Monday, August 1, 2011

Ada Di Hati - Bab 9

SEMBILAN
            “Betul lah, Safi, kita orang tunggu kau punyalah lama kat café tu.” Siti mula membela dirinya dan kawan-kawan yang lain. Kesemua rakan-rakanku memenuhi bilik hotel aku dan Mona, ada yang duduk bersama-samaku di atas katil dan ada juga yang bersantai di lantai.
            “Iyalah tu. Eh, aku yang tunggu kau orang lama kat situ tau. Batang hidung kau orang pun tak nampak. Kau orang tau tak, dari tengah hari aku tak makan. Sampai dah malam macam ni pun perut aku ni masih kosong lagi, tau tak!” Aku juga turut membela diriku.
            “Engkau pun satu, kenapa kau tak makan masa kau tunggu kita orang kat café tu? Apa kau buat kat café tu? Takkan duduk melangguk aje kut?” Luah Anis pula yang tadinya hanya duduk diam.
            “Ha’ah dahlah kita orang call tak berjawab. Ke, kau ada dating dengan mana-mana pakwe kat café tu kot sampai tak nampak kita orang.”
            “Ha…” Semua yang ada di situ berkata serentak sambil mengerakkan jari telunjuk padaku.
            Dating? Dengan siapa? Dengan Zafril? Tolonglah tak ingin aku dating dengan ‘buaya tembaga’ tu. Buat menyakitkan hati sahaja bila berbual dengannya. Nasib baiklah pertemuanku dengan Zafril tadi hanya sekejap, jika tidak pasti mereka semua dapat melihat aku bersama-sama teman lelaki Mona itu. Kalau itu yang terjadi, tak dapat aku gambarkan macam mana situasinya, mahu kecoh jadinya.
            “Eh, mana pula perginya Mona ni? Dah pukul 9 pun, masih tak nampak lagi batang hidung dia…” aku cuba mengubah topik perbualan, aku tidak mahu teruskan perbualan tentang Zafril. Lebih daripada itu, sebenarnya aku memang terlalu risaukan Mona yang masih lagi belum pulang setelah keluar dari bilik, petang tadi.
            “Ha’ah, mana Mona pergi ya? Dahlah hari ni aku tengok dia moody semacam je. Kenapa ek?”
            “Hah… Tu kau kena tanya kawan baik dia si Safi ni ha. Dia mesti tahu punyalah,”
            Aku mendiamkan diri, aku tidak tahu sama ada hendak menceritakan apa yang menyebabkan Mona jadi begitu pada mereka semua atau tidak? Perlukah aku membuka cerita? Rasanya tidak perlu, tetapi aku kenal benar dengan kawan-kawanku itu, selagi mereka tidak mendapat cerita yang sebenar, pasti mereka akan mengorek rahsia itu sampai dapat.
            “Alah Safi nak berahsia-rahsia pulak. Cerita ajelah, Mona tu pun kawan kita orang jugak, so kita orang pun nak tahu juga apa masalah dia tu?” Siti memulakan sesi soal siasatnya.
            “Adalah masalahnya tu, sebab tulah moody semacam je.” aku cuba memberi jawapan selamat dan moga-moga mereka tidak bertanya apa-apa lagi.
            “Iyalah mestilah ada masalah, tapi apa masalahnya? Kau mesti tahukan?”
            Aku mengaru kepala, apa yang perlu aku katakan bagi menjawab semua persoalan kawan-kawanku itu. Buntu jadinya. Mereka semua ini memang amat layak menjadi wartawan kerana pandai mengorek rahsia.
            “Mana aku tahu?” Balasku ringkas. Masih enggan berkongsi cerita.
            “Takkan kau tak tahu?” Balas Anis pula.
            “Betul... aku tak tahu…” aku menyebut satu persatu perkataan itu.
            “Takkan dia tak cerita kat kau kut?”
            “Tak!”
            “Ah! Tipulah kau Safi, aku tahu Mona mesti ada cerita masalah dia kat kau punya. Baik kau bagitahu kita orang cepat.”
            “Ish, korang ni tak faham bahasa Melayulah. Kan aku dah cakap Mona…” Belum sempat aku menghabiskan kata-kata Mona sudah muncul di balik pintu. Aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya dengan kepulangan Mona itu aku terselamat dari buruan soalan-soalan yang tidak mahu berhenti.
            “Kau ke mana Mona? Dah malam-malam macam ni baru balik?” Anis bertanya seumpama seorang emak yang begitu khuatir akan keselamatan anak daranya yang keluar pada waktu malam.
            “Ish…” Mona merengus kasar apabila ditanya sebegitu oleh Anis. Dia terus masuk ke dalam bilik air tanpa mempedulikan kami yang sedang memerhatikan tingkah lakunya dari tadi. Berdentum pintu bilik air sejurus Mona masuk ke dalamnya.
            Aku dan yang lain terperanjat dan serentak itu juga berpandangan di antara satu sama lain. Pelik aku melihat sikap Mona itu, tadi petang sebelum dia keluar Mona kelihatan begitu gembira sekali kerana akhirnya petang tadi Zafril menghubungi Mona dan ingin berjumpa dengannya. Tapi kenapa setelah beberapa jam Mona boleh berubah sehingga sebegitu sekali. Pelbagai andaian dan tanggapan mula bersarang di dalam benakku.
            Aku terkejut apabila satu tamparan hinggap di lengganku. Aku mengusap lengan yang terasa pedih sambil memandang Siti di sebelahku.
            “Kita bercakap dengan dia, dia boleh termenung pula.” Omel Siti apabila aku tidak mengendahkan dirinya.
            “Ish, sakit tau tak?” Aku masih mengusap lenganku. “Apa dia?”
            “Kenapa tu?” Siti memuncungkan mulutnya kea rah bilik air member isyarat bertanyakan tentang Mona.
            “Entah,” Aku mengangkat kedua-dua belah bahu. Memang aku tidak tahu apa yang telah berlaku pada Mona sehingga boleh naik angin sebegitu.
            “Apa dia buat dalam bilik air tu. Tak dengar bunyi air pun?” Soal Anis pula yang mula risau. Telah lama Mona berada dalam bilik air itu tapi bilik air itu sunyi sepi tanpa sebarang suara mahupun dari paip air.
            “Tak apa, biar aku pergi tengok,” aku yang mahu bangun dari katil membatalkan niatku itu apabila Mona telah terlebih dahulu keluar dari bilik air.
            Bilik itu sunyi sepi seketika, tiada seorang pun yang mahu membuka mulut. Semua yang berada di dalam bilik itu memerhatikan Mona yang sedang mengambil beg pakaian dan membuka pintu almari. Melihat sahaja Mona memasukkan kesemua bajunya ke dalam beg berwarna biru itu aku berpandangan dengan semua rakan-rakanku yang lain dan saling mencuit, mengharapkan ada di antara kami yang akan membuka mulut melanjutkan soalan pada Mona.
            “Kau nak buat apa dengan baju-baju tu semua Mona?” Akhirnya aku mula bersuara setelah melihat tiada seorang pun kawan-kawanku yang lain yang berani membuka mulut.
            Terkedu aku seketika melihat Mona memandangku dengan pandangan yang begitu tajam sekali. Setelah lama merenungku Mona menyambung semula kerjanya memasukkan baju ke dalam beg pakaian sambil menghembuskan nafas umpama membuang lelah, masalah yang begitu menyeksakan jiwanya.
            “Aku nak balik KL, kalau kau nak ikut sekali jomlah.” Pelawa Mona padaku dengan suara yang seakan dengar dan tidak sahaja.
            “Kau nak balik malam ni juga ke?” Soal Siti pula dalam takut-takut berani.
            “Em…” balas Mona ringkas.
            “Kau biar betul, Mona. Takkan malam-malam buta macam ni kau nak balik KL. Ish… bahayalah. Esok jelah balik, lagipun tengah hari esok memang kita semua dah kena check out” Anis masih lagi mempamerkan rasa risaunya.
            Aku juga turut rasa risau dengan keselamatan Mona. Pulang sendirian ke KL malam-malam begini bagi seorang perempuan memang mengundang bahaya. Tambahan pula, jalan raya di Genting ini agak berbahaya jika memandu pada waktu malam.
            “Ha’ahlah Mona, malam-malam macam ni drive kereta bahaya tau. Mana tahu tengah-tengah jalan nanti terjumpa sundal bolong ke, pontianak ke, tak ke haru.” Zila cuba melawak.
            Semua mata terbeliak memandang Zila. Sempat juga dia menerima dua tiga cubitan dari kawan-kawan yang tidak boleh menerima lawak Zila yang tidak kena tempat itu. Zila menjerit kecil sambil cuba mempertahankan lawak bodohnya itu.
            “Tak apalah aku ikut kau balik.” Akhirnya aku memberikan persetujuan setelah difikir semasak-masaknya dan mengambil kira betapa bahayanya Mona pulang bersendirian pada waktu malam begini.
            Mona kelihatan sedikit terkejut dengan persetujuanku itu tetap mengangguk kecil. “Aku tunggu kau kat lobi.”  Mona terus sahaja menuju ke muka pintu setelah memasukkan kesemua barangnya ke dalam beg. Separuh jalan ke muka pintu Mona  berhenti dan memadang kawan-kawan yang lain.
            Sorry lah aku kena balik dulu, aku betul-betul tak ada mood. Next time kita jumpa lagi.” Sejurus itu Mona keluar dari bilik.
            “Betul ke kau nak ikut Mona balik Safi? Alah, tak bestlah macam ni kata nak bercuti tapi lain pula jadinya.” Kata Zila sambil membatuku memasukkan pakaianku ke dalam beg.
            Sorry lah, aku kena ikut dia balik. Aku kesian tengok dia kena drive sorang-sorang, malam-malam buta macam ni. Tak apa, nanti kita arrange percutian yang lain pula, okay.” Aku cuba menenangkan kawan-kawanku yang lain.
            “Em… entah bilalah tu.” Ujar Anis yang seakan tahu tentu sukar untuk mereka berkumpul begini pada masa akan datang.

KERETA Mona berhenti di hadapan pagar rumahku. Aku memandang Mona di sebelah yang menyepikan diri sejak bertolak dari Genting tadi. Setiap soalan dariku hanya dibalas dengan pandangan sekilas darinya. Banyak kali perkara itu berulang sehingga aku sendiri mati akal untuk meneruskan perbualan dengannya sepanjang perjalanan pulang tadi.
            “Dah pukul 2 pagi ni. Berani ke kau nak balik seorang?” Soalku memecahkan kesunyian yang masih menghimpit.
            Mona masih mendiamkan diri dan pandangannya hanya tertumpu di hadapan seolah-olah sedang tekun memandu walaupun kereta itu telah lama berhenti.
            “Aku rasa baik kau tidur kat rumah aku ajelah malam ni. Esok pagi baru kau balik, okay? Bahayalah Mona kau bawa kereta malam-malam macam ni.” Aku masih lagi mencuba untuk menarik Mona supaya berbual denganku. Sebenarnya aku takut jika Mona bertemu dengan kutu-kutu jalan raya yang akan menganggu Mona sewaktu perjalanan Mona ke rumahnya.
            Melihat Mona yang masih lagi mendiamkan diri, aku mengalah. Mungkin Mona perlukan masa untuk bersendiri. “Tak apalah aku turun dulu. Kau hati-hati bawa kereta tau.” Aku segera berpaling dan mula membuka pintu kereta.
            “Safi.”
            Aku menutup semula pintu kereta Mona, aku tersenyum lega akhirnya Mona bersuara juga.
            “Kau tahukan aku cintakan Zafril?” Mona menyoalkan namun matanya masih lagi tertumpu ke hadapan.
            Aku menganggukkan kepala.
            “Kau tahukan demi cinta aku pada dia, aku sanggup buat apa saja?” Luah Mona lagi.
            Berkerut dahiku mendengar kata-kata Mona itu. “Apa saja?” Soalku pula pada Mona.
            Kini giliran Mona pula yang menganggukkan kepalanya.
            “Walaupun hati kau sakit dan hati orang di sekeliling kau pun turut sakit?” aku masih terus menyoal dirinya dan dia masih menganggukkan kepalanya, mengiakan setiap kata-kataku.
            Begitu dalam cinta Mona pada Zafril sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan cintanya itu tetap menjadi miliknya. Tapi apa kena-mengena itu semua dengan sikapnya hari ini. Apa yang telah Zafril lakukan pada Mona sehingga Mona begitu beremosi saat ini? Aku mengeluh, tidak tercapai akalku untuk menyingkap perkara itu.
            “Kau tak pernah bercinta Safi. Kau takkan faham.” Balas Mona padaku.
            Iya, memang aku tidak akan faham kerana aku belum pernah dicintai atau mencintai. Jadi segala kata-kataku tidak mungkin akan dapat diterima oleh Mona. Tapi sebagai kawan aku perlu memberikan pendapat.
            “Okay, aku tahu kau cintakan Zafril tapi apa kena-mengena benda tu semua dengan mood kau yang tak baik sekarang ni. Apa Zafril da buat kat kau. Dia kata apa masa jumpa kau tadi?”
            Aku mengeluh apabila soalanku itu dibiarkan sepi oleh Mona, bagaikan tidak mahu berkongsi rasa denganku pada waktu ini.
            “Kau betul-betul sayang dia ke?” aku sekadar menduga walaupun aku telah tahu akan jawapannya.
            “Sayang?” Soal Mona sambil merenung wajahku yang sedari tadi tidak mahu dilihatnya. “Cinta itu lebih hebat dari rasa sayang, Safi. Bila kau dah jatuh cinta, rasa sayang, kasih, rindu itu akan datang dalam satu rasa.”
            Kini giliranku pula merenung jauh ke hadapan, meneliti setiap bait-bait kata Mona.
            “Aku nak kau tahu satu perkara. Apa pun yang aku lakukan lepas ini, semuanya semata-mata kerana aku cintakan Zafril. Sudahlah kau turunlah, aku nak balik.” Mona cuba mengakhiri perbualan.
            “Hati-hati bawa kereta.” Ujarku sejurus turun dari kereta Mona.
            Aku merenung kereta Mona yang semakin lama semakin kecil dari pandangan matanya. Aku tidak faham dengan semua perkara yang berlaku malam ini, tentang perubahan sikap Mona dan kata-katanya malam ini. Semua itu amat payah untukku tafsirkan.
            “Cinta itu lebih hebat dari rasa sayang Safi!” Kata-kata Mona itu masih lagi berlegar-legar dalam benakku. Benarkah begitu?

Bersambung....

7 comments:

blinkalltheday said...

mesti mona dah taw zafri suke kat safi..mesti die akan wat sesuatu yg lukakan safi utk dapat zafri,betul ke??

Zass said...

sambung sikit lagi ye....

umi kalsom said...

sokong bliknalltheday
mesti mona dah tau zafril sukakan safi...

Adah Hamidah said...

blink : he3, kita tunggu dan lihat ek! :)
korro : Insya'Allah nantikan jumaat nanti yer :)
Umi : he3... sependapat dgn blinkalltheday ek... he3
Semua : terima kasih krn sudi mmbaca ADH

dila dyna said...

wargh...suspennye...smbg lagi kak

lynn said...

mesti mona dah tau nih...tu yg dia bg amaran awal2 kat safi...

Unknown said...

aah..mesti dah tau ni...

Post a Comment