Monday, June 27, 2011

Ada Di Hati - Bab 2


DUA
            Aku mula merenung rumah berwarna biru laut lot tepi yang kini betul-betul berada di hadapanku. Aku menelan air liur. Inilah rumah itu, rumah yang telah aku jadikan tempat untuk menyelamatkan diri daripada anjing gila minggu lalu. Maknanya ini rumah ‘Lelaki Poyo’ tu. Aku mula menghela nafas panjang.
            Mahu atau tidak, aku terpaksa berada di rumah ini tiga hari berturut-turut kerana rumah ini merupakan rumah pelanggan Kak Diah yang akan melangsungkan majlis perkahwinan anaknya. Aku harus sentiasa berada di rumah ini untuk membantu Kak Diah dalam melancarkan majlis kahwin itu. Pastinya aku akan bertemu dengan lelaki itu lagi.
            Ish… takkanlah? Aku mula tidak sedap hati. Peluh mula bertamu di dahi saat ini. Jantungku mula berdegup kencang, hatiku berdebar hebat. Sungguh tidak enak perasaan ketika ini. Eh, kenapa pula aku harus berperasaan begitu? Errr... Entah? Tapi yang amat pasti saat ini, aku tidak ingin berjumpa dengannya lagi, meluat betul rasanya. Baru difikirkan sudah rasa meluat, inikan pula bila bertentang mata.
            Kalau aku tahu begini jadinya, sumpah aku takkan menjadi pekerja sambilan Kak Diah. Aku lebih rela duduk terperuk di rumah dalam keadaan yang amat membosankan daripada menatap muka lelaki poyo itu selama tiga hari berturut-turut. Perasaan benci pula yang hadir di hati.
            Aku pun tidak tahu mengapa aku harus membenci lelaki itu, sedangkan dia telah membantuku minggu lalu. Sepatutnya aku berterima kasih padanya, bukan membencinya sebegini. Arghh… aku tak peduli, lelaki itu memang wajar dibenci. Sikapnya yang berlagak dan seperti buaya darat itu benar-benar membangkitkan kemarahanku minggu lalu.
Namun aku bukannya kacang yang sering melupakan kulit, melupakan jasa orang setelah dibantu, tetapi ayat-ayat yang digunakan lelaki itu memang menyakitkan hatiku tambahan pula bila mengenangkan lelaki itu sengaja menyimbah air ke badanku sehingga basah lencun. Aku pulang ke rumah Kak Diah pagi itu dengan perasaan malu yang menggunung. Mana tidaknya, banyak mata yang memandangku bersilih ganti sebelum mereka kemudiannya melemparkan pandangan pada dada langit. Mungkin pelik melihat aku yang basah seluruh badan sedangkan pagi itu langit terang benderang. Sampai sahaja di rumah pula, Kak Diah menyoal pelbagai soalan dan  Ikin tukang tambah perasa dengan memerli diriku. Ish… mengenangkan itu semua memang mengundang amarahku.
            “Ewah-ewah sedapnya bersantai cik kak, meh tolong angkat barang.” Ikin menegurku dari belakang dan berlalu semula ke arah van yang diletakkan di hadapan rumah.
            Aku yang tersentak pantas membantu Ikin memasukkan beberapa kotak barangan yang akan digunakan untuk membuat pelamin di dalam rumah itu. Setelah semua barang siap diangkut ke dalam rumah, aku, Kak Diah, Ikin, dan Dewi mula memasang pelamin yang bertemakan warna biru dan putih. Aku sempat berdoa di dalam hati semoga diriku tidak bertembung dengan lelaki itu hari ini.

AKU dan beberapa pekerja Kak Diah yang lain sedang sibuk membentangkan kain alas meja pada setiap meja di dalam khemah yang mempunyai gabungan warna putih dan biru itu. Sambil-sambil itu, mataku sempat juga merayap ke sekeliling, mencari kelibat lelaki itu. Bukannya aku teringin sangat berjumpa dengannya, cuma aku mahu mengatur strategi. Kalau terpandang saja wajah lelaki itu di mana-mana nanti, aku akan cepat-cepat menyembunyikan diri. Aku tidak mahu bertembung dan terserempak dengannya. Biarlah minggu lalu merupakan pertemuanku dengannya buat kali pertama dan juga kali terakhir.
            Semalam aku amat bersyukur kerana tidak bertemu dengannya walaupun aku berada di rumah itu dari pagi hingga malam. Hari ini aku tidak pasti. Betul ke ini rumah dia, hatiku mula ragu-ragu. Kalau betul ini rumahnya ke mana dia pergi sedangkan ahli rumah ini yang lain begitu sibuk melakukan persiapan terakhir. Tidakkah dia juga perlu turut membantu. Entah-entah dia pengantin lelakinya, sebab itu dia tidak membantu?
Kalau lelaki itu pengantin lelaki, aku amat bersyukur, pasti dia tidak akan bertembung denganku kerana sudah tentu dia sibuk pada hari ini dan esok kerana perlu melayan tetamu-tetamu yang hadir. Hatiku ketawa senang.
            Ish… tapi, takkanlah dia pengantin lelaki, bisikku perlahan. Melihat pada wajahnya rasanya lelaki itu baru berusia 23 atau 24 tahun... begitulah. Takkan pada usia semuda itu dia ingin menamatkan zaman bujangnya, hatiku bertambah ragu. Tapi tidak mustahil juga kerana sekarang ini ramai juga lelaki yang kahwin awal.
            Argh… Malas aku mahu menyesakkan otakku memikirkan tentang lelaki itu. Aku mempercepatkan kerja menghamparkan semua kain alas meja pada setiap meja, takut nanti Kak Diah fikir aku curi tulang pula, buat kerja yang mudah tapi mengambil masa yang lama. Tambahan pula sekarang sudah pukul 11 pagi, sebentar lagi pasti ramai tetamu yang akan hadir untuk menyaksikan majlis akad nikah selepas Zuhur nanti.
            Selesai menghamparkan semua alas meja itu aku masuk ke dalam rumah untuk membantu Ikin menyusun dan membetulkan sedikit lagi hantaran yang telah Kak Diah gubah sejak beberapa hari lalu. Sedangku membetulkan sirih junjung yang kelihatan agak senget itu, aku terpempan, di hadapanku kini lelaki yang tidak ingin aku jumap itu sedang rancak berbual dengan beberapa orang lelaki lain. Aku pantas berpusing, membelakangkan lelaki itu. Hatiku terus berdoa moga lelaki itu berganjak dari situ dengan segera.
            “Safi, apasal kau ni, pucat semacam je. Kau okay tak?” Soal Ikin cemas apabila melihatku hanya berdiri kaku di situ tanpa sebarang kata.
            “Tak… tak… aku tak apa-apa, aku okay je.” Jawabku menutup perkara yang sebenar.
            “Kalau okay, cepatlah susun hantaran tu, kang mengamuk pula Kak Diah,” arah Ikin padaku.
            Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum menoleh ke belakang semula. Fuh… selamat, aku menarik nafas lega apabila lelaki itu sudah tidak berada di situ lagi.


AKU bersandar di tepi van milik Kak Diah, ramai orang yang sudah beransur pulang. Kini hanya tinggal beberapa orang di dalam khemah itu yang masih lagi sedang berbual-bual. Aku mengeluh kepenatan, bukan penat kerana kerja yang menimbun tetapi penat kerana melarikan diri dari lelaki poyo yang tidak aku ketahui namanya itu.
            Ke mana saja aku pergi di dalam rumah itu pasti aku akan ternampak wajahnya, mujur setiap kali itu jugalah aku berjaya menyembunyikan diri dan aku amat pasti dia tidak menyedari kehadiranku di rumah itu sehingga kini. Namun ada juga aku terfikir, mengapa aku harus terus bersembunyi daripadan diriya? entah-entah lelaki itu langsung tidak mengingatiku, mungkin dia sebenarnya tidak lagi mengecam diriku, perempuan yang dibantunya minggu lalu.  Entah-entah sikit pun dia tidak hairan, aku saja yang terlebih perasan.
            “Safi buat apa kat sini seorang diri?”
            Aku berpaling melihat Kak Diah di sebelah, aku melemparkan senyuman pada Kak Diah. “Tak ada apa, saja aje,” balasku pantas.
            “Penat sangat ke?” Soal Kak Diah lagi, risau agaknya Kak Diah apabila melihatku begitu.
            Aku menggeleng, tersentuh hatiku dengan keprihatinan Kak Diah.
            “Safi tolong Kak Diah bawa semua chafing-dish tu ke belakang. Kita nak kena basuh semua tu, esok nak guna lagi.”
            Aku mengangguk dan terus berlalu mendapatkan semua chafing-dish yang berada dalam khemah itu untuk di bawa ke belakang rumah untuk diberikan kepada pekerja-pekerja Kak Diah yang lain. Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Macam mana nak angkat semua ni… banyak tu, bebelku sendirian. Tak apalah angkat separuh dulu. Aku mula mengangkat chafing-dish itu dan dibawa ke belakang rumah. Selesai meletakkan kesemua chafing-dish itu di belakang rumah aku ke khemah semula untuk mengambil baki chafing-dish yang masih lagi berada di dalam khemah itu.
            Sebaik sahaja aku sampai di hadapan khemah tersebut, aku terkejut melihat lelaki yang membantuku minggu lalu sedang duduk di dalam khemah dan memandang tepat padaku. Aku mula panik. Kakiku kaku tidak mampu bergerak saat itu. Aku mula memikirkan jalan bagaimana harusku mengambil chafing-dish itu tanpa melintas di hadapannya. Otakku terbejat seketika, tidak mampu berfikir apa-apa. Hendak atau tidak aku terpaksa juga lalu di hadapan lelaki itu kerana lelaki itu duduk selang semeja dengan meja yang harusku tuju.
            Sudah puas aku cuba lari dan menyembunyikan diri darinya tetapi tetap juga aku bertembung dengannya. Aku mula mengorak langkah, sedikit pun aku tidak menoleh pada lelaki itu, pura-pura tidak nampak akan dirinya sedangkan aku begitu pasti lelaki itu masih lagi memerhatikan setiap gerak-geriku sedari tadi.
            Sewaktu aku makin dekat padanya aku terdengar siulannya padaku. Aku  berpura-pura tidak mendengar siulannya yang bertubi-tubi itu. Aku cuba memekakkan telinga.
            “ Awak… awak…”
            Aku masih terus memekakkan telinga. Aku tahu lelaki itu memanggilku tapi aku sama sekali tidak akan menghiraukannya. Tidak sama sekali! Aku menarik nafas lega kerana telah berjaya melepasinya. Hanya beberapa langkah saja lagi aku akan sampai ke meja yang terletak chafing-dish tersebut.
            “Safiah Aisyah Muhammad Irfan!”
            Langkah kakiku terhenti. Aku tergamam, ada suara lelaki yang memanggil nama penuhku. Siapa yang memanggil aku? Lelaki itu ke? Macam mana dia tahu nama aku? Ish… kacaulah kalau macam ni, gumamku. Aku masih membatu di situ. Aku tidak menoleh ke arah suara itu dan aku juga tidak meneruskan langkahku. Aku hanya mampu terpaku di situ.
            Terdengar derapan kaki yang semakin menghampiri. Aku mula berkira-kira, apa yang perlu dilakukan kini. Derap kaki itu makin mendekatiku dan nah… kini lelaki itu telah pun  berada di hadapanku dengan wajah selamba dan memeluk tubuhnya, berlagak macho di depanku. Aku menjuihkan bibir, meluat melihat tingkahnya itu.
            “Safiah Aisyah, right?” Soal lelaki itu sambil memetik dan menghalakan jari telunjuknya padaku.
            Aku hanya memandang wajah lelaki itu tanpa kata. Malas melayan lelaki itu.
            “Jumpa lagi kitakan. Cuma bezanya kali ini, baju awak tak dibasahi peluh gara-gara dikejar anjing.” Ujar lelaki itu lagi, sinis padaku.
            Baju aku basah hari tu sebab kau simbah air kat aku bukan sebab peluhlah, bodoh! Jeritku tapi hanya bergema di dalam hati. Tidak tahu kenapa hari ini aku tidak betah melawan kata-kata lelaki itu.
            So, what should I call you? Aisyah, Syah, Safiah or maybe Safi?” Soal lelaki itu sambil tersenyum-senyum dan memandang tepat ke mataku.
            Bertambah meluat aku mendengar lelaki itu berbicara dalam bahasa Inggeris. Apa sudah tidak tahu berbahasa Melayu lagikah? Konon-konon nampak macholah bila berbahasa Ingeris. “Dah tak reti cakap bahasa Melayu ke?” Soalku pula padanya, walaupun soalan lelaki itu tadi padaku masih belum berjawab dan aku sememangnya tidak ingin menjawab soalan lelaki itu.
            Lelaki itu ketawa besar sebaik sahaja mendengar kata-kataku. Aku membeliakkan matanya, tanda protes dengan tawanya. Aku tidak tahu apa yang kelakar dengan soalanku tadi sampai lelaki itu boleh tergelak sehingga begitu sekali.
            Why? Don’t  you understand English?” Soal lelaki itu lagi. Bertambah galak nampaknya lelaki itu ingin mengenakanku.
            Eleh, apa dia ingat dia aje yang tahu berbahasa Inggeris? Bagiku lelaki itu memang melampau, dia memandang rendah pada diriku. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menjawab soalan-soalannya itu dalam Bahasa Inggeris juga, tapi untuk apa? Saja untuk menunjuk-nunjuk sepertinya? Oh... Aku bukan begitu, prinsipku, aku hanya akan menggunakan bahasa Melayu apabila berbual dengan orang Melayu. Aku tahu kepentingan berbahasa Inggeris pada hari ini, tapi tidak ada salahnya jika kita memartabatkan bahasa ibunda kita sendiri. Bisik hatiku sendiri.
            Aku masih merenung diri lelaki itu dengan renungan tajam, rasanya ingin sahaja aku menelan lelaki di depanku itu hidup-hidup. Biar lenyap terus dari bumi ini.
            “Okaylah, disebabkan awak pun tak faham bahasa Inggeris, biar saya berbahasa Melayu aje lah ya. Maklumlah bahasakan jiwa bangsa, tak gitu?” Makin galak lelaki itu mengenakanku.
            Aku hanya membiarkan suasana sepi seketika.
            “Jadi, apa saya nak panggil awak ni?” Desak lelaki itu terus padaku apabila aku masih lagi mendiamkan diri di depannya.
            “Panggil jelah apa-apa pun, jangan panggil Babun sudah,” kataku dan kemudian berlalu dari terus memandang mukanya. Aku terus menuju ke meja di belakangnya. Sampai saja di meja itu aku mula menyusun kesemua chafing-dish tersebut untuk mengangkatnya.  Hatiku mula ragu-ragu bagaimana lelaki itu boleh mengetahui namaku? Siapa yang memberitahunya? Aku mengerutkan keningku dan otakku kian ligat mencari jawapan yang aku sendiri tidak pasti.
            Hampir terlepas chafing-dish di tanganku apabila tiba-tiba lelaki poyo itu muncul di sisiku. Aku mengurut dada, beristifar di dalam hati.
            “Apasal kerutkan dahi sampai macam tu sekali. Berat sangat ke chafing-dish tu atau awak pelik macam mana saya boleh tahu nama awak?”
            Aku pantas memandang lelaki itu. Bagaimana lelaki itu tahu apa yang sedangku fikirkan pada ketika ini. Lelaki itu mengangkat-angkat keningnya. Arghh… mungkin kebetulan. Aku terus mendiamkan diri dan menyambung semula tugas agar boleh cepat-cepat berlalu dari situ. Malas melayan lelaki yang selalu saja berjaya menyakitkan hatiku.
            “Janganlah jual mahal sangat. Orang tua-tua kata kalau perempuan jual mahal nanti lambat kahwin tau,” usik lelaki itu sambil menyiku lenganku.
            Aku tersentak dengan tindakan lelaki itu. Marahku mula meluap-luap. “Kalau saya lambat kahwin pun apa kena-mengena dengan awak. Suka hati sayalah. Bukannya menyusahkan awak pun,” perliku, makin sakit hatiku apabila lelaki itu masih lagi dengan wajah tenangnya sedangkan aku pula yang makin kelam-kabut menyusun semua chafing-dish itu supaya cepat aku dapat berlalu dari sisinya.
            “Ish… mestilah ada kena-menggena dengan saya. Awakkan pengantin perempuan saya. Tapi masalahnya saya ni jenis tak boleh sabar tunggu lama-lama macam tu,” jawab lelaki itu sambil tertawa kecil di setiap hujung kata-katanya.
            Aku makin geram, lelaki itu makin melampau-lampau. “Eh… siapa nak kahwin dengan awak, jangan nak perasan. Diacu senapang M16 kat kepala saya ni pun saya takkan kahwin dengan awak tau,” balasku sambil menunjal sedikit kepalaku sendiri. Biar lelaki itu faham dan mengerti yang aku sedikit pun tidak berkenan dengannya.
            Lelaki itu masih lagi ketawa dan mengeleng-gelengkan kepalanya. “Jangan bongkak sangat, Tuhan tak suka orang yang bongkak.”
            Aku menjelingnya tajam dan mula mengangkat semua chafing-dish tersebut dan melangkah laju berlalu dari situ. Sedikitpun aku tidak menoleh pada lelaki itu lagi.
            “Kalau macam tu, saya panggil awak Safi ajelah ya.” Laung lelaki itu padaku yang makin jauh daripadanya.
            Aku tahu pasti lelaki itu telah pun mengetahui nama gelaranku memandangkan lelaki itu telah pun mengetahui nama penuhku, tetapi sengaja lelaki itu mahu mempermainkan diriku dengan menanyakan perkara itu. Daripada mana lelaki itu tahu namaku, masih lagi tidakku tahu dan aku tidak mahu ambil tahu lagi tentang itu, biarlah ianya begitu sahaja.
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku masih lagi cuba menenangkan jiwaku sendiri, amat susah untukku menenangkan diri apabila selesai berbicara dengan lelaki itu. Terasa seperti amarahku tidak akan pernah padam untuknya.

Bersambung...

5 comments:

blinkalltheday said...

besttttt.trbaik ni!!suke2..

fatim fatimah said...

smbung cpt lg yer adah,,

Afifah Yusof said...

best sangat..
sambung cepat ye kak..
terima kasih untuk n3 ni. ;)

umi kalsom said...

Ada di hati,
saya akan setia menanti... hehe
comel! :)

Minsofea said...

marah2 sayang nanti ni.......

Post a Comment