12
Hari ini nasib aku memang malang.
Dahlah putus cinta, kini tertangkap pula. Wajah sengaja aku tundukkan.
Jari-jari kaki berlaga sesama sendiri. Tidak senang duduk. Seolah menyalahkan
antara satu sama lain. Sejak dari tadi encik Afdhal hanya mendiamkan diri. Dia
hanya memandang ke arahku, tanpa suara. Itu lebih baik kerana kalau dia sudah
membuka bicara, belum tentu aku dapat menjawabnya.
Angin petang semakin bertiup
kencang. Badanku mula sejuk. Berdiri lama di tempat tinggi begitu boleh
membuatkan kakiku cramp. Sampai
bilalah agaknya kami nak berdiri berhadapan begitu? Dah macam adegan dalam
filem-filem pula. Takkan nak berdiri sampai ke subuh? Masalah besar ni!
“Apa yang kau buat dalam rumah aku?”
Soalan pertama dah sampai. Aku
yakin, akan ada soalan-soalan yang lain bakal menyusul kalau soalan itu aku
jawab. Jadi aku bertindak mendiamkan diri. Membisukan mulut.
“Aku
baru nak berbaik-baik dengan kau, kau dah buat perangai. Apa yang kau nak pada
aku sebenarnya?”
Pertanyaan yang baru singgah ke telinga
membuatkan aku mengangkat wajah. Mata encik Afdhal yang merah itu aku pandang.
Hanya itu yang mampu aku buat. Tiada jawapan yang mampu aku beri.
“Kau memang takkan jawabkan? Okey.
Kalau macam tu kita terus berdiri kat sini sampai kau buka mulut.” Encik Afdhal
membuat keputusan.
“Alah, saya tak sengaja. ” Aku
terpaksa juga. Tak mahu aku berdiri di situ sampai subuh.
“Bohong.”
“Saya tak tahupun tu rumah encik
Afdhal. Saya ingatkan stor juga. Saya masuk ajelah. Sampai aje kat dalam saya
tengok, eh ada katil dengan almari. Rumah orang rupanya.” Dengan bersahaja aku
tukar penjelasan. Harapnya kali ini menepati skema jawapan.
“Bohong.”
Aku
lemah. Itu juga tidak diterima. Jadi apa lagi yang perlu aku katakan?
“Kau
nak mencurikan?”
Aku
buat muka tak puas hati dengan pertuduhan itu. Asyik-asyik nak kata aku
mencuri. Dah tak ada modal lain agaknya! “Banyak ke, harta yang encik Afdhal
simpan dalam rumah? Ada yang hilang?” aku pulangkan kembali soalan padanya.
Biar dia fikir sendiri. Dahlah rumah macam tongkang pecah. Pencuri nak masukpun
tak ada selera. Marah betul hatiku.
“Habis
tu kau buat apa kat dalam tu?” encik Afdhal memeluk tubuh.
“Saya
saja masuk, nak tengok.” Aku tak pandang lagi wajah encik Afdhal. Rasa marah masih
membuak-buak.
“Tengok
apa?”
“Apa-apa
ajelah yang boleh membantu siasatan.” Pantas aku balas tanpa berfikir panjang.
“Siasatan
apa?”
Opss...
alamak terlepas cakaplah pula. Tangan sudah memukul mulut. Laju saja
tindakannya. Marah punya pasal. Kalaulah aku boleh bersabar sikit tadi.
“Siasat
apa?” suara encik Afdhal makin meninggi.
Aku
melangkah setapak ke belakang apabila encik Afdhal maju selangkah
menghampiriku. “Kau siasat apa ni?” tengking encik Afdhal. Kakinya makin laju
mara menghampiri, dan aku terpaksa mengundur menyelamatkan diri.
Langkahku
tersekat. Tidak dapat berganjak. Aku pandang belakang. Tidak ada lagi jalan
melainkan aku berani untuk terjun ke bawah.
“Sekarang
mana kau nak lari? Terjunlah kalau kau berani?”
Kata-kata
itu menghantar pandanganku sekali lagi ke bawah. Memang aku tak berani. Kalau
aku Kluang Man ke, Superman ke, Ultraman ke, Spiderman ke, itu tidak menjadi
masalah bagiku. Memang dah lama aku terjun.
“Baik
kau cakap. Apa yang kau siasat? Cakap!”
“Saya...”
aku terketar-ketar. Tak boleh. Aku tak boleh beri tahu hal sebenar. Tapi aku
perlu menjawabnya sebelum encik Afdhal hilang waras. Nanti tak pasal-pasal aku
dicampak ke bawah. Mesti umi ingat aku bunuh diri sebab putus cinta. Ya Allah,
minta dijauhkan... aku masih ada secebis iman.
“Saya...”
masih tidak ada jawapan yang mampu aku berikan.
“Saya
apa!” Kuat tengkingan encik Afdhal. Lebih kuat dari tadi.
“Saya
nak siasat macam mana nak dapatkan hati
encik Afdhal.”
“Hah?”
Nyata encik Afdhal terkejut.
“Saya
suka encik Afdhal. Saya nak tahu encik Afdhal suka apa, jadi saya masuk
tengok.” Aku sendiri terkejut dengan apa
yang keluar dari mulutku. Sungguh aku tak rancang. Kata-kata itu keluar sendiri
umpama air mengalir. Ah, tak kisahlah. Janji selamat!
Encik
Afdhal terdiam. Hanya memandang wajahku. Air mukanya sudah berubah. Jantungku
masih laju berlari, nafas tetap turun naik dengan pantas. Tapi
sekurang-kurangnya hati aku lega apabila encik Afdhal sudah beberapa langkah ke
belakang. Tidak lagi hampir denganku. Lega...
“Kenapa
kau suka aku?” lemah suara encik Afdhal. Namun tetap boleh didengar.
Ini
yang aku malas. Banyak sangat soalan yang perlu dijawab.
“Kita
tak perlukan alasan untuk sukakan seseorang.” Aku ucapkan dialog yang biasa aku
dengar daripada cerita-cerita cinta di kaca televisyen. Itu aja jawapan yang
ada.
“Tak
boleh. Kau tak boleh suka kat aku!”
“Sebab?”
aku sengaja melayan. Nak tahu juga jawapan daripada orang bermasalah.
“Aku
suka kat orang lain.”
“Siapa?”
masih aku menyoal walaupun aku sudah tahu gerangan yang bakal disebut oleh
encik Afdhal.
“Dahlia.”
Pantas encik Afdhal menjawab. Penuh rasa yakin. Nampak sangat nama itu sudah
lama bertapak di hati.
Aku
buat-buat kecewa. Kononnya bersedih. Padahal, aku tak pedulipun. Yang penting
hal sebenar tak bocor. Kadang-kadang ada rasa simpati buat encik Afdhal.
Mustahil kak Dahlia membalas cintanya. Sabarlah encik Afdhal. Beginilah namanya
hidup.
“Eh,
kejap...” nada suara encik Afdhal bertukar.
Aku
sudah rasa tak sedap hati.
“Lelaki
pagi tadi tu bakal tunang kau kan? Macam mana kau boleh suka kat aku pula?
“Er...”
terkulat-kulat aku mencari jawapan. “Encik Afdhal tak faham pasal cinta.
Kalaulah saya boleh jelaskan...” aku tunduk lagi bersama wajah sayu.
“Ah...
apa-apa ajelah. Yang penting kau jangan pandai-pandai suka aku. Aku tak
izinkan.” Amaran keras keluar dari mulut encik Afdhal.
Aku mengangguk lemah, berlagak tidak berdaya
dan menerima segalanya dengan pasrah. Encik Afdhal berlalu begitu saja. Tidak
lagi mempersoalkan apa-apa. Aku masih terus berdiri di situ. Bukan menangisi
takdir, tapi menunggu sehingga encik Afdhal tidak kelihatan. Setelah encik
Afdhal menghilang, aku mengundang senyuman datang. Tak sangka boleh selamat.
“Ceh,
siap warning lagi. Ingat aku
betul-betul suka dialah tu. Huh, jauh panggang dari api!” aku membebel sendiri.
Apapun aku semuanya sudah kembali seperti sedia kala.
TELEFON
bimbit berdering berkali-kali. Panggilan daripada abang Naim. Sengaja aku tidak
mahu menjawabnya. Aku perlukan masa untuk pulihkan hati. Mungkin memakan masa
sejam lagi, atau mungkin juga seratus tahun lagi. Jadi telefon aku biarkan
terus berdering dari dalam poket seluar.
Sudah lama aku tiba di terminal
Putra Lrt. Cuma aku yang enggan meneruskan perjalanan pulang. Berhadapan dengan
keluarga abang Naim pada tika ini bukanlah sesuatu yang mudah. Aku perlukan
kekuatan. Kalau ada umi, mungkin aku mampu bertahan.
Aku
duduk di perhentian bas di hadapan Terminal. Menyaksikan kenderaan lalu lalang.
Perut sudah menyanyikan lagu
kelaparan. Memang Lapar. Tapi hati tidak ada rasa mahu pulang. Waktu Isyak akan
masuk beberapa saat lagi. Biasanya saat-saat begini aku sudah berada di hamparan
sejadah. Menunggu masuknya waktu sambil mengisi masa dengan mambaca tafsir
Al-Quran. Tapi hari ini?
Kalaulah
aku ada sesiapa yang aku kenal di sini, alangkah bagusnya. Fina! Bagaimana aku
boleh lupa akan Fina. Lama sungguh tidak mendengar khabar Fina. Dia langsung
tidak menghubungi aku? Aku pun sama.
“Lebih
baik aku call dia.” Tanganku menyeluk
poket. Telefon dikeluarkan. Panggilan mual dibuat.
“Assalamualaikum.”
Aku gembira apabila talian bersambut.
“Wa’alaikumusalam.”
Hambar suara Fina.
“Kau
apa khabar? Macam mana praktikal okey ke?” soalku, beriya ingin tahu.
“Okey
tu, memanglah okey. Tapi letihlah. Dah macam office girl kat tahu tak? Kalau
aku tahu macam tu, lebih baik aku praktikal kat tempat abang aku.” Fina
meluahkan rasa.
“Tempat
abang kau?”
“Aik,
Ana... melampau nampak. Takkan tak ingat? Kau praktikal kat syarikat abang aku
kut!”
Aku
gigit bibir. Aduh, terlupa! Mungkin sebab aku dah tahu hal sebenar. Tapi kenapa
Fina beriya-iya mengatakan bahawa encik Adhal tu, abang dia? Aku sendiri pelik.
“Alah, gurua aje. Janganlah marah.” Cepat-cepat aku tukar nada. Mahu Fina
menganggap yang aku benar-benar sedang
bergurau.
“Abang
aku tu okey, tak?” soal Fina. Kini suaranya kembali ceria.
“Encik
Afdhal tu? Mengenangkan dia abang kau, maka aku terpaksalah cakap okey.” Aku
ketawa.
“Kau
ni...” Fina marah. “Dia kat sana macam mana? Kau selalu bercakap dengan dia
tak?” Fina ingin tahu.
Aku
menarik nafas sebelum menjawab pertanyaan Fina. “Aku ni manalah sempat nak
berborak dengan bos. Kerja akupun banyak.” Aku jawab ala kadar. Sekadar
menyedapkan hati Fina.
“Dia
ada makwe tak?”
“Eh,
kau ni. Kau kan adik dia, takkan kau tak tahu?” aku membetulkan tudung yang
diterbangkan angin malam.
“Dia
mana nak bagi tahu aku. Sibuk nak berahsia. Kau kat sana, takkan kau tak tahu?”
Fina tetap mahu mengorek cerita.
Aku
tak sampai hati nak menceritakan hal sebenar, kerana saat ini aku dapat rasakan
bahawa Fina mempunyai perasaan pada encik Afdhal. Patutlah awal-awal lagi dia
dah bagi amaran pada aku supaya jangan jatuh cinta kat encik Afdhal. “Manalah
aku tahu. Kau ingat aku ni spy ke?”
“Kau
macam mana?”
“Macam
mana apa pula?”
“Iyalah,
dah kerja satu bumbung. Manalah tahu kut-kut kau dah tersangkut kat abang aku
tu...” panjang nada Fina. Ada bunyi gusar dibelakangnya.
“Tolonglah,
Fina. Kau macam baru kenal aku semalam. Kau tahu siapa yang ada kat hati akukan?”
“Alah,
sedangkan pantai lagi berubah...” Fina mula berkias bagai.
“Tak
ada maknanya. Yang kau risau semacam ni kenapa? Takkan kau suka kat abang kau
sendiri, kut?” aku sudah tidak punya cara lain. Sebelum Fina terus fikir yang
bukan-bukan, lebih baik aku buat dia terdiam.
“Apa...apa
pula. Mana ada.” Gagap Fina bersuara.
“Ha,
tahupun...” aku ketawa.
Hon
kenderaan yang bertalu-talu bunyinya begitu mengganggu perbualan.
“Bisingnya,
siapa main hon tu?” Fina dalam talian turut mendengar.
“Entahlah.”
Aku tidak ambil endah. “Okaylah, bisinglah. Nanti kita borak lagi.” Aku sudah
berniat mematikan talian. Sudah tidak tahan dengan gangguan yang kedengaran.
“Okay.
Assalamualaikum” balas Fina, bersetuju perbualan ditamatkan.
“Wa’alaikumusalam.” Talian diputuskan.
Selesai perbualan kami. Telefon aku masukkan dalam beg tangan. Dah ada kekuatan
nak balik ke ni? Aku tanya diri sendiri. Kemudian aku duduk termenung sendiri.
“Dah habis bergayut?”
Ada suara menyapa tiba-tiba. Begitu
hampir dengan telinga. Aku palingkan wajah pada arah suara yang baru saja
kedengaran.
“Abang Naim!” mulutku terngaga.
“Terkejut?” abang Naim mengeluarkan
kedua-dua tangan yang tadinya elok duduk di dalam poket seluar. “Tadi abang
bunyikan hon, tak dengar ke?”
Mulut yang terbuka luas, aku tutup
kembali. Kemunculan abang Naim sepatutnya menyenangkan hati. Tapi apa yang
berlaku adalah sabaliknya. Aku diamkan diri.
“Kenapa tak jawab abang call tadi?”
abang Naim tidak henti bertanya.
“Tak dengar.” Baru kali ini aku
menjawab.
“Patutlah.”
“Abang Naim buat apa kat sini?” giliran
aku bertanya. Beria-ia aku ingin mengelak dari bertemu muka dengannya.
Alih-alih, berjumpa pula di sini.
“Kebetulan abang nampak Ana, tu yang
abang berhenti. Jom balik.” Ceria saja wajah abang Naim.
“Abang Naim baliklah dulu, sekejap lagi
Ana balik.”
“Kenapa pula? Ana ada tunggu sesiapa
ke?”
“Taklah, Ana nak ambil angin sekejap.”
Aku beralasan.
“Tak payahlah, dah malam ni. Nanti
selsema macam mana?”
Aku lemah. Kata-kata penuh kasih
seumpama itulah yang akan membuatkan aku tewas dalam perjuangan untuk merelakan
pemergian abang Naim. Aku sudah tidak punya kata-kata. Aku bangun, dan bersedia
untuk beredar.
“Jom.” Abang Naim tersenyum.
“Abang Naim baliklah, Ana jalan kaki
aje. Nak exercise.” Terus saja aku
berjalan, meninggalkan abang Naim. Aku tidak mahu hati terus menaruh rasa pada
dirinya. Aku harus ikut cakap umi. Abang Naim harus dilupakan. Apapun caranya,
itu harus aku lakukan.
“Ana...”
Panggilan abang Naim sudah tidak aku
endahkan. Kaki terus melangkah laju bersama angin malam yang mengigit tubuh.
Alangkah bagusnya kalau esok adalah hari terakhir aku menumpang di rumah pak
lang! Tetapi itu mustahil. Aku harus belajar menghadapi kenyataan. Semoga Allah
permudahkan segalanya. Doaku sambil kaki terus melangkah.
Dari jauh kelihatan seorang wanita
sedang bersalaman dengan mak lang. Membuatkan hatiku jadi tidak enak. Adakah
dia bakal tunang abang Naim? Langkah kakiku kini aku kecilkan. Mahu lambat
sampai. Aku tidak mahu bertembung dengan mereka.
Hajatku dimakbulkan. Wanita itu terus
masuk ke dalam keretanya dan meninggalkan rumah mak lang. Lambaian tangan mak
lang menunjukkan betapa wanita iu sangat dialu-alukan kehadirannya. Penyakit
hati datang lagi. Cemburu!
Kini mak lang melambaikan tangan pada
aku. Selepas wanita itu, barulah aku terlihat di mata mak lang. Sungguh
menyedihkan. Namun aku tetap membalas lambaian mak lang. Pilihan seorang ibu,
pastinya yang terbaik buat seorang anak.
“Assalamualaikum mak lang.” Aku hulurkan
tangan sebaik sampai.
“Wa’alaikumusalam. Yang jalan kaki ni
kenapa?
Aku terdiam mendengar pertanyaan mak
lang. Soalan itu seakan tidak punya jawapan. Bukankah memang selalu aku
berjalan kaki untuk pulang? Jadi aku hanya mampu memerhati wajah mak lang.
“Kereta kamu mana Naim?” mak lang
mempersoal.
“Ada orang tu tak nak naik kereta, mak.
Nak exercise katanya.”
Aku terus menoleh apabila mendengar
suara abang Naim. Abang Naim masih menapak, menghabiskan langkahnya untuk sampai
ke arah kami.
“Habis tu, kereta kamu?”
“Ada kat tepi jalan.”
“Kalau kena saman nanti macam mana?”
“Kalau kena saman, Analah yang kena
bayar. Siapa suruh tak nak naik kereta tadi?” abang Naim menjeling manja.
Tidak terkeluar suaraku. Adakah ini bermakna
abang Naim mengekori aku dari belakang sepanjang perjalanan tadi?
“Suka hati kamulah.” Mak lang mengalah
dari terus bertanya. “Tapi kalau kamu cepat tadi, dapatlah jumpa dengan Emy.”
“Iya ke, mak. Rugilah... kalau tak boleh
tanya pendapat Ana.” Abang Naim menunjukkan wajah kecewa.
Senyuman yang ada pada bibirku kini aku
coretkan dengan penuh paksa. Kenapa abang Naim membawa namaku dalam hal ini?
terus hilang rasa terharu atas keprihatinan abang Naim tadi.
“Ana masuk dululah, mak lang.”
“Masuklah, Ana.” Mak lang mengizinkan.
Tanpa berlengah, aku terus bergerak
masuk. Tak mahu ikut campur urusan keluarga mak lang. Aku mengharapkan lega.
Cepatlah musim luruh pergi dari hati.
TERSENGGUK-SENGGUK aku di meja. Mata tak mahu
membuka dengan luas seperti biasa. Semuanya gara-gara abang Naim. Aku menguap. Tangan
kanan pantas menutup mulut. Tidak mahu syaitan berlumba-lumba masuk. Mengantuk
sungguh! Aku lihat jam tangan, masih ada lima belas minit lagi sebelum waktu
pejabat bermula.
“Ah, tidur sekejaplah.” Keputusan
dibuat. Aku bingkas bangun, masuk ke dalam ruang solat. Lebih baik tidur di
situ. Takkan ada yang kelihatan. Bantal kecil yang menjadi teman pelukan kerusi
dibawa bersama.
“Leganya...” kepala diletakkan atas
bantal. Sungguh nikmat.
“Hoi, tidur!”
Terus segar mataku yang baru saja
mahu pejam. Kelam kabut aku bangun. Encik Afdhal berdiri mencekakan pinggang.
Ketawa dia melihat aku yang tak tentu arah.
“Nak tidur ke, nak kerja ni?” encik
Afdhal masih berdiri di situ.
“Nak kerja. Tapi apa salahnya, belum
masuk waktu kerja lagi.” Terbantut terus niat untuk tidur. Aku terus mencapai
bantal kecil. Bangun, dan mahu kembali ke tempat duduk.
“Kau dah okey, ke?”
Soalan yang diajukan oleh encik
Afdhal membuatkan aku tertanya. Apakah encik Afdhal tahu rasa hatiku yang
dikecewakan oleh abang Naim? Seumur hidup aku, semalamlah, malam terpanjang,
yang pernah aku rasa.
“Kau tak kecil hatikan?” encik
Afdhal bertanya lagi, walaupun pertanyaan tadi belum berjawab.
“Nak kecil hati kenapa pula?” soalan
balas dariku. Kenapa aku perlu berkecil hati?
“Pasal hal semalam tulah. Aku bukan
apa, belum pernah ada perempuan yang cakap dia suka kat aku. Kaulah orang
pertama. Itu yang aku terkejut. Sorry
lah, aku bukan sengaja nak cakap macam tu, tapi pendek kata memang kau tak
boleh suka kat akulah.” Berbaris panjang kosa kata yang keluar dari mulut encik
Afdhal.
Aku terdiam sendiri. Bukan sebab
tekun mendengar penjelasan encik Afdhal, tapi terkejut kerana perkara semalam
diungkit lagi. Tak tahan! Macamlah aku betul-betul suka kat dia! Jangan kata berniat,
aku langsung tak pernah terfikirpun untuk jatuh cinta dengan dia. Minta dijauhkan.
Andai aku tak mampu miliki cinta abang Naim sekalipun, namun dia bukan teman
pengganti yang sesuai untuk aku. Dan pendek kata aku pula, memng takkanlah!
“Kalau macam tu, boleh tak encik
Afdhal jangan ungkit lagi hal ini. Saya dah cukup malu dah ni.” Oleh kerana aku
yang memandai reka cerita, maka terpaksalah juga aku menamatkan sendiri kisah
dongeng yang tercipta. Cinta tak kesampaian. Pengakhiran yang menyedihkan untuk
aku dan encik Afdhal!
“Oh, okay!” encik Afdhal bersetuju.
“Saya balik tempat dulu. Tumpang lalu.”
Aku minta diri. Selesai sudah kisah cinta kami.
“Sekejap. Nama kau apa?”
Aku memalingkan wajah. Kembali memandang
encik Afdhal. Sakit hati mendengar soalan itu. Hampir sebulan aku di sini, takkan
nama samaran akupun dia tak tahu? Atau dia sengaja buat-buat tak tahu?
“Selena Gomez.” Aku balas acuh tak
acuh. Tak guna aku bagi tahu nama sebenar. Belum tentu dia ingat. Malas!
“Selena Gomez... erm... pelik, muka kau
tak ada pula nampak macam orang putih.”
“Hah?” aku letih. Takkan itupun
encik Afdhal tak tahu? Haru betul. Ah, lantaklah. Bukan penting pun.
“Okeylah, sebenarnya aku nak tanya
kau ni. Kau ada dapat apa-apa note
daripada Dahlia tak?”
“Tak!”
“Takkan tak ada langsung?” encik
Afdhal tak puas hati.
“Tak ada. Kenapa?”
“Tak ada apalah.” Kecewa riak wajah
yang ditunjukkan oleh encik Afdhal.
Aku bersimpati. Pasti encik Afdhal
tertalu mengharapkan kak Dahlia. Nampaknya, kami sama-sama sedang dikecewakan
cinta. “Bos suka ke, kalau dapat nota hari-hari?” aku menyoal.
“Akulah orang paling bahagia.” Senyum,
encik Afdhal.
“Nantilah saya usahakan.” Perlahan suaraku.
“Apa dia?”
“Tak ada apa.” aku sengih.
“Pergilah buat kerja kau, Gomez!” encik
Afdhal terus pergi.
Bersambung...
Kata AH :
Alhamdulillah. Selamat sudah entry 12. Terima kasih kepada semua yg sudahpun menamatkan bacaan untuk entry kali ini. Insya'ALLAH, secepat mungkin akan dipostkan entry 13. Apa bakal terjadi seterusnya? Sama-sama kita nantikan ya. :)
6 comments:
best best best! thumbs up kak Adah!
Luculah tengok Ana dengan Encik Afdhal ni... hihi. ada aje yang nak digaduhkan.
thank u kak Adah. sambung lagi :)
ayat yg last tu paling best.. "Pergilah buat kerja kau, Gomez!"..muehehheeee...ada gak org lurus bendul cam afdhal nih..caya je org ckp ape pon..heh..
hahaha... dah jadi gomez.. sweet..
go lg adah.. tak sabar...
Ana kalau org yang dah x nak buat x tahu ja....
best pulak tengok perangai En Afdhal dan Ana ni...
sama-sama blur.... hahaha
alahai comel la plak si 'selena gomez' ngan encik afdhal nih... boleh jadi cute kapel la wei... dua2 sengal mcm lurus bendul n poyo gitu... paling best bila encik afdhal tuh perasan sgt si selena gomez tuh ada hati kat dia...eeeeiiiii sangat tak menahan okay .... ekekekeee... tak sabor nak tunggu sambungan...
Post a Comment