Wednesday, May 15, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 5



5
            Selesai membantu rakan-rakan kerja memasukkan profil syarikat yang ditempah ke dalam kotak, aku diarahkan oleh abang Joe untuk menyimpan kotak kosong yang tidak digunakan ke dalam stor. Melihatkan kotak yang ada tidak banyak mana, maka aku selesaikan tugasan itu sendirian. Lagipun orang lain sibuk mahu mengangkat keluar kotak yang sudah siap dilekatkan dengan pita pelekat.
            Segera aku turun dari lif apabila sampai ke destinasi terakhir. Lif hanya mampu menghantar aku sampai ke tingkat lima. Untuk meneruskan langkah ke ruangan bumbung, aku perlu mendaki anak tangga satu tingkat lagi.
            Tombol pintu aku pulas. Seperti selalu, ianya tidak berkunci. Kemudian aku membawa kotak kosong itu menuju ke ruangan stor yang jaraknya hanya dipisahkan oleh beberapa langkah.
            “Ish, bodoh... bodoh! Aku bodoh. Semua orang tak faham!”
            Terhenti terus langkahku apabila telinga berjaya menangkap kata-kata yang bergitu jeles kedengaran. Suaranya seakan aku kenal. Mata segera menerewang, memerhati sekeliling.
Hampir saja terlepas kotak-kotak yang aku bawa. Jantung mula mengepam darah dengan laju melihatkan itu. Encik Afdhal sedang duduk bertinggung di atas tembok. Dia menunduk sambil tangannya cuba mengusutkan rambutnya sendiri. Mulutnya tidak sudah-sudah mengulang perkataan yang sama. Bodoh!
Aku telan liur. Ada gaya seperti orang yang dalam cubaan terjun dari bangunan. Entah-entah nak bunuh diri? Hati jadi tidak senang dengan andaianku sendiri. Saat ini mulalah fikiran mengulang kembali siaran semalam. Kata-kata abang Naim malam tadi dengan lajunya berputar ligat dalam ingatan.
Ya Allah, apa yang patut aku buat sekarang? Perlukan aku memujuk encik Afdhal untuk turun dari tembok itu? Atau cukup sekadar aku jadi pemerhati di sini? Oh tidak, cadangan yang akhir itu langsung tidak boleh dipakai. Kalaulah encik Afdhal betul-betul terjun, dah tentunya akulah orang pertama yang bakal disiasat. Saksi kejadianlah katakan. Nampaknya aku tiada pilihan lain. Aku perlu bertindak.
Kotak yang masih aku pengang, kini aku letakan di bawah secara perlahan-lahan. Tidak mahu encik Afdhal menyedari keberadaan aku di situ. Entah, akupun tak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Namun langkah kaki perlahan-lahan sudah mula membawa aku ke arah encik Afdhal yang masih jauh di hadapan.
Ya, aku agak gayat. Kalau setakat ke stor, itu tidak menjadi masalah kerana aku tidak perlu berjalan jauh. Tapi ini tidak. Ditambah pula dengan angin kencang yang bertiup, sedikit sebanyak mengganggu pergerakanku. Lambat langkah dibuka.
Kini aku semakin hampir, jadi aku tidak mahu maju lagi. Cukup sekadar aku di situ. Perlu ada jarak yang baik antara aku dengan encik Afdhal. Ianya penting supaya kehadiranku tidak begitu mengejutkannya. Itu teori yang aku baru cipta beberapa saat tadi. Kini, apa pula langkah seterusnya? “Emak...”
Suara encik Afdhal kedengaran lagi. Kali ini begitu syahdu. Sayup menusuk ke hati. Seakan suara tangisan seorang anak kecil. Berkali-kali diulang kata yang sama. Emak? Nampaknya aku sudah tidak boleh berdiam diri lagi. Aku tak patut sekadar memerhati. Tapi apa aku nak buat? Aku memang tak tahu. Kenapalah aku yang ditakdirkan untuk berada di sini saat genting begini? 
“Ana!”
Aku menoleh apabila namaku dilaung kuat. Abang Joe! Kemunculan abang Joe memang tepat pada masanya. Abang joe berjalan menuju ke arahku. Laju langkahnya membuahkan senyuman di bibirku. Kini aku alihkan pula pandanganku pada encik Afdhal. Sudah! Dia sudah turun daripada tembok batu. Dia juga sedang berjalan menuju ke arahku. Namun abang Joe terlebih dahulu sampai. Alhamdulillah, semuanya selamat!
“Kau okay ke, Afdhal?” soal abang Joe sebaik sahaja encik Afdhal berjalan melintasi kami.
Encik Afdhal berhenti. Matanya hanya tertumpu pada abang Joe. Mungkin kerana abang Joe yang bertanya. “Okay. Bawah dah settle?” balas encik Afdhal. Tiba-tiba pula encik Afdhal sudah berubah tingkah dan gaya. Kembali macam manusia normal.
“Dah!” giliran abang Joe menjawab pertanyaan encik Afdhal.
“Yang kau pula, buat apa kat sini?”
Aku terdiam dengan soalan yang diajukan. Entah kenapa setiap kali encik Afdhal bertanya, bibirku tidak betah berkata-kata. Bagai dipaku!
“Lain kali jangan sibuk hal orang!” jerkah encik Afdhal. Tangannya sempat singgah di kepalaku, menolaknya kuat sebelum dia menyambung langkah dan pergi.
Aku hanya mampu meliukkan tengkukku yang sakit, impak tolakkan tadi. Nasib baik aku tahu tahap kesihatan mentalnya. Kalau tidak, jangan mimpi aku nak berdiam.
“Abang suruh Ana simpan kotak, Ana buat apa?” kini abang Joe pula menyoal.
“Memang Ana nak simpan kotak, tapi encik Afdhal...”
“Dah, tak ada apa-apalah. Dia memang macam tu. Tembok tu dah macam port dia.” Celah abang Joe sebelum sempat aku menghabiskan ayat.
“Iya ke? Nampak macam nak terjun aje...” memang aku tidak percaya.
“Taklah.”
            “Kalau encik Afdhal betul-betul terjun tadi macam mana?”
            “Ish, tak... Tak terjun pun kan!” abang Joe mempertahankan hujahnya.
            “Tadi memanglah tak. Esok, lusa?”
            “Tak mungkin! Eh, dahlah, Ana. Pergi sambung buat kerja.” Abang Joe juga mula meninggalkan aku.
            “Selalunya, yang tak mungkin tulah, yang paling banyak kemungkinannya!” masih aku berbicara walaupun aku sedang bersendirian kini.

RADIO yang sedang asyik menyiarkan lagu yang entah apa maksud liriknya itu aku tutup. Menyesakkan betul. Belumpun seminggu aku kat sini, tapi berat kepalaku terasa seperti aku sudahpun menetap secara rasmi.
               Masih terlalu awal untuk tidur. Apa yang boleh aku buat untuk mengisi masa? Layan facebook? Rasa macam malas pula. Encik Afdhal! Seperti selalu, ingatan terhadap dirinya muncul dengan tiba-tiba. Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula rasa dihantui dengan bayang-bayang encik Afdhal. Kerap pula dia mengganggu fikiran, seolah cuba mengingatkan aku untuk menunaikan janji pada abang Joe, berusaha membantu dirinya.
            Sebenarnya, aku sudah bersedia untuk menolong. Tapi sekadar kemampuanku sahaja. Aku tidak punya kuasa sakti untuk menyembuhkan sesiapa. Kesembuhan itu milik Allah SWT. Hanya Dia yang mampu memberinya. Dan aku sekadar mengeluarkan sedikit usaha.
Tapi sebelum itu aku perlukan bantuan. Siapa lagi yang boleh membantu selain abang Naim? Aku perlukan sedikit penjelasan dan bimbingan bagi memulakan semua. Jadi abang Naim sudah aku lantik sebagai penasihat rasmiku mulai hari ini. Pantas aku mencapai tudung dan menyarungkan ke kepala, lalu aku turun dari katil, mahu bergerak keluar dari bilik.
            Baru saja pintu aku buka, abang Naim sudah terpacak di hadapan muka. Aku sedikit terkejut. Laju jantungku. Abang Naim juga nampak terkejut. Kemudian kami sama-sama ketawa kecil.
            “Abang Naim cari Ana, ke?”
            “Tak juga.”
            “Habis tu, abang Naim cari siapa?”
            Abang Naim menunjukkan tangan yang tadinya disorokkan di belakang badan. Ada sesuatu yang membuatkan aku tersenyum pada pegangan tangannya itu.
            “Abang Naim cari pemilik lolipop ni.” Senyum abang Naim melirik.
            Bibirku turut sama mengukir senyuman. Pasti akulah pemilik lolipop itu. Siapa lagi kalau bukan aku? Tanganku mula mendapat lolipop dari abang Naim. “Terima kasih.”
            Welcome.” Abang Naim memasukkan tanganya ke dalam poket seluar. Kemudian dia berjalan pergi.
            “Abang Naim.” aku memanggil. Aku perlukan bantuannya saat ini.
            “Ya?”
            “Boleh abang Naim tolong Ana?” soalku penuh berharap.

MENIKMATI keindahan luar sambil menghirup udara malam memang menyeronokkan. Sejuk dan nyaman. Aku dan abang Naim duduk di gazebo yang diperbuat daripada kayu. Pasti idea mak lang. Mak lang memang suka dengan barangan antik.
            “Ana nak abang Naim tolong apa?” abang Naim bertanya sebaik sahaja mengambil tempat duduk.
            Aku diam seketika. Berat untuk memulakan, tapi amat perlu untuk aku menyatakannya. “Tak adalah serius sangat, abang Naim. Ana cuma nak tahu pasal kerja abang Naim. Semalam dengar abang Naim bercerita kat meja makan, macam best aje. Boleh abang Naim cerita kat Ana pasala kerja abang Naim?”  aku tidak berterus terang. Untuk permulaan ini, biarlah abang Naim tak tahu apa-apa. Memang aku tak nak abang Naim tahupun. Lebih-lebih lagi orang yang cuba aku bantu tu, lelaki. Aku tak nak abang Naim salah faham.
            “Pasal tu aje?” abang Naim tersenyum. Mungkin permintaanku itu terlalu mudah untuknya.
            Aku mengangguk. Lega.
            “Boleh. Tak ada masalah, apa yang Ana nak tahu?”
            “Abang Naim ni pakar psikiatri kan?”
            “Mungkin belum sampai tahap pakar, tapi kalau ada apa-apa yang berkaitan dengan psikologi, Insya’ALLAH abang Naim cuba bantu. Kenapa tiba-tiba Ana nak tahu pasal kerja abang ni?” abang Naim pula mengemukakan soalan.
            “Oh, tak ada apa. Ana saja nak tahu. Manalah tahukan, kalau-kalau ditakdirkan kawan-kawan Ana ada masalah psikologi ni, boleh juga Ana tolong.” Mujur ada jawapan yang tersedia.
            “Bagusnya ada orang yang prihatin macam Ana. Kalau ramai orang macam Ana kat Malaysia ni, alamatnya abang Naim dengan psikitri yang lain dapatlah rileks.”
            Aku tersenyum mendengar pujian abang Naim. Bukan senang nak dapat pujian daripada abang Naim. Namun ada rasa bersalah. Iyalah, kalau bukan kerana janjiku pada abang Joe, mungkin aku juga langsung tak ambil peduli pasal benda-benda ni semua. Tak ada masa.
            “Masalah psikologi ni, kira penyakit ke, abang Naim?” aku mulakan kajian.
            Of course.”
            “Ana peliklah, macam mana orang boleh dapat penyakit ni, abang Naim?”
            Psyche tak seimbang.” Ringkas jawapan yang abang Naim berikan.
“Maksudnya?” aku tidak faham. Aku perlukan penjelasan yang lebih.
 “Benda ni simple aje, ana. Macam mana kita perlukan kesimbangan untuk fizikal, macam tu jugalah kita perlukan keseimbangan untuk minda. Tak ada beza. Ramai yang sibuk jaga fizikal, tapi lupa nak jaga minda. Suka sangat simpan masalah sampai bertimbun-timbun. Pendam sendiri. Sudahnya jadi intrapsychic conflict.
Intrapsychic conflict!” ada istilah baru yang dapat aku belajar hari ni. “Ada kemungkinan tak, orang yang ada penyakit ni, sekejap nampak normal, sekejap lagi tidak? Pernah tak abang Naim jumpa kes macam ni? Makin laju aku bertanya.
“Ada! Apa-apa kemungkinan pun boleh jadi kalau untuk orang ada masalah psikologi ni, Ana. Tak ada yang mustahil.”
“Tapi kenapa ada kes yang dah jumpa pakar pun, tetap tak boleh baik?”
“Pakar psikitri bukan tuhan. Ana kena ingat tu. Ada kes yang makan masa yang panjang, baru boleh sembuh. Kalau setakat buat rawatan sekali, dua... memang susah. Lagipun semua ni bergantung pada pesakit sendiri. Pakar psikitri hanya boleh bagi jalan, tapi untuk keluar daripada kepompong, pesakit kena berjalan sendiri.” Panjang lebar abang Naim menerangkan. Bersungguh-sungguh.
Aku diam seketika. Kini mula memahami, mungkin kes encik Afdhal juga sama. Temujanji dengan psikitri sekali, dua, kemudian tidak lagi menjalani rawatan. Macam mana nak sembuh! “Apa yang boleh kita buat kalau kita nak tolong orang macam ni?” aku mula mencari penyelesaian.
“Ada banyak cara untuk bantu. Tapi yang penting, kita yang nak bantu ni, kena tahu dulu masalah pesakit. Kena tahu latar belakang. Apa yang menganggu pesakit? Kaji betul-betul, baru boleh tolong.”
Aku mengangguk kepala, tanda faham. Banyak yang aku belajar hari ni. Timbul sedikit keyakinan untuk membantu encik Afdhal.
“Biasanya abang Naim akan cari apa kesukaan pesakit. Sebab benda yang pesakit suka ni, boleh jadi pembakar semangat untuk pesakit sembuh.” Senyuman abang Naim kelihatan lagi. Mungkin cara itu benar-benar membantu.
Kesukaan? Aku mula berfikir panjang. Apa yang encik Afdhal suka? Warna hitam? Boleh ke warna hitam tu bantu? Macam tak logik aje! Mesti ada, aku mesti cari! “Terima kasih abang Naim. Banyak ilmu Ana dapat hari ni.”
“Sama-sama. Tapi takkan terima kasih aje?”
“Okay, nanti dapat elaun, Ana belanja makan. Tapi tempat murah-murah ajelah.” Aku berjanji. Orang berbudi, kita patut berbahasa.
“Dah tu, abang Naim nak apa?”   
“Buatkan abang Nescafe secawan. Boleh practice jadi isteri solehah!” abang Naim mengangkat keningnya beberapa kali.
Kini senyumanku pula mekar. Aku bingkas bangun. “Baik bos!” Permintaan itu harus aku tunaikan. Isteri solehah? Wahai abang Naim, cair hati dibuatnya.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum & Salam Sayang buat semua. AH memohon jutaan maaf buat semua yg sentiasa menunggu entry JJC dipostkan. Maaf atas kelewatan. AH hadapi sedikit masalah kesihatan. Alhamdulillah, sudah semakin sembuh, jadi daptlah AH postkan entrynya. Semoga entry kali ini disukai ramai. Jumpa nanti.

Salam Ukhwah,
AH



3 comments:

Eijan said...

Jangan la ana jatuh cinta pulak dgn afdhal tu....kesian Naim

Anonymous said...

mmg tertunggu pun entry seterusnya..makin teruja nak tahu. apa2 pun jaga kesihatan AH jugak ye

-chah husain-

Unknown said...

alah..sweet nye naim.. mesti hensem nie..

ceh.. hihihii..

Post a Comment