Saturday, January 24, 2015

E-Book Love Story (Kompilasi Karya Cinta)

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. AH sangat bersyukur kerana berpeluang untuk melibatkan diri dalam Projek Amal Penulis bagi membantu saudara-saudara kita yang kini hilang tempat tinggal atas ujian banjir tempoh hari. Projek ini disertai oleh 7 lagi penulis yang AH sangat kagumi. Merasa juga AH bergabung tenaga, bekerjasama dengan penulis-penulis hebat tanah air. 


E-book ini menggunakan format PDF, dengan menggandungi 241 muka surat keseluruhannya. Antara karya-karya yang dipersembahan adalah seperti berikut :


Harga? Untuk projek amal penulis yang dijalankan, TIADA sebarang harga yang ditetapkan untuk E-book ini. Anda boleh menyumbang seikhlas hati. Tidak kira berapapun sumbangan anda untuk projek ini, anda LAYAK menerima E-book ini. Mudah kan?

Sekiranya anda berminat dan tergerak hati untuk menyumbang pada projek ini. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi https://www.facebook.com/adah.hamidah untuk maklumat lanjut.

Dimaklumkan di sini bahawa 100% sumbangan yang diterima hasil daripada jualan E-book ini akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir. Insya'Allah kami sangat amanah dah komited untuk membantu sama seperti anda sekalian.

Oh ya, Seperti yang rakan2 pembaca boleh lihat dalam gambar di atas, AH juga punya sebuah karya cinta dalam projek kali ini. Maka AH berbesar hati untuk kongsikan sedikit teaser karya bertajuk 'Bandar Tasik Selatan' untuk bacaan awal semua. Terima kasih atas bacaan ramai. Selamat Membaca.



STESEN BANDAR TASIK SELATAN
Oleh : Adah Hamidah

            Senyuman terlakar. Aku sekadar menggeleng. Train terlepas lagi, sama macam semalam. Tiada guna dia mengejar kerana train sudah mula bergerak. Lalu aku hanya mampu melihat train menjauh. Ala-ala Kajol dalam cerita Dilwale Dulhaniah Le Jayenge. Cumanya aku taklah menangis. Lagipun masih awal lagi. Baru pukul enam tiga puluh lima minit pagi. Langsung tiada masalah untuk menunggu train seterusnya. Maklumlah, perkhidmatan kereta api moden berkuasa elektrik tidak perlu dirisaukan. Sepuluh minit sekali train akan tiba untuk membawa penumpang ke destinasi. Langkah menuruni anak tangga diperlahankan.
            Hakikatnya aku memang suka keluar lebih awal untuk ke tempat kerja. Tidak perlu berebut dan berasak-asak. Oleh kerana itulah, kini aku tinggal bersendirian di stesen transit aliran ringan Bandar Tasik Selatan setelah ditinggalkan tadi. Yang lain tentunya sudah elok duduk dalam train yang sudahpun tidak dapat dilihat dengan pandangan mata.
            Kaki masih meneruskan olah gerak. Menuju ke bangku yang tersedia. Aku duduk di situ, menunggu kedatangan train seterusnya. Sememangnya aku lebih rela menghabiskan tenaga berjalan dan menunggu train daripada membazirkan masa meredah kesesakan lalu lintas pagi dan petang. Oh tidak! Memang aku tak sanggup.
            Mata menangkap susuk tubuh yang baru mula menuruni anak tangga. Hanya sekilas pandangan. Seorang lelaki! Muka nampak baik, tapi bebola matanya nampak tajam. Terus  aku rasa tak sedap hati. Ah, sekejap lagi tentu lebih ramai yang sampai. Pantas aku alih pandangan jauh di sebelah kanan. Entah apa aku lihat, padahal train hanya akan muncul dari arah yang berbeza. Tak kisahlah, asalkan aku tak perlu pandang lelaki tadi.
            Saat demi saat berlalu, sekarang aku tahu ada yang sedang berdiri di hadapan. Sah-sah lelaki tadi. Siapa lagi kalau bukan dia. Ish, dah kenapa pula berdiri depan aku? Nak toleh, mendongak, aku tak berapa berani. Jadi aku buat-buat tak perasan. Sudahnya aku anjak kedudukan, beralih sedikit agar tidak lagi berhadapan dengan dia. Malangnya dia juga bergerak sama. Ini tak boleh jadi. Tanpa buang masa aku bangun. Serta merta rasa tak aman, maka perlu cari kawasan yang lebih selamat.
            “Nak lari mana?”
            Belum sempat aku buka langkah dia terlebih dahulu keluarkan dialog yang biasa diperdengarkan oleh watak jahat dalam drama-drama televisyen. Ayat itu juga telah berjaya memaksa dengupan jantung aku bergerak pada kelajuan luar biasa. Tak perlu untuk aku jawab soalan itu. Apa yang paling penting sekarang ialah menyelamatkan diri daripada anasir-anasir jahat. Bersedia untuk memecut larian.
            “Pinjam pandai, pulangkan tak reti pula?”
            Aku tak jadi lari apabila mendengar lanjutan kata-katanya. Lebih-lebih lagi setelah aku melihat beberapa orang awam mula muncul. Lega rasanya. “Pinjam?” kali ini baru aku berani pandang muka dia. Aku kenal dia ke? Otak memproses maklumat. Hasilnya yang dihantar oleh fail ingatan mengesahkan bahawa aku memang tidak kenal dia.
            “Nak buat-buat lupalah tu!”   
            “Rasanya salah orang ni.” senyuman aku buka tanpa ikhlas. “Awak pun saya tak kenal, macam mana nak meminjam? Betul tak? Jadi saya pergi dululah ya.” aku bertindak beredar. Adalah lebih selamat kalau aku bergerak menuju ke arah beberapa orang awam yang sudah terpacak menunggu ketibaan train.
            Cubaan untuk bergerak bagai disekat. Walaupun aku berusaha keras membawa kaki mara, namun tiada langkah yang dapat aku buka. Mana tidaknya, beg yang tergalas ditarik dari belakang. Tali yang tergantung pada kedua-dua bahu, aku sentap kuat. Harapnya, berjaya melepaskan diri. Sayangnya masih gagal juga. Malah aku pula yang terdorong ke belakang apabila beg galas ditarik, membalas tindakan aku sebentar tadi. Sekelip mata aku dihantar duduk di atas lantai stesen. Terhentak, aduh!
            Mata-mata yang ada memandang ke arahku. Hilang sabar aku dibuatnya. cepat-cepat aku bangun. Tak pasal-pasal malu pagi-pagi hari. Lelaki ni memang tak faham bahasa agaknya. “Apa ni? Sakit tahu tak?” aku lebih berani daripada beberapa minit tadi. Train yang sampai sudah tidak lagi aku pedulikan.
            “Kalau tak nak sakit, pulangkan apa yang kau dah pinjam.”
            “Dah cakap salah orangkan? Kenalpun tak, pinjam apanya?” aku tinggikan suara.  
            “Nak kena kenal dulu baru boleh pinjam?”
           “Yalah. Mana ada orang bagi pinjam barang kat orang yang dia tak kenal.” Mati-mati aku pertahankan hujah. Rasanya lelaki ni ada masalah mental agaknya.
            “Habis, segala bank kat Malaysia ni, Mara, Ptptn, Tekun National, Amanah Ikthiar, Ah long, semua tu buat sesi berkenalan dulu baru bagi pinjam?”
            Fakta dan contoh-contoh kukuh yang dikeluarkan oleh lelaki dengan mudah mamatahkan hujah yang aku keluarkan. Betul juga. Tak kenalpun boleh pinjam. Isi borang aje. Aku jadi kelu. 
            “Okey, apa yang saya pinjam?” itu aje ayat yang ada sekarang. Jadi aku tanya aje sementara memikirkan cara lain untuk keluar daripada masalah yang tak ada sangkut paut dengan aku secara langsung mahupun tidak langsung.
            “Magic colour.”
            “Hah?” tergamam aku. Kalaulah aku tengah minum air tadi, dah tentu bersembur keluar. Ingatkan duit beribu-ribu ke, kereta Ferari ke, rupanya magic colour aje?
            “Tak payahlah nak terkejut sangat. Pulangkan aje, habis cerita”
            Memang tak terkata. Disebabkan magic colour aje dia sanggup buat aku jatuh terduduk. Lelaki ini memang luar biasa. Atau mungkin lebih layak digelar pelik dan ganjil. Tak ada masa aku nak pinjam magic colour. Aku bukannya pereka fesyen nak pakai peralatan mewarna bagai. Dunia aku dengan komputer aje. 
“Okey, esoklah. Esok saya pulangkan.” Aku ambil jalan mudah. Magic colour ajepun. Berapa ringgit sangat harganya. Jadi tak payahlah aku nak tegakkan kebenaran. Biarlah aje. Mungkin pelanduk dua serupa. Orang yang meminjam magic colour itu punya wajah seiras denganku. Itu kesimpulan yang aku buat pada akhirnya.
“Okey. Esok aku tunggu. Jangan kau hilangkan diri pula. Bukan senang nak cari kau ni.”
“Tak hilangnya. Janji esok pulangkan.” Yakin saja ku tabur janji.
Lelaki itu mengangguk lalu berjalan pergi. Aku kelegaan. Hurm... Jam pada tangan mendapat perhatian. Kemudian aku angkat wajah, kembali melihat lelaki tadi. Mahu tahu arah tujunya. Sekeliling aku pandang, tapi langsung tak jumpa. Pada hal baru beberapa saat mata melepaskan dia pergi dari pandangan.  “Aik, sekejap aje hilang?”

AZIAN, Ekin dan Teja gelak besar mendengar cerita yang aku sampaikan. Gamat meja kami jadinya. Mujur suasana hingar bingar food court Suria KLCC menenggelamkan suara mereka. 
            Korang ni macam tak percaya cerita aku aje.” Gelas berisi air soya aku tolak. Punyalah beriya-iya aku bercerita, bolehkan pula dia orang tak percaya?
            “Macam ni, bukan kita orang tak percaya, tapi cerita kau ni macam tak logik. Magic colour aje, takkanlah nak tuntut sampai macam tu sekali.” Masih bersisa tawa Azian.
            “Yalah Sirah. Dah tu kau pun satu hal. Dah tau kau tak kenal, yang kau nak pulangkan juga kenapa? Ke memang betul kau pinjam tak pulangkan?”
            Ketawa kembali meriah dengan pertanyaan Teja. Aku tarik muka. Nama aje kawan baik, tapi tak ada seorangpun yang faham.
Korang ingat aku nak sangat mengaku aku yang pinjam? Kalau bukan sebab-sebab keselamatan, tak ada mananya aku nak buat macam tu. Kalau korang ada kat tempat akupun, aku gerenti korang buat benda yang sama.” Luahku. Keselamatan harus menjadi keutamaan. Boleh saja kalau aku terus berkeras mengatakan aku bukanlah orang yang meminjam. Tapi bila difikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada, aku fikir lebih baik ganti saja.
“Kalau aku tak kata nak pulangkan, buatnya lelaki itu campak aku kat landasan, tak pasal-pasal aje nanti.” masih aku jelaskan mengapa dan kenapa keputusan itu aku ambil. Masih terbayang kesakitan akibat jatuh terduduk tadi. Nak bergadai nyawa semata-mata magic colour? Itu tidak berbaloi.
“Cerita kau ni memang rare sangatlah, Sirah. Apapun, kau jangan risau. Kita orang akan cuba percaya dengan sedaya upaya.” Ekin letak sudu. Bercakap sambil makanan memenuhi mulut. Tak senonoh betul.  
“Suka hati koranglah nak percaya ke tidak. Tapikan...” Aku tak tahu sama ada patut bagi tahu dia orang atau tidak. Sedangkan cerita tadipun menjadi bahan jenaka mereka, inikan pula yang ini. Namun masing-masing sudah kepakkan telinga tak sabar mendengar. Terpaksalah aku cerita juga.
            “Tapi apa? cepatlah.” Azian bersuara.
            “Entah kenapa aku rasa kejadian tadi tu macam dejavu.”
            “Dejavu?” bersepadu suara Azian, Ekin dan Teja.
            “Ha’ah. Macam aku dah pernah lalui aje semua tu.” Dahiku berkerut. Sepanjang menaiki train lrt star menuju ke Stesen Masjid Jamek bersambung pula dalam train lrt putra ke Stesen KLCC, itulah perkara difikirkan. Rasa macam dah pernah lalui semuanya.
            “Aku rasalah kan...” Teja cakap sekerat. Lepas tu memberikan isyarat tangan agar semua kawan-kawan lebih mendekat. Bunyi macam suspen dan masing-masing ikut cakap termasuklah aku, merapatkan diri dengan Teja.
            “Aku rasalahkan, lelaki tu ada kuasa magik.”
            “Ish, takkanlah!” aku orang pertama yang sangkal. Tidak yakin.
            “Betul, Sirah. Cuba bayangan. Tiba-tiba aje dia muncul, lepas tu dengan tidak semena-mena berjaya pula dia buat kau rasa macam dejavu. Kau tak rasa ke, magic colur yang dia minta kau pulangkan tu macam hint yang dia sengaja nak bagi. Nak kau tahu yang dia tu ahli magic. Betul tak?” berkerut-kerut dahi Teja bercerita. Penuh kesungguhan.
            Semua orang diam memikirkan teori Teja. Azian siap mengangguk-anggukkan kepala. Idea dia mengalahkan teori konspirasi.
            “Merepeklah kau Teja. Tak logik.” Aku berlepas tangan daripada terus menghayati, menyelam dan memikirkan teori teja. Tak masuk akal.
Riak Teja menampakkan kekecewaan. Namun tak sampai tiga saat dia ketuk meja tiba-tiba. “Hah, tahupun tak logik. Sedarpun kau. Jadi tak payahlah kau nak bermagic colour lah, dejavulah. Menjadi-jadi pula khayalan kau ni.” Teja tegas menyedarkan.
            “Ha’ahlah, Sirah. Semalam kau cerita nampak kucing bawa motor. Hari ni kau pula kena serang sebab magic colour. Kau tak ada kerja lain ke?” Ekin juga bertegas, mengingatkan kisah semalam.
            “Cukup-cukuplah Sirah. Henti-hentikanlah berimaginasi tinggi sangat. Nanti jatuh sakit.” Giliran Azian berucap.
            “Woi, aku...”
“Dah... jomlah balik office. Esok-esok pula kau cerita. Habis waktu dah ni.” Celah Teja.
Aku langsung tak sempat nak buka mulut. Tak ada seorangpun yang bagi peluang. Semua sudah bangun, bersedia untuk bergerak pulang ke pejabat. Mencebik aku sendirian. Salah aku juga. Kisah kucing bawa motor tu memang aku reka. Saja nak bergurau senda. Nak uji siapa kawan yang paling percaya pada aku. Tapi kisah hari ini memang bukan rekaan. Disebabkan pembohongan semalam, tak ada sesiapapun yang nak percaya pada aku hari ini. Inilah akibat kalau berbohong!
“Itu duk mengarang kisah apa pula? Tak nak balik office?” jerit Teja.
Tersentak aku dibuatnya. “Nak baliklah ni.” Cepat-cepat aku bangun. Ada senyuman ikut sama. Walaupun dia orang tak percaya kat aku, tapi dia orang tetap sayang dan ambil berat pasal aku. Itulah namanya kawankan? 


Untuk membaca lanjut, dapatkan E-Book Love Story, Kompilasi Karya Cinta. 

Kata AH:
Hidup penuh dengan ujian. Semoga dengan niat membantu insan-insan yang sedang diuji, maka ujian untuk kita pada masa akan datang lebih mudah untuk kita hadapi dan tangani. Ujian itu indah, jika kita faham takwil disebalik ujian yang tiba. Selamat Menyumbang! Semoga setiap satu daripada usaha kecil kita bersama  dirahmati oleh Allah SWT. 

2 comments:

InVisiBle_riZz said...

menarik...tungu gaji lah..huhu

Syahr said...

Hi. Boleh saya tahu. Ebook ni masih boleh dibeli ke?

Post a Comment