19
Perjalanan setengah jam terasa
seperti setengah minit. Bila-bila masa saja van akan hilang daya pergerakkan.
Sejak tadi jugalah jantungku tidak berhenti berdengup laju. Kelajuannya setara
dengan meter kelajuan Toyota Hiace, milik Arena Printing yang sedang dipandu
oleh encik Afdhal. Lebih-lebih lagi encik Afdhal hanya mendiamkan diri. Abang
Joe juga satu hal. Berkali-kali aku cuba menghubunginya. Berkali-kali jugalah
aku gagal mendapatkannya. Apa lagi yang boleh aku buat?
Keluar saja dari lebuhraya utama,
perutku jadi semakin kecut. Dudukku tidak lagi setenang tadi. Mahu saja aku
lompat keluar dari van. Tapi, aku bukanlah seorang stuntman, yang mampu melakukan aksi lagak ngeri begitu. Mahu
menjerit? Rasanya ini bukan masa yang sesuai. Lagipun tidak ada siapa yang akan
mendengar lolonganku.
“Kau ni kenapa?”
Soalan encik Afdhal tidak aku
hiraukan. Fikiranku sudah terbang bersama berita-berita sadis dan ngeri yang
selalu tersebar di dada akhbar. Apalah nasibku agaknya? “Kita kat mana ni encik
Afdhal?” melihatkan suasana sekeliling yang tidak ubah seperti kawasan hutan,
aku terus membuat pertanyaan.
“Kat atas jalanlah. Kau tak nampak
ke?”
Aku tak pasti encik Afdhal hanya
berseloroh atau sebaliknya. Tapi yang aku tahu, hati aku memang rasa tak
senang. Bulu roma pula meremang tak tentu pasal. Kawasannya saja sudah
menakutkan. Bagaimana aku mahu tinggal di sini?
“Aku tahu kau takut.” Encik Afdhal
sambung bicara. “Sebenarnya akupun takut.”
Sepasang anak mataku terus
mendapatkan wajah encik Afdhal. Apa maksud encik Afdhal? Apa yang
ditakutkannya? Tahukah encik Afdhal jika dia dalam ketakutan, aku apatah lagi?
“Bos jangan buat lawak. Takkan nak
balik rumah sendiripun bos takut?” aku berlaagak tenang. Sedikit tawa kecil aku
selitkan. Tak patut ada dua orang penakut dalam satu masa, serentak. Jadi aku
bertindak untuk menjadi pihak yang berani. Walaupun hakikatnya aku tak mampu
mengagahkan diri.
“Dah lima belas tahun aku tak
balik...” encik Afdhal memperlahankan pemanduan.
Lima belas tahun? Tanganku sudah mahu menepuk dahi, cuma daya
tidak ada untuk tapak singgah di dahi. Lemah longlai dibuatnya.
“Tapi kau jangan risau. Rumah aku tu
okey. Ada orang jaga. Kau boleh duduk situ berapa lama yang kau suka. Aku tak
kisah.”
Ayat akhir itu boleh menenangkan
hati sedikit. Mujur ada orang jaga. Tapi masih ada baki gusar dalam jiwa.
Kenapa? Ah, mungkin perasaan aku aje agaknya. Aku lebih banyak berbual dengan
diri sendiri berbanding dengan encik Afdhal di sebelah.
“Jauh lagi ke, encik Afdhal? Kata
setengah jam aje?” aku melihat masa. Sudah mencecah empat puluh minit
perjalanan.
“Itu kalau aku bawa laju. Alah, nak
sampai dah. Lorong depan tu.”
Aku jengah kepala. Sudah kelihatan
lorong yang dimaksudkan oleh encik Afdhal.
Nampak seperti lorong berbukit. Aku pejam mata dengan hati yang berat.
Nak kena daki bukit pula. Bila nak sampainya? Apabila mata kubuka, encik Afdhal
sudahpun membelok ke kiri. Tulisan Villa Dahlia terpamer pada sebuah batu yang
sudahpun berlumut. Aku masih dapat membacanya walaupun tulisannya kurang jelas
kerana dilitupi dengan tumbuhan tumpang.
Van terus bergerak. Hampir satu minit berselang, aku sudah mampu
melihat sebuah rumah agam. Encik Afdhal memberhentikan kenderaan betul-betul di
hadapan pagar. Pagar yang hampir runtuh. Aku pandang encik Afdhal. Mengharap
dia menjelaskan sesuatu. Kelajuan degupan jantung bertambah lagi.
“Inilah rumah aku.” Mata encik
Afdhal tidak lepasa dari memandang rumahnya sendiri. Tangannya memeluk stering. “Aku tak sangka, aku akan balik lagi kat rumah
ni.” Encik Afdhal tidak menghabiskan kata. Enjin dimatikan.
Aku tidak berbicara lanjut. Tidak
juga ada niat untuk bertanya. Keselamatan diriku harus diutamakan.
“Dah,
jom turun.”
Aku
masih di dalam walaupun encik Afdhal sudah menutup pintu kenderaan. Encik
Afdhal menarik nafas panjang sebelum berjalan terus ke pintu pagar. Aku hanya
memerhati. Menunggu dengan hati berdebar.
Loceng yang entah berfungsi ataupun
tidak, ditekannya berkali-kali. Menjadikan aku bertambah tidak tentu hala. Tangan
encik Afdhal mula membuka pintu pagar. Setelah pintu pagar tebuka luas, dia
menghulurkan tangan seolah bersalaman dengan seseorang. Sedangkan tidak ada
sesiapa di situ melainkan aku.
Melihatkan keadaan itu, kelam kabut
aku mencari telefon bimbit. Mana pula aku letakkannya? Abang Joe harus aku
hubungi segera. Atau mungkin juga aku harus bersedia dengan nombor telefon polis.
Habis aku selongkar beg tangan. Bertabur semua barang yang ada. Itu sudah tidak
aku hiraukan. Yang penting sekarang, telefon bimbitku. Kemana menghilang?
“Hoi.”
“Arghhhh...” aku menjerit menerima
sergahan. Terkejut.
“Lemah semangat betul kau ni?
Akulah!”
Berombak dadaku. Jeritan sudah
berhenti. Bukan salah aku. Orang yang dalam ketakutan memang mudah menjerit.
“Jom turun.” Encik Afdhal masih
memegang pintu yang dibukanya tadi.
“Turun?”
“Iyalah. Takkan kau nak duduk dalam
van ni?”
“Encik Afdhal, saya ingat... saya
cari bilik lain ajelah. Jauh sangat ni. Susah saya nak pergi kerja. Saya
bukannya ada transport.” Aku harap,
encik Afdhal menerima alasanku. Aku memang tak mampu nak turun dari kenderaan.
Tak sanggup.
“Kau tak payah risau. Aku boleh
ambil kau hari-hari.” Balas Encik Afdhal.
“Mana boleh, encik Afdhal. Encik
Afdhal kan nak tengok cik Dahlia pagi-pagi. Mana sempat.” Semoga nama kak
Dahlia dapat menyelesaikan semua.
“Kalau tak sempat. Aku suruhlah Joe
tolong ambil kau. Apa susah? Dah cepat turun. Mak Pah dah tunggu lama kat
situ.”
Mak Pah? Mak Pah mana pula?
Pelepah-pelepah kering banyaklah aku tengok. Aku telan liur. Aku sedar, aku perlu
turun mengikut rentak encik Afdhal. Itu saja jalan untuk selamat. Terpaksalah
juga aku bergerak keluar dari van.
Liar mataku menjalar, memerhati
sekeliling. Memang sebuah rumah agam. Sangat besar. Dan pastinya sangat cantik.
Tapi aku yakin semua itu hanya cerita dahulu. Kini, rumah agam itu sudah tidak
berbumbung. Yang tinggal hanya kerangka-kerangka yang menjadi tonggak rumah.
Kelihatan seperti bekas rumah yang yang sudahpun dijilat api. Hitamnya warna
pada tembok-tembok, mengesahkan. Kawasannya sudah tidak dijaga. Terbiar. Penuh
dengan semak samun.
“Mak Pah, kenalkan ini budak
praktikal kat tempat Af.”
Aku diperkenalkan kepada mak Pah.
Seseorang yang tidak dapat aku lihat dengan mata kasar. Aku tak tahu apa yang
patut aku buat. Patutkah aku senyum?
“Salamlah, mak Pah dah hulur tangan
tu kan?” encik Afdhal menyiku.
Terketar tangan yang aku hulurkan
mengikut arahan. Aku senyum juga, sambil mengangguk kepala. Sebuah lakonan demi
menyelamatkan diri. Terasa sepertia ku turut gila sama.
“Amboi, menggetar tangan. Macam
jumpa dengan bakal mak mertua pula.” Encik Afdhal menampakkan senyuman.
Aku kerling memandangnya. Seronok
sungguh dirinya bila berada dalam dunia yang dia sendiri cipta. Tak pasal-pasal
aku jadi pelakon tambahan hari ini.
“Tak apa. Mak Pah masuk dulu. Nanti
Af masuk. Af nak ambil beg Cik Selena Gomez kita ni.”
Senyumku sudah tiada ada lagi,
walaupun encik Afdhal sudah ketawa gembira. Sedikitpun aku tidak berganjak.
Terus mendengar perbualan encik Afdhal dengan wanita yang tidak wujud. Kalau
mereka mahu berbual sepuluh jam kat situpun aku tidak punya masalah. Asalkan
aku tidak diajak masuk ke dalam rumah yang mungkin sudah punya penghuni yang
tersendiri.
“Kau tunggu sini, aku ambil beg kau
dulu.”
“Eh, encik Afdhal. Sekejap.” Aku
menahan encik Afdhal daripada terus bergerak. “Saya nak ucapkan terima kasih
sebab encik Afdhal sudi nak tumpangkan saya kat rumah yang serba indah ni.”
Mahu atau tidak, aku tetap perlu nyatakan. Tak mungkin untuk aku tinggal di
situ. Silap hari bulan, aku pula yang diletakkan di bawah pengawasan hospital
sakit jiwa.
“Tak payah nak terima kasihlah. Kau
tolong aku, aku tolong kau. Adilkan?”
“Betul adil. Tapi...” aduh, macam
mana nak cakap ni?
“Tapi apa?”
“Tapi rumah encik Afdhal ni besar
sangat. Takutlah saya nak tinggal seorang.” Aku masih menapis kata. Tak mahu
berlaku apa-apa yang boleh membuatkan encik Afdhal naik radang, lalu
meninggalkan aku seperti selalu. Saat-saat begini, bermanis kata itu sangat
perlu!
“Kau nak takut buat apa, Mak Pah kan
ada? Kadang-kadang emak dengan ayah aku pun balik sini. Kau tak payah takutlah.”
“Hah?” Tadi mak Pah, kini emak
dengan ayahnya pun ada juga? faktor ketakutanku bertambah. “Eh, tak apalah
encik Afdhal. Seganlah saya dengan emak dengan ayah encik Afdhal. Lainlah kalau
encik Afdhal ada sekali.” Fikiran bertindak bijak. Lantas bibir menyusun alasan
yang bakal membuatkan aku selamat. Encik Afdhal tak mungkin mahu tinggal di
situ. Jika tidak, masakan dia hanya mahu pulang setelah lima belas tahun
berlalu?
Terdiam terus encik Afdhal. Membuatkan
aku yakin aku bahawa aku akan berjaya meloloskan diri. Hari yang sukar!
“Kalau macam tu, aku pindah balik
sinilah.” Yakin sahaja tutur kata encik Afdhal.
“Tak boleh!” laju aku melarang
keras.
“Apasal pula tak boleh?”
“Er... Hah, sebab Arena Printing tak
ada orang nak jaga. Sebab tu tak boleh.” Aku juga tunjuk riak yakin dengan
kataku. Ah, apa-apa ajelah. Asalkan ada jawapan. “Kalau ada orang nak ceroboh
masuk lagi macam mana? Siapa yang nak tengok?” api aku marakkan.
“Betul juga.” Encik Afdhal mengeluh.
“Eh, aku dah suruh Joe rahsiakan pasal hal tu. Macam mana kau boleh tahu?”
Aku
senyum kelat sambil ralat memikirkan jawapan. “Alah, sekarang semua maklumat
kat hujung jarilah, encik Afdhal. Tak boleh nak rahsia-rahsia dah.” Panjang
lebar jawapan yang aku beri. Menutup kesalahan abang Joe. Jika bukan dia yang
membocorkannya, pastilah itu angkara abang Joe. Bukankah hanya mereka berdua
yang tahu? Itupun dia tidak dapat fikir?
“Habis tu macam mana sekarang?”
“Kita balik dululah, encik Afdhal. Lagipun
senang aje nak cari bilik sewa. Kawan saya ramai kat KL ni. Mesti boleh
dapatlah.” Bersungguh aku.
Encik Afdhal merenungku. Dia nampak
kurang yakin dengan apa yang aku nyatakan. Bunyi telefon bimbitku kedengaran.
Menyelamatkan keadaan. Dalam poket seluar rupanya telefon bimbitku. Macam mana
boleh tak perasan? Nama abang Joe tertera, membuatkan aku sangat-sangat senang
hati.
“Abang Joe.” Aku tunjukkan skrin
telefon pada encik Afdhal. Mahu dia melihatnya sendiri. Panggilan aku jawab.
“Assalamualaikum abang Joe.”
“Wa’alaikumusalam. Ana call abang Joe, kenapa?” soal abang Joe.
Kedengaran dia tergesa-gesa. Mahu cepat agaknya.
“Oh, tak ada apa.” aku ukir
senyuman. Berbual dengan abang Joe, sedangkan mataku hanya tertumpu pada encik
Afdhal yang tak henti-henti memerhati.
“Kalau tak ada apa-apa, okeylah.
Abang Joe pun nak cepat ni.”
“Okey abang Joe.” Talian dimatikan
oleh abang Joe. Mendatangkan idea di fikiran. “Betul ke abang Joe?” aku sudah
mula berdrama. Dah terasa macam encik Afdhal pula. Bercakap dengan orang yang
tak ada. Terpaksa! “Okey. 250, okey sangat dah tu. Setuju!” aku senyum lebar.
Buat-buat gembira.
“Saya tak kisah abang Joe. Petang ni saya
masuk.” Aku sambung perbualan yang sudahpun lama mati. “Okey. Terima kasih
abang Joe.” Kali ini, barulah aku selesai berbual.
“Fuh, lega. Settle dah. Saya dah dapat bilik. Abang Joe carikan.” Berita palsu
itu aku khabarkan pada encik Afdhal.
“Senang pula Joe dapat bilik.” Ragu
encik Afdhal.
“Itulah kan? sayapun macam tak
percaya. Dah rezeki saya agaknya.” Aku tampal kembali lubang-lubang kepercayaan
yang mula bocor.
“So, betul kau tak nak duduk sini?”
soal encik Afdhal sambil memandang rumahnya seketika.
“Tak! Tak apa.” cepat aku jawab.
“Okey. Kalau macam tu, kita masuk
minum ajelah. Mak Pah dah siapkan air tu agaknya.” Encik Afdhal sudah berjalan
untuk masuk ke rumahnya.
“Bos!” panggilku.
“Apa lagi?”
Keras
suara encik Afdhal. Membuatkan terbantut terus rancanganku mahu berbohong
dengan menyatakan yang aku sedang berpuasa. “Saya masuk sama ya.” Alih-alih
ayat itu pula yang keluar. Dengan terketar kaki melangkah. Namun hati
mengingatkan supaya berlagak tenang.
Masuk
saja ke dalam bangunan usang itu, aku dijemput duduk di atas serpihan batu
tembok yang pastinya kelihatan seperti sebuah sofa empuk pada pandangan encik
Afdhal. Tetapi aku menolak dengan alasan aku mahu meninjau di sekitar rumah.
Ada baik aku mengelak daripada duduk dekat dengan encik Afdhal. Bahaya!
Encik
Afdhal meminta diri. Katanya mahu emnjenguk mak Pah di dapur. Jadi aku biarkan.
Aku melangkah setapak demi setapak, melewati kawasan rumah yang sudahpun tiada
punya apa-apa. Mata mengamati tiang-tiang yang banyaknya bertompokkan hitam
pekat. Cuba mengkaji sendiri, bagaimana rumah itu boleh terbakar?
“Tengok
apa tu?”
Teguran
encik Afdhal, sedikit memeranjatkan. Encik Afdhal datang menghampiri. Kini dia
juga turut memandang tembok yang aku pandang.
“Ini
gambar keluarga aku. Inilah emak dengan ayah aku yang kau nak jumpa sangat tu.”
Mendengarkan
kata encik Afdhal, aku yang kembali memerhatikan tembok yang baru tadi aku
buang dari pandangan. Terdiam aku tanpa kata.
“Yang
kat situ pula, semuanya hasil tangan sejak aku sekolah tadika lagi. Apa aje
yang aku buat, mak aku akan frame dan
gantungkan.” Encik Afdhal menghalakan tangannya ke sebelah sana.
Aku
masih diam. Bagaimana aku mahu bersuara sedangkan aku tak nampak apa-apa? Kemudian encik Afdhal beralih tempat.
“Sini,
aku nak tunjuk kat kau sesuatu.”
Aku
terpaksa menuju ke arah encik Afdhal.
“Nampak
gambar-gambar atas meja ni?”
Aku
renung ke dalam mata encik Afdhal. Bolehkah aku menyatakan bahawa aku tidak
dapat melihatnya? Apa akan jadi kalau aku berkata begitu? Tidak, aku tidak
patut! Mungkin dia sedang cuba menceritakan sesuatu. Aku patut terus mendengar,
“Nampak!”
aku berbohong.
“Semua
ni gambar aku.” Tersenyum encik Afdhal. “Yang ni masa aku umur setahun. Masa
ni, aku dah besar sikitlah, dah lima tahun. Ini tujuh tahun.”
“Banyaknya.”
Kataku sepatah. Sekadar menghidupkan lagi penceritaan.
“Mestilah.
Setiap kali birthday aku, aku kena
bergambar. Mak dengan ayah aku cakap, dia tak nak hilang satu kenanganpun pasal
aku. Aku satu-satunya kesayangan dia orang. Aku seorang aje tau!.” Encik Afdhal
nampak bangga.
Aku
pula mengangguk tanda mengerti. Ada sesuatu yang dapat aku baca kini. Encik
Afdhal punya sebuah keluarga yang bahagia. Sangat bahagia! Tapi apa yang
membuatkan dia mengatakan bahawa dirinya tidak dimaafkan emak dan ayah yang
kelihatan begitu menyayangi dia? Apa yang berlaku. Makin galak rasa ingin tahu.
BAGASI yang aku bawa membataskan pergerakkan. Aku
mahu segera jauh dari Arena Printing sebelum dilihat oleh encik Afdhal. Waktu
kerja sudah lama tamat. Sepatutnya aku sudahpun sampai dan beristirehat di dala
bilik sewaku. Ataupun setidak-tidaknya aku kini dalam perjalanan ke sana. Tapi
sehingga waktu ini aku masih berada di Arena Printing.
“Ana.”
Panggilan yang kuat itu membuatkan langkaah kaaki tidak dapat
diteruskan. Abang Joe sedang berlari anak, mengejarku.
“Ana pergi mana dengan Afdhal pagi
tadi?” soal abang Joe sebaik saja kami bertentangan.
Adakah aku perlu membuka cerita? Itu
yang menjadi persoalan. “Pergi rumah encik Afdhal.” Aku berkeputusan bercakap
jujur.
“Rumah Afdhal?” kening abang Joe
berkerut seribu.
Aku mengangguk.
“Rumah mana?”
“Rumah
encik Afdhallah, abang Joe.”
“Rumah
atas bukit tu?”
“Ha’ah.” Aku balas sepatah.
Abang Joe awnyum sikit. “Tipulah.” Enggan
dia percaya.
“Betullah, abang Joe. Ana tak tipu.”
Mulut abang Joe terkunci rapat.
Hanya matanya yang berbicara. Berbicara tentang sesuatu yang tidak dapat aku
faham.
“Rumah yang dah hangus terbakar tu?”
Kali ini aku hanya menganggukkan
kepala. Tidak larat untuk mengiyakan benda yang sama berulang kali.
“Mustahil.”
“Kenapa pula mustahil?” tanyaku,
tidak puas hati. Mengapa abang Joe masih tidak mahu mempercayainya?
“Lepas rumah tu terbakar, tak ada
orang yang berjaya bawa Afdhal balik ke rumah tu lagi.”
Aku terkedu. Benarkah begitu?
“Abang Joe rasa tak sedap hatilah
Ana.” Luah abang Joe. “Abang Joe takut keadaan Afdhal bertambah teruk.”
Kegusaran abang Joe telah
menambahkan kerisauan aku. “Janganlah abang Joe cakap macam tu, mungkin...”
“Hah, borak apa ni?” encik Afdhal
sampai pada masa yang tidak sesuai.
Langsung
tidak sempat aku menghabiskan kata. Aku dan abang Joe terus mengubah riak
wajah. tidak mahu encik Afdhal mengesyaki apa-apa.
“Mana
kau dapat bilik Joe?” Afdhal memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket
seluar.
“Bilik,
bilik apa?” abang Joe tidak mengerti.
Aku
pula jadi tidak senang duduk. Takut rahsia bocor. Tangan aku lambaikan pada
Abang Joe, sebagai isyarat. Tapi abang Joe hanya fokus memandang kawan baiknya.
“Bilik
sewa yang kau carikan tu lah. Tempatnya kat mana?”
“Bilik
sewa apa pula ni?”
“Abang
Joe ni, buat-buat lupa pula. Pagi tadikan kita ada cakap dalam telefon. Abang
Joe cakap dah dapat bilik sewa.” Berkali-kali aku kenyitkan. Kalau abang Joe
tak faham juga, habislah aku.
Lama
abang Joe memikir. Sekilas matanya memandang bagasi hitamku. “Oh, ye la. Bilik
sewa tu kan? Ada... Ada...”
Jantungku
tidak jadi jatuh. Abang Joe telah menyelamatkannya. Selamat juga akhirnya.
“Kat
mana?” encik Afdhal bertanyakan soalan yang sama seperti tadi.
“Dekat
ni ha...” gagap abang Joe menjawab.
“Dekat
mana?” tekan encik Afdhal.
“Apa
tu namanya... Ha, Kampung Baru. Betul, Kampung Baru.” Teranguk-angguk abang
Joe. Membenarkan kata-katanya sendiri.
“Kau
nak pergi sana macam mana? Joe hantarkan ke?”
Pandangan
encik Afdhal sudah beralih kepadaku pula. Bermakna, akulah orangnya yang perlu
menjawab pertanyaan itu. “Tak. Kawan abang Joe ambil. Dia tunggu dekat stesyen
lrt kan abang Joe?” aku pura-pura mendapatkan kepastian daripada abang Joe.
“Ha’ah.
Betullah tu.”
“Kau
nak naik kereta orang yang kau tak kenal?”
Pertanyaan
itu tidak dapat aku jawab. Betul juga cakap encik Afdhal.
“Kawan
aku tu baiklah. Tak ada apa yang nak dirisaukan.” Sekali lagi abang Joe
membantu.
“Saya
pergi dululah. Assalamualaikum.” Terus saja aku tarik bagasi. Tak boleh terus
ada di situ. Cepat-cepat aku minta diri.
Tanpa
menghiraukan apa-apa, aku berjalan terus. Kalau boleh aku mahu cepat hilang
daripada pandangan mereka. Barulah aku akan rasa selamat. Apabila rasa aku
sudah jauh, langkah aku perlahankan kembali. Pergi ke stesyen lrt. Tapi untuk
apa? kemana destinasi aku seterusnya? Di mana aku akan tumpang tidur malam
nanti?
Bagaimanalah
dengan abang Naim sekarang? Tiba-tiba sahaja hati rindukan lelaki yang bernama
Naim Zulkarnain. Adakah dia betul-betul senang dengan ketiadaanku? Masih ada
harapan di hati, semoga dia juga sedang merindui aku seperti mana aku rindu
padanya.
Stesyen
lrt sudahpun kelihatan. Ramai orang di situ. Masing-masing berebut masa, mahu
pulang segera. Aku mengambil tempat duduk. Termenung aku memikirkan takdir.
Sekali sekali aku menoleh ke kiri dan kanan. Sekadar memenuhi masa. Sampai bila
aku mahu duduk di situ? Aku perlu fikirkannya dengan serius sekarang. Tidak
lama lagi cahaya terang bakal hilang, digantikan dengan gelap. Maka, aku perlu
beredar, mencari tempat berlindung segera.
Belumpun
sempat terfikirkan apa-apa. Kelibat encik Afdhal kelihatan menghampiri. Dapat
pula dia menghidu kedudukanku. Apa lagi yang encik Afdhal mahu? Rasa bosan
diekori begitu. Letih melayan kerenahnya. Aku tetap berdiri sewaktu encik
Afdhal semakin dekat. Tanda menghormati dia sebagai seorang ketua.
“Tak sampai lagi ke kawan Joe?”
“Tak lama lagi sampailah tu. Encik
Afdhal buat apa kat sini?” sebenarnya aku tidak ingin bertanya. Tapi aku tidak
punya ayat lain untuk dikongsi bersama. Hanya itu yang ada.
“Suka
hati akulah aku nak buat apa kat sini.”
Jawapan yang diberikan begitu
menyakitkan hati. Jawapan yang sangat lali didengar telinga. Pasti dia sendiri
tidak punya alasan. Aku malas mahu layan lagi. Rasa terganggu dengan
kehadirannya.
“Hah, dah sampai dah. Saya pergi
dululah encik Afdhal.” Kereta yang baru sahaja berhenti tidak jauh dariku
menjadi sasaran untuk melepaskan diri. Bagasi aku tarik dan membawanya ke
kereta merah yang mungkin sedang menunggu seseorang yang lain. Aku sudah tidak
peduli. Aku akan tebalkan muka.
Sampai sahaja, aku terus membuka
pintu belakang kereta, dan memasukkan bagasi. Kemudian aku dapatkan pula pintu
tempat duduk penumpang hadapan. Setelah berjaya di buka, aku terus masuk ke
dalam. “Kak, minta maaf ya. Saya nak tumpang sekejap aje dalam kereta akak ni.
Boleh ya kak?” Segera aku menjelaskan. Wanita yang berumur dalam lingkungan
akhir empat puluhan itu memang terkejut. Riak wajahnya begitu jelas kelihatan. Terkelip-kelip
matanya.
“Lima minitpun jadilah kak.” Aku mohon
lagi. kemudian, wanita itu mengangguk bersetuju.
“Terima kasih kak.” Aku ucapkan kata
penghargaan.
Encik Afdhal sudahpun berpatah
balik. Sempat aku lambai, sewaktu dia melintasi kereta yang sedang aku naiki. Bukan
segaja aku mahu mengelak diri. Sungguh aku letih hari ini. Lelah dengan apa
yang sudah menimpa diri.
Telefon yang berbunyi segera aku
angkat. Abang Joe di talian. “Ya, abang Joe.”
“Ana dekat mana sekarang? Dah dapat
bilik sewa?”
“Dekat stesyen lrt lagi. Belumlah abang Joe. Anapun
tengah pening ni.”
“Ana tunggu situ. Bos kak Lin dah
kata nak tumpangkan Ana kat rumah dia.”
Bos kak Lin? Otakku mula mentafsir
maklumat yang baru saja aku terima. “Maksud abang Joe, cik Dahlia?”
“Hah. Oh, Ana kenal dengan dia?
Patutlah dia nak tolong.” Abang Joe berceloteh. “Ana tunggu situ, nanti sekejap
lagi dia sampai.” Abang Joe mengarahkan.
“Terima
kasih abang Joe.” Aku sudah senyum. Aku yakin abang Joe bercerita pada kak Lin.
Lalu kak Lin mendapatkan bantuan kak Dahlia. Rasa senang di hati. Bersyukur,
kerana tidak ada apa-apa lagi yang perlu aku risaukan. Setidak-tidaknya aku
boleh meminta keizinan kak Dahlia untuk tinggal di rumahnya sehingga aku
berjaya mendapatkan bilik sewa.
Kak
Dahlia memang baik hati. Patutlah encik Afdhal bukan main suka! Kalaulah encik
Afdhal tahu kisah ini. Pasti dia akan melompat gembira. Dengan adanya aku duduk
menumpang di rumah kak Dahlia, itu bermakna, makin dekatkah dirinya dengan kak
Dahlia. Dahlia! Saat ini terimbas pula pada Villa Dahlia. Apakah villa itu ada
kaitan dengan kak Dahlia? Bertambah persoalan dalam kotak fikiran.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualikum semua. Selamat mmbaca entry 19. Just want to say... Sampai satu tahap, AH sendiri jadi keliru. Naim Zulkarnain & Muhammad Afdhal? Mungkin AH semua buat vote utk tentukannya kut... hi boleh gitu? Jumpa next entry. :)
32 comments:
kasihan ana yg jadi mangsa... hehehe
semangkin menarikkk
En. Afdhal nie makin lama makin scary la... huhu seram...
i nak vote for Abang Naim.. then Abang Naim and Ana bleh sama2 tolong En. Afdhal.. bleh tak cam tu??
Saya mau Ana dan Naim sebab mereka suka satu sama lain. Rasa macam bodoh je mak Naim larang hubungan mereka kerana mereka sepupu. Tapi saya suka part afdhal dgn selena gomez kelakar tapi menakutkan hehehe. Harap Ana dapat bantu Afdhal dan mana tau mmg jodoh afdhal dgn dahlia :)
Makin menarik. Best sangatlah karya Adah! Awesome! Nak vote utk Afdhal.
wah... memang lain dari lainlah. risau pula dengan keadaan Ana. hehe. saya sokong Encik Afdhal! haha. terima kasih kak Adah :)
ya rabbi...sabar je lah dgn afdhal..
bole naik gila sekali dgn dia... hehehe...
tp ana sweet sgt sbb pandai amik hati afdhal..
sebab tu afdhal sayang sungguh kat ana...
:)
nak vote untuk afdhal.. :)
Salam.. saya sgt2 suka cite ni. Saya vote for naim walaupun mcm suka gak kt afdhal tu. Hehe.. rasa berdebar plk nk tau kesudahan citer.
Ilyana.
ana naim
Afdhal....
Skog afdal..mna taw ana blh bantu afdhal dr pykitnya.. Tp myeramkn btl klo tkne mcm stuasi ana nie...mau ketar lutut...oh tidakkkk...dmam 1 mgu..
Afdhal
lebih baik afdhal....sifatnya yg misteri buat org tertnye-tnye...wataknya
pun kena dgn crita...ar..x sbr nak tnggu next n3
rasanya afdahal x lah gila..cuma trauma kehilangan orang tersayang jer kot..mesti ana dapat bantu afdhal..saya sokong ana dengan afdhal...AH x sabar nak baca next n3 heheh teruskan usaha yer..
-nur-
Saya sokong afdal....misteri orangnya..l
vote for Ana & Afdhal. kalo ana dgn naim... jln cerita stereotype love story... so nk ana ngan afdhal.. misteri, lovey dovey, thrill and paling penting ana mampu tolong afdhal pulih semula... ana sumber kekuatan afdhal n cinta ana akan beralih arah kepada afdhal... pls AH...
Vote for afdhal...moga ana dpt menjadi penyembuh utk afdhal.......
Watak Afdhal sgt2 menarik walaupun a bit scary, maybe because of terlampau trauma. That's why dia jadi very imaginative. Pls Ana, tolong cure Afdhal ye. Maybe cinta ana mmg milik afdhal. who knows? So vote for afdhal!
Takot siot...Vote for Mohammad Afdhal...
nak ana ngan abang naim.. sweet sngat diorng 2 tu..
Bestlah cerita ni. Masa bab en Afdhal gelak juga baca tapi masa bab Ana dgn Naim sedih sangat. Cian Ana. Yang Naim nak marah, kenapa pulak. Patut dialah yang bertegas dgn mak dia. Apapun saya nak Ana dengan Afhdal.
ana-afdhal
ana bole sama2 tlg rungkaaikn misteri nusantara ni =p
thanks for this entry adah
ana Jgn Jatuh Cinta ngan afdhal..ana berhak dpt naim cumanya watak naim tu kena kembangkan lagi..nampak gaya mcm adah mmg nk satukan ana dan afdhal ye
-chah husain-
Assalamualaikum
Terima kasih kpd semua yang meninggalkan vote & pendapat. Insya'ALLAH pandangan semua akan AH kaji teliti. Tapi soal hati dan perasaan susah juga nak cakap kan... Kalau AH, AH nak Ana pilih...... hi2 xpela AH rahsiakan buat sementara waktu ya. Terima kasih kpd semua pembaca setia JJC. Semoga terus menyokong JJC. Slmt berpuasa semua.. :)
Akak nak ana ngan afdhal
...DG siti...
afdhal..
salam...
hmm..nampaknya most of the reader nak afdhal la kak AH..even saya pun nak Ana & Afdhal..dorang mcm ada chemistry n ble masuk..wlupun Afdhal cenggitu...hehe..vote for Ana & Afdhal..nama da sama da A&A..ehehhe...
jln cerita yg sgt menarik...tertunggu2 next episod...pasti lebih bermutu..thanks for sharing kak AH..keep it up!
nak Naim!!!! Tak nak Afdhal plizz.....Afdhal menakutkan. Belum tentu otak dia betul
tak nak afdhal ! nk naim ... vote 4 naim
kalau sya , sya sokong naim lagi lah dri afdhal .
Naim plssss
vote sy nie dikira lagi x kak...saya nk vote utk Afdhal
Post a Comment