Wednesday, August 21, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 22



22
            Mataku masih bengkak. Wajah juga sembab. Gara-gara tangisan yang mengiringi tidur malam semalam. Nampak begitu ketara. Aku garu kepala, membuatkan tudung mejadi herot sedikit. Aku perlu mencari jalan penyelesaian. Tidak mahu orang lain dapat meneka mengapa mataku sebegitu rupa.
            “Ana dah siap?”
            Suara kak Dahlia berkumandang bersama ketukan pintu. Bertambah resah aku jadinya. Hari ini aku akan menumpang kak Dahlia ke tempat  kerja. Kalau boleh, aku juga tidak mahu kak Dahlia tahu.
            “Ana...” suara kak Dahlia makin kuat. Mungkin kerana tiada balasan.
            “Dah kak. Sekejap!” aku balas juga.
            “Akak tunggu kat luar ya.” Tambah kak Dahlia.
             “Okey.” Nampaknya aku sudah tidak punya jalan lain. Selain terpaksa menebalkan muka dan bersedia dengan jawapan. Itu saja cara yang ada.
            Beg tangan aku capai. Tudung di kepala aku perkemaskan kembali sebelum melangkah keluar dari bilik. Laju aku berjalan. Tidak mahu kak Dahlia menunggu lama.
            Kereta bergerak laju melalui jalan raya yang mula sesak. Aku bersyukur. Sehingga ke saat ini, kak Dahlia tidak bertanyakan tentang keadaanku. Itu bermakna kak Dahlia tidak perasan. Mungkin orang-orang lain juga begitu. Lega sedikit hatiku.
            “Ana masuk tidur pukul berapa semalam?” kak Dahlia mematikan suara dari corong radio. Celoteh juruhebah radio sudah tidak lagi kedengaran menghangatkan suasana pagi.
            “Awal juga kak. Kenapa?” aku bertanya lanjut. Untuk apa soalan itu diajukan padaku? Adakah aku terlupa mematikan suis televisyen? Itu tidak mungkin. Aku sudah memastikannya semalam.
            “Habis tu, kenapa mata bengkak? Menangis sepanjang malam?”
            Tertangkap juga aku akhirnya. Mudah saja kak Dahlia meneka. Kurang satu minit, semuanya berjaya dijawab dengan tepat. Aku hanya diam. Tidak mengangguk, mahupun menggeleng.
            “Ana ada masalah, ke?” soal kak Dahlia lagi.
            “Masalah kecil aje, kak.” Perlahan suaraku. Sekadar memenuhi ruang jawapan.
            “Masalah kecilpun sampai bengkak mata?”

            “Ana ikutkan hati sangat kut...” aku sendiri tidak yakin dengan jawapan yang aku berikan.
            “Ana jangan simpan masalah. Sementara kecil nilah, nak kena selesaikan. Bila dah besar nanti, lagi payah dibuatnya.” Nasihat kak Dahlia. Matanya masih tekun dengan pemanduan.
            Aku diam lagi. Sudah tidak punya kata untuk diluahkan. Tak mungkin kak Dahlia memahami kerana dia tidak berada di tempatku.
            “Nah, pakai ni.” Kak Dahlia menyerahkan cermin mata hitam yang tadinya tergantung pada rantai manik di cermin pandang belakang.
            Aku hanya memandang cermin mata yang dihulurkan. Pelik dengan pemberian itu.
            “Pakailah, nanti tak adalah orang nampak bengkak mata tu.”
            Kini aku mula faham. Bibir menguntum senyuman. “Terima kasih kak. Ana pinjam ya.”  Cermin mata hitam bertukar tangan. Selesai masalah.

NAMPAK saja wajah encik Afdhal, kelam kabut aku memakai cermin mata hitam. Sebenarnya berat untuk aku mengenakan cermin mata itu. Mana tidaknya, besar gedabak! Dah macam cermin mata yang selalu artis-artis pakai masa keluar dari mahkamah. Tapi aku tidak ada pilihan lain. Maka terpaksa juga aku menggunkannya. Aku pura-pura tekun memerhati desktop. Padahal, kerja-kerja mengemaskini data sudah aku selesaikan minggu lalu.
            “Kau ni demam ke?” seperti biasa, mejaku jadi singgahan pertamanya pada awal pagi begini.
            “Demam apa pulanya bos?”
            “Tuh, bercermin mata hitam bagai dalam office ni, apahal?”
            Aku dah agak, itu soalannya. “Sajalah bos. Sekali sekala, nak juga bergaya.” Aku angkat kening. Tunjuk lagak. Mengelak daripada membuka cerita sebenar.
            “Bukalah. Tak senonoh aje aku tengok. Macam baru lepas bercerai.” Arah encik Afdhal.
            “Memang baru lepas kena ceraipun...” jawabku perlahan.
            “Apa kau cakap?” encik Afdhal meminta kata-kata diulang.
            Aku jadi gagap. Aduhai. Pandai sangat menjawab. “Tak ada apalah bos.” Mustahil untuk aku mengualng kembali. “Wah bos, patutlah bersemangat hari ni. Akhirnya dapat juga bos tackle cik Dahlia tu kan? Tak sangka betul, saya.” Cepat-cepat aku alih perhatian. Isu cermin  mata harus tamat di situ saja.
            “Rancangan kau juga. Terima kasihlah. Kau dah banyak tolong aku.”
            “Alah bos, saya tolong setakat mampu aje. Lagipun saya dah tak lama kat sini. Hujung bulan depan, saya dah habis praktikal dah. Lepas tu, tak boleh dah nak tolong bos.” Aku alih pandangan pada kelender meja. Tinggal beberapa hari sebelum hujung bulan. Selepas itu, hanya tinggal kurang tiga puluh hari waktuku bersama semua di Arena Printing. Begitu cepat masa berlalu.
            “Bulan depan?”
            “Eleh, bos. Buat akal terkejut pula. Macamlah saya tak tahu, bos nak saya pergi cepat-cepatkan?” 
            Encik Afdhal tidak lagi mengeluarkan kata. Terdiam sungguh dia. Bagai dipanah sesuatu. Lama dia begitu.
            “Bos!” aku ketuk meja. Entah apa yang sudah merasuk encik Afdhal sehingga begitu pula jadinya.
            “Apa kata kau tak payah pergi mana-mana. Kau terus kerja dengan aku kat sini. Nak?”
            Kali ini aku pula yang terdiam. Bekerja terus dengan Arena Printing? Itu satu rezeki. Cadangan yang baik. Mungkin aku patut mempertimbangkannya. “Dulu bos juga yang tak suka saya kat sini. Sibuk nak halau saya. Sekarang apa cerita ni?”
“Itu dulu. Sekarang lain.” Cepat encik Afdhal membalas.
“Kalau saya tak nak?” aku pura-pura menolak.
            “Kau jangan nak mengada-ngada. Aku kata kerja dengan aku, kau kerja ajelah.”
            “Mana boleh paksa-paksa. Mana tahu saya dapat offer lebih baik dari sini.”
            “Siapa offer kau? Berapa dia bayar? Aku boleh bayar dua kali ganda.” Encik Afdhal nampak serius dengan kata-katanya.
            Aku gelak kecil. Nak bayar aku dua kali ganda konon. Bukan boleh percaya sangat cakap encik Afdhal ni. Silap nanti, dia sendiri lupa apa yang dia kata.
            “Kau nak kan?”
            “Nantilah bos, biar saya fikir dulu. Lagipun mak ayah saya jauh. Kesian pula kat dia orang.” Itulah hal pertama yang perlu aku pertimbangan. Sudahlah kakakku merantau jauh. Takkan aku juga mahu meninggalkan mereka. Rasa tak sampai hati dibuatnya.
            “Habis tu, aku ni, kau tak kesian?” encik Afdhal tarik muka.
            “Buat apa nak kesian kat bos. Bos kan dah ada cik Dahlia. Biar cik Dahlia ajelah yang kesian kat bos.” Aku ketawa lagi.
            “Kejamnya kau ni!”
            “Sekali-sekala kenalah kejam, bos. Kalau saya terus kat sini, takut bos jatuh cinta kat saya pula. Tak pasal-pasal bos pening kepala nak buat pilihan.” Yakin saja aku bersuara. Sengaja mengusik encik Afdhal.
            “Eh, tak ada mananya aku nak jatuh cinta dengan kau.”
            “Jangan takbur bos. Nanti karang...” jari telunjuk aku angkat, memberi amaran.
            “Dahlah, layan kau ni, boleh gila aku jadinya.” Encik Afdhal sudah berpaling mahu meninggalkan aku.
            Aku senyum lebar. Sebab sudah memenangi lawan kata hari ini. dua kali gila encik Afdhal pagi ni. Dia meluru laju pergi.
            “Encik Afdhal!” aku laung namanya. Membuatkan langkahnya terhenti, dan memberikan sedikit perhatian padaku.
            “Jangan jatuh cinta kat saya, tau!”
            “Blah lah kau, Gomez!” marah encik Afdhal.
            Kali ini aku sudah ketawa besar. Tak henti. Senak perut dibuatnya. Encik Afdhal... Encik Afdhal... senang saja nak buat dia kalah. Memang kelakar!
            Keluar saja encik Afdhal dari Arena Printing, abang Joe pula melangkah masuk bersama plastik merah berisi polistren makanan. Aku dah boleh agak makanan itu untuk siapa. Siapa lagi kalau bukan kawan baiknya sendiri. Sanggup betul abang Joe melayan kerenah encik Afdhal. Menyediakan makan minum encik Afdhal setiap hari. Entah jasa apa yang telah encik Afdhal taburkan sehingga abang Joe sanggup melakukan itu semua.
            Selepas berbual seketika dengan abang Jamal di mejanya. Abang Joe singgah pula ke mejaku.
            “Apa kes Afdhal tu, Ana?”
            Soalan pertama singgah di telinga. “Kes apa abang Joe?” aku tak faham maksud abang Joe.
            “Membebel sendiri. Abang tegur nak bagi makanan dia ni pun dia buat tak tahu aje.” Abang Joe bercerita.
            “Encik Afdhal membebel apa?” aku bertanya.
            “Abang Joe pun tak sure, tapi yang abang dengar, dia ada sebut jangan jatuh cinta. Apa benda lagi tah. Jatuh cinta dengan siapa?”
            “Entah, Ana pun tak tahu.” Aku pura-pura tak mengerti. Padahal akulah punca encik Afdhal mereng pagi-pagi begini.
            “Kalau macam tu, tak apalah. Abang Joe naik dulu. Lepas lunch nanti abang Joe bagi Ana tugas baru. Sementara ni, Ana buatlaah apa-apa yang patut.”
            “Okey, abang Joe. Tapi sebelum tu, Ana nak tanya sikit ni.” Aku sudah bersedia dengan apa yang ingin aku tahu.
            “Apa dia?”
            “Siapa sebenarnya penyelia Ana dekat sini? Abang Joe ke, encik Afdhal?” aku bertanya.
            “Kenapa pula?”
            “Dua minggu lagi, pensyarah Ana nak datang, pantau Ana. Jadi pensyarah Ana nak jumpa dengan penyelia Ana kat sini.” Aku berterus terang. Encik Kamarul Amin bukan calang-calang pensyarah. Melihat wajahnya saja sudah membuatkan pelajar nakal bertukar watak, menjadi sopan. Kiranya aku bernasib malang kerana dia merupakan penilai untuk subjek praktikalku. Enam jam kredit pula tu. Kalau ada apa-apa, habislah aku.
            “Ana nak siapa jadi penyelia Ana?” soal abang Joe.
            “Abang Joelah.” Pantas aku menjawab. Tidak perlu aku fikirkan lagi. Tidak ada yang lebih layak melainkan abang Joe.
            “Okaylah. Kalau macam tu, nanti bawa pensyarah Ana jumpa abang Joelah.”
            Thanks abang Joe.” Sakan aku gembira.
            “Apasal pakai cermin mata hitam ni?” abang Joe juga bertanya.
            Mestilah. Perkara pelik begitu, pasti semua orangpun nak tahu.
            “Sakit mata.” Aku berselindung.
            “Owh. Okeylah. Abang Joe naik dulu.”
            Derap kaki abang Joe sudah membawa abang Joe menaiki tangga ke tingkat atas. Senang sikit rasa hati. Abang Joe merupakan penilaiku di sini. Kini teringat pula borang penilaian yang perlu diisi oleh majikan selepas tamat latihan industri. Borang itu telah dikembalikan oleh encik Afdhal padaku semasa hari kedua aku di sini. Pasti borang itu belum diisi. Aku perlu serahkan pada abang Joe esok. Aku mengingatkan diri sendiri.

PUAS aku pujuk kak Dahlia. Namun dia nampak keberatan mahu bersetuju dengan cadanganku. Aku rasa, hanya ini peluang terbaik untuk melatih encik Afdhal hidup dalam masyarakat. Sudahlah rancanganku gagal tempoh hari. Bolehkan pula encik Afdhal cakap yang dia terlupa langsung untuk berjumpa dengan wakil TF Trading selepas melihat wajah kak Dahlia. Geram betul aku!
            “Alah kak, bolehlah...” aku masih merayu. Tidak berputus asa.
            “Okaylah... okeylah. Akak setuju. Tapi ada satu syarat.”
            “Apa dia kak? Akak cakap aje.” aku tidak pasti syarat yang bakal dikemukakan, tapi aku tahu, aku perlu bersetuju dengan syarat itu.
            “Ana kena ikut sama. Takkan akak seorang aje.”
            “Itu aje syaratnya?” aku minta kepastian. Dan kak Dahlia mengangguk.
            Orait. Setuju. Senang aje tu. Esok malam okey?” aku minta masa.
            “Boleh!” kata persetujuan dicapai.
            Kini kami kembali menyambung tontonan siaran televisyen. Aku yakin, encik Afdhal pasti melompat tinggi mendengarnya nanti. Tak sabar pula nak jumpa encik Afdhal!

DARI tadi encik Afdhal tidak ditemui. Aku sendiri buntu nak cari dekat ceruk mana lagi. semua tempat tidak ada. Jangan katakan orang lain, abang Joe sendiri tak tahu dimana kedudukan encik Afdhal.
            Penat mencari, aku kembali ke tempat duduk. Nampaknya masih belum berpeluang untuk menyampaikan pelawaan kak Dahlia. Masa aku ada bawa berita gembira macam ni pulalah, dia nak hilang.
            Hampir pukul enam petang, wajah encik Afdhal masih tidak kelihatan. Membuatkan aku bertambah risau. Mana pula dia menghilangkan diri? sudahlah telefon bimbitpun tak ada. Nampak seperti rancangan ini juga sedang menuju kegagalan. Itu aku tidak kisahkan sangat. Aku boleh tunda rancangan yang sudah ada. Tapi sekarang di mana encik Afdhal? Itu lebih mengusutkan jiwa.
            Aku masih terus menunggu walaupun waktu bekerja sudah tamat. Aku boleh terus pulang kalau aku mahu. Namun hati tidak mengizinkan. Selagi tak nampak muka encik Afdhal, selagi itulah aku rasa tidak sedap badan.
            “Ana tak balik lagi.” tegur abang Joe sambil kaki terus menuruni anak tangga.
            “Belum.” Ringkas aku membalas.
            “Kenapa tak balik lagi?”
            “Nak habiskan kerja yang abang Joe bagi ni lagi sikit.” Alasan aku berikan.
            “Esokkan ada hari lagi. Pergilah balik.” arah abang Joe.
            “Tak apalah abang Joe. Sikit aje lagi ni ha.” Aku enggan.
            “Pergi balik. Abang nak kunci office dah ni.”
            Terpaksa juga aku akur dengan arahan abang Joe. Takkan nak berkurung dalam pejabat semata-mata menunggu encik Afdhal. Lantak dialah. Dia dah besar. Mesti dia pandai jaga diri. Aku sedapkan hati sendiri. Komputer aku matikan. Aku kemas meja yang sedikit berselerak sebelum berangkat pulang.
            “Hah, Afdhal. Muncul juga kau. Mana kau pergi?”
            Secara automatiknya aku berhenti mengemas. Pandangan kini hanya tertumpu pada encik Afdhal yang nampak tidak terurus. Rambutnya kusut masai. Teguran abang Joe tidak dihiraukan, sebaliknya encik Afdhal terus ke mejanya, mengambil drawing block dari bawa meja dan melakar sesuatu.
            Sudah agak lama aku tidak melihat kejadian seumpama itu. Wajahnya nampak tertekan sekali. Aku hanya memandang tanpa henti. Aku yakin ada benda yang telah berlaku. Sesuatu yang tidak disukainya. Tapi apa?
            “Aku balik dululah, nanti kau kunci office.” Abang Joe terus berbicara walaupun kata-katanya tidak dilayan oleh encik Afdhal. “Abang Joe balik dulu, Ana. Jumpa esok.”
            Aku mengangguk pada abang Joe. Menghantar kepulangannya dengan senyuman. Sejurus abang Joe keluar, pandanganku kembali lagi menatap encik Afdhal. Patutkah aku bertanya yang  telah terjadi? Walaupun aku sudah terbiasa dengannya, tapi kali ini aku dapat rasa perbezaanya. Ada rasa takut menemani jiwa.
            Makin laju lakaran yang dibuat. Seperti tekanannya sedang bertambah. Sampai satu tahap, encik Afdhal mencampak terus drawing block  jauh dari mejanya bersama satu jeritan pendek. Tersentak aku dibuatnya. Wajahnya sudah disembamkan ke meja. Tangannya tidak henti menarik-narik rambutnya. Aku tak patut duduk diam lagi.
            Perlahan-lahan langkak aku buka. Bukan menuju ke meja encik Afdhal, tetapi kaki membawa aku terus ke arah drawing blok  yang dicampakkan tadi. Aku tunduk, mengambil drawing blok yang terbuka luas. Aku tidak faham apa-apa kerana yang ada hanyalah lakaran yang tidak dapat aku pastikan maknanya. Lebih kepada contengan melepaskan rasa marah yang terpendam.
            Apa yang perlu aku buat sekarang? Ligat fikiran mencari jalan. Tidak mahu silap langkah. Kalau aku serbu dengan pertanyaan, takut pula encik Afdhal naik hantu. Makin bertambah buruk keadaan. Jadi aku harus fikirkan idea yang boleh membuatkan emosi perasaannya beralih dengan tiba-tiba. Tapi bagaimana? Itu yang menjadi persoalan.
            Aku memandang sebatang pen yang tadinya dicampak bersama drawing block. Mungkin cara ini boleh digunakan. Aku yakinkan diri lalu mencapai terus pen yang berwarna merah. Tangan aku luruskan. Cuba fokus pada sasaran. Harap mengena.
            Yes! Hati menjerit apabila balingan yang kuat itu tepat pada sasaran. Encik Afdhal membunyikan kesakitan apabila pen tadi mengena kepalanya.
            Sorry bos, sorry... sorry... tak sengaja.” Aku mohon maaf.
           
            Encik Afdhal angkat wajah. Berkerut dahinya memandang ke arahku. Tanganya mengusap bahagian kepala yang terkena pen tadi. Aku buat-buat senyum kelat. Rasa macam dah berjaya. Apapun, aku perlu pastikan terlebih dahulu.
            Sorry bos. Entah siapa buang pen merata-rata ni. Saya nak baling, buang dalam tong sampah. Tak sangka kena bos pula.” Aku jelaskan sesuatu yang tidak berlaku.
            “Sakitlah. Suka hati kau aje nak baling-baling barang.” Marah encik Afdhal.
Sorrylah bos...”
“Banyaklah kau punya sorry. Bila masa kau sampai?”
Soalan itu menyebabkan otakku seakan tersekat. “Bila sampai?” aku tidak tahu bagaimana manu menjawab soalan itu. Dari tadi aku di sini. Tidakkah dia melihatnya? “Baru aje bos.” Aku ikutkan ajelah. “Bos buat apa kat sini? Tak balik ke bumbung ke?”
“Balik ke bumbung? Amboi, sedap kau punya ayat. Suka hati akulah. Yang kau tu apasal tak balik lagi?”
“Dah balik dah tadi, bos. Beg tangan tertinggal pula. Tu yang saya patah balik ni.” aku tunjukkan beg tangan yang elok terletak di atas meja dengan jari telunjuk. Menampakkan betapa logiknya alasanku berada di situ, waktu-waktu begini. “Bos pergi mana? Sehari tak nampak?”
“Adalah.” Ringkas jawapan encik Afdhal.
“Ceritalah bos...”
“Apasal pula aku kena bagi tahu kau?” encik Afdhal enggan memberitahu.
Kalau aku guna cara halus, itulah yang akan terjadi. Aku takkan berjaya mengetahui apa yang berlaku pada dirinya. Harus ada cara lain. “Kalau bos tak nak cerita, sayapun tak nak bagi tahu pesanan cik Dahlia untuk bos.” Aku tunjuk lagak. Juga jual mahal untuk terus berbicara andai dia enggan memberitahu.
“Dahlia pesan apa?” encik Afdhal cuak mendengar nama kak Dahlia dibawa sama dalam perbualan kami.
“Malaslah nak bagi tahu bos. Bos pergilah tanya kak Dahlia sendiri.” Aku tekad.
“Kau ni. Iyalah. Aku bagi tahu. Aku jumpa pak Mahat.”
“Pak Mahat? Siapa pak Mahat?”
“Tak payah ceritalah. Kau bukan kenalpun.”
“Bos kenalkanlah.”
“Eh, degil pula budak perempuan ni.” Encik Afdhal tidak mahu bercerita lanjut.
“Pak Mahat tu cerita apa sampai bos tention sangat ni?” aku tanya lagi. Tidak ada istilah putus asa dalam membantu.
“Bila masa pula aku tention? Aku elok aje duduk kat meja aku tadi. Kau tu yang tak pasal-pasal baling pensil kena kepala aku.”
“Alah, jangan tipulah bos. Ingat saya tak nampak ke tadi, bos...”
“Apa yang kau nampak?” encik Afdhal memotong kata. “Kau nampak apa? cakaplah!”
“Er.. saya nampak...” aku tak tahu mahu jujur atau apa.
“Nampak apa?” gertak encik Afdhal.
“Nampak bos happy aje. Sebab cik Dahlia nak belanja makan ke?” aku pusing ayat. Kalau silap cakap karang...
“Dahlia nak belanja aku makan?” terkejut pula encik Afdhal.
“Ha’ahlah. Sebab tu saya cari bos dari pagi tadi. Nak bagi tahu pasal hal nilah.” Fuh... lega...
“Bila?”
“Malam ni, lepas maghrib.”
“Dekat mana?”
“Kedai mamak belakang office ni.”
Encik Afdhal tidak lagi bertanya. Dia termenung sendiri. Tangannya memeluk tubuh. Seakan memikirkan sesuatu. Aku tahu dia keberatan untuk berada di khalayak ramai. Dia tidak suka. Paling pantang baginya.
“Aku..”
“Bos jangan nak buat hal. Penat dah saya atur ni. Kalau bos tak datang, siap bos!” aku bagi amaran keras sebelum aku pergi. Aku tak boleh lama di situ. Takut mendengar kata tidak setuju dari mulut encik Afdhal. Lebih baik berlalu cepat.
“Wei...”
Jeritan encik Afdhal tidak aku hiraukan. Aku berjalan keluar dari Arena Printing, dan menuju ke Butik kecantikan milik kak Dahlia. Nampaknya kami hanya akan pulang ke rumah setelah makan malam bersama encik Afdhal. 

Bersambung...

Kata AH :
Alhamdulillah selesai sudah JJC 22. Insya'ALLAH kalau bkesempatan esok, AH akan masukkan pula entry JJC yang TERAKHIR. Hampir separuh perjalanan anda semua bersama JJC. Maaf atas kekurangan yang ada. Doakan yg terbaik utk JJC ya. Terima kasih semua!

Tuesday, August 20, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 21



21
            Talian telefon aku matikan. Termenung aku sendiri. Mak lang mempelawa aku datang ke rumahnya esok. Aku dijemput untuk makan tengah hari bersama mak lang sekeluarga. Aku rasa itu sekadar alasan. Hatiku kecilku kuat mengatakan ada sesuatu yang ingin mak lang sampaikan.  Cumanya, aku tidak tahu apakah ia?
            Ada juga aku bertanyakan perihal abang Naim. Tapi mak lang tidak menjawab. Sebaliknya mak lang lekas menukar cerita. Jadi aku sudah dapat mengagak keaadaan abang Naim. Kenapalah semuanya menjadi serumit ini? apakah masih punya cara untuk membaiki keadaan? Aku sendiri tidak dapat menjawabnya.
            Lamunan yang panjang terhenti juga. Telefon aku letakkan di atas katil. Aku mahu mencari kak Dahlia. Mengetahui cerita yang ingin dikongsikan denganku tadi. Aku berjalan keluar. Berharap kak Dahlia sudah pulang.
            Pintu bilik kak Dahlia sedikit terbuka. Menampakkan cahaya yang membias. Aku intai dari luar. Kak Dahlia sedang baring sambil memegang bingkai gambar. Aku senyum. Pasti gambar tunangnya. Dugaku sendiri.
            Pintu aku ketuk, bersama huluran salam. Kemudian kepala aku jengahkan, bertanya apakah aku boleh masuk ke dalam biliknya? Kak Dahlia bingkas bangun. Dia segera meletakkan bingkai gambar di bawah bantal. Lantas membenarkan aku masuk.
            “Dah lama kak Dahlia balik?” aku berjalan menghampiri katil. Kemudian duduk di situ, menghadap kak Dahlia.
            “Baru juga. Tak sempat mandipun lagi.” kak Dahlia senyum.
            Ya, kak Dahlia masih memakai baju yang sama. Skirt merah paras lutut dan kemeja putih, berenda ringkas. 
            “Kak Dahlia nak mandi ke, kalau macam tu Ana keluar dululah.” Aku sudah bersedia untuk bangun. Memberi ruang pada kak Dahlia untuk menguruskan diri terlebih dahulu.
            “Eh, tak apalah, Ana. Akak belum nak mandi lagi. Duduklah.” Kak Dahlia menarik tanganku.     
            Aku kembali duduk. “Kak Dahlia tengok gambar siapa tadi? Gambar tunang akak ke?” soalku memulakan kata sebelum bercerita tujuan asal aku berjumpa dengannya.
            Kak Dahlia mengangguk. Itu bermakna, tekaanku tadi amat tepat. Bagaimana rupa orangnya? Pasti kacak. Teringin pula melihat gambarnya. “Boleh Ana tengok gambar tunang kak Dahlia?” aku buat permintaan.
            Permintaaku itu membuatkan kak Dahlia mendiamkan diri. Dia nampak berat mahu menunaikan kemahuanku.
            “Bolehlah, kak Dahlia... mana tahu Anapun kenal orangnya.” Aku rayu sekali lagi. kalau kak Dahlia masih enggan, aku tidak akan meminta lagi. kak Dahlia punya hak untuk tidak menunaikannya.
            “Insya’Allah, satu hari nanti akak akan tunjukkan pada Ana.” Kak Dahlia kuat memegang keputusannya.
            Aku akur. Nampaknya aku tidak dapat melihat gambar tunang kak Dahlia. Bingkai gambar berwarna putih terus tersorok di bawah bantal. Jadi ada baiknya aku meneruskan saja misiku yang sebenar.
“Kak Dahlia, sebenarnya...” berat pula mulut mahu bertanya. Sementara kak Dahlia pula, menunggu aku menghabiskan bicara.
“Sebenarnya Ana nak tahu, apa yang kak Dahlia nak ceritakan kat Ana masa kita jumpa tengah hari tadi?” berjaya juga aku menghabiskannya.
“Oh pasal tadi tu? Macam ni ceritanya, Ana...” kak Dahlia nampak teruja.
Aku pasang telinga. Mahu mendengar dengan teliti kisah yang bakal diceritakan. Melihat keterujaan kak Dahlia, pasti ia kisah yang menarik untuk didengar.
“Nyaris akak nak kena ragut pagi tadi.” Cerita bermula.
“Ragut?” aku terkejut. Ingatkan kisah pasal encik Afdhal.
“Ha’ah.” Ringkas balasan kak Dahlia.
“Kak Dahlia okey tak? Apa yang dia ragut? Dah buat report?” soalku bertubui-tubi. Semua soalan itu memerlukan jawapan.
“Dia nak ragut beg tangan dengan gelang kat tangan akak ni.”
Aku memerhati gelang emas yang terletak cantik pada pergelangan tangan kak Dahlia. Melihat gelang yang ada, aku yakin peragut itu tidak berjaya melaksanakan misinya.
Guest what? Siapa yang tolong akak?
            “Siapa?” aku ingin tahu. Minda sudah menayangkan wajah encik Afdhal. Namun hati menolak. Tak mungkin dia!
            Kak Dahlia diam. Namun diamnya beserta dengan sebuah senyuman. “Pesakit kita.” Ringkas jawapan dari kak Dahlia.
            “Pesakit kita?” aku pening. Apa maksud kak Dahlia? Tapi beberapa saat kemudian, aku sudah dapat mengagak. “Maksud kak Dahlia... Encik Afdhal?”
            Kak Dahlia mengangguk. Membenarkan kata-kataku. Lidahku jadi kelu. Tidak terluah sebarang kata. Encik Afdhal selamatkan kak Dahlia? Jadi... aku mula memikir kata-kata encik Afdhal semasa aku bersemuka dengannya di atas bumbung bangunan. Semuanya sudah mula aku faham kini. Pastinya encik Afdhal menganggap aku yang mengaturkan rancangan meragut kak Dahlia. Patutlah berderai air mata bagai... rupa-rupanya dapat berkhidmat untuk kekasih hati!
            “Akak syukur sangat. Gelang ni satu-satunya benda yang paling akak sayang dalam hidup akak.” Dahlia menyentuh gelang yang dipakainya.
            “Hadiah dari tunang kak Dahlia?”
            Kak Dahlia mengangguk lagi. “I love him so much. Apapun jadi, akak takkan buka gelang ni sampai bila-bila.”
            Aku senyum nipis. Sungguh kak Dahlia dalam bahagia. Dia begitu mencintai tunangnya. Semoga kak Dahlia kekal bahagia.
            “Tapikan, Ana...”
            Aku kembali tekun mendengar. Ada lagi yang mahu diceritakan. Aku ingatkan kisah sudah tamat.
            “Encik Afdhal tu, tak nampak macam sakit pun?” Kak Dahlia ragu.
            “Maksud akak?” aku kurang jelas.
            “Iyalah. Akak tengok dari gaya dia selamatkan akak. Semua tu buat akak fikir balik apa yang Ana dah ceritakan kat akak hari tu. Dia nampak normal aje, Ana.” Jelas kak Dahlia panjang lebar.
            “Kadang-kadang aje macam tu kak. Tapi kalau dengan kak Dahlia dia boleh lupakan dunia gila dia,  kira baguslah kak. Saya rasa, saya dah minta tolong pada orang yang tepat.” Balasku dengan hati yang senang.
            “Akak yakin dia lelaki yang baik.”
            “Saya setuju.” Aku memberikan sokongan.
            “Insya’ALLAH akak akan usaha untuk bantu dia.” Semangat kak Dahlia kian membara.
            “Malaysia boleh, kak!” aku marakkan lagi api yang bernyala dalam jiwa kak Dahlia. Sungguh berhikmah kejadian tadi. Kini kak Dahlia nampak bergitu serius mahu membantu encik Afdhal.
“Kalau macam tu saya balik bilik dululah kak.” Aku minta diri. tidak mahu mengganggu kak Dahlia terlalu lama.
            “Iyalah. Terima kasih sudi dengar cerita akak.”
            No problem.” Langkah sudah mula aku atur untuk keluar.
            “Ana...” kak Dahlia memanggil.
            Aku menoleh. Tidak jadi melangkah keluar.
            “Akak rasa, Ana tak payahlah lagi sediakan daily note untuk akak tulis pada encik Afdhal. Biar akak yang fikirkan sendiri. Akak nak tulis apa yang rasa baik untuk dia. Tanda terima kasih akak atas pertolongan dia.”
            Tercenggang aku dibuatnya mendengar permintaan kak Dahlia. Betulkah apa yang aku dengar? Sepatutnya aku senang dengan permintaan itu. Aku tidak perlu lagi serabut memikirkan kata-kata untuk encik Afdhal. Tapi kenapa aku tidak berasa lega. Yang ada cuma rasa sukar untuk bernafas?

DARI tadi aku mundar-mandir dalam bilik. Sehingga kini, tidak ada sebarang keputusan berjaya dibuat. Sepatutnya aku sudah bersiap-siap. Dua jam saja lagi jam akan menunjukkan pukul 12 tengah hari. Patutkah aku memenuhi undangan mak lang? Itu yang aku fikirkan.
            Umi mencadangkan supaya aku memberi muka. Melupakan hal yang lalu dan datang ke rumah mak lang seperti biasa. Itu saranan umi ketika pendapatnya aku minta awal pagi tadi. Kalau nak diikutkan, aku memang mahu pergi. Aku mahu lihat sendiri keadaan abang Naim. Sihatkah dia? Tapi hati sangat berat. Entah kenapa?
            “Betul cakap umi. Aku kena pergi!” keputusan akhirnya tercipta.

SUDAH lima minit aku berdiri di hadapan rumah mak lang. Tangan berat mahu menekan loceng, memaklumkan ketibaanku. Kereta pak lang dan abang Naim, elok terletak di perkarangan rumah. Namun kereta abang Naim lebih banyak mencuri tumpuan. Apakah agaknya reaksi abang Naim melihat ketibaanku hari ini?
            Baju kurung pahang bertonakan warna merah jambu aku betulkan. Tudung di kepala juga diperkemas. Jari sudah menekan loceng. Menunggu pagar dibuka. Kelibat mak lang muncul dari ruang yang memisahkan jarak dua kereta. Tersenyum mak lang. Salam aku beri.
            Mak lang membuka pagar. Kami bersalaman dan berpelukan sebelum aku di bawa masuk ke dalam. Kencang jantungku berdegup.
            “Pak lang, sihat?” tanyaku pada pak lang yang terus saja berdiri menyambut kedatanganku.
            “Alhamdulillah. Ana?”
            “Alhamdulillah.” Aku juga menjawab yang sama.
            “Duduklah dulu, Ana. Mak lang ke dapur sekejap.”
            “Eh, tak apalah. Biar Ana tolong mak lang.” Aku berniat membantu.
            “Janganlah macam tu. Anakan tetamu. Mana boleh buat kerja.” Mak lang tidak mengizinkan.
            “Mak lang janganlah anggap Ana macam tetamu. Anakan dah macam anak mak lang.” Aku berkias. Mengharap statusku sebagai tetamu terhapus dalam rumah itu.
            “Iyalah. Jom tolong mak lang.” Mak Lang mengalah akhirnya.
            Aku meletakkan beg tangan di atas sofa, kemudia meluru ke dapur bersama mak lang. Membantu apa-apa yang patut.    

“ANA tolong bawa pinggan ke depan.” Beberapa biji pinggan Corelle mak lang hulurkan.
            Pinggan bermotif bunga ringkas itu aku pegang kuat. Tidak mahu terlepas. Senyum aku melihat pinggan pada tangan sambil berjalan keluar dari dapur. Pinggan aku atur di atas meja. Hanya ada empat biji pinggan. Bermakna, tidak ada tetamu lain daripadaku.  Kerja menyusun aku  teruskan sehinggalah abang Naim muncul. Tangan tidak dapat bergerak, meneruskan kerja.
            Abang Naim turut sama membalas pandangan. Namun, pandangannya tidak lama. Dia mengalihkan anak matanya segera. Lari daripada terus melihatku. Lalu abang Naim membawa langkah ke dapur. Pasti mencari ibunya.
            Rinduku pada lelaki itu hilang sebaik melihat wajahnya. Namun, rasa kecewa tetap sama. Masih bersarang tebal. Kerja menyusun pinggan yang tadinya terhenti aku teruskan kembali. Setelah selesai, aku kembali ke dapur.
            “Ana buat apa kat sini?”
            Aku mengundur langkah sebaik mendengar pertanyaan abang Naim pada mak lang. Kaki tidak lagi bergerak. Hanya telinga yang tekun bekerja.
            “Mak ajak dia makan tengah hari dengan kita. Rindu pula kat dia. Kenapa? Naim tak suka ke, Ana datang rumah kita?”
            Menanti jawapan abang Naim menambah debar pada hatiku.
            “Ayah mana?”
            Abang Naim tidak menjawab soalan mak lang. Sengaja dia mengubah cerita. Bertanyakan tentang ayahnya. Padahal, sewaktu dia turun tadi, ayahnya ada duduk di ruang tamu membaca akhbar. Tapi tidak mengapa. Itu lebih melegakan hatiku daripada aku terpaksa mendengar jawapan yang menyiksa jiwa.
            “Ada apa-apa lagi mak lang?” aku masuk ke dapur juga. Tidak lagi berdiri di balik dinding dan mencuri dengar perbualan mereka anak beranak.
            “Tinggal angkat lauk tu aje Ana.” Mak lang menunjukkan lauk kari kepala ikan yang sudah siap dihidang di dalam mangkuk.
            Terus saja aku mendapatkan mangkuk lauk. Tidak langsung memandang abang Naim. Hati sedang diamuk kecewa.

SELESAI makan, aku minta diri seketika. Mahu menunaikan solat zuhur. Mak lang menyuruh aku menggunakan bilik yang dahulunya kepunyaanku. Aku menganguk kemudian terus bergerak, menaiki anak tangga.
            Belumpun sebulan aku tinggalkan rumah itu, namun rasa rindu pada bilikku membuatkan langkah kaki laju mendaki tangga. Tombol pintu aku pulas, lalu meloloskan diri, masuk ke dalamnya.
            Pandangan mata terus mencari balang kaca yang aku tinggalkan. Balangnya masih ada di tempat yang sama. Seakan tidak ada sesiapa yang mengalihkan. Tapi aku yakin balang itu kini sudah punya tuan yang baru.
            Tangan menyeluk ke dalam balang. Gula-gula lolipop yang ada aku keluarkan. Bagaimana gula-gula itu boleh ada di dalamnya? Mustahil! Aku sudah bawa kesemua lolipop milikku tempoh hari. Bagaimana boleh ada yang tinggal? Tidak masuk akal. Melainkan ada yang meletakkan lolipop itu ke dalamnya.
            Aku kira bilangan lolipop yan sudah aku keluarkan. Ada 13 batang kesemuanya. Sejenak aku memikirkan. Kalau mengikut perkiraan, sudah 13 hari juga aku meninggalkan rumah pak lang. Apakah? Hati sudah mula melompat tinggi memikirkan andaian minda.             Lolipop aku kembali masukkan ke dalam balang. Takut hati terlalu gembira dengan sesuatu yan aku sendiri tidak dapat pastikan kebenarannya. Lebih baik aku segera menunaikan solat kerana aku mahu cepat-cepat pulang.

PAK LANG duduk di sofa utama. Manakala aku duduk di sebelah mak lang. Berhadapan dengan abang Naim. Televisyen yang tadinya terbuka, kini sudah dimatikan suisnya. Senario itu sudah cukup untuk menggambarkan bahawa ada perkara penting bakal dibicarakan.
            Aku menunggu dengan penuh debar. Harap ia tidak punya kaitan dengan aku. tapi kalau aku tidak ada kena mengena, mengapa pula aku turut di bawa sama dalam pertemuan itu?
            “Pak lang dengan mak lang ajak Ana datang rumah kami hari ini sebenarnya bersebab.”
            Pak lang sudah menjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan sejak aku menerima undangan. Aku sudah mengagak. Pasti ada sesuatu. Ternyata aku benar.
            “Pak lang rasa tak senang hati dengan keadaan kita sekarang. Dah tak macam dulu. Pak lang rasa bersalah pada abah dan umi, Ana.” Pak lang mula bercerita. Kemudian matanya tertumpu pada anak lelakinya pula. “Naim. Ayah dengan mak dah berbincang. Kalau kamu betul-betul sukakan Ana, nak kahwin dengan Ana, ayah dengan mak dah tak kisah. Ayah dengan mak boleh pergi putuskan pertunangkan kamu dan satukan kamu dengan Ana.”
            Aku terkejut mendengar kata-kata pak lang. Laju anak mata mencari wajah abang Naim. Dia juga begitu. Besar matanya memandang kedua orang tuanya silih berganti. Suasana jadi sunyi. Jantung sudah bergerak rancak. Menendang aliran nafas yang tadinya mengalir lancar. Sungguh aku tak sangka!
            “Apa yang ayah dengan mak cakap ni?” giliran abang Naim bersuara.
            “Mak dengan ayah tak nak tanggung rasa bersalah seumur hidup. Naim berhak pilih teman hidup Naim sendiri.” Mak lang menjawab.
            Aku saja yang mendiamkan diri. Dan sekarang, rasa tidak selesa sudah menggeletek. Membuat dudukku tidak lagi tenang. Perasaan bercampur baur. Sukar untuk dijelaskan.
            “Apa keputusan Naim?” pak lang bertanya.
            Abang Naim tidak menjawab. Nampak sukar baginya untuk membuat keputusan.
            “Mak dengan ayah putuskan pertunangan Naim dulu. Lepas tu kami pergi meminang Ana. Naim setuju kan?” Mak lang mencadangkan. Namun ia kelihatan seperti sebuah pujukan atas sebuah rajuk. 
            “Tak. Naim tak setuju!” lantang suara abang Naim. Tersentak semua yang ada.  “Naim tak nak apa-apa perubahan. Semua dah berlaku, dah tak boleh nak patah balik. Cuma Naim harap emak dengan ayah dapat percepatkan perkahwinan Naim.”
            Pandangan abang Naim hanya padaku walaupun kata-kata itu ditujukan pada ibu bapanya. Aku faham maksud abang Naim. Aku dapat rasa. Marahnya tidak pernah reda. Kini dia seolah-olah sedang memulangkan paku buah keras padaku. Aku tidak sanggup untuk terus ada di situ. Terang-terang aku ditolak.
            “Mak lang, pak lang, Ana minta diri dulu ya. Dah petang sangat ni. Takut lambat pula sampai rumah.” Aku cuba berlagak tenang. Penuh kekuatan menahan hati. Selesai mencium tangan mak lang, aku terus bergerak ke muka pintu yang tidak bertutup. Tempatku bukan di sini.
            “Ana...”
            Panggilan mak lang hanya sempat aku balas dengan senyuman paksa. Mahu mereka lihat aku tidak apa-apa. Lebih-lebih lagi abang Naim. Ya, aku kecewa kerana aku bukan lagi pilihannya. Tapi aku lebih sengsara mendengar khabar perkahwinannya yang pastinya akan berlangsung dalam masa terdekat.   

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. Selamat Hari Raya kepada semua rakan2 pembaca. AH susun 10 jari memohon maaf andai ada kesalahan, kekurangan dan khilaf kata pada semua. Selamat membaca entry 21 dgn gembira. Jumpa next entry beberapa hari lagi.