Monday, April 9, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 3


3
            Semua hidangan sudah aku siapkan. Terhidang elok di atas meja. Kemudian aku ambil tempat duduk yang dulunya menjadi tempat duduk ayah. Tepat jam lapan malam, seorang demi seorang turun dari tangga, menghampiri meja makan. Aku hanya memerhati tingkah ketiga-tiga adik beradik itu. Alia, Azira,dan Amira. Sudah aku tetapkan begitu jadualnya. Makan pada jam lapan malam.
Sejak ayah meninggalkan kami tiga tahun yang lalu, sudah banyak perubahan yang aku lakukan. Arwah ayah terlalu berlembut dengan mereka. Aku tahu arwah ayah menganggap mereka masih kecil. Tapi bukankah 20 tahun lalu, aku juga seorang anak kecil? Tapi pada waktu itu kenapa arwah yang seakan tidak mempedulikan aku? Selepas ibu meninggal dunia, ayah seakan tidak menumpukan perhatian dan kasih sayangnya padaku. Aku dibiarkan menguruskan semua perkara sendirian tanpa bantuan sesiapa. 
Setelah ayah berkahwin dengan mak cik Saleha, aku fikirkankan ayah bakal berubah. Namun ternyata aku silap.  Ayah tetap sama seperti dahulu. Sedikitpun ayah tidak mengizinkan mak cik Saleha membantu aku menguruskan kehidupan. Malah selepas kelahiran Alia, Azira, dan Amira, aku diarahkan untuk menjaga kepentingan ketiga-tiga orang anak barunya itu. Hati anak mana yang tidak sedih apabila dipinggirkan begitu?
“Along, kenapa Along sedih? Along ingat kat ayah ya?”
Kenangan itu hanyut apabila suara Amira mula berkumandang. Air mata yang tiba-tiba menitis aku seka. Tidak mahu ada antara mereka yang melihatnya. Atau mungkin juga mereka telahpun melihat titisan jernih yang singgah di pipiku. “Giliran siapa baca doa?” aku membuat pertanyaan. Mahu menutup kesedihan yang tadinya bertandang.
“Azira” Azira membuat pengakuan. Masing-masing menadah tangan dan doa mula dibaca. Usai membaca doa, Alia mula bangun dan mendapatkan mangkuk yang berisi nasi. Satu demi satu pinggan kosong yang ada dipenuhkannya.  Itu memang tugas yang aku tetapkan untuk dia. Antara adik beradiknya yang lain, dialah yang paling tua. Jadi dia harus menjadi contoh teladan untuk adik-adiknya yang lain.
“Makan” isyarat kebenaran itu aku berikan setelah Alia kembali duduk di kerusinya. Seorang demi seorang menunggu giliran untuk menyudu lauk masuk ke dalam pinggan masing-masing. Itu juga arahan yang aku keluarkan. Tidak boleh berlaku perebutan ketika makan. Dan ternyata mereka akur. Melihat mereka menyuap nasi ke dalam mulut, hatiku menjadi sayu dengan tiba-tiba. Adakah aku terlalu berkeras dengan mereka? Tidak pernah sekalipun aku kuntumkan senyuman buat mereka. Sesaatpun tidak ada masa yang aku luangkan untuk mendengar keluhan dan bicara hati mereka, padahal mereka juga sama sepertiku, kehilangan ayah. Malah pasti mereka merasa lebih teruk memandangkan mereka turut kehilangan kasih sayang seorang ayah yang tidak pernah aku jamah sejak kecil.
Air mata yang bertakung menunggu masa untuk luruh. Pantas aku tolak kerusi, bangun dan terus beredar ke dapur. Aku tidak tahu apa yang tidak kena dengan diriku. Namun akhir-akhir ini aku kerap memikirkan tentang mereka bertiga. Andai kata ajal juga menjemputku suatu hari nanti, siapa yang akan menjaga mereka? Terdetik hati kecilku. Air mata yang tidak berjaya aku halang, mengalir juga sudahnya. Aku biarkan sahaja ia membasahi pipi. Paip air di sinki juga aku biarkan terbuka.
Ah… lantaklah. Kenapa aku pula yang harus kusut kepala memikirkan tentang mereka. Andai kata nafasku sudah terhenti, bukankah itu bermakna tanggungjawabku juga sudah selesai. Kalau aku mampu untuk menguruskan semuanya seorang diri, mengapa mereka bertiga tidak! Ada pula suara yang mengajar aku penyelesaiannya. Aku tutup kembali pili air apabila terlalu banyak curahan air yang terbuang dari tadi. Selera untuk menyambung makan sudah tidak ada. Lalu aku bergerak ke bilik. Langkahku terhenti sebaik sahaja mahu melintasi meja makan. Jelingan mataku menyaksikan bahawa ketiga-tiga adik beradik itu turut sama berhenti daripada mengisi perut mereka.
“Makan, habiskan semua lauk tu. Jangan ada yang membazir!” selesai saja pesanan ringkas itu aku berikan, aku membawa kakiku laju mendaki anak-anak tangga untuk sampai ke bilik. Jauh di sudut hati, aku berharap agar tingkahku tidak membantutkan selera mereka.

BUKAN main lebar senyuman mak cik Khamsiah, menyambut kedatangan aku ke rumahnya petang itu. Bukan senang nak tengok senyuman mak cik Khamsiah secerah mentari petang. Pasti ada berita gembira yang ingin dikongsikan denganku. Kalau tidak, masakan dia meminta aku datang untuk menemuinya di rumah. Atas sebab itulah aku kini sudah terpacak di hadapan pagar rumahnya.
            “Assalamualaikum, mak cik” salam aku hulurkan sambil memerhati terus perjalanan mak cik Khamsiah menghampiriku.
            “Wa’alaikumusalam, sampaipun Su. Marilah masuk” pelawa mak cik Khamsiah. Tangannya mula membuka pintu pagar yang berkunci.
            “Eh, tak apalah mak cik, Su nak cepat ni. Nak uruskan adik-adik Su, pula. Masak pun belum lagi ni” bukan sengaja aku memberikan alasan, namun sememangnya aku belum sempat melakukan itu semua. Balik saja dari pejabat, aku terus ke sini seperti pintanya.
            “Oh… lupa pula mak cik. Su nak kena balik cepatlah ni, ya”
            ‘Ha’ah, mak cik. Kenapa mak cik nak jumpa Su ni? Ada hal penting ke?”
            “Eh, Su ni. Mestilah penting. Kalau tak penting, mak cik tak panggil Su datang jumpa mak cik” beria-ia mak cik Khamsiah kelihatan. “Sebenarnya, mak cik nak ucapkan terima kasih kat Su”
            Tiba-tiba pula mak cik Khamsiah memegang tanganku. Terkejut aku dibuatnya. Apa kes sebenarnya ni? Puas fikiran mencari jawapan. “Kenapa nak berterima kasih pada Su pula, mak cik? Su tak ada buat apa-apapun rasanya” dahiku sudah mula berkerut dengan sendirinya. Jadi aku perlukan penjelasan atas kelakuan pelik mak cik Khamsiah.
            “Su, ni. Sudah gerahu cendana pula, dah tahu, buat-buat tanya pula, ya”
            Mendengar pantun dua kerat warisan tradisi yang mak cik Khamsiah tuturkan, membuatkan otakku bertambah jem. Lebih sukar untuk mentafsir maksudnya. Nak dibalas pantun mak cik Khamsiah, nampak gayanya memang tidaklah. Masakan aku mampu nak mencipta pantun. Kalau difikirkan juga, sampai kiamatpun belum tentu berbalas. “Apa yang geharu, apa yang cendana ni, mak cik? Su betul-betul tak faham ni” aku memang tak faham, jadi aku berterus terang. Berharap tidak akan ada lagi pantun yang menyusul untuk menerangkan keadaan sebenar.
            “Alah, Su ni… pasal kawan baik Su, tulah” mak cik Khamsiah mula membuka cerita.
            “Kawan baik Su?” aku bertanya, setahu aku satu-satunya kawan baikku ialah Zul. “Maksud mak cik… pasal Zul?”
            “Iyalah… pasal Zul. Habis tu, Su ingat pasal siapa lagi?”
            “Kenapa dengan Zul, mak cik? Dia kat mana? Dia tak apa-apa ke?” jantung berlari dengan lajunya saat ini. Cuak aku dibuatnya. Apa yang telah terjadi pada Zul? Hati tertanya-tanya. Semalam, Zul kelihatan baik sahaja. Apa pula yang tidak kena dengan dirinya hari ini?
            “Ish… kamu ni, Su… yang cemas sangat ni, kenapa? Fikir yang bukan-bukanlah tu!. Cuba Su tengok muka mak cik ni betul-betul. Su tak nampak ke betapa gembiranya mak cik sekarang ni?”
Penjelasan mak cik Khamsiah itu kembali menenangkan hati. Iya tak ya juga, andai Zul dalam keadaan yang tidak diingini, mustahil mak cik Khamsiah, kelihatan happy go lucky begitu. Fikiran ini selalu saja menjana persepsi negatif. “Mak cik ni, buat saya gabra aje. Ingatkan ada benda buruk tadi” lega penafasanku. Tidak lagi tersekat-sekat seperti beberapa saat tadi.
“Su tu yang fikir bukan-bukan. Nak salahkan mak cik pula!”
Tawa kecilku mula kedengaran. “Apa kes dengan Zul, mak cik?” kembali aku bertanya.
“Ha… ni mak cik nak cerita ni. Pagi tadi, Zul dah buat pengakuan depan mak cik yang dia dah ada teman wanita”
Buntang mataku mendengar kisah yang sebenarnya. Zulhairi dah ada teman wanita? Itu amat mustahil kerana setahu aku, 24 jam yang lalu, dia masih lagi memegang teguh status bujangnya. Takkan alih-alih saja dia sudah bertemu dengan wanita pilihan hatinya?
“Mak cik ni biar be…”
“Su” suara lantang yang memanggil, membuatkan aku gagal untuk menghabiskan kata. Zulhairi aku perhatikan terkocoh-kacah mengenakan selipar lalu berjalan pantas mendapatkan kami di pintu pagar. Aku hanya sekadar memerhati.
“Cerita apa ni? Macam best aje. Boleh joint?” ada riak cemas pada wajah Zulhairi yang terus mengambil tempat di sebelah ibunya. Sebelah tangan diletakkan ke dalam poket seluar, manakala sebelah lagi tangannya mula memeluk bahu ibunya.
“Zul… mak kau cakap kau dah ada teman istimewa, betul ke, ni?” laju bibirku tuturkan pertanyaan. Berita hangat begitu, pasti aku tidak terlepas untuk mengambil tahu. Berbunga-bunga rasa hati mendengar khabar yang sememangnya mengembirakan. Namun entah kenapa Zulhairi hanya kaku di situ. Lidahnya seakan kelu untuk membalas kata.
“Eh, Su tak tahu ke? Zul cakap, Su lah orang pertama yang tahu pasal hal ini?”
Kali ini, aku pula terdiam mendengarkan pertanyaan mak cik Khamsiah. Lalu pantas anak mataku mencari wajah Zulhairi. Zulhairi menepuk dahinya perlahan. Matanya dibulatkan ke arahku, seolah-olah mengharapkan satu pengertian.   
“Kau ni, Su… saja buat-buat lupakan?. Jealous lah tu, mak”  Zulhairi mengenyitkan matanya berkali-kali ke arahku.
Isyarat matanya itu membuatkan aku kembali sedar. Mungkin inilah pertolongan yang Zulhairi maksudkan tempoh hari. “Ha…. Iyalah. Perempuan yang kenalkan kat aku hari tu kan? Yang muka ala-ala Pan Asia tu kan?” aku buat-buat gelak. Lekas-lekas ditutupkan kembali lubang yang hampir pecah. Gila punya Zul, kalau iyapun, bagilah signal dari awal. Ini tidak, buatnya pemikiran aku tak berfungsi tadi, kan nahas jadinya.
“Lah… budak ni. Mak cik dah agak dah, Su mesti lebih banyak tahu daripada mak cik” senyuman mak cik Khamsiah kelihatan lagi.
“Su saja buat gimik, mak cik. Amboi… untunglah mak cik, dapat menantu kacukan. Confirm cucu cicit mak cik, lawa-lawa ni” aku tambah perisa. Biar nampak lebih real. Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang tolong Zulhairi, biar sampai habislah.
“Betul ke, ni Su? Cantik sangat ke, orangnya?” mak cik Khamsiah makin teruja. Sedangkan Zulhairi aku lihat membesarkan matanya ke arahku. Pasti dia marah dengan cerita yang sedang aku reka. Sendirian aku gelak dalam hati. padan muka kau, Zul. Buat rancangan tak beringat. Ambil kau!
“Ish… apa pula tak cantik, mak cik. Cuba mak cik bayangkan… Kulit dia punyalah gebu, hidung pula bukan main mancung. Tinggi pula tu, ala-ala model. Bak kata budak-budak sekarang nilahkan, mak cik, memang terbaik dari ladanglah” Bukan main gembira hatiku dapat mengenakan Zulhairi. Membuatkan dirinya seperti cacing kepanasan.
“Ni yang mak cik tak sabar nak jumpa calon menantu mak cik ni, Su” mak cik Khamsiah menyatakan hasrat. Hasrat yang pastinya membuatkan Zulhairi tak tidur malam. “Ha, Zul, mak nak kau bawa dia jumpa mak dengan ayah hujung minggu ni, boleh?”
Oh..oh… Aku dan Zul sama-sama membatu. Terkejut dengan permintaan mengejut yang baru saja diperdengarkan. Zulhairi memandang aku, dan aku juga memandang Zulhairi. Terdiam kami di situ.
“Boleh ke, tak ni Zul?”  desak mak cik Khamsiah.
“Mak ni, nanti-nantilah dulu. Zul pun baru aje kenal dengan dia. Takkan terus-terus aje nak bawa jumpa mak dengan ayah” Zulhairi enggan mengikut kata. Pastinya dia tidak dapat memenuhi permintaan ibunya. Wanita mana yang hendak dibawa bertemu dengan kedua orang tuanya? Ingat senang jadi cari buah hati. bukannya boleh beli kat pasaraya berdekatan. Kalaulah boleh, mudahlah sikit kerjanya.
“Okay, kalau macam tu, bawa dia ke rumah hujung bulan ni”
Aku pejam rapat kedua-dua belah mata. Tidak sanggup mendengarnya. Permintaan itupun tak masuk akal. Mustahil… amat mustahil untuk Zulhairi tunaikan.
“Mak…” Keluh Zulhairi, seakan buntu bicara.
“Tak ada mak..mak! Kalau kamu tak bawa dia hujung bulan ni, taulah apa yang mak nak buat nanti” tegas mak cik Khamsiah.
“Su minta diri dululah, mak cik. Hari pun dah nak maghrib ni. Nanti kita sembang lagilah ya” aku mahu segera angkat kaki. Melarikan diri. Kalau tidak, pasti Zulhairi akan cekik aku sampai biru muka. Jadi, sebelum mak cik Khamsiah beredar, masuk ke dalam rumahnya, lebih baik aku yang bergerak terlebih dahulu. Lebih selamat begitu. 
“Iyalah, Su. Bawa kereta elok-elok”
Pantas aku hulurkan salam buat mak cik Khamsiah. Kemudian satu lambaian aku berikan buat Zulhairi yang mukanya sudah merah padam. Tanda tidak berpuas hati dengan tindakanku mengelakkan diri. “Aku balik dulu Zul”

ENTAH sudah berapa puluh kali telefon bimbitku mendendangkan aku dengan nada yang sama. Dan aku tahu, pemanggilnya pun, pastinya juga daripada orang yang sama. Zulhairi! Tak perlu aku bangun dan meletakkan pandanganku pada skrin telefonku, dari atas katil ini pun aku sudah boleh tahu gerangan pemanggil.
            Bukan sengaja aku tidak mahu menjawab panggilannya itu. Tapi aku tahu akibat yang bakal aku tanggung nanti. Jadi terpaksalah aku pekakkan telinga. Setidak-tidaknya untuk sehari dua lagi. Biar kemarahan Zulhairi reda dahulu. Zul… Zul… tak ada masalah, cari masalah!
            Kini, deringan bertukar nada. Petanda ada mesej masuk. Kali ini barulah aku turun dari katil, mendapatkan telefon bimbit yang tadinya terletak di atas meja solek. Pasti Zulhairi sudah putus asa untuk terus memanggil, lalu dia kirimkan pesanan ringkas dengan harapan aku akan membacanya. Ternyata ramalanku benar-benar belaka. Nama Zulhairi tertera jelas dengan mesejnya;
            Oii, Su. Pandai kau mengelak ya. Kalau kau tak dtg jumpa aku sebelum tengah hari esok, siap kau!!!
            Aku tergelak sendiri membaca mesej berbaur ugutan yang masih baru aku terima. Pantas jari jemariku menekan punat yang ada untuk membalasnya.
            Aik… main ugut-ugut nampak? Ingat aku takut ke? Apa yg kau boleh buat? Haha.. :p
Tangkas jari jemari Zulhairi menaip mesej. Tidak sampai seminit, mesej balas aku terima daripada Zulhairi. 
            Kalau kau nak tengok aku mengamuk kat office kau, esok, kau tak payahlah cari aku!
Lagi mesej yang aku terima itu tidak memutuskan semangat aku untuk terus membalasnya dengan berani.
            Kau nk mengamuk? Pada kau mengamuk kat office aku, lebih baik kau pergi cari awek pan asia kau tu. Uwekkkk!!!!
Kemudian, datang lagi mesej Zulhairi membalas kata. Tidak mahu mengalah
            Okay. We will see!
            Uik… mesej itu membuatkan aku gigit jari. Biar benar Zul ni? Takkan dia betul-betul nak amukan office aku tu? Terus aku campakkan telefon bimbitku di atas tilam. Tidak mahu berlanjutan perang mesej antara aku dan dia. Lebih baik aku tidur. Esok nak kerja.
            Sudah hampir satu jam aku terbaring di atas katil, tapi kenapa pula enggan lelap saat ini? Aku lebih terbayangkan mesej Zulhairi daripada melayan rasa mengantuk yang hilang dengan tiba-tiba. Kalaulah Zulhairi betul-betul buat begitu, bagaimana? Mahunya aku kena buang kerja. Kalau aku kena buang kerja, macam mana pula aku nak sara tiga beradik yang dah tentu-tentu tengah nyenyak tidur tu? Sudahlah si Zulhairi tu memang jenis lelaki yang gila-gila. Ada kerisauan yang bermukim di hati. Ini tak boleh jadi! Lalu segera aku capai telefon bimbitku.
Zul, esok jumpa aku kat warung santai pukul 1.30 petang. Faham!
Kemudian aku cuba kembali memejamkan mata, dan kali ini senang pula mataku lena.

Bersambung...

P/S : Terima kasih krn masih sudi dan setia mengikuti Saat Ada Cinta.... Mungkin karya ini tidak sehebat karya2 di luar sana. Namun Insya'ALLAH, AH akan cuba memberikan yang terbaik buat rakan2 pembaca setia AH. Sila tegur AH andai ada kekurangan yang perlu AH perbaiki. Kerana AH hanya tahu Menulis, maka AH perlukan guru yang mampu memperbaiki kelemahan2 AH. Dan guru yg AH maksudkan tidak lain dan tidak bukan, ialah ANDA SEMUA. Terima kasih atas komen yang dititipkan. Sgt AH hargainya...  

9 comments:

zuraidah said...

best2.....nnt2kan zulhairi ada hati kat su...

Anonymous said...

hehehhe...memang best...suka 2 watak ni tapi tgh tunggu jugak su berlembut ngan adik2 dia tu.

Minsofea said...

sy rasa pun mcm tu....

ainul ariff said...

kisah yang menarik. suka watak su ni. tegas tapi baik.

Anonymous said...

menarik..hrp2 x de watak yg asyik mengalah je..
-che`leen-

Aida Sherry said...

apa yg akan terjadi nanti?????????

pnut said...

hehehe..tau plak takut Su nie..

Unknown said...

best... suka cerita kawan lelaki perempuan yang mesra macam nie

Anonymous said...

Hahaha....@bluescarf

Post a Comment