Thursday, August 25, 2011

Ada Di Hati - Bab 15


LIMA BELAS
            “Encik Zafril, meeting.” Aku menjengukkan wajahku di sebalik pintu, cuba mengingatkan bosku itu akan mesyuarat yang akan berlangsung sebenar lagi.
            Zafril mengerling memandangku. “Okay, you go first, give me another two minutes.” Balas Zafril sambil mengapai organizer yang berada di hadapannya.
            “Okay.” Aku pantas berlalu meninggalkan bilik Zafril dan menuju ke bilik mesyuarat yang terletak berhampiran dengan pantry.
            Aku membuka pintu bilik mesyuarat lantas masuk dan duduk di sebelah kerusi di kepala meja. Bilik mesyuarat itu tidaklah terlalu besar tetapi cukup untuk mengisi meja panjang yang boleh memuatkan 12 orang.
            Beberapa saat kemudian Zafril melangkah masuk sambil melemparkan senyuman pada setiap pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Kemudian dia mengambil tempat duduk di sebelahku, di kepala meja. Sudah hampir tiga bulan aku bekerja di situ sebagai setiusahanya. Aku sendiri tidak menyangka yang aku boleh bertahan bekerja dengannya sehingga ke saat ini.
            Aku menyerahkan satu fail berwarna biru padanya. Dia menyambut fail itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Aku mula membetulkan dudukku beberapa kali, apabila Zafril asyik merenungku sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik mesyuarat ini.
            Aku mula merenung baju kurung berbunga oren dan bertanah hitam serta tudung berwarna oren yang aku kenakan hari ini. Apakah penampilan aku itu begitu janggal di matanya sehingga dia merenungku sehingga sebegitu sekali. Aku berdehem kecil cuba mematikan renungan itu namun mata itu masih melekat padaku.
             Zafril mula mematikan renungannya padaku apabila Fazura berdehem berulang kali seolah-olah cuba memberikan amaran pada Zafril yang mesyuarat perlu berlangsung sekarang. Aku benar-benar bersyukur atas bantuan Fazura itu.
            “Sikit-sikit dahlah Zafril.” Usik Kak Ros yang menyedari Zafril begitu asyik merenungku sedari tadi.
            Zafril tertawa besar mendengar usikkan Kak Ros. “Sikitlah tu mana ada lebih-lebih pun.” Zafril mengangkat-angkat keningnya sambil tersenyum pada Kak Ros.
            Kak Ros mengelengkan kepalanya. “Ish… angau semacam je.”
            Ketawa Zafril lebih kuat saat ini dan mengundang semua mata yang berada di dalam bilik mesyuarat itu memandang ke arahnya.
            “Awaklah ni.” Bisik Zafril padaku apabila tawanya mula mengendur.
            “Kenapa saya pula?” Soalku pula pada Zafril, juga dengan nada yang rendah tidak mahu didengari oleh ahli mesyuarat yang lain.
            “Awak tulah. Cantik sangat hari ni,” Zafril masih terus tersenyum.
            Aku terdiam seribu bahasa. Pujian Zafril itu langsung tidak mengusik hatiku. Entah mengapa aku tidak suka dipuji sebegitu olehnya. Aku terus memandang buku laporan yang sedia terbuka di hadapanku, pura-pura menyibukkan diri. Aku tidak mahu mendengar lagi kata pujian dari bibirnya.         
            “Assalamualaikum semua. Baiklah semua sedia maklim hari ini merupakan mesyuarat pertama kita bagi suku tahun pertama untuk tahun ini. Saya harap Roslina dari bahagian pentadbiran dan HR dapat memulakan terlebih dahulu.” Zafril memulakan mesyuarat dengan tegas, tiada lagi gelak tawa di wajahnya itu. Fail di tangan mula dibuka dan dibaca dengan teliti.
            Selepas Kak Ros giliran Fazura pula yang membentangkan perjalanan pemasaran suku tahun pertama dan membincangkan projek-projek baru yang dilihat dapat memberikan keuntungan pada syarikat. Selesai Fazura, giliran Fahmi yang bertindak sebagai assistant business development melakukan pembentangan. Fahmi mewakili manager business development yang bercuti pada hari ini.
            Pembentangan Fahmi acapkali terganggu dengan panggilan masuk pada telefon bimbitnya. Walaupun dia telah menetapkan nada silence pada telefonnya tapi wajahnya sentiasa berubah apabila telefon itu bergetar. Pembentangan yang dilakukan juga agak tersekat-sekat kerana asyik melihat telefon bimbitnya.
            “Fahmi.” Panggil Zafril setelah melihat Fahmi bagai cacing kepanasan di kerusinya.
            “Ye, Encik Zafril.” Fahmi kelihatan serba salah saat ini. Aku tahu Fahmi pasti merasa takut dimarahi Zafril kerana dia tidak memberikan tumpuan pada mesyuarat kali ini.
            Wife you yang call ke?” Soal Zafril sambil meletakkan pen yang terseklit di jarinya sedari tadi ke atas meja. Wajahnya begitu tegang saat ini.
            Fahmi menganggukkan kepalanya.
            “Kalau tak silap wife you tu tengah mengandung lapan bulan kan?”
            Fahmi menganggukkan kepalanya, dia mengerling ke telefonnya yang bergetar semula.
            So, apa lagi jawablah call tu. Mana tahu emergency ke.” Zafril memberikan kebenaran.
            Fahmi masih lagi teragak-agak untuk menjawab telefon itu.
            “Fahmi, I said now.” Desak Zafril pada Fahmi yang masih lagi berbelah bagi.
            Fahmi segera melangkah menjauhi sedikit meja mesyuarat itu untuk menjawab telefon. Sangkaanku yang Zafril yang memarahi Fahmi ternyata meleset sama sekali.
            “Okay guys, kita rest lima minit.” Zafril memberikan arahan tapi matanya masih lagi meneliti kertas tadbir urus yang diserahkan oleh Kak Ros padanya tadi.
            Aku mengerakkan badan ke kiri dan ke kanan, cuba untuk merenggangkan urat yang mula terasa berselirat. Sudah hampir dua jam berteleku di situ menyalin itu dan ini bagi menyiapkan minit mesyuarat nanti. Sedang aku sibuk membetulkan apa yang telahku salin tadi, tiba-tiba Zafril mengetuk perlahan kertas yang sedang kuteliti.
            Aku berpaling memandang Zafril yang berada di sebelahku. Dia menghulurkan tangannya yang sedia digenggam, cuba menyerahkan sesuatu padaku. Aku mula tidak sedap hati, kukerling semua yang berada di meja mesyuarat itu dan kesemuanya sedang berbual-bual sesama sendiri. Akhirnya aku menyambut juga barang yang cuba Zafril serahkan padaku itu. Setelah barang itu bertukar tangan Zafril tersenyum dan menyambung semula tugasnya.
            Aku membuka tangan melihat apa yang diserahkan padaku. Terkebil-kebil mataku melihat clip paper yang telah berubah bentuk menjadi bentuk ‘hati’ berada di tanganku. Aku berpaling memandang Zafril yang sedang tunduk meneliti fail ditangannya sambil tersenyum memanjang.
            Apa hal bagi aku benda ni? Buang tabiat ke apa bos aku ni, getus hatiku.
            “Apa tu?” Soal Fahmi yang telah duduk semula di kerusinya yang bersebelahan dengan kerusiku. Sempat juga dia menjenguk melihat apa yang sedang berada atas tapak tanganku.
            Dengan pantas aku menyembunyikan tanganku yang memegang clip paper yang telah berubah bentuk itu ke bawah meja. “Tak ada apa-apa.” Aku mengeleng laju.
            “Everything’s fine, Fahmi?” Soal Zafril apabila melihat Fahmi kembali ke tempat duduknya semula dengan wajah yang tenang tidak seperti tadi.
            “Okay Encik Zafril tak ada apa-apa. Cuma dia nak ingatkan saya belikan dia sate kajang waktu balik nanti. Biasalah orang mengandung macam-macam ngidamnya.”
            Zafril tersenyum mendengar kata-kata Fahmi itu. “Okay, Fahmi sambung.” Zafril sudah mula menumpukan perhatian pada mesyuarat.
            “Eh, wait!” Kak Ros tiba-tiba mencelah sebelum sempat Fahmi membuka bicara.
            “Apa ni Zafril bertabur kertas urus tadbir ni. Tak ikut susunan macam yang I bagi kat you tadi.” Bebel Kak Ros pada Zafril.         
            “Alah you susunlah balik bukannya banyak sangat pun, lapan muka je.” Selamba sahaja Zafril menjawab tanpa rasa bersalah.
            “Ish, you ni. Dah tu paper clip nya mana?”
            “Oh, paper clip tu I dah bagi kat Safi.”
            Terkejut aku mendengar bicara Zafril itu tapi dia masih lagi dengan wajah selambanya, sedikit pun dia tidak memandangku di sebelahnya. Aku yakin dalam diam sebenarnya Zafril cuba berterus terang kepada Kak Ros namun dalam masa yang sama juga dia cuba mengenakan diriku ini. Aduh, kenapalah lelaki ini suka mengenakan diriku tidak mengira masa dan tempat?
            “Hah Safi mana paper clip nya?” kini Kak Ros bertanya padaku pula.
            Aku mula mengelabah. Tidak mungkin aku mahu memulangkan paper clip yang telah berubah menajdi bentuk ‘hati’ itu pada Kak Ros pula. Nanti apa kata Kak Ros dan ahli mesyuarat yang lain jika melihat paper clip itu. Oh… tidak… lebih baik jangan cari pasal, nanti kecoh satu pejabat dengan gosip liar yang tidak aku gemari sama sekali.
            “Entahlah kak, dah hilang pula tadi ada kat sini.” Aku pura-pura cuba mencari di atas meja di hadapanku. “Tak apalah Safi ambil klip yang lain untuk akak.”
            “Eh, tak apalah, tak payah.” Kak Ros menghalangku yang sudah pun bangun untuk keluar dari bilik mesyuarat itu.
            Aku duduk semula apabila niatku itu dihalang oleh Kak Ros. Cepat-cepat aku menyimpan clip paper itu ke dalam poket diariku sebelum barang itu menjadi isu yang lebih besar selepas ini. Aku mengerling memandang Zafril yang ternyata sedang cuba menyembunyikan senyumannya itu dariku.
            Geram sungguh aku dengan dirinya, tidak sudah-sudah mahu mengenakanku!

BARU balik lunch dah mengamuk, ngomel hatiku.
            Pintu bilik Zafril yang terbuka luas itu membolehkan aku mendengar setiap butir kata yang terkeluar dari mulut Zafril. Kesian pula aku mengenangkan nasib Ahmad dan Hairil yang kini berada di hadapan Zafril. Pasti ketika ini kedua-duanya terpesat-pesat untuk menjawab setiap butir bicara Zafril yang sudah mula menyinga itu.
            Pagi tadi moodnya elok sahaja, siap boleh mengenakan aku di dalam bilik mesyuarat tetapi petang ini setelah mendapat satu panggilan daripada Khaty sebentar tadi moodnya tiba-tiba berubah. Habis Ahmad yang bertindak sebagai finance controller dan pembantunya itu diarah masuk ke biliknya serta-merta dan disembur satu-persatu bagaikan mereka telah melakukan kesalahan yang besar.
            “Tapi kami dah hantar surat amaran Encik Zafril.” Kini barulah kedengaran Ahmad menjawab setelah lama mendiamkan memberikan ruang Zafril untuk berbicara.
            Yes, memang kamu semua dah bagi surat amaran. Bukan satu, bukan juga dua tapi tigakan? I know that! Tapi lepas semua surat amaran tu mereka tak ambil peduli apa tindakan kamu semua? None! Fullstop kat situ je kan! Kamu tahu tak tindakan kamu tu  seumpama kamu manjakan mereka. Sebab tu mereka liat nak bayar. Hutang lapok tapi kita masih lagi buat kerja untuk mereka. Macam ni anytime company ni boleh telingkup!” Bertambah keras suara Zafril kali ini.
            Aku yang berada di luar pun boleh terkedu mendengar nada suara bos itu apatah lagi mereka yang berhadapan dengannya. Setelah tiga bulan aku bertugas di sini barulah kali ini aku melihat Zafril semarah ini.
            “Saya nak lepas ini terus deal dengan pengarah urusan syarikat-syarikat tu. Kalau nak saya turun padang sekali pun  tak apa. Kalau dah degil sangat, ambil je legal action. Jangan sebab company tu, company kawan Puan Anni Zulaikha kita tak boleh ambil tindakan. Kalau Puan Anni Zulaikha ada disini pun, I thing, she will do the same thing. Saya nak benda ni semua settle bulan ni juga, At least ada positif feedback daripada mereka faham?” Zafril masih lagi meneruskan ceramah panjangnya.
            “Safi!” Laung Zafril dari dalam biliknya.
            Aku bergegas bangun dari kerusi dan mencapai buku nota dan pen. Aku tahu jika Zafril telah melaungkan namaku begitu kuat dan tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk menggunakan interkom sewaktu memanggilku, maknanya tahap kemarahan Zafril telah sampai ke had maksimum. Silap-silap hari bulan dengan aku sekali kena bambu.
            “Jaga-jaga singa dah terlepas dari kandang tu,” Ahmad sempat berbisik padaku sewaktu kami bertembung di muka pintu bilik Zafril.
            “Amboi mulut… Tadi bukan main lagi menikus.” Bisikku pula pada Ahmad.
            Ahmad ketawa kecil. “Good luck.” Ujar Ahmad padaku yang sudah pun mengetuk pintu bilik Zafril. Aku hanya tersenyum mendengar kata semangat darinya.
            Setelah mendapat kebenaran dari Zafril, aku lantas masuk dan berdiri tegak di hadapannya. “Ye, encik.” Aku menarik nafas seketika. Kecut juga perutku apabila berhadapan dengan Zafril yang mula menyinga itu.
            Zafril yang sedari tadi mengadap desktop segera memandangku di depannya tanpa sebarang suara. Kemudian dia menghembuskan keluhan kecil. “Duduk,” lembut bicara Zafril tika ini tidak seperti tadi.
            Aku pula hanya menurut semua arahannya. Pelik, sekejapnya cool down, bisik hatiku.
            “Saya nak awak refer dengan Ahmad and dapatkan saya listing company yang dah lebih enam bulan tidak buat payment pada kita. Saya nak awak setkan appointment saya dengan pengarah urusan company tu.”
            “Bila encik nak saya setkan appointment tu?”
            As soon as possible. Lagi cepat lagi bagus.”
            “Hai Zafril.”
            Aku dan Zafril serentak berpaling pada Fazura yang sudah pun berada di dalam bilik ini.
            Don’t you know to knock the door first before entering my room, Zura?” Soal Zafril sambil mencerun mata memadang Fazura.
            “I dah ketuk tadi tapi itulah you busy sangat dengan secretary you ni. Tu yang tak dengar I ketuk pintu.” Fazura cuba membela diri. Namun aku yakin aku tidak mendengar serang bunyi ketukan pintu sebentar tadi.
            Where have you been? Pukul 3 baru masuk pejabat balik. Jauh sangat ke you pergi lunch?” Soal Zafril.
            Serentak itu Fazura ketawa manja. “Why? Do you miss me?”
            Sebenarnya aku agak terkejut dengan pertanyaan berani Fazura itu, lebih-lebih lagi pertanyaan itu dibuat di hadapanku. Aku membelek-belek buku nota di tangan, tidak mahu ikut campur dengan urusan mereka berdua. Buat-buat tidak dengar semuanya.
            Stop being ridiculous. That not my point.” Sepantas kilat Zafril mengeluarkan kata-kata yang bagiku mungkin boleh menguris hati wanita Fazura.
            “Habis tu kenapa Amy kata tadi you cari I macam kucing hilang anak, hah, my dear.” Fazura terus mengasak Zafril, aku yang berada di sebelahnya dipandang sekilas.
            “I cari you sebab nak tanya pasal tender syarikat TV berbayar dan olimpia holding tu. Any news?” laju Zafril menerangkan duduk perkara sebenar.
            Fazura mengetap bibir seketika.
            “Fazura I’m asking you. Any news?”
            “Belum lagi, biasalah tender besar, banyak company lain mohon sama. Lambat sikitlah rasanya tu. Okaylah I keluar dulu.”
            Aku dan Zafril mengerling memandang Fazura yang laju berlalu keluar dari bilik ini.
            “Encik Zafril.” Panggilku pada Zafril yang masih lagi memadang kea rah pintu biliknya.
            Zafril berpaling memadangku.
            “Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu.” Mohonku.
            “Okay, jangan lupa setkan appointment tu secepat mungkin ya.”
            “Baik Encik Zafril.”
            Lantas aku segera keluar dan menutup rapat pintu biliknya. Sebaik sahaja aku berpaling untuk kembali ke mejaku, Fazura telah pun duduk di kerusiku. Aku bergerak menghampirinya perlahan-lahan, keliru apa perlu Fazura berada ditempatku.
            “Lama jumpa bos kesayangan.” Soal Fazura apabila aku berada di hadapannya.
            Aku mengerling memandang Zafril yang sedang tekun bekerja melalui cermin yang memisahkan mejaku dengan biliknya. Birai yang terbuka itu membolehkan aku melihat dengan jelas wajah Zafril tika ini.
            “Ada apa-apa yang boleh saya bantu Cik Fazura?” Tungkasku, Aku tidak mahu Fazura melabelkan Zafril sebagai bos kesayanganku.
            “Ini report tentang penamatan kontrak kita dengan Tanjak Holding. I nak you taip semula because soft copy dia dah hilang. Biasalah bos kesayangan you tu kan bukan sahaja nak hard copy tapi soft copy pun dia nak. Better you siapkan hari ni sebab esok Zafril nak report ni. Dah siap, serahkan pada I dulu I nak semak, mana tahu ada typing error ke.” Fazura mencampakkan fail hitam itu ke atas mejaku kemudian dia terus belalu.
            Aku mengapai fail hitam yang berada di atas mejaku, fail yang memuatkan hampir seratus muka surat itu dengan teliti. Aku memandang jam di tangan yang hampir pukul empat petang.
            Sempat ke siap ni? Aku mengeluh berat.

“BANYAK lagi ke Safi?”
            Aku berpaling memandang Fitri ang kini berdiri tegak disebelahku. “Alah, lagi sikit je. Kau kenapa tak tidur lagi?” Soalku tapi mataku masih lagi tertumpu pada komputer riba di hadapanku. Tanganku masih lagi lincah menaip setiap aksara yang ada.
            “Nak tidurlah ni. Kau tu jangan tidur lambat pula. Esok susah nak bangun.” Gurau Fitri.
            “Eh, tolong sikit ye, kau tu yang selalu susah nak bangun, asyik aku je yang tolong kejutkan kau.” Bebelku sambil menjeling sekilas padanya.
            Fitri ketawa. “Okaylah, good night.” Fitri melaung selepas menutup semula pintu bilikku.
            Aku menyambung semula menaip report penamatan kontrak Tanjak Holding yang diserahkan oleh Fazura padaku petang tadi. Sepatutnya dari tadi aku sudah boleh menyiapkan kerja ini, namun kerana aku menemai Fitri keluar makan malam sebentar, jadi kerja ini tertunda seketika.
            “Ayuh, Safiah Aisyah lagi sikit je ni.” Aku menghembuskan nafas memberikan perangsang pada diri sendiri.
            Sedang aku asyik menaip, telefon bimbitku berlagu lantang. Kalau ikutkan hati malas rasanya mahu menjawab panggilan itu tapi apabila melihat nama bosku yang tertera dengan pantas aku menekan punat hijau telefon bimbitku itu. Sempat juga aku mengerling jam di sudut bawah skrin computer ribaku. 2.00 pm? Tak tidur lagi ke dia ni?
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara dengan ucapan suci itu.
            “Waalaikumusalam. Tak tidur lagi ke?”
            “Belum.” Ringkas jawapan dariku kerana tumpuanku masih lagi pada komputer riba yang berada di hadapanku. Tangan kananku masih lagi menaip walaupun agak terkial-kial kerana menaip hanya mengunakan jemari kananku.
            “Kenapa tak tidur lagi?” Soal Zafril lagi di hujung talian, seakan-akan risau pula bunyinya.
            Ish, tak ada maknanya dia mahu risaukan diriku ini. “Yang Encik Zafril tu tak tidur lagi kenapa?” Malas aku mahu menjawab soalan Zafril itu. Jadi soalan itu aku pulangkan padanya.
            “Saya lain…”
            “Apa yang lainnya?” aku terus bertanya apabila Zafril hanya mematikan katanya di situ sahaja.
            Lama Zafril mendiamkan diri, membiarkan suasana hening menyelubungi seketika. “Saya tak tidur lagi sebab saya tengah rindukan awak. Yang awak tak tidur lagi kenapa? Rindukan saya juga ke?” Zafril seolah berbisik tika ini.
            Berderau darahku mendengar bisikan Zafril itu. Lama aku mendiamkan diri. Yang sebenarnya aku tidak gemar mendengar ayat itu keluar dari bibirnya. Terasa lain macam, susah untuk aku gambarkan. Yang pastinya aku tidak suka.
            Seketika kemudian Zafril ketawa besar. “Mesti muka awak tengah merah menahan malu sekarang ni kan. How sweet!” ujar Zafril lagi ketawanya masih tidak reda.
            Aku mengetap bibir menahan geram. Kali ini aku benar-benar yakin bisikkannya sebentar tadi hanya untuk mengenakanku seperti selalu, sengaja mempermainkan diriku. Geram sungguh aku dengan dirinya. Petang tadi muka masam mengalahkan singa, tidak sangka pula malam ini masih sempat dia mempermainkan diriku, siap ketawa besar tanpa henti.
            “Encik Zafril telefon saya ni sebenarnya nak apa?” aku sudah mula marah. Sakit hatiku apabila sering dipermainkannya.
            Zafril berdehem berulang kali, membetulkan suaranya akibat terlebih gelak sebentar tadi. “Saja je nak kacau awak tidur, tapi tak sangka pula yang awak tak tidur lagi. Punah misi saya malam ni.” Masih kedengaran lagi ketawa kecilnya.
            Bertambah geram diriku mendengar jawapan darinya itu. “Dah tak ada kerja lain ke?” Kali ini suaraku lebih keras dari tadi. Apa perlu menelefon malam-malam buta begini hanya kerana ingin menganggu tidur orang lain. Memang tak ada kesedaran sivik betul bosku ini.
            “Tak!” Jawab Zafril sepatah.
            Aku merengus geram. Sudah tidak tahu apa lagi yang perlu aku perkatakan saat hati sudah mula membengkak mengenangkan sikapnya malam ini.
            “Okaylah, jumpa kat pejabat esok. Jangan tidur lambat sangat tau sayang. Sweet dreem.” Serentak itu Zafril mematikan talian.
            Bertambah sakit hatiku bila mendengar ungkapan sayang dari dirinya. Aku tahu Zafril tiada niat lain sewaktu melafazkan perkataan itu padaku selain mahu mengenakanku. Aku mengenggam erat telefon yang masih berada di tangan. Terasa menyesal pula menjawab panggilannya sebentar tadi. Umur sudah menghampiri 30 tahun tapi perangai mengalahkan budak-budak. Betapa sakitnya hatiku hanya Tuhan yang tahu.
           
P/S : Insya'Allah entry terbaru untuk Ada Di Hati akan AH postkan seminggu selepas raya. Terima kasih buat semua pembaca2 setia ADH, AH juga mengambil kesempatan ini utk menggucapkan selamat hari raya. Maaf Zahir & Batin. 

6 comments:

umi kalsom said...

best!!! :)

blinkalltheday said...

wah,suke2..bile la safi ni nak pecaya yg zafril xpenah main2 dgn die ea?adoiii..~~

Eijan said...

Best....bila safi ni nak sedar yg zafril dah 6 tahun tggu dia....zafril pun dah berani tunjukkan perasaan dia yg sebenar pd safi...tp zafril kena serius jgn nampak mcm main2... Tak pun terus pergi pinang aje safi tu....

Anonymous said...

;] selamat hari raya juga

Minsofea said...

sangat suka!!! betul kata eijan, zafril kena serius sikit.....

...safi pun dah mula rasa lain macam jugak kan...

Anonymous said...

Typo kak..2 a.m kan, bkn 2 p.m

Post a Comment