan telefon bimbitku. Satu mesej aku titipkan buat Zulhairi dengan harapan dia belum lagi terpejam lena. Jadi adalah kawanku pada saat-saat begini.
Woi, Zul… kau dah tidur, ke?
pantas tangan menyentuh skrin yang memaparkan perkataan inggeris yang terdiri dariapda empat huruf itu. Tanda mesej harus dihantar. Dan hati sudah gembira bukan kepalang apabila mesej balas aku terima.
Sblm dpt mesej kau tadi mmg aku tgh tidur… apa kes?
Aku tak boleh tidurlah.
Aku buat aduan, ala-ala aduan rakyat. Tidak sampai satu minit kemudian, mesej masuk lagi.
Habis tu, kau nk aku buat apa? Kejutkan semua org yg tgh tidur, ke?
Membaca mesej balas daripada Zulhairi itu membuatkan aku rasa terpukul. Kurang asam punya Zul. Kalau ya pun marah aku ganggu tidur dia, setidak-tidaknya, bagilah petua macam mana nak cepat tidur ke, takpun suruhlah aku kira bintang kat langit. Ini tidak, baik punya ayat yang aku terima.
Dahlah kau, Zul. Pergilah tidur!
Aku balas dengan hati yang panas, dan aku kira itu adalah pesanan akhir untuk kali ini. Telefon bimbit aku campak perlahan di atas katil yang aku baring. Tanganku kini sudah menggantikan bantal. Mataku hanya tertumpa pada kipas yang berputar laju. Fikiran juga mula ligat memikirkan soal Zulhairi dan Madihah. Apa strategi seterusnya yang perlu aku lakukan untuk terus membuatkan mereka saling tidak tidur lena kerana jatuh cinta?
Belum sempat idea menjengah minda, bunyi deringan telefon bimbitku terlebih dahulu kedengaran. Membuatkan aku dengan segera mencapai kembali telefon bimbit yang telahpun aku campak sesuka hati tadi. Nama Zulhairi tertera pada skrin telefon. Melihat nama itu, aku terus tersenyum. Ha, mesti nak pujuk akulah tu. Awal-awal lagi aku sudah berandaian dan rasanya andaianku tepat kali ini. Jadi aku terus menjawab panggilannya.
“Ha, yang kau telefon aku ni kenapa?” disebabkan aku dapat rasa yang Zulhairi hendak memujuk, maka aku keluarkan nada ala-ala merajuk.
“Eleh, merajuklah kononnya tu! Apasal kau tak boleh tidur?” kedengaran  Zulhairi menguap di hujung talian. Mungkin tidurmya benar-benar terganggu.
“Entah, manalah aku tahu. Dah mata tak boleh nak tidur”
“Takkan aku baru makan tengah hari dengan Madihah, kau dah jealous sampai tak boleh nak tidur?” Kedengaran tawa Zulhairi di hujung talian.
Aku terdiam sudahnya. Rajuk tadinya entah kemana, yang ada cuma rasa geram dengan penyataan yang Zulhairi keluarkan. Entah macam mana dia boleh berfikiran begitu? Tak masuk akal langsung!
“Ha, terdiam pula… betullah tu kan?” suara Zulhairi kedengaran lagi.
Nampaknya, kali ini aku sudah tidak boleh berdiam diri. Makin aku berdiam, makin menjadi-jadi pula dibuatnya. “Alah Zul, kau ni nak bercakap pasal aku ke, pasal Madihah sebenarnya? Cakap ajelah terus terang yang kau nak nombor telefon Madihah, boleh aku usahakan” cepat-cepat aku pusing cerita, meletakkan pula rasa tidak tenteram di hati Zulhairi. Sudahnya, Zulhairi juga terdiam kini. Jadi bermakna aku sudah berjaya. Kalau aku teruskan lagi, boleh jadi nama wanita itu bakal terpahat di hatinya. Idea datang lagi. “Kau nak aku tolong tak? Bukan senang dapat perempuan pakej macam Madihah tu, Zul. Cantik, sopan… semua ada” aku tambah kata, biar jadi lebih enak didengar telinga.
“Tak payahlah kau nak provok aku, Su. Kau tu nak mengelak daripada kena kahwin dengan akukan? Macamlah aku baru kenal kau semalam. Sudahlah Su, takkan berjaya punyalah” Yakin sahaja Zulhairi bercakap.  
“Alahai, jangan nak kelentong akulah Zul. Daripada cara kau pandang Madihah tadipun aku dah boleh baca hati kau. Mengaku ajelah, bukannya susah. Lagipun, serius aku cakap, kau orang berdua memang nampak padan sangat. Kalau jadilah kau orang naik pelamin, tanpa ragu, aku dengan bangganya nak sponsor bunga telur” awal sungguh rancangan yang aku atur buat Zulhairi. 
“Huh! Dahlah kau, Su. Daripada aku melayan orang yang tak boleh nak tidur sampai jadi gila, lebih baik aku tidur. Jumpa esok!”
“Woi Zul, Zul…” belum habis lagi ayat-ayat telangkai, tiba-tiba pula Zulhairi mematikan talian. Tapi aku tetap berpuas hati. sekurang-kurangnya, dapat juga aku membangkitkan soal Madihah. Dan selepas ini, nama Madihah akan terus bermain-main di bibirku. Setidak-tidaknya sehingga Zulhairi betul-betul jatuh hati pada Madihah nanti.

PAGI-PAGI lagi aku sudah terserempak dengan lelaki yang aku memang tak mahu jumpa. Siapa lagi kalau bukan Wafi. Mujur dia tidak perasaan, jadi aku ambil kesempatan itu untuk undur beberapa langkah lalu berselindung di balik tempoh yang memisahkan lobi lif dan ruang legar.
            Namun sempat pula tangan menyelongkar zip hadapan beg tangan. Sebaik sahaja tangan aku tarik keluar, aku kira semula baki wang milik Wafi semalam. Cukup! Kemudian wang itu aku genggam. Kalaulah aku ada upaya untuk berhadapan dengan lelaki itu, dah lama aku meletakkan wang itu ke dalam poket seluarnya. Selesai cerita! Tapi masalahnya, aku tidak mampu berhadapan dengan dirinya.
            “Macam mana nak buat ni?” ringan sahaja lidah mengeluarkan kata. Berharap ada penyelesaian bakal  dicipta.
            “Besar sangat ke masalahnya?”
            Aku tersentak mendengar suara yang tiba-tiba saja kedengaran. “Kau ni, Zul, terkejut aku!” satu pukulan singgah pada tangan Zulhairi.
            “Uih… pukul-pukul pula, sakitlah” Zulhairi memegang bahagian tangannya yang terkena pukulan.
            “Iyalah… yang kau main sergah aje, siapa suruh? Buatnya luruh jantung aku kat sini macam mana?” aku luahkan rasa tidak puas hati.
            “Sorrylah. Ingatkan kau main sorok-sorok” kini barulah Zulhairi ketawa.  “Yang kau menyorok tepi tembok ni buat apa? Kau kena kejar dengan Ah Long, ke?” tanya Zulhairi.
            “Menyorok apa pula, aku saja berdiri kat sini, tunggu lif” lekas aku jawap pertanyaan itu. Jawapan yang tidak menceritakan kebenarannya. Mustahil untuk aku menyatakan pada Zulhairi yang pada ketika ini aku sedang mengelakkan diri daripada Wafi, sahabatnya. Buatnya Zulhairi siasat daripada A sampai Z, pasti isu itu nanti akan dijadikan bahan untuk mengenakan aku.
            “Kau ni sihat ke, tak? Gila ke, apa tunggu lif kat sini? Kau tipu kan? Baik kau cerita kat aku hal yang sebenar” Nampak sangat Zulhairi tidak yakin dengan penjelasan yang aku berikan.
            “Ah… dahlah, aku nak pergi kafe. Malas nak layan kau” kerana aku sudah tidak mempunyai jawapan yang baik, maka aku ambil keputusan untuk melarikan diri. Walhal dengan melakukan itu, aku pastinya lewat ke pejabat. Laju kaki melangkah meninggalkan Zulhairi. Aku yakin Zulhairi juga tidak akan mengejar kerana dia sangat pentingkan ketepatan masa.

AKU jadi susah hati setiap kali menerima panggilan daripada mak cik Khamsiah. Sedikitpun tak ada rasa keinginan untuk menjawap panggilan yang masuk itu. Kalau bukan hal tiga beradik di rumah, pastinya hal aku dan Zulhairi yang menjadi agenda utama perbualan. Aku pening, sangat pening untuk memikirkan semuanya.
            Apabila panggilan yang sama kedengaran buat kali ketiga, maka aku sudah tidak punya pilihan. Terpaksa juga aku sambut panggilan itu daripada terus mengganggu rakan-rakan sepejabat.
            “Assalamualaikum, mak cik” awal bicara bermula.
            “Wa’alaikumusalam. Su… kenapa tak jawab telefon dari tadi? Risau mak cik dibuatnya tau!”
            Belum apa-apa, leteran sudah memenuhi ruangan telinga. Aku yang tadinya duduk, kini mula bangun untuk ke ruangan pantry. Lebih bebas untuk berbicara di situ, tidak mengundang perhatian ramai. “Sorrylah mak cik, Su ke tak perasan mak cik call tadi. Mak cik call Su ni, kenapa?” terus aku bertanya. Sebenarnya aku tidak sanggup untuk berbual terlalu lama. Risau kalau perihal perkahiwanku dengan Zulhairi dibangkitkan.
            “Takkan nak call anak menantupun, nak kena ada alasan baru boleh call?”
            Pang! Sebiji kena batang hidung aku. Tak terjawab langsung, terdiam terus aku dibuatnya. Mendengar perkataan anak menantu itulah perkara yang paling tak boleh tahan.
            “Su…” sapa mak cik Khamsiah setelah lama aku membisu.
            “Iya, mak cik”
            “Bila mak cik boleh datang meminang Su, ni?”
            Gulp! Aku telan liur, keluar juga soalan itu sudahnya. Apa yang aku nak jawab ni?
            “Hujung bulan ni, boleh?” mak cik Khamsiah mula menetapkan masa.
            “Mak cik, sebenarnya Su…” kalau ikutkan aku mau berterus terang yang sebenarnya aku bukanlah pilihan sebenar Zulhairi. Dia terpaksa membariskan nama aku sebagai calon isteri pilihan kerana dia sendiri tidak mempunyai pilihan hati. “Su sebenarnya…” aduh! Liat pula lidah mahu membuka kata. Entah kenapa begitu? “Su…”
            “Su… Su, Su apa?”
            “Su sebenarnya dah bagi green light pada Zul untuk masuk meminang!” terus aku tutup mulut. Lain yang aku nak cakap, lain pula ayat yang keluar. Semuanya gara-gara garangnya nada mak cik Khamsiah memintas kataku.
            “Ha, cakap terus terangkan senang. Nak malu tu buat apa?” suara mak cik Khamsiah bertukar nada. Daripada garang macam singga, terus lembut macam kucing. “Kalau macam tu, hujung bulan ni mak cik masuk meminang ya. Okay, mak cik letak dulu. Assalamualaikum”
            “Mak cik…” belum sempat aku kembali membetulkan kata, mak cik Khamsiah terlebih dahulu memutuskan talian. “Wa’alaikumusalam… Mak cik, sebenarnya Su tak nak kahwin dengan Zul” baru kini aku boleh menyatakan kebenaran. Namun sayang, mak cik Khamsiah tidak lagi dapat mendengarnya.  
            Aku gelengkan kepala berkali-kali. Rasa macam nak menjerit saja. Mahu melepaskan semuanya. Hujung bulan! Bukankah itu bermakna tinggal dua minggu saja lagi? Tidak…! Aku harus cari Zulhairi dengan kadar segera.

TEPAT aje pukul satu  petang, aku terus turun menuju ke kafe. Zulhairi harus aku temukan segera. Madihah berpuasa, jadi ini peluang aku untuk membincangkan kembali perihal pinang meminang seperti yang disebut-sebut oleh mak cik Khamsiah awal pagi tadi.
            Kelibat Zulhairi masih tidak kelihatan di kafe walaupun sepuluh minit sudah berlalu. Kemana dia pergi? Pelik juga. Takkan dia tak turun makan? Mustahil! Zulhairi bukanlah jenis manusia yang boleh tahan lapar. Kalau puasa bulan ramadhan tu, dia boleh aku kategorikan sebagai orang yang paling lembik. Nak bercakap pun kadang-kadang jadi malas.
            Aku sudah tidak boleh duduk senang. Jadi aku segera menggunakan telefon bimbit untuk mengetahui kedudukan sebenar Zulhairi. Andai dia di Kutub Utara sekalipun akan aku jejak sebelum petang menjelma. Kalaulah aku tak dapat berjumpa dengan dia hari ini, pasti dia akan bersetuju saja dengan cadangan emaknya untuk menghantar rombongan meminang hujung bulan ini. Sebelum keadaan bertambah parah, aku terlebih dahulu harus bertindak.
            Sekali lagi aku cuba mendapatkan Zulhairi walaupun panggilanku tidak bersambut. Aduh! Bertambah gelisah aku dibuatnya. Saat-saat genting macam ini pulalah dia menghilangkan diri. Rasanya rambut aku dah kusut masai, sama kusutnya dengan fikiran. Aku yang duduk, mula bangun untuk beredar. Akan aku usahakan untuk mencari Zulhairi walau apa cara sekalipun.
            “Su… kenapa kelam kabut aje ni?” Wafi menahan aku daripada meneruskan langkah laju. Aku yang melilau pandangan mata, agak terkejut melihat kelibat Wafi yang munculnya secara tiba-tiba. Namun ada baiknya bertemu dengannya, mungkin dia dapat membantu.
            “Ha, Wafi, kau ada nampak Zul tak?” tanpa berlengah, terus aku bertanya.
            “Zul? Wafi kerut kening”
            “Haah, Zul. Kau nampak tak?”
            “Zul dah balik” akhirnya Wafi memberikan jawapan yang sememangnya aku perlukan.
            “Balik?” aku terkejut.
            “Haah, balik. Dia apply half day cuti. Katanya ada urasan penting kat rumah. Kenapa ni, Su?” sambung Wafi
            Penjelasan Wafi itu membuatkan aku bertambah cuak. Kepala mula berpusing-pusing, macam sedang menaiki roller coaster. Buatnya Zulhairi diarahkan balik oleh emaknya disebabkan oleh kata-kataku pagi tadi, habislah… “Tak ada apa-apa. Saja aku tanya. Tapi dah berapa lama dia balik?” aku tak putus asa.
            “Baru lagi, lebih kurang dalam lima minit macam tu” senyuman Wafi kelihatan.
            “Lima minit?” otak dah mula mengeluarkan arahan untuk mengejar Zulhairi. “Okay, thanks!”  Terus aku buka langkah. Laju, selaju-lajunya. Boleh jadi Zulhairi masih lagi di tempat meletakkan kenderaan. Terdengar suara Wafi melaung memanggil namaku beberapa kali. Tapi aku tidak dapat menghiraukannya kerana ada pekara yang lebih penting yang perlu aku kejarkan.
            Kereta Zulhairi gagal aku kesan. Rasanya dia sudahpun bergerak pulang. Aku sudah hilang arah di situ. Lantas hanya mampu menghela nafas panjang setelah penat berlari ke kawasan parkir yang penuh dengan kereta. Membatu aku di situ beberapa ketika. Memikirkan jalan penyelesaian yang nampaknya seperti sudah tidak ada. Kemudian aku bawa langkah longlai, mahu kembali pulang ke Wisma Conlay.
            Bunyi hon kenderaan yang begitu kuat kedengaran membuatkan aku tersentak. Rasanya, kerana akulah hon kenderaan itu dibunyikan. Mana tidaknya, aku kini betul-betul di tengah jalan dengan gaya serupa orang yang hilang semangat untuk meneruskan hidup. Aku palingkan wajah ke arah kenderaan yang sudahpun menghentikan bunyi hon keretanya. Tiada niat lain selain memohon kemaafan atas salahanku yang pastinya sedang menghalang jalannya.
            “Woi, Su… yang jalan terkedek-kedek tengah jalan ni, kenapa? Dah tak nak hidup lagi, ke apa?”
            Mendengar suara yang lantang itu membuatkan aku jadi ketawa kecil. “Zul!” pantas aku berlari perlahan menuju ke arah Zulhairi. Hati begitu senang melihat dia di situ. Terus saja aku buka pintu di bahagian penumpang hadapan, lalu masuk ke dalamnya.
            “Eh..eh. apa hal ni? Sesuka hati aje masuk dalam kereta orang” Zulhairi buat muka tak puas hati.
            “Dah, jangan banyak cerita. Jalan cepat!” aku mendesak.
            “Nak pergi mana? aku nak balik ni” Zulhairi menolak.
            “Aku ada hal penting nak bincang dengan kau” aku harus berterus terang.
            “Aku pun ada hal penting kat rumah ni. Nanti marah mak aku karang!” Zulhairi tetap enggan mengikut kata.
            “Mak kau yang suruh kau balik, ke?”
            “Haahlah. Kau ni kenapa?”
            “Aku dah agak dah… aku dah dapat rasa” aku buang pandangan ke luar tingkap buat seketika. Semakin berkurang rasa senang di hati.
            “Ish… apa yang kau merepek ni, Su. Aduhai… kau ni sihat ke tidak?”
            “Zul, kau rasa Madihah tu macam mana?” nampaknya aku sudah tidak boleh tunggu. Sebelum keadaan jadi bertambah teruk, lebih baik aku selesaikan semuanya dengan segera.
            “Eh, kalau kau nak merepek, lebih baik kau turun. Aku betul-betul tak ada masa ni” Zulhairi mula keluar dari kereta. Pasti dia ingin menghalau aku turun. Namun bunyi hon kereta di belakang yang kedengaran membuatkan Zulhairi terpaksa masuk kembali ke dalam kereta, lalu memandu kereta itu ke tepi.
            Setelah mengalihkan kenderaannya, Zulhairi kembali keluar. “Kau turun!” Arah Zulhairi sebaik sahaja dia membuka pintu di tempat dudukku.
            Aku kakukan badan. Pura-pura tidak mendengar arahannya itu. Wajah aku palingkan ke tempat lain. Jangan harap aku keluar dari kereta itu selagi masalah tak selesai.
            “Aku kira sampai tiga, kalau kau tak keluar juga… aku telefon polis!” Zulhairi mula menyeluk saku seluarnya hitamnya. Pastinya mahu mencari telefon bimbit.
Aku kembali menatap wajah Zulhairi. Sudah berbaur ugutan kata-katanya. “Tak payahlah nak telefon polis bagai. Bukan aku nak rompak kereta kau ni pun. Aku nak bincang dengan kau aje”
“Kalau nak bincang pasal Madihah, minta maaf… aku tak berminat. Perbicangan dah tamat, kau boleh turun sekarang!” Zulhairi berkeras.
“Payahlah aku nak cakap dengan kau ni, Zul. Cubalah bagi peluang pada diri kau. Kalau kau tak kenal hati budi Madihah tu, macam mana kau nak jatuh cinta dengan dia. Dulu kau yang beria-ia sangat suruh aku carikan kau calon isteri. Bila aku dah jumpa yang baik, kau pula buat perangai. Peninglah aku layan kau ni!” kali ini aku betul-betul marah. Kalaulah Zulhairi tu pangkat adik-adik aku, dah lama aku tangan-tangankan.
“Kalau pening, turunlah, yang duduk dalam  kereta aku ni buat apa?” Laju saja Zulhairi membalas kata.
Aku renung tajam wajah Zulhairi. Keras hati betul lelaki yang seorang ni. “Kau tak faham bahasa Melayu, ke? Aku cakap tak nak turun, tak naklah!” Aku peluk tubuh, tanda tidak gentar dengan apapun yang bakal Zulhairi lakukan.
“Oh… degil ya” Suara Zulhairi kedengaran lagi. “Okay, tak apa. Kalau kau tak nak turun, biar aku balik naik teksi. Kau jaga kereta aku elok-elok. Kalau hilang, siaplah kau!” Pintu di tempat dudukku, ditutup kembali oleh Zulhairi. Membuatkan aku sedikit terkejut. Zulhairi mula berjalan meninggalkan keretanya.   
Alamak! Apa aku nak buat ni? Runsing datang lagi. Zulhairi makin jauh di hadapan. Sebelum bayang lelaki itu hilang, aku harus lakukan sesuatu. Laju tangan mendapatkan kunci kereta dari tempat dudukku, lalu mematikan enjin. Kunci aku tarik, kemudian aku bergegas keluar, menekan punat bagi mengunci kereta, dan dengan pantas berlari mengejar Zulhairi yang begitu laju langkahnya.
“Zul, tunggu…” laungku dari belakang. Namun sedikitpun tidak Zulhairi hiraukan biarpun sudah berkali-kali aku memanggil. Mungkin dia marah. Jadi mahu ataupun tidak, aku harus menggunakan taktik kotor demi menghentikan langkah Zulhairi.
“Aduh…” jeritku kuat. Pura-pura terpelecok lalu menjatuhkan diri di tepi jalan. Dan kali ini, barulah Zulhairi berhenti dan berpaling ke arahku.
“Su…” Suara Zulhairi jelas kedengaran. Kini dia memasang kaki, berlari mendapatkan aku. Yes, taktik berjaya! Hatiku tertawa riang. Zulhairi… Zulhairi... marah konon, ceh!
“Su, kau okay, ke?” Cemas riak wajah yang Zulhairi pamerkan ketika ini.
“Okay apanya, sakit ni! Aduh..” lakonan diteruskan.
“Yang kau berlari tu, kenapa? kalau jalan elok-elok tadikan, tak jatuh! Kat mana yang sakit ni?” mata Zulhairi cuba menangkap bahagian pada kakiku yang mungkin mengalami kecederaan.
“Nak kejar kaulah. Yang kau tu jalan laju sangat, kenapa?” aku pura-pura mengurut kaki yang tidak sakit.
“Siapa suruh kau kejar aku?”
“Eh, Zul, kau jangan banyak soal ya. Kau tau tak yang mak kau nak masuk minang aku hujung bulan ni? Sebab tu mak kau panggil kau balik!” cepat-cepat aku terangkan situasi sebenar yang ingin aku ceritakan. Tidak mampu berlengah lagi.
“Ha!” Zulhairi terkejut. “Mana kau tahu?”
“Aku tahulah… mak kau call aku pagi tadi”
“Habis tu?”
“Ini masalahnya. Aku sebenarnya dah tersalah cakap”
“Salah cakap? Kau cakap apa?”
“Aku tercakap yang aku dah setuju, dan kau boleh masuk meminang aku hujung bulan ni. Matilah aku Zul. Macam mana ni?”
“Kau cakap macam tu?” Zulhairi nampak lebih terkejut kali ini.
“Haah. Aku salah cakaplah. Apa kita nak buat ni, Zul?”
“Erm… sekejap, biar aku fikir dulu” Zulhairi mula berdiri. Dia mencekak pinggang, sambil memikirkan jalan penyelesaian.
Melihat tingkah Zulhairi yang nampak seperti mahu membantu, membuatkan aku turut sama berdiri. Terlupa langsung akan lakonanku sebentar tadi.
“Su, kaki kau…” Zulhairi terkejut buat yang kesekian kali.
“Alamak!” Aku tepuk dahi. 
“Kurang asam kau, Su. Berani kau tipu aku!” Zulhairi nampak bengang. Pecah juga lubang akhirnya.
 “Sorry…” aku senyum kelat. “Kalau aku tak buat macam tu, kau takkan berhenti punya” cuba aku jelaskan sebab yang memaksa aku membuat penipuan. “Ah… dahlah, Zul. tu semua tak penting. Apa yang penting sekarang, macam mana kita nak selesaikan masalah yang ada ni?” Aku mahu segera padam semua penipuan yang aku lakukan.
“Mana kunci kereta aku?” Zulhairi sudah menghulurkan tangannya. Tapak tangannya jelas kelihatan.
“Kau nak buat apa kunci? Masalah kita belum selesai lagi ni!” aku membawa tangan yang memegang kunci ke belakang badan. Selagi tidak dapat cara bagi mematahkan rancangan yang mungkin terjadi dua minggu saja lagi, selagi itulah aku tak akan serahkan kunci keretanya. Masalah itu harus diselesaikan terlebih dahulu.
“Nak buat apa lagi, nak balik selesaikan masalah kitalah!” Penuh yakin Zulhairi berbicara.
“Kau dah ada cara, ke? Macam mana? Boleh ke settle?” soalku ingin tahu.
“Ada! Sekarang ni nak settle ke, tak nak?” Zulhairi kembali menyoal.
“Nak” jawabku sepatah.
“Kalau nak settle, bagi aku dulu kunci tu. Kalau tak aku takkan cakap apa-apa.” Zulhairi menganggkat kening. Membuatkan aku rasa tak sedap hati.
“Kau jangan nak tipu aku, Zul” aku kurang percaya pada kata-kata Zulhairi.
“Ingat aku macam kau, ke?” Zulhairi buat muka.
“Okay, aku pegang kata-kata kau!” Dengan rasa berat hati aku letakkan kunci di atas tapak tangan Zulhairi. Rasanya dia takkan berbohong.
“Aku balik dulu. Nanti apa-apa aku call kau” Zulhairi mula bergerak, menuju ke keretanya. Aku hanya mampu memerhati. Tapi entah kenapa hati aku betul-betul rasa tidak sedap.
Sempat aku tahan kereta Zulhairi apabila keretanya mahu melintasi aku. aku harus bercakap buat kali terakhir sebelum Zulhairi pulang menemui emaknya. “Zul, apa kau nak buat nanti?” aku bongkokkan badan, mahu setara dengan kedudukan Zulhairi.
“Kau tak payahlah risau. Nanti pandai-pandailah aku cakap dengan mak aku tu” Zulhairi memberikan senyuman. Mungkin tidak mahu aku terlalu risau.
“Okay… bagus. Tapi kau nak cakap apa dengan mak kau?” lagi soalan aku ajukan.
“Macam ni, Su. Nanti aku cakaplah kat mak aku yang aku pun dah setuju untuk meminang kau hujung bulan ni. Tata…” Zulhairi terus memecut laju keretanya.
Aku terkaku di situ mendengar kata-kata Zulhairi. Tidak terkeluar sepatahpun kata. setelah bayang kereta Zulhairi hilang daripada pandangan, terasa seperti baru aku kembali tersedar. “Zulhairi…!” Aku menjerit sekuat hati!  

Bersambung...

P/S : Lambat lagi! maaf buat semua... selalu berharap mungkin kalau Adah jadi penulis sepenuh masa, dapat adah postkan entry tepat pada masa. Tapi dengan tugas sekeliling yang tak menentu jadi kerap kali entry utk SAC lambat dipostkan. Betul2 maaf buat semua rakan pembaca setia. Semoga kelewatan demi kelewatan yg ada tidak sedikitpun mengurangkan rasa semua utk terus membaca SAC. Terima kasih atas setiap sokongan yg Adah terima.


Salam Ukhwah
AH

12 comments:

Anonymous said...

kaq adah.. nice entry n story.. tgu dorang fall in loveee :) thanks sbb post kaq adah

kDija. :)

riyadh said...

wahhhhh,akhirnya xsia2 menunggu!!! best la entry kali niee!! hehehe..zul tu memg sebenarnya sukakan su ehh??

SUNSHINE said...

best...xsabar nak tahu epis0d seterusnya..hehehe

Anonymous said...

akhirnya..he he
aduh..gelak2 baca gelagat depa berdua..
kalo jadikla su dgn zul kawin, hrp zul x hlg su besarkan adik2nya..
-che`leen-

Anonymous said...

zul diam2 sebenarnya mmg menaruh hati dgn su..x sabar nak tunggu time cinta bersemi hihii..

kail said...

lama sepi.... kak adah....apa pun tq nice story... best...

Wan Ruzana said...

keke lwk la haha

nadiah said...

saat ada cinta di hati zul. kekeke. waaahh, kak adah, lamanyaaaa tunggu cite ni. tengs. cepat2 la sambung. aduh! bikin hati panasaran je. hihi.

Liza said...

Thks Adah...cute ler they all...

Anonymous said...

TQ dh ada en3..lmbt pn xpe jnji post pnjg2 eh..hehe..
best sgt...bilalah plak su pn sukakan zul...:)

ke su dgn wafi...ermm...


::TR::

Lieynaim mohd noor said...

aduhai nak gelak ad dgn n3 nie.best ..nak lagi kak

Anonymous said...

gelak akak baca, itulah dah tipu zul, now dia pulak terkena,bestttt

Post a Comment