Friday, June 3, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 20


DUA PULUH
Sepanjang perjalanan aku tidak berkata apa-apa. Selama itu jugalah Aqil turut  tidak bersuara. Lebih senang begitu. Hatiku akan rasa lebih lega. Mujur Aqil tidak bercerita langsung tentang Lily sepanjang perjalanan itu. Sampai saja di rumah, aku terus naik ke bilik. Laju langkah aku aturkan, tidak mahu terus ada bersama Aqil. Risau, lambat laun Aqil akan membuka cerita juga akhirnya.
“Nysa, tunggu sekejap. Abang ada hal nak cakap sikit.” Aqil membuka kerisauan hati.
            Terpaksa juga aku berhenti. Seperti selalu hati mula mentafsir sesuatu yang belum pasti. Rasa tidak sedap mendengar ayat terakhirnya itu. Ada hal nak dicakapkan? Apakah halnya? Mungkinkah mengenai Lily? Adakah dia ingin meminta keizinan aku untuk menikahi Lily? Hati wanitaku terasa bagai dicincang halus saat itu. Apa yang harus aku perkatakan andai benar apa yang aku fikirkan itu?
            “Duduk dulu.”
            Arahan itu menghantar aku terus ke ruang tamu. Aku mula duduk di situ dan mendiamkan diri. Menunggu saja Aqil meluahkan segala. Jantungku berdegup hebat, seperti sudah tidak mampu lagi memperlahankan rentaknya.
            “Ada dua perkara yang abang nak cakap pada Nysa” Aqil mula bersuara. Ada senyuman di bibirnya
“Tapi sebelum tu, nah... ambil ni. Dah lama frame gambar ni terbiar atas meja makan tu. Tapi Nysa, jangan kata nak tanya apa yang abang beli, nak tengok pun tak nak.” Aqil menyerahkan kepadaku beg plastik putih yang diletakkannya di atas meja makan pada malam Hadif menghantar aku pulang ke rumah ini.
“Nanti, bila Nysa dah letak gambar Nysa, bagi balik pada abang.” Aqil tersenyum lagi.
Dapat aku rasakan dia dalam mood gembira saat ini. Tidak pernah senyumannya seceria itu. Mungkin berita yang dibawa oleh Nani petang tadi telah membuatkan Aqil kembali tersenyum gembira. Itu belum lagi Lily muncul di depan mata.
Aku renung lama bingkai gambar berwarna biru yang aku keluarkan daripada kotaknya itu sambil memikirkan, perlukah aku meletakkan gambarku di dalam biliknya? Takut pula kalau gambarku itu nanti bakal menambahkan lagi beban di dadanya. Tiba-tiba saja teringat catatan Aqil yang aku baca tempoh hari. Kan bagus kalau Nysa... Ayat itu tidak sempat aku habiskan. Tapi rasanya aku mampu menyambung ayat itu sendiri. Kan bagus kalau Nysa pergi daripada hidupku, menyusahkan saja! Mungkin itulah ayat penuhnya.
            “Nysa.”
            Panggilan Aqil mematikan lamunanku. “Nysa tak ada gambarlah, Abang Aqil. Semua ada kat rumah ayah.” aku berikan alasan yang wajar. Berkeputusan untuk tidak terus menjadi penganggu ruang hidupnya.
“Abang Aqil simpanlah dulu frame ni.” Aku kembali memasukkan bingkai gambar itu ke dalam kotaknya lalu meletakkannya di atas meja kopi, dekat dengan Aqil. “Hal apa yang Abang Aqil nak cakap pada Nysa?” aku teruskan dengan agenda sebenar. Tidak mahu terlalu lama duduk berdua dengan dirinya.
            “Okey.” Aqil menarik nafas dalam, membuatkan debaran kian kuat aku rasakan. “Perempuan yang kita jumpa petang tadi tu, sebenarnya best friend Lily. Since Nysa dah tahu apa yang Nani nak ceritakan pada abang, abang rasa ada baiknya abang ceritakan pada Nysa semuanya.”
            Nafasku tersekat mendengarkan itu. Bersediakah aku untuk mendengar semuanya? Aku ajukan soalan itu pada hatiku sendiri. Kenapa kaki terasa mahu melangkah jauh, pergi saat itu juga? Adakah itu bermakna aku tidak rela mendengar apa-apa tentang Lily? Tapi bukankah aku yang beria-ia mencari dirinya?
            “Abang nak Nysa dengar dan faham betul-betul. Yang sebenarnya Lily...”
            “Abang Aqil!” segera aku pintas katanya. Tidak sanggup mendengar apa-apa. Aku takut air mata akan jatuh menitis saat itu juga. “Abang Aqil tak perlu cerita apa-apa pada Nysa pasal Lily. Nysa dah lama faham. Nysa tak akan cakap apa-apa walau apapun keputusan Abang Aqil. Nysa terima seadanya. Nysa dah katakan dari awal, Nysa cuma nak Abang Aqil bahagia. Itu janji Nysa.” aku pandang tepat mata Aqil ketika menyatakan itu. Aku mahu Aqil betul-betul faham bahawa aku tidak bermain dengan setiap patah kata yang aku luahkan.
            Aqil hanya mampu memandangku. Lidahnya seakan kelu mendengar kata-kataku itu. Aku segera mengalihkan pandangan. Tidak mahu terus masuk ke dalam jiwa Aqil yang bukan untukku.
            “Apa perkara kedua yang Abang Aqil nak cakapkan?”  pantas aku menutup ruang yang ada. Tidak mahu kisah Lily terus menerus dibicarakan. Aqil pula menundukkan wajahnya seketika.
            “Tak ada apa yang penting. Abang cuma nak minta maaf pada Nysa.”
            Aku menarik nafas lega. Tidak ada apa yang perlu aku risaukan tentang perkara kedua itu. “Sejak Nysa kenal Abang Aqil, Nysa dah ingatkan diri Nysa untuk maafkan setiap kesalahan Abang Aqil. Jadi Abang Aqil jangan risau.” aku tunjukkan senyuman agar Aqil tidak dapat melihat garis luka dan duka yang ada.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Nysa naik dululah, Abang Aqil,” Aku bingkas bangun, senyuman tetap ada menemani bibirku.
            “Kalau Nysa betul-betul maafkan abang, abang nak Nysa minta sesuatu yang boleh melegakan hati abang.”
            Baru saja aku mahu melangkah. Namun kata-kata yang keluar daripada mulut Aqil itu membuatkan langkahku kaku serta merta. Aqil turut bangun dari duduknya dan mula berdiri di hadapanku, merenungku dengan renungan tajam.
 “Jangan buat permintaan yang bukan-bukan lagi. Kali ni, Abang nak Nysa minta sesuatu yang berpihak pada Nysa.” Aqil masih dengan kata-katanya. 
            Aku menjadi binggung. Kenapa pula Aqil mahu melakukan itu? Renungan matanya itu cukup jelas menggambarkan bahawa aku harus juga melakukan seperti mana pintanya.
“Jangan suruh Nysa  buat apa-apa permintaan lagi. Nysa tak nak apa-apa pun.” aku menolak. Sudah jelak dengan permintaan demi permintaan yang terpaksa aku buat. Namun tak ada satu pun yang tertunai. Jika bukan Aqil yang menolak untuk menunaikan permintaanku itu, pasti aku yang akan menyebabkan itu berlaku. Permintaan demi permintaan yang aku buat hanya menambah beban Aqil. Jadi aku ingin menghentikan perbuatan bodoh itu.
            “Itu maknanya, Nysa tak maafkan abang.” ayat Aqil itu memerangkapku.
            “Abang Aqil tak ada salah apa pun. Kenapa pula Nysa nak kena buat permintaan.” aku mempertahankan pendirianku untuk mengakhiri semua itu.
            “Tapi hati abang tak senang. Mintalah apa pun, abang janji, abang akan tunaikan.” Aqil bersungguh dengan katanya dan aku pula mula rimas. Tidak ada cara lain. Selain meminta sesuatu yang tidak mungkin mampu ditunaikan olehnya. Aku tahu, saat ini, aku harus melakukan itu.
            “Betul abang Aqil akan tunaikan semua permintaan Nysa?” aku memulakan rencana.
            “Apa pun!” dengan yakin Aqil membalasnya.
            “Nysa nak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri Abang Aqil untuk tempoh satu hari, boleh?” aku luahkan permintaan yang pastinya sukar untuk dia tunaikan itu.
            Seperti yang sudah aku jangka, Aqil terkejut dengan permintaanku itu. Terdiam dirinya di situ.
            “Untuk satu jam?” aku cuba bertolak ansur. Mungkin satu hari itu adalah tempoh masa yang terlalu lama untuknya. “Kalau satu hari tak boleh, satu jam pun tak boleh, boleh tak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri untuk satu minit?” aku terus menyerang Aqil dengan kata-kataku. Aku tahu Aqil tidak mampu melakukan itu. Lebih-lebih lagi, kini Lily semakin hampir dengan dirinya. Mustahil untuk dia menunaikan permintaanku itu.
            “Permintaan sekecil ni pun Abang Aqil tak mampu nak tunaikan. Jadi Nysa harap lepas ni, Abang Aqil tak suruh Nysa buat apa-apa permintaan lagi. Nysa cuma nak Abang Aqil tahu, bukan semua permintaan yang ada kita mampu tunaikan.” aku segera berjalan, meninggalkan Aqil di situ. Aku rasa semua itu sudah cukup membuatkan dia sedar bahawa dia tidak mampu memaksa dirinya melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak suka.
            Ada rasa kecewa bersarang di jiwa. Mengapa itu yang aku rasa sedangkan permintaan yang aku buat itu sekadar untuk menyedarkan Aqil? Kenapa pula ada rasa sengsara? Mungkinkah kerana permintaan itu adalah apa yang sebenarnya ada dalam hatiku? Pintu bilik aku tutup rapat. Kemudian aku rebahkan diri di atas katil. Sudah aku cuba bertahan, tapi air mataku tetap juga mahu mengalir.

AKU menadah tangan, menghadap yang Maha Pencipta. Hanya Dia tempat terbaik bagi mengadukan semua yang aku rasa. Hanya Dia yang mengetahui setiap apa yang aku tanggung.
            “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya engkaulah tempat bagiku memohon pertunjuk. Hambamu ini buntu, Ya Allah. Setiap jalan yang ada terasa kian jauh dari ketenteraman jiwa. Ya Allah, aku tidak mampu menjadi seorang isteri seperti mana mahuMu. Isteri yang membahagiakan seorang suami ketika adanya duka, yang menenangkan seorang suami saat munculnya derita. Aku tidak mampu membuatkan dia terus merasa nikmatnya alam rumahtangga.”
”Maka janganlah Engkau membiarkan suamiku terus menangung beban di jiwa dengan meletakkan aku di sisinya. Aku redha dengan setiap ketentuanMu. Bantulah diriku Ya Allah. Tunjukkan aku jalan yang patut aku lalui agar tak ada lagi hati-hati yang luka dan derita. Andai sudah Kau takdirkan aku bukanlah suri hidupnya, binalah jarak yang dapat memisahkan kami berdua. Dan satukanlah dirinya dengan insan yang ada di hatinya.  Aku merayu padaMu Ya’Allah, kirimkan bahagia bersamanya. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menghampakan setiap hambaMu yang berdoa. Maka perkenankanlah permintaaku ini Ya’ Allah. Hanya Engkau tempatku memohon pertolongan. Amin.” air mata menitis laju saat aku memohon semua itu. Sesungguhnya apa yang aku pohonkan itu adalah ikhlas dari hatiku. Sudah aku tetapkan untuk redha dengan setiap ketentuannya.
            Seusai berdoa, aku tenangkan hati dengan membaca baris-baris kalimah yang mampu memberikan kekuatan buatku. Allah memilih aku untuk menggalas dugaan berat ini dan aku takkan berhenti berjalan walau apapun rintangan yang terpaksa aku tempuhi.
Andai benar Aqil tidak pernah tercipta untuk diriku, maka saat ini aku sudah bersedia melepaskan dirinya daripada hidupku buat selama-lamanya. Aku tidak akan meminta lagi Aqil untuk terus ditetapkan untukku. Mula ada kesedaran dalam hati. Apabila adanya cinta, itu tidak bermakna harus bersama. Jam meja tinggal beberapa minit lagi menjelang pukul 6 pagi. Harapanku, pagi yang bakal menjelma dengan sinaran mentari itu akan memberikan sedikit harapan buat Aqil.

MATA aku buka perlahan. Kemudian aku segera bangun. Tidak terduga aku boleh terlena di atas sejadah itu. Jam di atas meja aku jeling sekilas. Sudah hampir pukul 8.00 pagi. Aku segera menanggalkan telekung dan melipatnya. Sudah terlewat untuk ke universiti. Hari ini kelasku bermula seawal pukul 8.30 pagi. Mustahil bagiku untuk tiba dalam masa setengah jam lagi walhal aku belumpun bersiap. Sarapan pagi juga tidak sempat aku sediakan. Aku mula marah pada diri sendiri. Pasti Aqil sudah ke tempat kerja tanpa sarapan. Rasa bersalah muncul lagi.  
            Aku segera menuruni anak tangga, laju sekali. Risau akan bertambah lewat memandangkan aku harus ke univerisiti dengan menaiki teksi. Keretaku hanya akan siap pada hari esok seperti mana yang dimaklumkan oleh tuan bengel kenderaan tempoh hari. Maka aku sudah tidak boleh membazirkan masa lagi. Aku melintasi ruang makan untuk terus sampai ke muka pintu.
            “Nysa, tunggu.” Aqil menyapa membuatkan aku terpaksa berhenti daripada terus melangkah. “Abang dah sediakan sarapan pagi ni, makanlah dulu...” Aqil berdiri di sisi meja.
Mataku mula memandang hidangan yang ada di atas meja. Semuanya lengkap seperti yang aku sediakan selalu. Cuma menunya saja berlainan sedikit. Aku kembali menatap wajah Aqil. Apa kena dengan lelaki itu? Mengapa dia begitu berbeza pagi ini? Aqil kemudiannya berjalan dengan penuh senyuman menghampiriku.
            “Kita sarapan dulu, ya.” Aqil menarik tanganku membawa aku menuju ke meja makan.  Entah kenapa aku mengikut saja semua kehendak Aqil itu? Fikiranku masih ligat mencari jawapan kepada soalan-soalan yang sedang berlegar-legar di dalamnya. Sehingga akhirnya aku temui puncanya.
            “Abang Aqil, permintaan Nysa semalam tu cuma...” aku cuba menerangkan, namun Aqil lebih pantas meletakkan jarinya di bibirku. Membuatkan aku terdiam. Tidak sempat menghabiskan kata-kata.
            “Abang nak tunaikan permintaan Nysa. Jangan halang abang. Sekarang Nysa duduk makan dulu.” Aqil menarik kerusi untuk aku duduk.
            Aku mula tidak senang dengan tindakan Aqil itu. Kenapa dia mahu menunaikan permintaan bodohku itu? Aku sekadar ingin menyedarkan dirinya. Bukankah aku sudah maklumkan itu semalam?
            “Nysa nak makan apa? Nasi goreng ke, roti bakar?” Aqil menyoal dengan senyuman.
            Senyumannya itu membuatkan aku rasa sakit hati. Senyuman itu walaupun jelas kelihatan, namun di sebalik senyuman itu aku tahu ada rasa sengsara yang terpaksa ditanggung semata-mata mahu menunaikan permintaanku itu.
            “Nysa pergi kerja dulu, Nysa dah lambat.” Aku pantas bangun, meninggalkan situasi yang menyiksa aku dan dirinya dalam diam. Namun Aqil lebih tangkas mengejar dan menarik tanganku.
            “Hari ni, Nysa tak boleh ke mana-mana tanpa abang. Jadual Nysa bersama abang saja. Abang yang akan tentukan ke mana Nysa akan pergi.” Aqil menggenggam erat kedua-dua tanganku.
            “Nysa betul-betul dah lambat. Nysa tak nak bazirkan masa students Nysa.” aku jelaskan. Aku cuba menarik tanganku, namun genggaman Aqil begitu kuat.
            “Hari ni, masa yang ada hanya untuk Nysa dan abang. Bukan untuk orang lain. Cepat makan, ada banyak benda yang kita nak kena buat hari ni.” Aqil masih enggan memahami.
            “Abang Aqil, Nysa...”
            “Abang suami Nysa. Seorang isteri kena ikut perintah suami.” Aqil mematahkan kata-kataku. Membuatkan aku terpaksa juga mengaku kalah akhirnya.

AKU terus keluar daripada bilik doktor selesai saja mendengar keputusan pemeriksaan yang dibuat ke atas diriku. Sudah aku katakan aku tidak mempunyai apa-apa penyakit yang serius, tapi Aqil tetap berkeras mahu membawa aku menjalani pemeriksaan. Aku cuma penghidap migraine. Sudah berkali-kali aku jelaskan tentang itu. Terdengar tapak kasut Aqil berderap laju, mahu menyaingiku.
            “Kan senang, dah tahu tak ada apa-apa penyakit.” Aqil tersenyum. Dia berjalan seiring dengan diriku.
            “Nysa dah cakap, Nysa tak ada apa-apa. Abang Aqil aje yang tak nak percaya.”
            “Bukan tak nak percaya. Bila bercakap, kena ada bukti. Lagipun tak salah kalau Nysa buat check up. Mencegahkan lebih baik daripada merawat. Nysa suka ke, kalau Nysa sakit?” Aqil masih cuba memihak pada dirinya.
            “Mana ada orang yang suka sakit. Tapi sakit tukan ketentuan Allah. Kalau nak kira pasal mati, tak sakit pun akan mati juga satu hari nanti.” aku tahu apa yang ada di fikiran Aqil. Lantas aku suarakan supaya dia tahu bukan semua kematian itu berpunca daripada penyakit. Mungkin kerana dia doktor, maka dia hanya melihat kematian-kematian yang berlaku berpunca daripada penyakit sehingga dia hanya mampu memikirkan hal itu.
            “Nysa dengan ayah sama ajekan. Kalau tak bercerita pasal mati, boleh tak?” marah Aqil tiba-tiba.
            “Kan kita disarankan agama supaya selalu mengingati mati.” balasku.
            “Ya, itu betul. Tapi itu tak bermakna kita kena redha dengan setiap penyakit yang ada, tanpa berusaha menyembuhkannya. Redha dengan usaha kena seiring.” Aqil memandang wajahku tajam. Aku buat muka selamba, seolah-olah tidak perasan akan renungan tajamnya itu.
“Dah, jom kita ke destinasi seterusnya.” Aqil tersenyum semula. Tanganku digenggamnya. Membawa aku mengekori langkahnya. Bahagia mula terasa di hatiku dengan tautan itu.
Tiba saja di parkir, Aqil membukakan pintu kereta untukku. Tersenyum kemudian mempersilakan aku masuk. Aku pandang wajah Aqil dan pandanganku mati di situ. Jujur aku gembira dengan setiap layanannya itu, namun tidak aku nafikan tetap ada rasa bersalah dalam diriku kerana menyebabkan dirinya terpaksa menjadikan aku seorang isteri.
“Kenapa pandang abang macam tu? Abang hensem sangat ke, hari ni?” Aqil tersenyum lagi. Aku segera masuk ke dalam kereta. Tidak tahu mahu membalas apa-apa.
Aqil terus memacu kenderaannya menuju ke destinasi yang tidak aku ketahui. Aku lebih banyak memandang ke luar tingkap. Tidak tahu apa yang patut aku bualkan saat itu. Aqil pun sama. Dia hanya menumpukan perhatian pada pemanduannya.  Mujur juruhebah di radio tidak berhenti bercakap. Jika tidak, pasti sunyi sepi keadaan.
Apabila telefon bimbitku berbunyi, aku segera membuka beg tanganku, lalu aku keluarkan telefon bimbit. Tertera nama Kamal pada skrin telefonku itu. Aqil mengalihkan pandangannya ke arahku sekilas sebelum terus menumpukan perhatian pada jalan raya. Berat hati aku ingin menjawab panggilan itu. Aku tidak mahu Aqil tahu tentang perjumpaanku dengan Kamal tempoh hari.
            “Kenapa tak jawab telefon tu?”
            Aku tersentak saat Aqil mengajukan soalan itu. Nampak gayanya, aku harus juga menjawab panggilan Kamal. Jika tidak, Aqil akan menaruh syak wasangka terhadapku.
            “Assalamualaikum.” Aku terus saja mengulurkan salam saat talian itu aku jawab.
            “Wa’alaikumusam. Nysa kat mana ni? Ada masa tak? Abang nak jumpa Nysalah.” Kamal menyatakan tujuan dirinya mengubungiku.
            “Ada apa ya?” aku bersoal jawab. Aqil di sebelah, ada kalanya menoleh ke arahku.
            “Pasal Lily. Lily dah balik Malaysia dan abang dah tahu Lily ada kat mana sekarang.” Gembira nada suara yang Kamal tunjukkan.
            Aku terkejut dengan apa yang aku dengar. Benarkah Kamal sudah mengetahui di manakah kedudukan Lily? Aku terus mengalihkan pandanganku pada Aqil yang begitu tenang sekali wajahnya. Benarkah Lily sudah pulang ke sini? Jadi mungkin inilah berita gembira yang Nani sampaikan pada Aqil tempoh hari.
            So, bila Nysa nak jumpa abang?” masih terdengar jelas suara Kamal di talian.
            “Secepat yang mungkin. Nanti apa-apa, Nysa call balik.” balasku.
            “Okey, abang tunggu panggilan Nysa ya. Jumpa nanti.” Kamal mematikan talian. Hatiku berasa lega kerana talian dimatikan awal. Risau kalau-kalau Aqil dapat menghidu semuanya.
            “Siapa tu?” soalan itu terus saja menerjah masuk ke dalam telingaku sebaik sahaja aku menjarakkan telefon dari telingaku. Tidak mungkin bagiku untuk berterus terang tentang gerangan sebenar yang menghubungiku lebih-lebih lagi ada salah sangka antara mereka berdua.
            “Kawan.”
            “Kawan aje? Jawapan yang terlalu general. Spesifikkan sikit. Kawan lelaki ke, perempuan? Nama?” Aqil bertubi-tubi menambah soalan.
            “Kawan perempuan.” aku terpaksa berbohong. segera aku palingkan wajah. Tidak dapat memandang Aqil saat itu. Rasa amat bersalah.
            “Bukan Hadif?” Aqil menoleh ke arahku. “Tapi abang tak rasa yang Nysa bercakap dengan kawan perempuan. Ingat, berdosa tau menipu suami...” Aqil mengingatkan. Ada senyuman yang Aqil kuntumkan. Sekaligus menjerat hatiku. Ya, itulah yang sedang aku rasakan saat ini. Tapi aku tidak berkemampuan untuk berterus terang. Aku yakin, keadaan akan bertambah buruk andai aku berkata jujur.
            “Bukan Hadif. Betul, Nysa tak tipu.” aku mempertahankan. “Abang Aqil nak bawa Nysa pergi mana ni?” Aku segera menukar topik perbualan.
            Aqil cuma tersenyum apabila soalan itu aku ajukan. Umpama dirinya sudah ada agenda yang teratur kemas dalam mindanya. Apabila topik Kamal berjaya aku tutup, aku turut mengunci mulutku untuk terus berbicara. Sesungguhnya fikiranku sangat kacau saat ini. Berita kepulangan Lily membuatkan ada rasa takut dalam diriku. Adakah Allah sudah memakbulkan doaku? Tidak aku sangka secepat ini permintaanku ditunaikan. Nampaknya aku harus bersiap sedia dengan semua kemungkinan.

RASA tidak tersuap nasi masuk ke dalam mulutku apabila Aqil sedari tadi memerhati setiap tingkahku. Aku buat-buat tidak perasan dengan pandangannya itu padahal hanya Tuhan yang tahu betapa hati aku getar melihat renungan matanya yang tidak sudah-sudah bertapak di wajahku. Sungguh tidak selesa apabila dipandang begitu.
Aku hanya merenung butir-butir nasi yang ada di dalam pinggan. Langsung tidak membalas renungannya. Ada ketikanya pula aku terpaksa alihkan pandangan jauh, dengan harapan Aqil akan segera berpaling apabila melihat aku mengangkat wajah. Namun aku hampa keranan Aqil tetap terus memandang wajahku dengan senyumannya.
            “Boleh tak Abang Aqil jangan pandang Nysa macam tu!” aku luahkan juga semuanya. Tidak terdaya membiarkan Aqil terus membuatkan aku serba tidak kena dengan renungan matanya.
            “Hai... nak pandang isteri sendiri pun tak boleh?” Dengan mudah Aqil mematahkan kataku.
            “Abang Aqil sengaja nak buat Nysa serba salahkan?”
            “Nysa nak serba salah kenapa pula?”
            “Cukuplah, Abang Aqil. Tak payahlah Abang Aqil nak tunaikan permintaan yang merepek ni lagi. Nysa nak baliklah.” aku nyatakan niatku. Memang itu apa yang hatiku mahu. Rasa tidak senang dengan semua lakonan Aqil yang menambahkan luka di hatiku.
            “Macam yang abang cakapkan pagi tadi, hari ini kita akan habiskan masa berdua. So... selagi matahari tak terbenam, selagi itulah Nysa kena ada dekat dengan mata abang.” Aqil memberikan peringatan. “Lepas ni, Nysa jangan cakap apa-apa lagi. Makan cepat.”
            Aku mendiamkan diri sudahnya. Tahu, aku sudah tidak dapat berkata apa-apa lagi. Semua arahan Aqil harus aku dengar dan ikut saja. Rasa terjerat dengan keadaan dalam diam. Biarlah, ianya bakal berakhir tidak lama lagi. Lily akan aku ketahui dimana kedudukannya sebaik sahaja bertemu dengan Kamal nanti. Sudah aku tetapkan untuk bertemu dengan Kamal esok, selepas waktu kerja. Tidak mahu lagi melengahkan masa yang sudah banyak terbuang. Aqil akan aku pastikan menemui kebahagiaannya seperti mana yang telah aku janjikan dulu. 
            Sejurus selepas membuat bayaran, kami singgah sebentar di surau yang berhampiran untuk menunaikan solat Zohor. Kemudiannya, Aqil membawa aku menuju ke destinasi yang seterusnya. Tidak aku sangka Aqil akan membawa aku ke situ. Taman Metropolitan! Entah kenapa dia memilih untuk ke sana? Mungkinkah kerana dia dapat merasakan bahawa impiannya untuk hidup dengan Lily sudah hampir tercapai lalu dia membawa aku ke situ untuk memaklumkan hal itu melalui kitte masagge yang pernah aku ajarkan dahulu? Mula ada rasa kesal kerana mengajarkan perkara itu padanya.
            Sebaik saja tiba, Aqil terus membeli dua buah layang-layang yang ada dijual di situ. Aku hanya menjadi pemerhati. Sementelah dia tidak membenarkan aku berkata apa-apa, ada baiknya aku diam sahaja. Biarlah dia ingin buat apapun, aku hanya akan mendiamkan diri walaupun mungkin hatiku akan bertambah sakit dengannya.
            “Nah, satu untuk Nysa.” Aqil menyerahkan layang-layang berwarna ungu kepadaku.
            “Nak buat apa ni?” aku tanyakan itu. Tidak tahu apa tujuan sebenar Aqil menyerahkan layang-layang itu kepadaku.
            “Nysa yang ajar abang hari tu, kan? Dah lupa?”
            Fahamlah aku semuanya. Pasti dia mahukan aku menulis isi hatiku pada layang-layang itu. Tidak! Itu tidak akan aku lakukan.  Setiap kali melihat layang-layang aku akan terbayangkan mesejnya buat Lily dahulu. Kini aku bencikan layang-layang, permainan yang amat aku gemari dahulu.
            “Tak naklah. Nysa bukannya ada apa-apa yang nak diluahkan pun. Abang Aqil gunalah untuk Abang Aqil sendiri. Lagipun Nysa tak suka warna ungu. Nysa bukan Lily.” aku kembali menyerahkan layang-layang ungu itu kepada Aqil. Aku tidak akan melakukan itu walaupun dalam hatiku ada seribu satu rasa yang ingin diluahkan.
“Nysa nak jalan-jalan kat tasik sana. Kalau Abang Aqil nak stay kat sini, Nysa tak kisah. Abang Aqil ambillah banyak mana pun masa yang Abang Aqil nak.” aku terus berjalan meninggalkan Aqil bersama layang-layangnya. Berjalan terus tanpa menoleh ke arahnya.
Segera langkahku mencari tasik luas yang cukup indah itu. Jeti tasik itu kosong. Tidak berpenghuni. Aku melihat jam di tangan, baru pukul 3.30 petang. Patutlah tidak ramai pengunjung di taman itu. Lebih-lebih hari bekerja begini. Lantas aku melabuhkan punggungku di atas jeti tasik itu. Mengambil angin petang sambil mencari ketenangan diri. Terasa penat dengan semua yang menimpa kini. Ruang cinta Aqil yang kian sempit untuk diriku mula membuatkan nafasku sesak. Aku harus segera keluar daripada ruang sempit itu. Tapi bagaimana harus aku meneruskan hari-hari tanpa dirinya? Soalan itu membekam dalam kalbu.
“Jauh termenung, teringat kat siapa tu?”
Kehadiran Aqil di situ secara tiba-tiba mengejutkanku. Tersentak aku dengan suara itu. Setiap kali suaranya kedengaran, setiap kali itu jugalah ada debar di hatiku. Aku hanya memerhati Aqil yang mula mengambil tempat di sisiku. Tiada lagi layang-layang bersamanya.
Honestly, abang bagi tahu, abang tak suka tengok Nysa termenung.”
Tersentuh aku mendengar patah kata yang kedengaran itu. Terasa diri disayangi. “Kenapa pula?” soalku, ingin tahu sebabnya dia berkata begitu.
“Entahlah, abang pun tak tahu kenapa. Yang pastinya, abang tak suka tengok Nysa termenung.” Aqil memberikan jawapan ringkas atas pertanyaanku itu.
“Dan jujurnya... Nysa pun tak suka tengok Abang Aqil termenung,” aku menyatakan kebenaran.
Why?” sepatas kilat Aqil bertanya. Soalan sama yang aku ajukan padanya sebentar tadi.
“Sebab setiap kali Abang Aqil termenung, Nysa akan nampak kesedihan dalam mata Abang Aqil. Nysa tak boleh tengok Abang Aqil bersedih,” entah kenapa saat itu, mulutku dengan mudah menyatakan apa yang berlegar dalam hati.
Aqil tersenyum memandangku. Kemudian dia mengambil tanganku, membawa ke dalam genggamannya. Erat sungguh genggaman itu. “Terima kasih, Nysa.” Aqil meluahkan itu dengan tiba-tiba.
“Abang Aqil, boleh tak Nysa sandarkan kepala Nysa dekat bahu Abang Aqil?” aku membuat permintaan. Entah kenapa tiba-tiba saja ada rasa untuk sandarkan kepalaku di bahunya. Rasa hati yang tidak sedap membuatkan aku membuat permintaan itu. Aqil tersenyum mendengar permintaanku itu. Dia menganggukkan kepalanya, tanda memberikan keizinan kepadaku.
Dengan perlahan aku merebahkan kepalaku di bahunya. Buat pertama kali terasa ada bahagia dalam jiwa. Kepalaku di bahunya manakala kedua-dua belah tanganku dalam genggamannya. Aku pejamkan mata. Kedamaian jiwa mula meresap di dada. Aku tahu itu semua untuk seketika sahaja, tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya masih ada kenangan indah yang dapat aku kenang dalam hidupku nanti. Harap itu tidak membebankan dirinya.
Telefon bimbitku berbunyi. Aku yang baru saja ingin terlena terpaksa jua mengangkat kepalaku dari terus berada di bahu Aqil. Aqil juga terpaksa melepaskan genggaman tangannya yang sedari tadi tidak mahu dilepaskannya. Telefon bimbit aku keluarkan daripada beg tanganku. Hadif membuat panggilan! Entah mahu menjawabnya ataupun tidak? Aku masih berkira-kira, termenung memandang skrin telefon yang bercahaya terang. Sedang aku memikirkannya, tiba-tiba Aqil mengambil telefon itu daripada genggamanku. Terus saja dia mematikan talian itu dan kemudian tanpa rasa bersalah dia matikan pula telefonku itu.
“Hari ni, hari untuk kita berdua aje.” Aqil meletakkan telefonku di sisinya kemudian dia membawa kepalaku terus singgah di bahunya dan kembali mengenggam erat tanganku seperti sebelumnya.
Dalam diam, hatiku mula mengukir senyuman. Kalau aku mempunyai kuasa luar biasa, sudah pasti aku akan hentikan masa saat itu. Aku ingin terus berada di sisinya dan dia tetap di sampingku. Biar kami begitu sahaja bukan untuk sehari dua, tapi untuk selama-lamanya...

TEMUJANJI antara aku dan Aqil tamat sebaik sahaja Aqil mendapat panggilan daripada emaknya yang meminta supaya aku dan Aqil segera ke rumah. Menurut Aqil, tidak pula emaknya menyatakan tujuan kami diminta pulang. Yang pastinya, tentu ada hal mustahak. Jika tidak, masakan emak mertuaku itu meminta kami segera datang walaupun pada ketika itu wajah petang sudah hampir menghilang.
            Seperti yang dipinta, aku dan Aqil terus menuju ke rumah emak mertuaku. Hatiku rasa tidak senang. Entah apa mahunya. Kami tiba ketika matahari mula terbenam. Sebaik saja sampai, aku dan Aqil segera turun daripada kereta yang diletakkan di luar pagar. Aqil tetap mahu memegang tanganku, memimpin aku masuk ke dalam walaupun sudah aku halang niatnya itu. Aku tidak mahu emak mertuaku menganggap masih ada sinar harapan dalam perhubunganku dengan Aqil. Sedangkan apa yang mungkin dilihatnya itu hanya satu kepalsuan dalam menunaikan satu permintaan.
            Aqil tenang memberikan salam di muka pintu. Aku pula memandang setiap apa yang mampu dilihat semata-mata ingin membuang resah. Dan keresahan itu bukannya semakin berkurangan sebaliknya ia bertukar menjadi kegusaran yang dalam apabila mataku menangkap satu objek yang amat aku kenal. Tertanya-tanya, bagaimana layang-layang yang pernah membuatkan hatiku hancur itu ada di situ? Aku memejamkan mata seketika, kemudian kembali membuka mataku, berharap semuanya hanya mainan mata. Tapi ternyata layang-layang itu masih tetap ada di situ, di tepi pasu bunga.
            Apabila pintu di buka, aku segera membawa wajah kembali memandang pintu utama. Jantungku seakan mahu terhenti apabila melihat wanita yang berdiri dengan penuh senyuman di hadapan aku dan Aqil itu.   
            “Aqil... please maafkan I. I mengaku kalah. I tak mampu hidup tanpa you.”
            Tanpa segan silu, Sara terus saja merangkul erat lengan kanan Aqil. Tergamam aku di situ menyaksikan semuanya. Fikiranku cuba mentafsir sesuatu, mungkinkah Lily yang aku cari selama ini sebenarnya ialah Sara? Ya pasti itulah hakikatnya, jika tidak masakan Sara merangkul lengan Aqil seerat itu. Aku kelu tanpa kata di situ. Hanya mampu memerhati babak pertemuan semula dua insan itu. Aqil juga kaku di muka pintu, mungkin terkejut melihat Sara. Namun kemudian, perlahan-lahan Aqil melepaskan genggaman tanganku. Membuatkan aku sedar, aku tidak lagi diperlukan di situ.
            Aku berundur setapak ke belakang, kemudian aku palingkan tubuh dan wajahku, tidak sanggup melihat semuanya. Dadaku menahan sebak, ingin dilepaskan, tapi untuk apa? Siapa yang akan mengambil kisah? Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Menepuk tangan atas penyatuan dua hati itu atau melangkah terus, berlalu meninggal mereka?
            “Assalamualaikum.”
            Suara yang memberi salam di muka pagar seakan aku kenal. Segera aku angkat wajah. Hadif! Sekali lagi aku tersentak. Hadif tersenyum ke arahku. Aku binggung seketika, bagaimana Hadif boleh berada di sini? Mahu apa dirinya? Ada rasa seperti mahu rebah, namun aku kuatkan juga semangat. Terus bertahan semata-mata ingin mengetahui kebenaran yang mungkin sudah jelas cuma aku yang tidak dapat melihatnya.
Apa yang terjadi sebenarnya? Air mata yang tiba-tiba menitis segara aku hapuskan. Tidak mahu sesiapa pun melihatnya. Apapun yang terjadi, dalam diamku, aku akan bertahan sendirian!

                                                                                                        Bersambung di versi cetak...
____________________________________________________________________

P/S : Berbanyak terima kasih kepada semua pembaca JDC. Seperti yg perna AH maklumkan tempoh hari, ini adalah entry terakhir di blog ini. Untuk kesinambungannya, harap semua pembaca sudi mendapatkannya di pasaran apabila siap dicetak nanti. Makluman awal yg AH terima, JDC dijangka diterbtkan pada bulan 9 nanti. Jadi, teruskan menanti JDC. Semoga semua berpuas hati dan gembira dgn endingnya dan kirimkanlah komen membina buat AH setelah membacanya nanti. Terima kasih sekali lagi, semoga bertemu pada karya yang lain pula. LOL :)

16 comments:

Salina Azni said...

cite ni best tp nk tau gak, hepi ending or sad ending... tk sanggup nk beli novel sad ending.... nanti tension baca cite sad ending...

yAyA said...

rsanya y ni la entry tpnjg kan..
mmg kna bli nvel ni sbb nk tau sgt apa y jd sterusnya..
hrp2 cinta nysa x sia2..huhu

blinkalltheday said...

betul tu,xsuke cite yg sad nding..terbitan ape ye??

Anonymous said...

wahhhh,xsabar nk tau sambungannya!!!
xtau apa perasaan aqil kat nysa!
ble baca novel nihh,emo gak laa!! xsuka aqil!!
cian nysa

Anonymous said...

kalau sad ending.. for sure aku takkan belek langsung buku tu nanti... aku tak suke sgt2.... kesedihan di awal kenalah dibayar dengan kebahagiaan yang hakiki... harap2 ending nya tak mengecewakan hati aku dan peminta ynag lain semestinya..

IVORYGINGER said...

Ya Allah sedih la. Mesti jiwa Nysa sakit sesangat sbb tpaksa pendam perasaan cinta yg ada buat Aqif sbb tau Aqif cintakan org lain. Tp betul ke xde sekuman pun perasaan Aqif buta Nysa??? Ke Aqif xsedar2x lg perasaan dia yg sebenar bt Nysa. Tpkan kenapa Hadif ada kat umah mertua Nysa??? Ke Hadif yg cari Sara n bawa Sara ke rumah mak AQif. xmau la Nysa n Aqif terpisah. Sbb rasanya hati mereka mmg dah bsatu. jika Aqif x sanggup tgk Nysa sediah Nysa pun sama jgk bperasaan begitu. Tp sapa Lily yg sebenar??? Apa yg Aqif cuba nk terangkan pada Nysa mlm tu??? xsabar la nk baca full story. sbb bnyk persoalan yg tak terjawab.

Mimie Yusoff said...

Lamanya, kena tunggu 3 bln lg. Harap2 happy ending lah ye. Biarlah kita sedih2 dulu pastu gembira2 kemudian.

intan abd wahab said...

“Nysa nak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri Abang Aqil untuk tempoh satu hari, boleh?
“Untuk satu jam?”
“Kalau satu hari tak boleh, satu jam pun tak boleh, boleh tak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri untuk satu minit?” ......

lynna said...

keluaran terbitan mana ya?
mesti dptkan novel ni, arap2 nysa bahagia..

ASIMAHlah said...

keluar bulan trial spm tuu, :P kakadah, simpankan untuk saya satu cpyo ye :D

Anonymous said...

tumpang tanya skit..dh kluar ker novel ni..suka sgt baca cerita ni..nk tahu kesudahannya...meleleh2 air mata baca crita ni..

Adah Hamidah said...

Terima kasih buat semua yg sudi menunggu JDC. Insya'Allah, Jauh Dari Cinta akan berada di pasaran pada bulan SEPTEMBER nanti dibawah penerbitan KARYA SENI. Khatamkannya dan berikan komen untuk AH baiki kelemahan yg ada. Terima kasih buat semua. :)

Shahriezah said...

best sgt....semoga happy ending.... nak abg Aqil dgn niysa....

Unknown said...

tahniah buat adah hamidah kerana brjaya mewarnai dunia penulisan novel. jauh dr cinta novel pertama adah hamidah yg sy baca, terus jatuh cinta dgn hasil nukilannya. sebak menyesak dada di sepanjang bacaan sy menandakan penulisan adah berkesan.sy xsabar nak baca novel adah yg lain

Husna Hussain said...

aduh lambat lagi nak terbit tapi kena beli jugak novel ni, nak tau sangat ending nya eeee geram betul dengan aqil, harap happy ending menanti nysa

Anonymous said...

sebak plak tgk dramanya...pelakon2nya mantap!!! terasa nk baca balik novel dia...

Post a Comment