7
Akhirnya aku menyerah diri. Tak sanggup rakan-rakan yang lain menjadi
mangsa keadaan. Abang Ijad terkejut saat aku bangun dan keluar dari kumpulan
pakerja yang sedang berkumpul. Oleh kerana aku sudah ditemui, maka semua
pekerja dibenarkan bersurai untuk meneruskan kerja masing-masing.
Kini aku sedang berdiri, betul-betul
menghadap encik Afdhal dengan hati terketar. Encik Afdhal nampak tenang sedikit
berbanding tadi. Jika tidak masakan dia boleh kembali duduk di kerusinya. Kalau
aku tidak buat salah, aku takkan takut sampai begini. Memang aku yang ambil art block itu. Cuma aku saja yang belum
mengakui.
“Aku bagi kau masa 30 saat. Kalau
kau tak mengaku juga, kau boleh keluar dari pejabat aku. Kau tak payah datang
lagi!” Macam biasa, nada encik Afdhal kuat kedengaran.
Aku telan liur. Mata aku alihkan
pada abang Joe yang berdiri betul-betul di belakang Afdhal. Abang Joe
menggeleng. Mungkin dia tidak membenarkan aku mengaku. Harus atau tidak aku
menyatakan kebenaran?
“Apa ni, Afdhal. Kau tak boleh buat
dia macam ni. Dia baru aje masuk sini. Kau dah tuduh dia macam-macam.” Abang Joe cuba menjadi benteng pertahanan.
“Sebab budak ni baru masuk sinilah
aku yakin semua ni kerja dia. Sebelum budak ni datang, pernah tak barang-barang
aku hilang? Pernah? Tak pernahkan? Sejak dia masuk sini. Macam-macam benda
jadi!” Afdhal menyatakan ketidakpuasan
hatinya.
“Saya tak ambil.” Aku bersuara
akhirnya. Menafikan semua tuduhan yang ternyata benar.
Encik Afdhal terdiam mendengar
pengakuanku. Dia menggenggam tangannya lalu menghantak mejanya dengan kuat.
Terkejut aku dan abang Joe. Deru nafasnya turun naik. Menahan marah barangkali.
Tapi aku tetap kekalkan riak tidak bersalah. Walhal, dalam hati, tuhan saja
yang tahu tsunami sedang mengoncang.
“Okay... kau tak nak mengaku, tak
apa. Sekarang kau boleh ambil semua barang kau. Berambus dari sini. Aku tak nak
tengok muka kau lagi!”
Aku yang tadinya tunduk, kini mula mengangkat wajah. Mengharap abang Joe
membantu. Kalau ini benar-benar berlaku, bermakna aku akan gagal dalam subjek
praktikum. 6 jam kredit pula tu. Habislah markah semester akhir aku!
“Afdhal, kau tak boleh buat macam
ni. Dia kan tengah praktikal. Mana boleh kau nak halau dia suka-suka. Kita dah
bagi persetujuan pada universiti nak benarkan dia kat sini. Mana boleh kau buat
keputusan macam ni.” Abang Joe mula membawa wajahnya bersemuka dengan encik
Afdhal.
“Aku peduli apa! Aku nak dia keluar
sekarang. Blahlah!” jerit encik Afdhal.
Aku masih menjadi tunggul kayu di
situ. Duduk diam-diam walaupun sudah dihalau keluar. Aku tak boleh pergi. Kalau
aku pergi, itu bermakna aku akan gagal.
“Saya takkan pergi. Harap encik
Afdhal dapat bersabar dengan saya sampai bulan 4 nanti.” Aku nekad. Aku takkan
pergi. Apa nak jadi, jadilah.
Kaki sudah aku bawa meninggalkan
encik Afdhal dan abang Joe. Aku kembali ke tempat dudukku. Semua yang
berselerak aku kemaskan kembali tanpa memperdulikan sesiapa. Aku hanya akan
tinggalkan sini selepas bulan april berlalu.
Encik Afdhal datang melulu. Memang
nampak tidak puas hati. Tapi aku buat-buat tak tahu. Nampaknya dia begitu
bertekad mahu mengusir aku pergi.
“Eh, budak. Kau tak faham bahasa ke?
Aku suruh kau blah kan?”
Aku pekakkan telinga walaupun
kata-kata itu cukup jelas kedengaran dan begitu terang maksudnya. Kerja-kerja
mengemas aku teruskan seolah tidak ada apa-apa yang berlaku saat ini.
“Dahlah tu, Afdhal. Yang kau nak
halau dia sangat kenapa? Kan dia kata dia tak ambil art block kau. Betullah tu, takkan dia nak tipu.” Abang Joe masih
memainkan peranannya untuk membantu.
“Aku dah tak peduli. Dia ambil ke,
tak ke, aku tak nak tengok muka dia lagi. Budak ni penyibuk kau tahu tak! Encik
Afdhal enggan mendengar kata.
“Eh, Afdhal... Aku dah banyak
bersabar dengan kau. Tapi kali ni aku takkan bagi muka lagi. Kalau kau nak dia
keluar dari sini, itu maknanya kau nak aku pergi sama. Ana akan kekal kat sini
sampai dia habis praktikal.”
Tergamam aku mendengar kata abang
Joe. Biar betul abang Joe ni? Sanggup mempertahankan aku sampai macam tu
sekali. Sungguh terharu!
“Sekarang ni, kau bos ke, aku bos?”
encik Afdhal tidak puas hati.
“Memang kau bos. Tapi kau jangan
lupa, aku yang uruskan semua sejak kita buka company ni. Kalau kau rasa kau boleh handle semua, okay, aku boleh pergi.”
Encik Afdhal hilang kata sudahnya.
Mungkin dia tidak mampu untuk bertindak sendirian tanpa abang Joe.
“Lepas bulan april, aku tak nak
tengok muka dia lagi!” encik Afdhal sempat menendang mejaku sebelum dia pergi.
Alhamdulillah, aku panjatkan
kesyukuran. Abang Joe berjaya. Tidak aku sangka. Aku tersenyum memandang abang
Joe. “Abang Joe, Ana...” Ingin berterima kasih tapi bibir tidak dapat
meluahkannya.
“Dah, tak payah nak ucap terima
kasih. Abang dah jalankan tugas abang. Sekarang, giliran Ana pula.”
“Giliran Ana?” aku tidak faham.
“Hah, tengok tu. Ingat abang
suka-suka aje pertaruhkan kerja abang sebab Ana? Abang nak Ana tolong Afdhal.
Abang tak minta dia sembuh seratus peratus. Abang dah cukup senang hati kalau
dia dah boleh uruskan hidup dia sendiri. Abang harap Ana dengan bakal tunang
Ana boleh tolong abang.”
Bakal tunang? Aduh, pasti abang Naim
yang abang Joe maksudkan. Aku mengangguk lemah. Kini barulah aku mengerti
kenapa abang Joe beria-ia mempertahankan tempat aku di sini. Tapi itu sudah
cukup baik.
“Insya’ALLAH, Ana akan usahakan.
Sama-samalah kita berdoa.” Ucapku
perlahan.
SEJAK
kejadian tempoh hari, encik Afdhal sering aku perhatikan ada di ruang kerjanya.
Mungkin takut art block yang lain aku
ambil agaknya. Tapi aku tak peduli. Lagipun, bagus juga begitu. Kata abang
Naim, kalau boleh, jangan dibiarkan penghidap masalah jiwa ni duduk sendirian.
Dia harus sentiasa ada di sekeliling manusia.
Dan sejak hari itu juga mataku makin
sukar membuang pandangan jauh daripada encik Afdhal. Bukan sebab aku jatuh hati
pada dia. Itu tidak mungkin. Semua kerana semangatku untuk membantu. Setidak-tidaknya,
apabila aku tak ada nanti, encik Afdhal sudah mampu mengurus dirinya tanpa
bantuan abang Joe. Mahu juga aku dikenang sebagai orang yang berjasa, bukan
hanya pencuri art block
kesayangannya.
Sememangnya aku tidak punya niat
untuk mengeruhkan lagi keadaan. Ada kalanya aku cuba untuk memperbaiki semua.
Senyuman aku berikan untuk sebuah perhubungan yang lebih baik. Namun setiap
kali aku senyum, setiap kali itulah aku menerima jelingan tajam daripadanya.
Nampaknya, encik Afdhal tidak mahu berdamai.
Tak banyak maklumat tentang encik
Afdhal yang aku jumpa. Maksud pada kertas yang entah apa-apa itu pun, masih
gagal untuk aku tafsirkan. Art block
yang aku ambil hari tu pun masih ada bawah katil. Sengaja aku biarkan di situ,
kerana setiap kali aku teringatkan catitan pada muka surat akhir art block itu, aku jadi seram sejuk, dan
semangat untuk membantu mula luntur. Jadi, lebih baik aku tidak pedulikan art block itu buat sementara waktu.
Satu perkara yang terlalu sukar
untuk aku jejaki sehingga ke hari ini ialah kesukaan encik Afdhal. Apa yang
lelaki itu suka? Sampai sekarang soalan itu masih tidak punya jawapan. Namun
aku tidak akan lepas daripada terus memerhati. Aku yakin, pasti ada yang bakal
membantu.
Sebaik sahaja melihat ketibaan encik
Afdhal melalui pintu kaca, aku terus menyembunyikan diri. Hari ini aku punya
agenda yang berbeza. Aku tiba awal semata-mata ingin tahu rutin lelaki itu
sejak dari awal pagi. Jadi aku intai semua perbuatannya dari ruang kerjaku.
Encik Afdhal melangkah masuk dan
terus ke mejanya. Dia mengeluarkan kalender meja dari dalam laci mejanya.
Kemudian encik Afdhal mencatatkan sesuatu di atasnya sebelum kembali
mencampakkan kalender itu ke dalam laci.
Selepas itu encik Afdhal mencapai
surat khabar yang terletak di belakang kerusinya dan pantas berjalan
meninggalkan meja. Aku masih soroti perjalanan harian encik Afdhal. Dengan
akhbar yang dipegangnya itu, aku sudah dapat mengagak apakah aktiviti
seterusnya.
Setelah encik afdhal keluar dari
pejabat, aku terus mara ke hadapan. Menghampiri encik Afdhal yang sudahpun mula
menyadar pada pintu kaca dan mengangkat surat khabar yang entah bila tarikhnya?
Aku tak puas hati. Pasti ada sesuatu. Apa yang menyebabkan dia setia berdiri di
situ setiap hari?
Hanya pintu kaca yang memisahkan aku
dan encik Afdhal. Sekali sekala encik Afdhal menurunkan akhbar yang menutup
wajahnya dan memanjangkan lehernya, memandang bangunan di hadapan. Aku turut
memerhati bangunan itu. Tak ada apa-apa. Kemudian encik Afdhal menyambung kembali
pembacaannya. Itulah yang dilakukan encik Afdhal berulang kali.
Bosan dengan keadaan yang sama, aku
berkeputusan untuk ke meja encik Afdhal. Ada baiknya aku dapatkan kalendar yang
ada dalam laci itu dan mengambil tahu apa yang ditulisnya sebentar tadi. Tapi
kalau encik Afdhal kembali masuk ke dalam pejabat bagaimana? “Eh, takkan. Itu
bukan rutin harian dia!”
Dengan
pantas aku mula mengatur langkah. Mujur juga pintu utama tidak dapat di lihat
dari ruang kerja encik Afdhal yang memang tersorok. Jadi aku lebih yakin untuk
bertindak pada waktu ini. Laci yang tidak berkunci itu aku tarik lekas. Hanya
ada kalendar meja di dalam laci itu, dan beberapa helai kertas lukisan yang
dilipat.
Aku
teruskan misi. Kalendar yang ada aku keluarkan. “Astagfirulahal’azim...” aku
beristigfar panjang membaca catitan pada kalendar itu. Setiap tarikh yang sudah
berlalu, dipangkahkan bersama catitan ringkas yang sama pada setiap tarikh yang
tertera.
“Belum
mati!” dua kata itu sudah cukup untuk menjana fikiran untuk bekerja pada awal
pagi begini. Apa maknanya pula kali ini? Siapa yang belum mati? Mungkinkah encik
Afdhal sedang mencari seseorang? Tidak berpuas hati, aku keluarkan pula kertas
lukisan yang berlipat dari laci yang sama.
Lipatan itu aku buka. Gambar seorang wanita cantik terlukis pada kertas
lukisan itu.
Klu
yang ada sudah bertambah. Tapi jawapannya masih samar-samar. Apakah gadis dalam
lukisan ini yang dicari oleh encik Afdhal? Mungkinkah juga gadis inilah sasaran
encik Afdhal sebagai mangsanya yang ketiga?
Mendengar
bunyi mesin touch card, aku segera
memasukkan kembali semuanya ke dalam laci. Dengan gopoh aku tutup laci dan
berjalan laju ke tempat dudukku.
Pura-pura mengemas meja yang langsung tidak bersepah. Abang Joe muncul
dengan senyuman. Alhamdulillah...selamat!
JARANG
sekali perutku merengek minta diisi pada waktu tengah hari begini. Selalunya,
dengan sarapan pagi sahaja perutku sudah mampu bertahan sehingga ke petang
hari. Tapi hari ini lain pula. Maka terpaksalah aku keluar untuk mendapatkan
apa-apa yang boleh mengisi perutku kembali.
Aku memilih restoran di belakang
bangunan Arena Printing. Restoran Labu Sayung. Lebih dekat dan servisnya juga
sangat cepat. Biasanya dalam tempoh masa lima belas minit sahaja aku sudah
mendapat pesananku.
Aku sekadar memesan nasi goreng
kampung dan air suam. Asalkan boleh mengenyangkan, itu sudah lebih daripada
cukup. Sementara menunggu pesanan sampai, aku membuka aplikasi yang ada pada telefon
bimbitku. 99 nama Allah Swt. Satu per satu nama yang maha tinggi itu aku baca. Masih
belum berjaya menghafalnya. Kalau lirik lagu tu, bukan main senang masuk
bertapak dalam fikiran. Aku gelengkan kepala. Bertapa lemah iman di dada.
“Ana...”
Aku angkat wajah apabila ada yang
menyapa. “Eh, kak Lin.” Tersenyum aku dibuatnya memandang wajah kak Lin. Jarang
dapat bertemu dengannya.
“Ana seorang aje, ke? Boleh akak
duduk sini?” kak Lin meminta kebenaran.
“Kenapa pula tak boleh? Duduklah kak
Lin. Saya seorang ajepun.” Aku mengalukan.
Keizinan itu membuatkan kak Lin
terus duduk. Aku sekadar tersenyum. Mencari soalan-soalan yang boleh ditanyakan
untuk menghidupkan perbualan.
“Akak dengar cerita, hari tu Afdhal
mengamuk sakan. Betul ke,?” nampaknya, kak Lin yang terlebih dahulu membuat
pertanyaan.
“Ha’ah kak. Mana akak tahu?”
“Siapa lagi yang cerita, husband
akaklah.”
Aku mengangguk. Iya tak ya juga. Pasti
abang Joe yang menceritakan perihal itu pada kak Lin.
“Ana ke, yang ambil art block tu?” lagi soalan diajukan.
Aku diam seketika. Apa yang patut
aku jawab? “Abang joe cakap apa dengan kak Lin?” aku berkeputusan untuk tidak menjawab.
“Dia tak cakap apa. Dia duk salahkan
Afdhal tu la. Letak merata-rata lepas tu nak tuduh Ana pula.”
Hatiku lega. Rasanya abang Joe tahu
aku yang mengambil art block itu. Mungkin
abang Joe berahsia untuk menjaga aibku.
“Ana sabar ya. Afdhal tu memang
baran. Ana pun faham keadaan dia kan? Ana jangan ambil hati pula.” Kak Lin
menasihatkan.
“Ana faham...” aku bertindak
memahami seperti mana yang kak Lin harapkan.
“Assalamualaikum, boleh joint sama?”
Kedatangan seorang wanita yang berambut
lurus membuatkan keningku kerut. Namun mulut masih menjawab salam yang
dihulurkan. Siapa pula wanita ini?
“Eh, cik Dahlia, boleh. Jomlah duduk
sekali.” Kak Lin bangun. Hanya aku yang masih duduk dengan pertanyaan yang
tidak berjawab. Siapa cik Dahlia?
“Ana, kenalkan, ni bos akak, cik
Dahlia.”
Apabila cik Dahlia hulurkan tangan,
pantas aku sambut tangan itu untuk bersalaman. “Saya, Ana.” Aku memperkenalkan
diri.
Kami sama-sama tersenyum. “Muka cik
Dahlia ni macam familiar aje.” Aku sekadar
berkata.
“Ana ni, tak payah nak formal
sangat. Panggil kak Dahlia lagi bagus.”
Kini aku tersenyum lagi. Rasa lebih
selesa. Panggilan yang disarankan itu sesungguhnya merapatkan lagi jarak perhubungan yang tadinya tercipta.
Makanan sudah tiba. Aku terlebih
dahulu makan kerana aku mengejar masa. Aku labih banyak mendengar kak Lin dan
kak Dahlia berbual. Sekali sekali baru aku mencelah. Itupun jika apu punya
fakta untuk dibawa ke dalam perbicaraan,
“Ana nak kena gerak dulu. Dah nak
pukul 2. Maaflah, tak sempat nak tunggu makan sama-sama.” Aku minta diri.
“Tak apa, lain kali kita boleh makan
sama lagi.” Kak Dahlia menjawab dengan senyuman. Gadis itu memang suka
tersenyum. Lesung pipt dan tahi lalat di bawah bibirnya menambahkan cantik senyumannya.
‘Insya’ALLAH.” Balasku. Aku segera
mengeluarkan wang dari dompet untuk membuat bayaran.
“Ana, tak apa. Hari ni akak belanja.”
“Eh, tak apalah kak. Ana bayar.” Aku
cuba menolak.
“Ana tak sudi akak belanja ke?”
“Bukan macam tu, kak. Ana...”
“Ana, rezeki jangan ditolak...” kak
Lin mengingatkan.
Aku mengalah akhirnya. Ya, rezekiku
hari ini. “Terima kasih kak Dahlia, kak Lin. Ana jalan dulu ya.” Bingkas aku
bangun. Melambai dengan tangan dan terus berjalan keluar daripada bangunan. Untungnya
siapa yang dapat kak Dahlia. Dahlah cantik, baik pula tu! Hati berbicara
sendiri.
Seketika
teringatkan senyuman kak Dahlia. Lesung pipit dan tahi lalat di bawah bibir
memperindahkan lagi kejadiannya. Kemudian kakiku terhenti. Tidak bergerak untuk
maju ke hadapan. Ada sesuatu yang dijana minda. Ya, aku yakin, wajah yang sama!
Tahi lalat dan lesung pipitnya juga sama. Kenapa baru saat ini terimbas segala?
Wajah itulah yang terlukis pada kertas lukisan yang ada dalam laci meja encik
Afdhal. Aku yakin aku tak salah! Adakah ini bermakna kak Dahlia dalam bahaya?
Bersambung...
Kata AH :
Selesai entry 7. Terima kasih kpd semua yg masih mengikuti kisah ini. Insya'ALLAH kita jumpa untuk entry yang seterusnya next week ya. Assalamualaikum.
Salam Ukhwah
AH
4 comments:
Cik writer... encik afdhal ni autistik ke? Akk nak tahu jugak crita seterusnya...
apa sebenarnya yg berlaku kepada mamattu..kenapakah tidak dibawa mamat tu buat rawatan
i'm curios la.. cepat la update citer ni..
ah sudah... dahlia mangsa seterusnya??
Post a Comment