22
Mataku mencerun memandang ke bawah. Terlalu ramai orang
yang berada di bawah sana, mengunjungi pameran yang aku sendiri tidak pasti
untuk apa. Namun bukan itu yang aku kisahkan. Aku ke sini bukan untuk
menghadiri pameran tersebut. Aku ke sini semata-mata cuba untuk melapangkan
fikiranku yang sedang sarat. Berserabut dengan hal Wafi dan Zulhairi. Mengenang
nama kedua-dua lelaki itu sahaja sudah cukup membuatkan aku sakit kepala.
Besi penghadang di centre
court
Suria KLCC aku pegang. Melihat centre court ini benar-benar mengingatkanku pada centre
court
di The Curve. Ada kisah yang tidak menyenangkan hati. Semua yang berlaku di dalam shooping
mall itu seolah kembali
ditayangkan di minda. Membuatkan dada kian sesak.
Keliru aku dibuatnya, bagaimana Wafi boleh jatuh hati
padaku? sedangkan sebelum ini aku tidak melayannya dengan baik. Semuanya aku
perlihatkan secara acuh tidak acuh. Tiada yang berlebihan. Jadi bagaimana Wafi
boleh menyimpan perasaan sebegitu? Anehnya! Rasa pening apabila memikirkan
persoalan yang langsung tiada jawapan.
Ikutkan, aku mahu perkara
ini segera selesai. Paling penting, aku tak mahu melukakan hati sesiapa. Baik hati
Wafi, mahupun hatiku sendiri. Tapi sejak peristiwa lamaran itu, Wafi langsung
tidak dapat aku hubungi. Walaupun aku maklum yang dia punya tugas di luar
kawasan, namun mustahil itu menjadi alasan utama keenggannya menjawab
panggilanku.
Bukan sekali dua aku
menelefon. Malahan, hampir setiap hari aku cuba menjejaknya. Dari pagi hingga
ke malam. Tidak mungkin sedikit pun dia tidak punya masa untuk menjawab panggilanku. Kenapa Wafi seolah-olah
melarikan diri dariku sedangkan dia yang memulakan semua kisah yang kian
bersimpul mati.
Entah ke mana agaknya dia
berada? Ingin bertanya pada Zulhairi? Oh, tidak! Mati hidup semula pun aku
tidak akan berbuat begitu. Nanti macam-macam yang akan difikirkannya. Sudahlah kebelakangan
ini, setiap kali aku bertembung dengan Zulhairi, ada sahaja kisah Wafi yang
ingin dia sampaikan padaku. Semuanya puji-pujian atas lelaki itu.
Aku tidak tahu apa yang
difikirkan oleh Zulhairi. Tapi aku dapat rasakan yang Zulhairi sedang giat
membantu kawannya meraih cintaku. Ya, aku sangat yakin dengan firasatku. Namun,
ada soalan yang tersimpan di hati, apa perlunya Zulhairi bersungguh-sungguh melakukan
semua ini? Apa yang dia dapat?
Beg tangan segera aku geledah apabila telefon bimbit
samar-samar bunyinya kedengaran. Sebaik sahaja tanganku berjaya mengenggam
telefon itu, nada deringnya sudah berhenti. Aku terkejut besar. Lebih daripada
sepuluh miss call dari talian rumahku. Senarai panggilan yang tidak berjawab aku lihat.
Orang yang terakhir sekali menghubungiku ialah Zulhairi. Aku menelan liur, sudah
tidak sedap rasa. Laju jantung berdegup. Seperti ada yang tidak kena. Pasti ada
sesuatu yang berlaku di rumah.
Aku pantas mendail talian rumahku. Kini aku semakin cemas
apabila ketiga-tiga panggilanku dibiarkan begitu sahaja. Tidak berjawab. Aku
mencuba sekali lagi sambil langkah mula dibuka.
“Alia, Azira angkatlah telefon tu. Jangan takutkan aku!”
aku sudah membebel sendirian. Deringan masih tidak bersambut.
Semakin gelisah! Aku tidak tahu bagaimana mahu
mendapatkan adik-adikku. Zulhairi! Pantas fikiranku teringatkan Zulhairi, di saat
genting begini sememangnya hanya dia sahaja orang yang boleh membantuku. Laju
aku membuat panggilan. Dalam hati, aku mula berdoa pada Allah SWT, semoga saja
tiada apa-apa yang berlaku pada adik-adikku di rumah.
Sebaik sahaja talian bersambut, aku memulakan kata.
“Assalamualaikum Zul…”
“Su, kau kat mana ni, banyak kali Alia dengan aku call kau tak dapat.” Belum
sempat aku menyambung ayat, Zulhairi segera memintas kataku.
“Kenapa? Apa dah jadi?” Mendengarkan nada suara Zulhairi meninggi
membuatkan jantungku berdegup lebih laju. Apa yang berlaku sebenarnya? Sebelum
aku keluar tadi elok sahaja mereka bertiga di rumah itu.
“Amira pengsan.”
“Ya’ Allah.” Kakiku sudah lemah. Hampir saja aku
terjelupuk jatuh. Mujur tanganku sempat berpaut pada tembok yang ada. “Kau kat
mana?” Rasa bersalah menghujan minda. Bayangan wajah Amira yang melambaiku
sebelum aku melangkah keluar dari rumah tadinya, menjelma. Bagaimana dia boleh
pengsan sedangkan dia baik-baik saja?
“Aku baru keluar dari klinik ni, baru lepas jumpa doktor.
Kita jumpa kat rumah nanti.”
“Okay, aku gerak sekarang.” Aku menyapu air mata yang
tiba-tiba menitis di pipi. Pandangan orang yang lalu lalang dan melihat
keadaanku yang kalut ini tidak aku hiraukan.
“Su, hati-hati bawa kereta. Jangan risau sangat, Amira
dah sedar.” Pesan Zulhairi. Mahu cuba menenangkan jiwaku yang sememangnya
gundah.
Aku tidak bersuara lagi. Terus saja aku putuskan talian.
Aku bergerak laju menuju ke lif. Aku harus pulang segera. Hati sudah mula
mengalunkan zikir, kata arwah ayah, hati akan kembali tenang dengan berzikir.
Aku tidak pernah lupa.
AKU rasa bersalah.
Perasaan yang teramat sangat. Sewaktu Amira pengsan tempoh hari, aku tiada di
rumah kerana sibuk melayan perasaanku sendiri. Hinggakan Alia gagal
menghubungiku dan dia terpaksa meminta bantuan Zulhairi. Nasib baik Zulhairi
ada di rumah orang tuanya waktu itu, jika tidak, aku tidak tahu apa yang akan
jadi pada Amira. Aku tersenyum tawar, setiap kali aku dalam kesusahan memang
dialah orangnya yang akan membantuku dan adik-adikku. Takkan ada orang lain,
selain Zulhairi!
Wajah mulus Amira yang
sedang enak tidur, aku tatap rapi. Tangannya kugenggam erat. Mujurlah tiada
apa-apa yang serius yang terjadi pada Amira. Menurut doktor, Amira mungkin keletihan.
Itu seperti apa yang Zulhairi sampaikan padaku. Namun aku agak sangsi dengan
penjelasan itu.
Amira bukanlah
kanak-kanak yang terlalu aktif sehingga boleh pengsan akibat keletihan. Amira
jenis yang agak pasif. Dia lebih gemar bermain dengan anak patung dan mainannya
yang lain, yang tidak memerlukan dia mengeluarkan terlalu banyak tenaga. Jadi
tidak mungkin itu punca dia pengsan. Namun aku juga tidak mahu berfikir yang
bukan-bukan.
Memang aku cukup risau
jika Amira jatuh sakit. Aku tidak mahu ada perasaan sebegitu. Aku tidak mampu
menghadapinya. Mungkin aku agak kasar dengan mereka tapi hatiku tidak pernah
mengharapkan ada perkara yang buruk berlaku pada mereka bertiga. Mereka bertiga
amanah ayah padaku. Amanah yang harus aku jaga hingga akhir nafasku.
“Along,”
Aku menoleh pada pintu
bilik yang terkuak. Alia muncul di bilikku dengan senyuman. Aku membalas
senyumannya itu seadanya. Dia datang lalu menghulurkan salam.
“Amira macam mana?” Alia
mengucup ubun-ubun Amira. Baju sekolah masih tersarung di badannya, masih belum
bertukar.
“Alhamdulillah. Dah okay
rasanya. Siap dah boleh bergelak tawa lagi tadi tengok upin ipin.” Ujarku.
Gembira aku melihat dia bergelak tawa sebentar tadi. Mungkin kerana penat
melayan semua cerita kartun yang ada di televisyen sejak pagi tadi, sekarang
dia tertidur di dalam bilikku ini.
“Macam mana exam tadi?”
“Alhamdulillah, okay kut.”
Alia tersengih-sengih.
“Eh, apasal ada kut pula
kat belakang ayat tu? Tak boleh jawab ke tadi?” tanyaku serius. Peperiksaan SPM
bukanlah peperiksaan yang main-main. Ianya penting untuk masa hadapan.
“Alhamdulillah memang
boleh jawab. Cuma tak tahu betul ke salah. Tapi rasa macam betul je.”
“Jangan main-main Alia,
SPM tu penting.” Aku mengingatkannya. Alia mengangguk sambil senyuman.
“Azira mana along?”
“Dalam bilik, entah apa
dibuatnya dari pagi terperuk aje dalam bilik tu.” Aku agak gusar dengan Azira
sekarang. Sejak habis peperiksaan PMRnya hari itu, sikapnya semakin tidak aku
faham. Aku akui, antara adik-adikku. memang dia yang agak susah untuk aku
uruskan. Tapi entah kenapa sekarang ini menjadi semakin sukar.
“Aku nak pergi masak
kejap, kau tolong tengok-tengok Amira. Kalau kau nak study, study kat meja kerja aku itu.”
Aku terus bangun, makan tengah hari perlu aku sediakan. Nak harapkan Azira, aku
takut dapur itu pula yang terbakar dibuatnya nanti.
“Okay… Alamak along, Alia
lupalah.” Bergegas dia ke tingkap bilikku dan menjengguk ke luar.
Aku yang baru sahaja
ingin bangun ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari memberhentikan
langkah. Alia kembali aku pandang.
“Tadi masa Alia balik,
Alia terserempak dengan Abang Zul kat depan rumah. Dia suruh Alia panggilkan
Along. Tu, dia tengah tunggu Along. Aduh, kesian Abang Zul lama tunggu.” Mata
Alia melilau menjenguk ke luar tingkap. Kemudian dia mengangkat tangan
memberikan isyarat tunggu kepada orang di luar sana.
Aku menjenguk ke luar
tingkap juga. Memang Zulhairi sedang menantiku. “Okaylah, aku turun dulu.”
Aku meneruskan langkah
mendapatkan Zulhairi yang sedia menantiku di luar rumah. Sebaik sahaja
menyarungkan selipar aku mendapatkannya.
“Assalamualaikum.”
Sapanya terlebih dahulu.
“Waalaikumusalam. Kau tak
kerja ke?” Soalku, tidak mungkin dia juga mengambil cuti sepertiku. Hari ini
aku mengambil cuti semata-mata kerana hendak menjaga Amira. Aku ingin
memastikan dia sihat sepenuhnya sebelum aku kembali memulakan tugasku di
pejabat. Aku pasti aku tidak akan dapat melakukan kerja dengan baik jika
terbayangkan Amira yang aku tinggalkan dalam keadaan yang tidak sihat. Walaupun
sejak semalam dia sudah beransur pulih, tapi aku perlu menunggu sehingga Amira
benar-benar sihat kembali seperti selalu.
“Kerjalah. Ni tak nampak
aku pakai uniform ni.” Dia mendepakan tangannya.
Aku tersenyum kecil,
memandang ‘uniform’nya itu. Kemeja coklat, tali leher coklat berbelang putih, seluar
slack hitam dan kasut kulit juga berwarna hitam terletak elok di badannya. Jika
tidak ke pejabat memang tidak mungkin aku akan dapat melihat dia memakai
pakaian begini.
“Em, memanglah kau
kerjakan. Kalau tak takkanlah kau nak pakai pas kerja datang rumah aku ni.” Aku
tergelak kecil melihat pas kerja yang masih lagi tergantung di lehernya. Apalah
yang difikirkannya sampai terlupa hendak menanggalkan pas itu dari lehernya.
Selalunya sebaik sahaja keluar dari pejabatnya, pas kerja itu yang dihumbankan
masuk ke dalam kocek atau beg kerjanya terlebih dahulu sebelum mula melangkah.
Rimas katanya apabila ada benda yang bergayut di leher.
Dia memandang pas kerja
yang terletak di badannya. Menyedari hal itu dengan segera dia menanggalkan pas
itu dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. “Ish, ni semua kau punya pasallah
ni.”
Berkerut dahiku. “Apasal
aku pula?” Aku pula yang disalahkannya, sedangkan aku tiada kena mengena
langsung dengan pas kerjanya itu.
“Aku nak cepat belikan ni
untuk kau. Sampai terlupa nak tanggalkan pas.” Dia menghulurkan sebungkus
plastik merah padaku.
Aku menyambut huluran
Zulhairi. Setelah plastik itu bertukar tangan, aku melihat ke dalamnya.
Beberapa bungkusan lauk pauk berada di dalamnya. “Kau datang sini semata-mata
nak belikan aku makan tengah hari ni ke?” soalku tidak percaya, jauh juga
tempat kerja kami.
“Aku kesian kat kau, mana
nak jaga Amira, nak buat itu, ini. So, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kau
tak payah nak masak hari ni untuk adik-adik kau.” Tuturnya sambil bersandar pada
kereta.
Bibirku sudah mengukirkan
senyuman. Zulhairi benar-benar prihatian dengan keadaan aku dan adik-adikku. Rasa
gembira apabila ada yang menyokong aku saat aku dalam kesusahan begini. Hatiku
semakin terusik dengan dirinya.
“Thanks Zul. Kalau tak ada kau
hari tu. Aku tak tahu apa yang jadi kat Amira.” Buat kesekian kalinya aku
mengucapkan terima kasih atas budi baiknya menghantar Amira ke klinik beberapa
hari lalu.
“Ish kau ni, berapa
banyak kali nak cakap terima kasih. Sudah-sudahlah tu. Amira macam mana hari
ini?”
Kini aku turut
menyandarkan tubuhku ke keretanya. “Alhamdulillah dah okay. Happy je aku tengok dia hari
ni.”
“Kau ambil cuti berapa
hari?”
“Hari ni je rasanya. Aku
tengok Amira pun macam dah okay. Esok bolehlah aku masuk kerja balik.” Aku
menyatakan rancanganku. Jika Amira masih tidak sihat memang aku akan mengambil
cuti dua atau tiga hari lagi. Lagipun cuti tahunanku masih banyak berbaki
walaupun sekarang sudah menghampiri akhir tahun.
Kemudian aku dan Zulhairi
terdiam. Masing-masing tidak bersuara. Aku menalakan pandanganku ke arah
tingkap bilikku, memikirkan tentang Amira yang mungkin masih lagi lena dibuai
mimpi.
“Kau pula macam mana?”
Zulhairi kembali bersuara.
“Aku? Kenapa pula dengan
aku?” Rasa susah pula untuk memahami soalan itu, jadi aku balas dengan pertanyaan
juga.
“Janganlah buat-buat tak
faham.” Sambungnya lagi
Berkerut keningku cuba
memikirkan perkara-perkara yang boleh aku kaitkan dengan soalannya, tapi masih
tidak berjumpa. Pantas aku mengeleng, memang aku tidak faham. Bukannya
berpura-pura tidak faham.
“Kau dah sudi nak terima
Wafi, ke?” laju soalan itu keluar dari bibirnya.
Aku terus memandang tepat
wajahnya. Zulhairi sudah memulakan lagi. Sejak Amira pengsan tempoh hari,
langsung aku tidak dengar Zulhairi membangkitkan tentang lamaran Wafi. Tapi
hari ini kisah itu diungkitkan kembali. Rasanya sudah banyak kali aku
menyatakan padanya tentang perasaanku pada Wafi. Hanya sekadar kawan, dan aku
tidak mungkin akan menerimanya.
Apa lagi yang boleh aku
lakukan bagi membuatkan Zulhairi faham? Terasa didesak. Kenapa jadi begitu?
Jika difikirkan kembali, sepatutnya Wafilah orang yang tepat, yang harus mendesakku
menerimanya. Bukannya Zulhairi! Ini terbalik pula!
Hilang terus rasa hati
yang tadinya gembira dengan sikap ambil berat Zulhairi. Yang ada kini cuma rasa
sakit hati dengan desakkannya. “Berapa banyak kali kau nak aku bagi tahu kau
jawapan aku?” aku sudah malas mahu mengulang perkara yang sama berkali-kali.
“Aku tahu, tapi kan aku
dah suruh kau pertimbangkan semula?” Zulhairi tidak mahu mengalah.
“Yang kau pula beria-ia
sangat ni kenapa?” Soalku geram. Hilang terus bicara lembutku. Kedegilannya itu
menyakitkan hati, lebih-lebih lagi di saat aku sudah mula menaruh perasaan
padanya.
“Aku bukan apa, Su… aku
cuma nak pastikan ada orang yang jaga kau dengan adik-adik kau.”
Niat hati Zulhairi itu
memang baik kelihatan, tapi aku tidak dapat menerimanya.
“Kaukan ada.” Kataku
perlahan, dan pandangan kubawa ke jalan tar. Cuba berdiplomasi dengannya. Dalam
masa yang sama aku mahu Zulhairi tahu bahawa aku lebih memerlukan dia
berbanding Wafi. Kalau ada orang yang mampu melindungiku dan adik-adikku, hanya
dialah orang yang tepat.
“Sampai bila kau nak
harapkan aku aje?”
Soalannya itu menyentak
hatiku, lantas pandangan mataku menumpu pada wajahnya. Cuba mencari kebenaran.
Betulkah Zulhairi yang menuturkan kata-kata itu padaku?
“Tak mungkin kau nak bergantung
pada aku selama-lamanya kan? Akupun kena fikir pasal masa depan aku juga, Su.” selamba
sahaja Zulhairi terus--menerus menuturkan kata yang boleh merobek hatiku.
Sedih, itu yang dapat aku
rasakan. Namun tidak dapat aku luahkan. Aku tidak sangka perkara itu akan
keluar dari mulut Zulhairi. Dengan langkah perlahan aku melangkah meninggalkan
dirinya di luar sendirian. Pintu aku pagar tutup rapat. Panggilannya untukku
aku biarkan sahaja.
Sudah jemukah dia untuk
membantuku? Sudah lelahkah dia melayan setiap karenah aku dan adik-adikku
selama ini? Letihkah dia melayan setiap masalah yang menimpa diriku saban waktu?
Persoalan-persoalan itu berselirat dalam fikiran. Untuk bertanya semua itu
padanya, sungguh aku tidak mampu. Aku takut untuk mendengar jawapan yang bakal
ditutukan bibirnya. Takut jawapan itu akan melukakan hatiku.
Gambar ayah dan ibu yang
aku letakkan di ruang tamu seolah mengamitku ke arahnya. Aku mengambil bingkai
gambar itu dan merenungnya dalam. Tiba-tiba aku menjadi rindu dengan mereka.
Wajah ibu tiriku juga kini mula menjelma.
“Sampai bila kau nak
harapkan aku je?”
Kata-kata Zulhairi
sebentar tadi kedengaran di telinga sekali lagi. Adakah dia benar-benar
memaksudkan apa yang dikatakannya itu? Adakah dia sudah lupa pada janjinya
dahulu…
AKU hanya memandang
Zulhairi yang menghantar orang surau hingga ke muka pintu, selesai sudah majlis
tahlil untuk arwah ayah hari ini. Petang tadi arwah ayah telah selamat
dikebumikan dia tanah perkuburan yang sama dengan arwah ibu. Tahun ini aku
merasai dua kehilangan. Beberapa bulan lepas ibu tiriku meninggal dunia sewaktu
melahirkan Amira, kini arwah ayah pula menyahut seruan Illahi.
Walaupun aku tidak berapa
rapat dengan ibu tiriku, namun kehilangannya tetap memberi kesan padaku. Dan
sekarang ayah pula yang menyusul mengikut jejaknya. Melihat Alia dan Azira yang
masih dengan linangan air mata membuatkan aku turut sama mengalirkan air jenih
itu. Jika mereka tidak dapat menerima kehilangan ini, apatah lagi aku.
“Su,”
Aku menoleh memandang
Zulhairi yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah. Air mata aku seka dengan
hujung lengan baju kurung. Tapi ianya seperti tidak mahu berhenti, sentiasa
mengalir laju membasahi pipi.
“Kau kena redha Su. Allah
sayang hambaNya yang sabar dan redha dengan ujianNya. Tak elok menangis macam
ni.” Zulhairi cuba menenangkan.
Aku menggelengkan kepala.
Aku bukan tidak mahu redha akan semua yang berlaku, cuma hambatan perasaan yang
membuat aku jadi sebegini. Lagi air mata yang mengalir aku cuba hapuskan. Aku
tahu, aku harus kuat, aku harus redha dengan segala ujian yang Allah berikan
untukku.
“Ayah amanahkan aku jaga dia orang. Aku tak
rasa aku mampu.” Kataku perlahan, mengenang semua amanah yang ayah berikan
padaku sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jika tiada amanah daripada
arwah ayah sekalipun, aku tetap harus menjaga mereka kerana mereka hanya
mempunyai aku sahaja.
Keluarga arwah ibu tiriku
sudah membuangnya kerana berkahwin dengan ayahku, duda beranak satu. Ayahku
pula anak tunggal dalam keluarganya. Jadi sememangnya hanya aku yang ada
pertalian darah dengan mereka sekarang ini. Jika bukan aku yang menjaga mereka
siapa lagi?
Tapi aku tidak tahu
mampukah atau tidak untukku menjaga mereka semua, dengan Amira yang baru sahaja
beberapa bulan lahirnya, dan aku pula baru sahaja menamatkan pengajian. Pekerjaan
tetappun masib belum ada lagi. Mampukah aku untuk membesarkan mereka seorang
diri? Suara tangisan Amira yang berada di dalam dakapan Makcik Khamisah aku
renung seketika.
“Su… Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” Zulhairi berhenti
seketika, mungkin mahu melihat riak balas dariku.
Aku hanya menganggukkan
kepala. Rasanya aku tahu dari mana asal ayat itu. pastinya dari salah satu
surah di dalam Al-quran. Aku sendiri
pernah membacanya.
“Allah beri ujian ni pada
kau sebab Dia yakin kau boleh laluinya. Kau masih ada Allah, Su.”
Bersungguh-sungguh Zulhairi menyakinkanku.
Aku melemparkan senyuman
padanya. Iya, Allah masih ada bersamaku. Aku perlu redha dengan semua ujian dan
ketentuanNya.
“Dan kau juga ada aku, Su.
Aku janji aku akan jaga kau sampai bila-bila. Kau pegang janji aku ni.” Yakin
Zulhairi berbicara. Senyuman diperlihatkan padaku. Cuba menamkan iktikad.
“Along, along okay.”
Lamunanku terhenti
apabila Alia memaut lenganku. Pantas aku sedar dari lamunan yang panjang.
Lamunan enam tahun lalu. “O… Okay.” Tergagap-gagap aku menyatakan keadaanku.
“Erg, aku nak ke dapur.” Aku meletakkan semula bingkai gambar itu di tempat
asalnya, kemudian aku terus sahaja berlalu meninggalkannya yang
terpingga-pingga di ruang tamu.
Lauk pemberian Zulhairi
aku letakkan di atas meja dapur, janjinya dulu dan kata-katanya sebentar tadi
berlegar-legar di ruang minda. Perlukah aku ingatkan kembali Zulhairi pada
janjinya itu? Aku senditi tidak pasti. Namun untuk aku menuntut kembali janjinya,
aku rasa tidak mungkin. Aku tak akan melakukannya. Apa yang boleh aku lakukan
saat ini hanyalah pasrah dengan keadaan. Pasrah, hanya itu satu-satunya jalan
yang aku ada.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih kpd semua rakan pembaca yg masih sudi singgah ke blog AH semata-mata mahu tahu khabar Su, Zul dan Wafi. Nampak keadaan semakin rumit... apakah...? Hi2 Insya'ALLAH entry 23, adalah entry terakhir yg akan AH postkan di blog, manakala selebihnya terpaksalah sama2 kita tunggu SAC keluar di pasaran tahun hadapan. Doakan yg baik2 utk SAC, terima kasih atas sokongan semua ya.
9 comments:
Kalau Zulhairi sudah menyarankan agar Suraya tidak membebankan tanggungjawab Suraya kpdnya, maka eloklah Suraya belajar utk berdikari dan jgn libatkan Zulhairi dgn urusan keluarga Su.... Betullah apa yg Zulhairi cakap, dia juga perlu memikirkan masadepannya tanpa Suraya sekeluarga...
So Suraya, stop pinning for Zul and start being independent. Amat memalukan bagi seorg wanita mengharapkan bantuan drp org yg telah lelah menolongnya... U go gal... I know u can do it... Let those 2 boys (Zul dan Wafi) alone.... U can live without them....
Adoi, sedihnya bila Zul cakap mcm tu kat Su. Nak Su dgn Zul.
aduiii,nape dgn zul ni!! xhabis2 nk promote wafi...akak,agak2 bulan bape erk kluar novel ni??xsabar nk tau sambungannya:)
apasal zul nie... kesian nya kt Su....
Zul x sedar yg sebenarnya dia juga perlukan Su...bila Su menjauh nnt baru dia akan dpt rasa siapa sebenar yg lebih perlukan Su....Sabar dan istiharah la Su....cuba jauhkan diri buat sementara dgn kedua2nya...
Eijan....agree with you.
Stuju jugak. Jauhkan diri dari Zul kejap nk tgk reaksi Zul mcm maner
Peritnya hati baca 2 bab terakhir ni. Zul ingat janji dia nak belikan Su walkman walaupun sudah berbelas tahun, dia tunaikan juga. Saya yakin Zul masih ingat janji dia nak jaga Su sampai bila2, tu lah dia beria nak jodohkan su dan wafi, pasti dia rasa itulah terbaik buat Su. Wafi kaya mampu beri Su kemewahan dan menjamin masa depan adik2 Su. Zul pasti sangka yang Su hanya sukakan dirinya sebagai seorang kawan, tidak lebih dari itu. Kalau sangkaan saya salah, merana, pasti buku dibaling nanti. tak nak Su dgn Wafi hehehe. Adah bulan berapa buku ni keluar?
tol2... cian kat su...
Post a Comment