Friday, July 1, 2011

Ada Di Hati - Bab 3


TIGA
            Aku dan Ikin mula menyusun hidangan di atas meja makan beradap untuk pengantin. Terliur diriku melihat semua makanan itu. Bukan sahaja nampak enak tapi cantik sekali. Terasa sayang pula untuk dimakan. Sebentar lagi pasti ramai yang akan menghadiri majilis persandingan ini. Semalam berlangsungnya majlis akad nikah dan hari ini akan berlangsung majlis persandingan pula.
            Aku menoleh ke kiri apabila terasa seperti ada yang sedang memerhatikanku sedari tadi. Sebaik sahaja aku menoleh, pantas lelaki poyo itu memandang wanita di sebelahnya sambil membetul-betulkan rambut wanita itu yang acap kali diterbangkan angin. Mereka berdua kelihatan amat mesra sekali. Aku menjuihkan bibir, Awek dialah kot, gumamku dalam hati. Aku menyambung semula kerja yang tergendala tadi. Malas mahu memikirkan tentang lelaki itu.
            Ikin mula mencuit bahu kananku. “Eh… Safi, kau nampak tak mamat baju merah tu,” aju Ikin sambil memuncungkan mulutnya ke sebelah kiri.
            Aku menoleh mengikut arah yang Ikin tunjukkan. Tidak ramai lelaki yang berada di situ dan hanya seorang sahaja yang berbaju merah. Dan orang itu adalah lelaki yang suka menyakitkan hatiku sejak minggu lepas lagi. Aku mengeluh, “Apasal pula dengan mamat tu?” Soalku malas.
            Handsome kan?”
            Hampir tersedak aku apabila mendengar pengakuan Ikin itu. Handsome ke? Soalku dalam hati. Pantas aku mengamati semula lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Em… handsome lah juga, aku terpaksa mengakuinya.  Lelaki itu mempunyai raut wajah yang bujur, berkulit sawo matang, hidung mancung, tinggi dan rambutnya panjang hingga paras leher yang diikat satu. Tapi apabila aku memikirkan tentang sikap lelaki itu selama ini, hatiku terbejat. Kerana sikapnya itulah aku langsung tidak meneliti lelaki itu. Bagiku tiada guna jika hanya mempunyai paras rupa yang menarik jika mempunyai sikap yang menjelikkan. Sikap sebegitu akan menutupi kekacakan seorang lelaki.
            “Em… bolehlah…” balasku acuh tak acuh.
            “Ish… kau ni punyalah handsome mamat tu, kau kata bolehlah je. Tak patut sungguh,” bebel Ikin sambil menjelingku tajam.
            Aku hanya mampu tersenyum.
            “Safi kau nak tahu tak satu benda?”
            “Em… apa dia?” Soalku malas, aku tahu Ikin pastinya ingin berbicara lagi tentang lelaki itu, tetapi aku langsung tidak berminat untuk mendengarnya.
            “Semalam lelaki tu jumpa aku. Kau tahu kenapa dia jumpa aku?”
            Aku menjungkitkan bahu. “Entah, dia nak ngorat kau kot.”
            “Ish… Kau ni memandai je, nasib baik Haris tak ada kat sini kalau tak mahunya perang besar aku dengan dia.” Ikin pantas menutup andaianku.
            Aku tersenyum kelat. Bila Ikin menyebut tentang Haris, hatiku mula dilanda resah. Bagaimana agaknya aku ingin memberitahu Ikin tentang Haris. Aku tidak boleh biarkan perkara ini terlalu lama, takut nanti Ikin yang akan merana di kemudian hari.
            “Safi, kau dengar tak apa aku cakap ni?” Soal Ikin sambil menampar bahuku.
            Aku tersentak, aku tidak menumpukan perhatian pada apa yang Ikin sedang katakan tadi, “Sorry… tak dengarlah. Kau cakap apa tadi?”
            “Mamat tu jumpa aku semalam sebab nak tanya nama kau.”
            “Bila?” Soalku seolah-olah tidak percaya dengan pengakuan Ikin itu. Maksudnya Ikin yang memberitahu namaku pada lelaki itu. Persoalan yang bermain di mindaku semalam terjawab jua akhirnya. Alahai… kawan aku yang seorang ini kenapa baik hati sangat melayan pertanyaan lelaki itu.
            “Ish… kau ni, semalamlah, masa kau tengah bentang kain alas meja kat khemah ni. Masa tu aku dengan dia ada dalam rumah. Tup tup dia jumpa aku tanya nama kau.”
            Aku terlopong mendengar penjelasan Ikin itu. Ini bermakna lelaki itu telah menyedari aku berada di rumahnya ini sejak awal pagi semalam. Jadi sia-sialah usahaku dari pagi semalam menyembunyikan diri darinya. Sedangkan awal-awal lagi lelaki itu telah menyedari kehadiranku. Aku mengeluh, terasa sia-sia sahaja penat lelahku sepanjang hari semalam.
            “Aku rasa dia minat kat kaulah. Entah-entah dia nak ngorat kau tak,” usik Ikin dengan senyumana nakal yang tidak pernah lekang dari bibirnya itu sedari tadi.
            “Jangan nak merepek!” Tegasku, kalaulah Ikin tahu apa yang berlaku padaku dan lelaki itu sejak dari minggu lepas pasti Ikin tidak akan mengeluarkan kata-kata sebegitu.
            “Eh… apa salahnya lagipun kaukan tak ada boyfriend  lagi, apa salahnya kan.”
            Aku menjuihkan bibir, melihat sikap lelaki itu aku rasa lelaki itu playboy atau bahasa yang lebih tepat lagi ‘Buaya Tembaga’. Buat merana badan aje kalau dia jadi kekasih aku. Tolonglah tak nak aku menyeksa diri aku sendiri, bebel hatiku.
            “Kau nak tahu semalam pun dia minta nombor telefon kau kat aku tau.”
            Hampir terlepas pinggan yang kususun itu apabila mendengar kata-kata Ikin. “Habis tu, kau bagi ke?” Aku mula berdoa dalam hati semoga Ikin tidak memberikan nombor telefonku pada lelaki itu.
            “Taklah, aku tak bagi pun. Cukuplah dulu kau pernah membebel kat aku berhari-hari sebab bagi nombor telefon kau kat sepupu aku tu. Aku dah serik nak jadi matchmaker kau.”
            Fuh, selamat… Aku tergelak kecil mendengar kata-kata Ikin itu. Apabila mengenangkan semula perkara hampir setahun lalu itu aku tergelak sendiri. Aku telah bertengkar dengan Ikin kerana memberikan nombor telefonnya kepada orang lain tanpa persetujuan dariku terlebih dahulu. Aku masih tersenyum sendiri mengenangkan perangaiku yang satu ini, yang tak suka orang lain menjadi matchmaker  untuk diriku.
            “Amboi, seronoklah tu ada orang nak ngorat dia,” sakat Ikin sambil mencuit bahuku.
            Senyumanku mati secara tiba-tiba apabila mendengar kata-kata Ikin itu.  Aku tersenyum bukan kerana lelaki itu.
            “Alah oklah tu Safi kalau dia jadi boyfriend kau, handsome pun handsome, macam Haris.”
            Haris. Sekali lagi nama itu mengganggu tumpuanku. Selagi aku tidak beritahu pada Ikin tentang Haris terasa seperti ada batu besar yang terhimpit di hati dan kepalanya. “Kau dah dapat call Haris ke belum?” Aku tahu Ikin sudah beberapa hari tidak dapat menghubungi Haris.
            “Dah, malam tadi dia call aku,”
            Aku terdiam, patutlah Ikin gembira sangat hari ini tidak seperti semalam murung sahaja. Rupa-rupanya kerana Haris telah menghubunginya. Aku  mula berfikir adakah aku harus meneruskan niatku untuk memberitahu Ikin tentang perangai Haris yang sebenarnya.
            “Kau tanya dia tak kenapa dia dah beberapa hari tak call kau?” aku benar-benar ingin tahu apa alasan yang dicipta oleh Haris untuk menutupi pembohongannya itu.
            “Dah, dia kata dia busy sikit sebab banyak seminar yang dia kena attend, tu yang tak ada masa nak call aku.” Ikin menjelaskan seperti apa yang dijelaskan oleh Haris padanya semalam.
            Hurmm… alasan lapuk! “Kau percaya macam tu je. Entah-entah tu alasan dia je. Iyalah kan, mana tahu dia ada awek lain,”
            Terbeliak mata Ikin mendengar aku berkata sebegitu tentang teman lelakinya. “Kau ni tak baik tau mengata Haris macam tu. Haris tu baiklah. Dia betul-betul cintakan aku. Dia takkan buat aku macam tu. Aku percaya pada dia seratus peratus tau. Kau ni kan sengaja je buat aku marah. Nasib baik kau kawan baik aku kalau tak dah lama aku cili-cili mulut kau tu.” Marah Ikin mula berapi-api.
Terkejut aku seketika dibuatnya. Begitu sayang Ikin pada Haris.
            “Sudahlah malas aku nak layan kau. Aku nak pergi tandas jap. Tapi kau ingat jangan nak tuduh-tuduh Haris macam tu lagi aku tak suka.” Ikin memberikan amaran, keras.
            Aku hanya mampu memandang Ikin berlalu masuk ke dalam rumah itu. Aku mengeluh berat, bagaimana aku mahu menjelaskan hal yang sebenar pada Ikin jika baru aku berkata sebegitu Ikin sudah tidak mahu mempercayainya?
           
AKU mengekori Ikin ke dapur. Tangan kiriku memicit-micit tangan kanan yang mula rasa lenguh semacam. Nasib baik majlis telah berakhir dan aku sudah tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke rumah Kak Diah dan ingin terus tidur. Sudah lebih seminggu aku tidur di rumah Kak Diah, rumahku yang agak jauh dari sini menyebabkan Kak Diah menyarankan aku tidur sahaja di rumahnya, supaya tidaklah aku tergesa-gesa ke rumah Kak Diah setiap pagi untuk membantu menyediakan segala persiapan untuk kenduri perkahwinan kali ini. 
            “Hai Fuad,” tegur Ikin pada lelaki yang sedang duduk bersantai-santai di sisi meja dapur.
            “Hai Ikin, hai Safi,” balas  Fuad dengan senyuman manisnya.
            Aku membalas senyuman Fuad yang merupakan anak bongsu kepada tuan rumah ini. Fuad merupakan pelajar tahun akhir di University of Melbourne Australia, Fuad seorang yang baik orangnya dan peramah. Baru dua hari lalu aku berkenalan dengannya tetapi kami boleh berinteraksi dengan baik seperti telah lama berkenalan. Fuad banyak berkongsi pengalamannya denganku terutamanya pengalamannya di Australia. Aku rasa teruja bila mendengar dengan bersungguh-sungguh Fuad bercerita tentang negara tempat dia  menimba ilmu itu. Aku terasa begitu berminat, mendengar ceritanya itu teringin pula aku menyambung pelajaran di sana, saja mencari pengalaman di negara orang. Aku tersenyum sendirian, jauh benar angan-anganku kali ini.
            “Hah, Zaf, mari aku kenalkan yang ni Ikin…” ujar Fuad sambil menghalakan tangannya pada Ikin. “ Dan yang ni pula…”
            “Safiah Aisyah,” seru satu lagi suara.
            Aku terkedu, aku kenal dengan suara itu, pantas aku menoleh pada suara yang menyebut namaku. Sebaik sahaja aku berpaling lelaki yang amatku benci itu berada di penjuru meja dan sedang tersenyum melihatku. Meluat aku melihat senyuman itu.
            Fuad ketawa besar “Amboi kau ni Zaf, kalau pasal perempuan bukan main cepat kau dah berkenalan ya.”
 Sejurus itu ketawa Fuad, lelaki itu dan Ikin bergabung serentak. Hanya aku yang mendiamkan diri. Tidak senang dengan situasi ketika ini.
“Okeylah... Safi, Ikin, Zaf ni sepupu Fuad. Kita orang bukan setakat sepupu je tau tapi kawan sekuliah kat Australia tu,” terang Fuad lagi tanpa sesiapa pinta.
“Zafril Adli, panggil saja Zaf…” ujar Zafril sambil menghulurkan tangan untuk dijabat oleh Ikin dan Ikin menyambutnya dengan penuh mesra. “Tapi kalau awak nak panggil saya sayang pun boleh juga.” Ujar Zafril padaku sambil tangannya dihulurkan pula padaku dengan senyuman yang makin melebar.
Meluat diriku mendengar cadangannya itu. “Sorry, bukan muhrim.” Tolakku pantas. “Lagi satu, panggilan tu saya dah peruntukkan untuk orang lain,” jawabku sinis sambil menikam anak matanya dengan pandangan tajam. Zafril pula terus menggegam tangannya yang tidak bersambut itu sambil tersenyum kecil.
“Takpelah, mungkin tak ada rezeki saya kot. Em… tapi boleh awak buatkan saya kopi?” Pinta Zafril sambil menghulurkan mug yang dipegangnya sedari tadi itu padaku.
Terperanjat aku mendengar permintaan Zafril itu. Kenapa pula tiba-tiba aku yang kena membuat kopi untuk dia, tidak bolehkah dia membuat kopi itu sendiri. Lama aku biarkan Zafril menghalakan mug itu kepadaku. Aku serba salah, apa yang perlu dilakukan, menurut permintaan Zafril itu atau tidak?
“Buatkan ajelah Safi. Si Zaf ni, kalau tak kena kopi satu hari, tak sah.” Fuad pula menyokong permintaan Zafril itu apabila aku hanya mendiamkan diri sedari tadi.
“Tapi…” tiba-tiba lidah aku kelu, tidak mampu untuk meneruskan sebarang kata-kata. Lagipun mana aku tahu di mana letaknya kopi dan gula di rumah ini.
“Tak payah risau, air panas dah ada, kopi dengan gula ada kat sebelah peti ais tu.” Kata Zafril sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah rak yang terdapat di sebelah peti ais di sebelah kanannya.
Aku bertambah geram, bagaimana Zafril boleh mengetahui apa yang sedang bermain di fikiranku saat ini.  “Kenapa saya yang kena buatkan awak kopi lagipun awak boleh buat kopi tu sendirikan?” Soalku geram dengan perangai mengada-ngada Zafril itu. 
 “Saya dah bosan minum kopi yang saya buat sendiri, lagipun saya nak juga merasa kopi yang awak buat.” Lembut bicara Zafril ketika ini, memujukku memenuhi kemahuannya.
“Apa faedahnya kalau saya buatkan awak kopi, macam tak dapat apa-apa faedah je rasanya.” Balasku, aku tidak akan mengalah dan tidak akan tunduk sama sekali dengan permintaan lelaki itu.
“Ada orang pernah cakap kat saya, kita ni kalau nak tolong orang jangan minta balasan. Kalau minta balasan juga dah dikira tak ikhlas namanya tu. Betul tak Safiah Aisyah?” Ujar Zafril sinis padaku.
Hatiku bertambah sakit dengan Zafril. Aku tahu Zafril sengaja mahu memulangkan paku buah keras padaku. Sengaja Zafril melontarkan kata-kata yang aku luahkan padanya minggu lalu. Aku pasti niat Zafril menyuruhku membuat kopi itu hanya untuk membalas dendam padaku, bukannya betul-betul teringin merasa kopi yang aku sediakan.
“Ikin, Safi… dah belum? Akak dah nak balik ni.” Kata kak Diah, yang baru muncul di dapur itu dan terus berlalu dengan tergesa-gesa selepas menyampaikan pesanan.
Aku tersenyum lebar, ini peluang untuk aku melepaskan diri daripada perintah Zafril yang tidak masuk akal itu.  “Maaflah ya, saya ada tugas yang lebih penting,” ujarku sambil pantas mengangkat sekotak pinggan yang terdapat di penjuru dapur dan terus berlalu dari dapur itu. Sekotak lagi aku biarkan di situ supaya Ikin mengangkatnya.
I will make sure that you have to make me a coffee one day. Jumpa lagi. Nice to meet you.” Laung Zafril saat aku sudah setapak keluar dari dapur itu.
Aku meneruskan langkah tanpa menunggu Ikin mahupun menoleh ke belakang apabila mendengar laungan Zafril itu. Tidak ingin aku berjumpa dengan lelaki itu lagi. Semoga ini pertemuan terakhir antaraku dengannya.

13 comments:

Anonymous said...

besttt gilakk..heheh..hari2 sy tggu citer ni.. (:

cactaceous opuntia said...

one day?haha...as an assisstant or as a wife...suspen btol

Anonymous said...

kihkihkih.. cumilll..

yun said...

hoho..i hope as a wife..lg bestt kan...

yun said...

*as an wife..

Anonymous said...

lagi halal kalo dh jd suami isteri..

Unknown said...

wuu..best!

Anonymous said...

panggilan tu saya dah peruntukkan untuk orang lain...for sure utk zafril kan..

Afifah said...

best!!!
thanks utk n3 ni.. =)

Anonymous said...

best3!!!! keep it up!!=)

Nurul QisDhira said...

hehehe... best...best..(^_^) sambung lg..
tp knp zafril tu rmbut panjang?? x best la kalo lelaki rmbut pnjng.

fatim fatimah said...

makin best,,

hayati said...

akak dah baca, best

Post a Comment