7
Perlahan-lahan aku
tarik gebar agar tubuh Alia dan Azira diselimuti daripada dinginnya angin
malam. Lena mereka tidur. Mungkin aktiviti persekolahan menghidupkan lena
mereka. Tahun ini Alia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Manakala Azira pula akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah. Harapnya mereka
akan memperolehi keputusan cemerlang untuk aturan hidup yang lebih baik.
Namun aku risau
kalau-kalau ilmu yang mereka dapat di sekolah, masih belum cukup untuk
menjadikan mereka bersedia dengan peperiksaan yang bakal menjelma. Bukan apa,
rata-rata pelajar kini mendapatkan kelas tuisyen sebagai tambahan persedian. Kalaulah
aku berkemampuan untuk berbuat begitu, sudah lama aku tenang. Namun, buat masa
sekarang ni, aku masih belum berkemampuan untuk menjadikannya kenyataan.
Mudah-mudahan, dengan berita kenaikkan pangkat yang baru aku terima, gajiku
juga bakal bertambah. Jadi bolehlah aku merealisasikan kehendak hati ini.
Kakiku beralih,
melangkah ke arah katil tunggal milik Amira pula. Dalam bilik yang sama, mereka
berkongsi tempat tidur. Ya, hanya ada tiga bilik di dalam rumah teres ini.
Bilik mereka, bilikku dan bilik arwah ayah yang masih lagi tidak berubah
sebarang kedudukannya. Aku tidak benarkan sesiapapun mengoncang kenangan yang
ada di dalam bilik itu. Sungguhpun ayah sudah tiada, namun saat aku membawa
diri ke dalam bilik itu, aku dapat rasakan semangat arwah ayah ada di situ. Aku
perlukan semangat itu untuk membesarkan mereka bertiga.
Kukucup perlahan dahi
Amira. Aku lihat diriku dalam dirinya. Dia hanya berusia 6 tahun dan kini dia
hanya punya aku. Tiada lagi ibu, tiada lagi ayah. Tapi kenapa rasa kasih yang
ada dalam diri buat dia dan dua lagi kakaknya begitu sukar untuk luahkan dengan
rasa mahupun dengan kata-kata. Masakan tak ada rasa kasih buat mereka sedangkan
akulah orang menjaga mereka sejak dari kecil. Berkali-kali masa menasihatkan
untuk aku membuang semua rasa cemburu dan amarah atas kasih sayang yang mereka
terima daripada arwah ayah dahulu. Tapi hati enggan dan masih terus mengeras di
situ. Sudahnya menjadikan mereka terus asing dalam hidupku.
Belum sempat aku angkat
tangan yang tadinya rasa aman menyentuh pipi mulus Amira, tangan Amira terlebih
dahulu memegang tanganku, dan membawanya ke dalam dakapan. Erat pegangan itu
membuatkan bibirku menguntum senyuman. Aku biarkan tanganku terus berada di
dalam dakapannya untuk seketika. Mahu dia menyulam mimpi indah. Cukup! Hati
seakan tidak senang dengan tindakanku sendiri. Lalu dengan perlahan aku menarik
tanganku, melepaskannya daripada terus didakap erat. Kemudiannya, laju langkah
aku bawa ke kamarku sendiri.
Pagi perlahan-lahan
menunjukkan wajah, namun mata dari tadi masih belum dapat terpejam rapat,
apatah lagi lena. Kesunyian yang menggigit rasa itu membuatkan aku mendapatkan
telefon bimbitku. Satu mesej aku titipkan buat Zulhairi dengan harapan dia
belum lagi terpejam lena. Jadi adalah kawanku pada saat-saat begini.
Woi,
Zul… kau dah tidur, ke?
pantas tangan menyentuh skrin yang
memaparkan perkataan inggeris yang terdiri dariapda empat huruf itu. Tanda
mesej harus dihantar. Dan hati sudah gembira bukan kepalang apabila mesej balas
aku terima.
Sblm
dpt mesej kau tadi mmg aku tgh tidur… apa kes?
Aku
tak boleh tidurlah.
Aku buat aduan, ala-ala
aduan rakyat. Tidak sampai satu minit kemudian, mesej masuk lagi.
Habis
tu, kau nk aku buat apa? Kejutkan semua org yg tgh tidur, ke?
Membaca mesej balas
daripada Zulhairi itu membuatkan aku rasa terpukul. Kurang asam punya Zul.
Kalau ya pun marah aku ganggu tidur dia, setidak-tidaknya, bagilah petua macam
mana nak cepat tidur ke, takpun suruhlah aku kira bintang kat langit. Ini
tidak, baik punya ayat yang aku terima.
Dahlah
kau, Zul. Pergilah tidur!
Aku balas dengan hati
yang panas, dan aku kira itu adalah pesanan akhir untuk kali ini. Telefon
bimbit aku campak perlahan di atas katil yang aku baring. Tanganku kini sudah
menggantikan bantal. Mataku hanya tertumpa pada kipas yang berputar laju. Fikiran
juga mula ligat memikirkan soal Zulhairi dan Madihah. Apa strategi seterusnya
yang perlu aku lakukan untuk terus membuatkan mereka saling tidak tidur lena
kerana jatuh cinta?
Belum sempat idea
menjengah minda, bunyi deringan telefon bimbitku terlebih dahulu kedengaran.
Membuatkan aku dengan segera mencapai kembali telefon bimbit yang telahpun aku
campak sesuka hati tadi. Nama Zulhairi tertera pada skrin telefon. Melihat nama
itu, aku terus tersenyum. Ha, mesti nak pujuk akulah tu. Awal-awal lagi aku
sudah berandaian dan rasanya andaianku tepat kali ini. Jadi aku terus menjawab
panggilannya.
“Ha, yang kau telefon
aku ni kenapa?” disebabkan aku dapat rasa yang Zulhairi hendak memujuk, maka
aku keluarkan nada ala-ala merajuk.
“Eleh, merajuklah kononnya
tu! Apasal kau tak boleh tidur?” kedengaran
Zulhairi menguap di hujung talian. Mungkin tidurmya benar-benar
terganggu.
“Entah, manalah aku
tahu. Dah mata tak boleh nak tidur”
“Takkan aku baru makan
tengah hari dengan Madihah, kau dah
jealous sampai tak boleh nak tidur?” Kedengaran tawa Zulhairi di hujung
talian.
Aku terdiam sudahnya.
Rajuk tadinya entah kemana, yang ada cuma rasa geram dengan penyataan yang
Zulhairi keluarkan. Entah macam mana dia boleh berfikiran begitu? Tak masuk
akal langsung!
“Ha, terdiam pula…
betullah tu kan?” suara Zulhairi kedengaran lagi.
Nampaknya, kali ini aku
sudah tidak boleh berdiam diri. Makin aku berdiam, makin menjadi-jadi pula
dibuatnya. “Alah Zul, kau ni nak bercakap pasal aku ke, pasal Madihah
sebenarnya? Cakap ajelah terus terang yang kau nak nombor telefon Madihah,
boleh aku usahakan” cepat-cepat aku pusing cerita, meletakkan pula rasa tidak
tenteram di hati Zulhairi. Sudahnya, Zulhairi juga terdiam kini. Jadi bermakna aku
sudah berjaya. Kalau aku teruskan lagi, boleh jadi nama wanita itu bakal
terpahat di hatinya. Idea datang lagi. “Kau nak aku tolong tak? Bukan senang
dapat perempuan pakej macam Madihah tu, Zul. Cantik, sopan… semua ada” aku
tambah kata, biar jadi lebih enak didengar telinga.
“Tak payahlah kau nak
provok aku, Su. Kau tu nak mengelak daripada kena kahwin dengan akukan?
Macamlah aku baru kenal kau semalam. Sudahlah Su, takkan berjaya punyalah”
Yakin sahaja Zulhairi bercakap.
“Alahai, jangan nak
kelentong akulah Zul. Daripada cara kau pandang Madihah tadipun aku dah boleh
baca hati kau. Mengaku ajelah, bukannya susah. Lagipun, serius aku cakap, kau
orang berdua memang nampak padan sangat. Kalau jadilah kau orang naik pelamin,
tanpa ragu, aku dengan bangganya nak sponsor bunga telur” awal sungguh rancangan
yang aku atur buat Zulhairi.
“Huh! Dahlah kau, Su.
Daripada aku melayan orang yang tak boleh nak tidur sampai jadi gila, lebih
baik aku tidur. Jumpa esok!”
“Woi Zul, Zul…” belum
habis lagi ayat-ayat telangkai, tiba-tiba pula Zulhairi mematikan talian. Tapi
aku tetap berpuas hati. sekurang-kurangnya, dapat juga aku membangkitkan soal
Madihah. Dan selepas ini, nama Madihah akan terus bermain-main di bibirku. Setidak-tidaknya
sehingga Zulhairi betul-betul jatuh hati pada Madihah nanti.
PAGI-PAGI lagi aku sudah terserempak
dengan lelaki yang aku memang tak mahu jumpa. Siapa lagi kalau bukan Wafi.
Mujur dia tidak perasaan, jadi aku ambil kesempatan itu untuk undur beberapa
langkah lalu berselindung di balik tempoh yang memisahkan lobi lif dan ruang
legar.
Namun
sempat pula tangan menyelongkar zip hadapan beg tangan. Sebaik sahaja tangan
aku tarik keluar, aku kira semula baki wang milik Wafi semalam. Cukup! Kemudian
wang itu aku genggam. Kalaulah aku ada upaya untuk berhadapan dengan lelaki
itu, dah lama aku meletakkan wang itu ke dalam poket seluarnya. Selesai cerita!
Tapi masalahnya, aku tidak mampu berhadapan dengan dirinya.
“Macam
mana nak buat ni?” ringan sahaja lidah mengeluarkan kata. Berharap ada
penyelesaian bakal dicipta.
“Besar
sangat ke masalahnya?”
Aku
tersentak mendengar suara yang tiba-tiba saja kedengaran. “Kau ni, Zul,
terkejut aku!” satu pukulan singgah pada tangan Zulhairi.
“Uih…
pukul-pukul pula, sakitlah” Zulhairi memegang bahagian tangannya yang terkena
pukulan.
“Iyalah…
yang kau main sergah aje, siapa suruh? Buatnya luruh jantung aku kat sini macam
mana?” aku luahkan rasa tidak puas hati.
“Sorrylah. Ingatkan kau main sorok-sorok”
kini barulah Zulhairi ketawa. “Yang kau
menyorok tepi tembok ni buat apa? Kau kena kejar dengan Ah Long, ke?” tanya
Zulhairi.
“Menyorok
apa pula, aku saja berdiri kat sini, tunggu lif” lekas aku jawap pertanyaan
itu. Jawapan yang tidak menceritakan kebenarannya. Mustahil untuk aku
menyatakan pada Zulhairi yang pada ketika ini aku sedang mengelakkan diri
daripada Wafi, sahabatnya. Buatnya Zulhairi siasat daripada A sampai Z, pasti
isu itu nanti akan dijadikan bahan untuk mengenakan aku.
“Kau
ni sihat ke, tak? Gila ke, apa tunggu lif kat sini? Kau tipu kan? Baik kau
cerita kat aku hal yang sebenar” Nampak sangat Zulhairi tidak yakin dengan
penjelasan yang aku berikan.
“Ah…
dahlah, aku nak pergi kafe. Malas nak layan kau” kerana aku sudah tidak
mempunyai jawapan yang baik, maka aku ambil keputusan untuk melarikan diri.
Walhal dengan melakukan itu, aku pastinya lewat ke pejabat. Laju kaki melangkah
meninggalkan Zulhairi. Aku yakin Zulhairi juga tidak akan mengejar kerana dia
sangat pentingkan ketepatan masa.
AKU jadi susah hati setiap kali menerima
panggilan daripada mak cik Khamsiah. Sedikitpun tak ada rasa keinginan untuk
menjawap panggilan yang masuk itu. Kalau bukan hal tiga beradik di rumah,
pastinya hal aku dan Zulhairi yang menjadi agenda utama perbualan. Aku pening,
sangat pening untuk memikirkan semuanya.
Apabila
panggilan yang sama kedengaran buat kali ketiga, maka aku sudah tidak punya
pilihan. Terpaksa juga aku sambut panggilan itu daripada terus mengganggu
rakan-rakan sepejabat.
“Assalamualaikum,
mak cik” awal bicara bermula.
“Wa’alaikumusalam.
Su… kenapa tak jawab telefon dari tadi? Risau mak cik dibuatnya tau!”
Belum
apa-apa, leteran sudah memenuhi ruangan telinga. Aku yang tadinya duduk, kini
mula bangun untuk ke ruangan pantry.
Lebih bebas untuk berbicara di situ, tidak mengundang perhatian ramai. “Sorrylah mak cik, Su ke tak perasan mak cik call tadi. Mak cik call Su ni, kenapa?” terus aku bertanya. Sebenarnya aku tidak
sanggup untuk berbual terlalu lama. Risau kalau perihal perkahiwanku dengan
Zulhairi dibangkitkan.
“Takkan
nak call anak menantupun, nak kena
ada alasan baru boleh call?”
Pang!
Sebiji kena batang hidung aku. Tak terjawab langsung, terdiam terus aku
dibuatnya. Mendengar perkataan anak menantu itulah perkara yang paling tak
boleh tahan.
“Su…”
sapa mak cik Khamsiah setelah lama aku membisu.
“Iya,
mak cik”
“Bila
mak cik boleh datang meminang Su, ni?”
Gulp!
Aku telan liur, keluar juga soalan itu sudahnya. Apa yang aku nak jawab ni?
“Hujung
bulan ni, boleh?” mak cik Khamsiah mula menetapkan masa.
“Mak
cik, sebenarnya Su…” kalau ikutkan aku mau berterus terang yang sebenarnya aku
bukanlah pilihan sebenar Zulhairi. Dia terpaksa membariskan nama aku sebagai
calon isteri pilihan kerana dia sendiri tidak mempunyai pilihan hati. “Su
sebenarnya…” aduh! Liat pula lidah mahu membuka kata. Entah kenapa begitu?
“Su…”
“Su…
Su, Su apa?”
“Su
sebenarnya dah bagi green light pada
Zul untuk masuk meminang!” terus aku tutup mulut. Lain yang aku nak cakap, lain
pula ayat yang keluar. Semuanya gara-gara garangnya nada mak cik Khamsiah
memintas kataku.
“Ha,
cakap terus terangkan senang. Nak malu tu buat apa?” suara mak cik Khamsiah
bertukar nada. Daripada garang macam singga, terus lembut macam kucing. “Kalau
macam tu, hujung bulan ni mak cik masuk meminang ya. Okay, mak cik letak dulu.
Assalamualaikum”
“Mak
cik…” belum sempat aku kembali membetulkan kata, mak cik Khamsiah terlebih
dahulu memutuskan talian. “Wa’alaikumusalam… Mak cik, sebenarnya Su tak nak
kahwin dengan Zul” baru kini aku boleh menyatakan kebenaran. Namun sayang, mak
cik Khamsiah tidak lagi dapat mendengarnya.
Aku
gelengkan kepala berkali-kali. Rasa macam nak menjerit saja. Mahu melepaskan
semuanya. Hujung bulan! Bukankah itu bermakna tinggal dua minggu saja lagi?
Tidak…! Aku harus cari Zulhairi dengan kadar segera.
TEPAT aje pukul satu petang, aku terus turun menuju ke kafe.
Zulhairi harus aku temukan segera. Madihah berpuasa, jadi ini peluang aku untuk
membincangkan kembali perihal pinang meminang seperti yang disebut-sebut oleh
mak cik Khamsiah awal pagi tadi.
Kelibat
Zulhairi masih tidak kelihatan di kafe walaupun sepuluh minit sudah berlalu.
Kemana dia pergi? Pelik juga. Takkan dia tak turun makan? Mustahil! Zulhairi
bukanlah jenis manusia yang boleh tahan lapar. Kalau puasa bulan ramadhan tu,
dia boleh aku kategorikan sebagai orang yang paling lembik. Nak bercakap pun
kadang-kadang jadi malas.
Aku
sudah tidak boleh duduk senang. Jadi aku segera menggunakan telefon bimbit
untuk mengetahui kedudukan sebenar Zulhairi. Andai dia di Kutub Utara sekalipun
akan aku jejak sebelum petang menjelma. Kalaulah aku tak dapat berjumpa dengan
dia hari ini, pasti dia akan bersetuju saja dengan cadangan emaknya untuk
menghantar rombongan meminang hujung bulan ini. Sebelum keadaan bertambah
parah, aku terlebih dahulu harus bertindak.
Sekali
lagi aku cuba mendapatkan Zulhairi walaupun panggilanku tidak bersambut. Aduh!
Bertambah gelisah aku dibuatnya. Saat-saat genting macam ini pulalah dia
menghilangkan diri. Rasanya rambut aku dah kusut masai, sama kusutnya dengan
fikiran. Aku yang duduk, mula bangun untuk beredar. Akan aku usahakan untuk
mencari Zulhairi walau apa cara sekalipun.
“Su…
kenapa kelam kabut aje ni?” Wafi menahan aku daripada meneruskan langkah laju.
Aku yang melilau pandangan mata, agak terkejut melihat kelibat Wafi yang
munculnya secara tiba-tiba. Namun ada baiknya bertemu dengannya, mungkin dia
dapat membantu.
“Ha,
Wafi, kau ada nampak Zul tak?” tanpa berlengah, terus aku bertanya.
“Zul?
Wafi kerut kening”
“Haah,
Zul. Kau nampak tak?”
“Zul
dah balik” akhirnya Wafi memberikan jawapan yang sememangnya aku perlukan.
“Balik?”
aku terkejut.
“Haah,
balik. Dia apply half day cuti.
Katanya ada urasan penting kat rumah. Kenapa ni, Su?” sambung Wafi
Penjelasan
Wafi itu membuatkan aku bertambah cuak. Kepala mula berpusing-pusing, macam
sedang menaiki roller coaster.
Buatnya Zulhairi diarahkan balik oleh emaknya disebabkan oleh kata-kataku pagi
tadi, habislah… “Tak ada apa-apa. Saja aku tanya. Tapi dah berapa lama dia
balik?” aku tak putus asa.
“Baru
lagi, lebih kurang dalam lima minit macam tu” senyuman Wafi kelihatan.
“Lima
minit?” otak dah mula mengeluarkan arahan untuk mengejar Zulhairi. “Okay, thanks!” Terus aku buka langkah. Laju, selaju-lajunya.
Boleh jadi Zulhairi masih lagi di tempat meletakkan kenderaan. Terdengar suara
Wafi melaung memanggil namaku beberapa kali. Tapi aku tidak dapat
menghiraukannya kerana ada pekara yang lebih penting yang perlu aku kejarkan.
Kereta
Zulhairi gagal aku kesan. Rasanya dia sudahpun bergerak pulang. Aku sudah
hilang arah di situ. Lantas hanya mampu menghela nafas panjang setelah penat
berlari ke kawasan parkir yang penuh dengan kereta. Membatu aku di situ
beberapa ketika. Memikirkan jalan penyelesaian yang nampaknya seperti sudah
tidak ada. Kemudian aku bawa langkah longlai, mahu kembali pulang ke Wisma
Conlay.
Bunyi
hon kenderaan yang begitu kuat kedengaran membuatkan aku tersentak. Rasanya,
kerana akulah hon kenderaan itu dibunyikan. Mana tidaknya, aku kini betul-betul
di tengah jalan dengan gaya serupa orang yang hilang semangat untuk meneruskan
hidup. Aku palingkan wajah ke arah kenderaan yang sudahpun menghentikan bunyi
hon keretanya. Tiada niat lain selain memohon kemaafan atas salahanku yang
pastinya sedang menghalang jalannya.
“Woi,
Su… yang jalan terkedek-kedek tengah jalan ni, kenapa? Dah tak nak hidup lagi,
ke apa?”
Mendengar
suara yang lantang itu membuatkan aku jadi ketawa kecil. “Zul!” pantas aku
berlari perlahan menuju ke arah Zulhairi. Hati begitu senang melihat dia di
situ. Terus saja aku buka pintu di bahagian penumpang hadapan, lalu masuk ke
dalamnya.
“Eh..eh.
apa hal ni? Sesuka hati aje masuk dalam kereta orang” Zulhairi buat muka tak
puas hati.
“Dah,
jangan banyak cerita. Jalan cepat!” aku mendesak.
“Nak
pergi mana? aku nak balik ni” Zulhairi menolak.
“Aku
ada hal penting nak bincang dengan kau” aku harus berterus terang.
“Aku
pun ada hal penting kat rumah ni. Nanti marah mak aku karang!” Zulhairi tetap
enggan mengikut kata.
“Mak
kau yang suruh kau balik, ke?”
“Haahlah.
Kau ni kenapa?”
“Aku
dah agak dah… aku dah dapat rasa” aku buang pandangan ke luar tingkap buat
seketika. Semakin berkurang rasa senang di hati.
“Ish…
apa yang kau merepek ni, Su. Aduhai… kau ni sihat ke tidak?”
“Zul,
kau rasa Madihah tu macam mana?” nampaknya aku sudah tidak boleh tunggu. Sebelum
keadaan jadi bertambah teruk, lebih baik aku selesaikan semuanya dengan segera.
“Eh,
kalau kau nak merepek, lebih baik kau turun. Aku betul-betul tak ada masa ni”
Zulhairi mula keluar dari kereta. Pasti dia ingin menghalau aku turun. Namun
bunyi hon kereta di belakang yang kedengaran membuatkan Zulhairi terpaksa masuk
kembali ke dalam kereta, lalu memandu kereta itu ke tepi.
Setelah
mengalihkan kenderaannya, Zulhairi kembali keluar. “Kau turun!” Arah Zulhairi
sebaik sahaja dia membuka pintu di tempat dudukku.
Aku
kakukan badan. Pura-pura tidak mendengar arahannya itu. Wajah aku palingkan ke
tempat lain. Jangan harap aku keluar dari kereta itu selagi masalah tak
selesai.
“Aku
kira sampai tiga, kalau kau tak keluar juga… aku telefon polis!” Zulhairi mula
menyeluk saku seluarnya hitamnya. Pastinya mahu mencari telefon bimbit.
Aku kembali menatap
wajah Zulhairi. Sudah berbaur ugutan kata-katanya. “Tak payahlah nak telefon
polis bagai. Bukan aku nak rompak kereta kau ni pun. Aku nak bincang dengan kau
aje”
“Kalau nak bincang
pasal Madihah, minta maaf… aku tak berminat. Perbicangan dah tamat, kau boleh
turun sekarang!” Zulhairi berkeras.
“Payahlah aku nak cakap
dengan kau ni, Zul. Cubalah bagi peluang pada diri kau. Kalau kau tak kenal
hati budi Madihah tu, macam mana kau nak jatuh cinta dengan dia. Dulu kau yang
beria-ia sangat suruh aku carikan kau calon isteri. Bila aku dah jumpa yang
baik, kau pula buat perangai. Peninglah aku layan kau ni!” kali ini aku
betul-betul marah. Kalaulah Zulhairi tu pangkat adik-adik aku, dah lama aku
tangan-tangankan.
“Kalau pening,
turunlah, yang duduk dalam kereta aku ni
buat apa?” Laju saja Zulhairi membalas kata.
Aku renung tajam wajah
Zulhairi. Keras hati betul lelaki yang seorang ni. “Kau tak faham bahasa
Melayu, ke? Aku cakap tak nak turun, tak naklah!” Aku peluk tubuh, tanda tidak
gentar dengan apapun yang bakal Zulhairi lakukan.
“Oh… degil ya” Suara
Zulhairi kedengaran lagi. “Okay, tak apa. Kalau kau tak nak turun, biar aku
balik naik teksi. Kau jaga kereta aku elok-elok. Kalau hilang, siaplah kau!”
Pintu di tempat dudukku, ditutup kembali oleh Zulhairi. Membuatkan aku sedikit
terkejut. Zulhairi mula berjalan meninggalkan keretanya.
Alamak! Apa aku nak
buat ni? Runsing datang lagi. Zulhairi makin jauh di hadapan. Sebelum bayang
lelaki itu hilang, aku harus lakukan sesuatu. Laju tangan mendapatkan kunci
kereta dari tempat dudukku, lalu mematikan enjin. Kunci aku tarik, kemudian aku
bergegas keluar, menekan punat bagi mengunci kereta, dan dengan pantas berlari mengejar
Zulhairi yang begitu laju langkahnya.
“Zul, tunggu…” laungku
dari belakang. Namun sedikitpun tidak Zulhairi hiraukan biarpun sudah
berkali-kali aku memanggil. Mungkin dia marah. Jadi mahu ataupun tidak, aku
harus menggunakan taktik kotor demi menghentikan langkah Zulhairi.
“Aduh…” jeritku kuat.
Pura-pura terpelecok lalu menjatuhkan diri di tepi jalan. Dan kali ini, barulah
Zulhairi berhenti dan berpaling ke arahku.
“Su…” Suara Zulhairi
jelas kedengaran. Kini dia memasang kaki, berlari mendapatkan aku. Yes, taktik berjaya! Hatiku tertawa
riang. Zulhairi… Zulhairi... marah konon, ceh!
“Su, kau okay, ke?”
Cemas riak wajah yang Zulhairi pamerkan ketika ini.
“Okay apanya, sakit ni!
Aduh..” lakonan diteruskan.
“Yang kau berlari tu,
kenapa? kalau jalan elok-elok tadikan, tak jatuh! Kat mana yang sakit ni?” mata
Zulhairi cuba menangkap bahagian pada kakiku yang mungkin mengalami kecederaan.
“Nak kejar kaulah. Yang
kau tu jalan laju sangat, kenapa?” aku pura-pura mengurut kaki yang tidak
sakit.
“Siapa suruh kau kejar
aku?”
“Eh, Zul, kau jangan
banyak soal ya. Kau tau tak yang mak kau nak masuk minang aku hujung bulan ni?
Sebab tu mak kau panggil kau balik!” cepat-cepat aku terangkan situasi sebenar
yang ingin aku ceritakan. Tidak mampu berlengah lagi.
“Ha!” Zulhairi
terkejut. “Mana kau tahu?”
“Aku tahulah… mak kau call aku pagi tadi”
“Habis tu?”
“Ini masalahnya. Aku
sebenarnya dah tersalah cakap”
“Salah cakap? Kau cakap
apa?”
“Aku tercakap yang aku
dah setuju, dan kau boleh masuk meminang aku hujung bulan ni. Matilah aku Zul.
Macam mana ni?”
“Kau cakap macam tu?”
Zulhairi nampak lebih terkejut kali ini.
“Haah. Aku salah cakaplah.
Apa kita nak buat ni, Zul?”
“Erm… sekejap, biar aku
fikir dulu” Zulhairi mula berdiri. Dia mencekak pinggang, sambil memikirkan jalan
penyelesaian.
Melihat tingkah
Zulhairi yang nampak seperti mahu membantu, membuatkan aku turut sama berdiri.
Terlupa langsung akan lakonanku sebentar tadi.
“Su, kaki kau…”
Zulhairi terkejut buat yang kesekian kali.
“Alamak!” Aku tepuk
dahi.
“Kurang asam kau, Su.
Berani kau tipu aku!” Zulhairi nampak bengang. Pecah juga lubang akhirnya.
“Sorry…”
aku senyum kelat. “Kalau aku tak buat macam tu, kau takkan berhenti punya” cuba
aku jelaskan sebab yang memaksa aku membuat penipuan. “Ah… dahlah, Zul. tu
semua tak penting. Apa yang penting sekarang, macam mana kita nak selesaikan
masalah yang ada ni?” Aku mahu segera padam semua penipuan yang aku lakukan.
“Mana kunci kereta
aku?” Zulhairi sudah menghulurkan tangannya. Tapak tangannya jelas kelihatan.
“Kau nak buat apa
kunci? Masalah kita belum selesai lagi ni!” aku membawa tangan yang memegang
kunci ke belakang badan. Selagi tidak dapat cara bagi mematahkan rancangan yang
mungkin terjadi dua minggu saja lagi, selagi itulah aku tak akan serahkan kunci
keretanya. Masalah itu harus diselesaikan terlebih dahulu.
“Nak buat apa lagi, nak
balik selesaikan masalah kitalah!” Penuh yakin Zulhairi berbicara.
“Kau dah ada cara, ke?
Macam mana? Boleh ke settle?” soalku
ingin tahu.
“Ada! Sekarang ni nak settle ke, tak nak?” Zulhairi kembali
menyoal.
“Nak” jawabku sepatah.
“Kalau nak settle, bagi aku dulu kunci tu. Kalau
tak aku takkan cakap apa-apa.” Zulhairi menganggkat kening. Membuatkan aku rasa
tak sedap hati.
“Kau jangan nak tipu
aku, Zul” aku kurang percaya pada kata-kata Zulhairi.
“Ingat aku macam kau,
ke?” Zulhairi buat muka.
“Okay, aku pegang
kata-kata kau!” Dengan rasa berat hati aku letakkan kunci di atas tapak tangan
Zulhairi. Rasanya dia takkan berbohong.
“Aku balik dulu. Nanti
apa-apa aku call kau” Zulhairi mula
bergerak, menuju ke keretanya. Aku hanya mampu memerhati. Tapi entah kenapa
hati aku betul-betul rasa tidak sedap.
Sempat aku tahan kereta
Zulhairi apabila keretanya mahu melintasi aku. aku harus bercakap buat kali
terakhir sebelum Zulhairi pulang menemui emaknya. “Zul, apa kau nak buat nanti?”
aku bongkokkan badan, mahu setara dengan kedudukan Zulhairi.
“Kau tak payahlah
risau. Nanti pandai-pandailah aku cakap dengan mak aku tu” Zulhairi memberikan
senyuman. Mungkin tidak mahu aku terlalu risau.
“Okay… bagus. Tapi kau
nak cakap apa dengan mak kau?” lagi soalan aku ajukan.
“Macam ni, Su. Nanti
aku cakaplah kat mak aku yang aku pun dah setuju untuk meminang kau hujung
bulan ni. Tata…” Zulhairi terus memecut laju keretanya.
Aku terkaku di situ mendengar
kata-kata Zulhairi. Tidak terkeluar sepatahpun kata. setelah bayang kereta
Zulhairi hilang daripada pandangan, terasa seperti baru aku kembali tersedar. “Zulhairi…!”
Aku menjerit sekuat hati!
Bersambung...
P/S : Lambat lagi! maaf buat semua... selalu berharap mungkin kalau Adah jadi penulis sepenuh masa, dapat adah postkan entry tepat pada masa. Tapi dengan tugas sekeliling yang tak menentu jadi kerap kali entry utk SAC lambat dipostkan. Betul2 maaf buat semua rakan pembaca setia. Semoga kelewatan demi kelewatan yg ada tidak sedikitpun mengurangkan rasa semua utk terus membaca SAC. Terima kasih atas setiap sokongan yg Adah terima.
Salam Ukhwah
AH
12 comments:
kaq adah.. nice entry n story.. tgu dorang fall in loveee :) thanks sbb post kaq adah
kDija. :)
wahhhhh,akhirnya xsia2 menunggu!!! best la entry kali niee!! hehehe..zul tu memg sebenarnya sukakan su ehh??
best...xsabar nak tahu epis0d seterusnya..hehehe
akhirnya..he he
aduh..gelak2 baca gelagat depa berdua..
kalo jadikla su dgn zul kawin, hrp zul x hlg su besarkan adik2nya..
-che`leen-
zul diam2 sebenarnya mmg menaruh hati dgn su..x sabar nak tunggu time cinta bersemi hihii..
lama sepi.... kak adah....apa pun tq nice story... best...
keke lwk la haha
saat ada cinta di hati zul. kekeke. waaahh, kak adah, lamanyaaaa tunggu cite ni. tengs. cepat2 la sambung. aduh! bikin hati panasaran je. hihi.
Thks Adah...cute ler they all...
TQ dh ada en3..lmbt pn xpe jnji post pnjg2 eh..hehe..
best sgt...bilalah plak su pn sukakan zul...:)
ke su dgn wafi...ermm...
::TR::
aduhai nak gelak ad dgn n3 nie.best ..nak lagi kak
gelak akak baca, itulah dah tipu zul, now dia pulak terkena,bestttt
Post a Comment