8
Aku hanya termenung di
hadapan hidangan makan malam. Langsung tak bersentuh nasi di dalam pinggan.
Hanya Alia, Azira dan Amira yang menjamu selera. Itupun hanya berlaukkan telur
masak kicap dan sayur bayam goreng. Semuanya gara-gara Zulhairi. Selagi belum ada
berita tentang peminanganku, selagi itulah aku tak senang duduk. Langsung tak
mampu nak lakukan kerja-kerja seperti biasa. Fikiran terganggu, lalu jiwa
menjadi kacau.
“Along, kenapa Along
tak makan?” Alia tiba-tiba bersuara.
Sapaan itu membuatkan
tumpuan fikiran pada Zulhairi hilang seketika. “Tak ada selera” seperti selalu,
aku hanya jawab sekadar perlu pada
pertanyaan yang diajukan.
“Along tak sihat, ke?”
sambung Alia lagi.
“Aku tak ada apa-apa.
Makan ajelah!” Aku tunjuk wajah bengis. Sebenarnya tidak suka kalau Alia dan
dua orang lagi adiknya dibebankan dengan masalahku sendiri. Tugas mereka buat
masa ini hanyalah belajar. Jadi aku tak nak mereka ikut campur dalam urusan
yang lain.
“Along, betul ke, nanti
Abang Zul nak tinggal dengan kita semua?”
Terus pasang mataku
menangkap wajah comel Amira. Tidak sangka pertanyaan serupa itu diajukan. Mana
dia dengar kisah itu? “Siapa cakap?” soalku kembali, dan pertanyaan itu nampak
begitu sukar untuk Amira menjawabnya. Dia mampu memandang wajahku dengan bibir
terkunci rapat.
“Mak cik Khamsiah yang
bagi tahu kita orang. Betul ke, Along nak kahwin dengan Abang Zul?” Azira
mengambil alih tugas menjawab soalan itu daripada Amira. Malah dia turut
membuka satu lagi soalan yang lebih mencabar untuk aku berikan jawapan.
Nampaknya, hal itu sudah diketahui oleh
mereka bertiga. Aku diam seketika. Cuba menyusun kata. Apa jawapan yang harus
aku berikan untuk soalan itu? Tidak terduga seawal ini mak cik Khamsiah membuka
cerita. Masing-masing sudah berhenti makan. Mata mereka bertiga memandang tepat
ke arahku. Tidak sedikitpun berkelip. Mungkin tidak sabar menunggu jawapan.
“Kalau betul, kenapa?
Ada masalah, ke?” aku rasa hanya itu jawapan yang patut aku berikan. Masih
terlalu awal untuk aku bercerita apa-apa. Kalau ikutkan hati, tidak mungkin aku
terima pinangan keluarga Zulhairi. Aku tidak bersedia untuk mendirikan rumah
tangga pada ketika ini. Zulhairi… Argh… dia pun satu hal. Otak sudah tidak
mampu untuk berfikir, pening!
“Kalau Along kahwin
dengan Abang Zul nanti, siapa yang nak jaga kita orang? Along memang dah tak
nak jaga kita orang lagikan?” Tajam pandangan mata Azira.
“Azira!” Tempik Alia.
Matanya dibesarkan. Dia nampak tidak senang dengan soalan yang diajukan oleh
Azira kepadaku.
Mendengar kata-kata
Azira membuatkan hatiku menghidupkan rasa-rasa yang aku sendiri tidak pasti.
Marahkah aku dengan kata-kata Azira itu, atau hati sebenarnya merintih sedih
menerima kata-kata sebegitu? Adalah mustahil untuk aku membiarkan mereka
sendiri menempuh kehidupan sedangkan aku telahpun diamanahkan untuk menjaga dan
memberikan yang terbaik buat mereka semua. Biarpun bergunung rasa kemarahan dan
kebencian di hati terhadap mereka, namun aku masih waras untuk membiarkan
mereka hidup terkontang-kanting sendirian.
Kalaulah mereka tahu bahawa
sekali-kali aku tidak akan meninggalkan mereka selagi mata kepalaku tidak
melihat kejayaan mereka, apakah mereka akan tetap menyimpan andaian begitu
terhadapku? Kerana itu jugalah aku mencuba sedaya upaya untuk menolak
perminangan ini dan mana-mana tawaran cinta sekeras-kerasnya hanyalah demi
menjaga mereka. Dalam tidak sedar, mereka mula menjadi keutamaanku kini, dan
mungkin juga buat selama-lamanya.
“Dah makan, kemas.
Jangan nak harapkan aku aje!” Aku tolak kerusi dengan sedikit kasar. Bersedia
melangkah meninggalkan mereka. Enggan mengulas kata-kata Azira. Mereka tidak
perlu tahu apa yang aku fikirkan!
PANGGILAN telefon yang aku terima
daripada Zulhairi seminit yang lalu telah membuatkan resahku bertambah tak
menentu. Tiada kata-kata lain yang diucapkan oleh Zulhairi selain meminta aku
ke rumahnya dengan segera. Jadi itu bermakna, aku harus bertemu dengannya
segera.
“Aku
nak keluar kejap. Jaga adik-adik kau!” pesananku pada Alia. Azira dan Amira
hanya memandang. Setelah Alia menganggukkan kepala, aku kembali menutup pintu
bilik mereka.
Langkahku
mula laju sebaik sahaja pintu pagar rumah aku manggakan. Tidak berminat untuk
membawa keretaku ke sana kerana saat ini aku rasa kakiku mampu berfungsi lebih
laju daripada semua kenderaan yang ada di dunia. Jantung sudah bergoncang,
umpama menunggu masa untuk gugur. Entah apa yang terjadi sebenarnya? Apakah
Zulhairi benar-benar telah menceritakan perihal sebenar kepada ibu dan ayahnya
ataupun yang sebetulnya, dia gagal untuk memperbetul keadaan?
Dari
jauh sudah mampu aku lihat kelibat Zulhairi di hadapan pintu pagar, dengan
hanya memakai t-shirt dan berkain pelikat, berjalan mundar-mandir penuh
gelisah. Keresahan yang terpamer jelas pada tingkah Zulhairi itu telah
membuatkan aku menjadi bertambah gundah. Apa sajalah yang Zulhairi khabarkan
pada ibu dan ayahnya? Jangan Zulhairi merumitkan lagi kisah antara akau dan
dia, sudah!
“Apa
hal Zul?” Terus aku bertanya sebaik saja tiba. Sememangnya hanya soalan itu
yang bermain di minda sejak menerima panggilannya tadi.
Zulhairi
nampak berat mahu mengeluarkan kata. Dia hanya melemparkan pandangan padaku.
Pandangan yang entah apa maknanya? “Woi, Zul, apa hal sebenarnya ni. Kau jangan
nak buat aku cuak!” Apabila Zulhairi enggan menjawab, aku teruskan juga
bertanya soalan yang sama. Dan kini sistem pernafasanku pula terasa seperti
bermasalah. Turun naik nafasku tidak lagi mengikut rentak aman.
“Su,
kau boleh terima aku seadanyakan?” baru kini Zulhairi bersuara.
Aku
sudah rasa seperti mahu rebah mendengarnya. Kata-kata Zulhairi itu seolah
memberi makna bahawa tiada apa lagi yang dapat dia lakukan, dan aku akan tetap
disatukan dengannya seperti perancangan. “Zul, kau…” aku cuba bersuara, tapi
lidahku mula kaku untuk bertutur.
“Su,
aku tahu kau tak rela, tapi aku tak dapat nak buat apa-apa dah. Aku dah
ceritakan semuanya tapi nampaknya kita tetap tak boleh nak mengelak.”
Pernyataan Zulhairi kali ini seakan mengesahkan semua yang aku fikirkan.
“Aku tahu kau tak
pernah cintakan aku. Jadi aku harap kau boleh mula belajar untuk cintakan aku
sekarang!”
Kali ini aku dah
terjelepuk, jatuh terduduk di atas bumi. Lemah semua sendi. Longlai tak lagi
dapat berfungsi mendengar berita yang baru aku terima. Berkahwin! Itu bermakna
masaku akan lebih banyak dibahagi untuk suami dan keluarga mertua, sedangkan
itu bukanlah apa yang aku perlukan kini. Aku tidak mahu tumpuan dan masaku pada
Alia, Azira dan Amira berkurangan mahupun hilang. Kini, satu persatu wajah
mereka muncul di minda.
“Aku minta maaf, Su”
Zulhairi yang masih lagi berdiri. Namun aku tahu pandangannya hanya jatuh
padaku saat ini.
Kata maaf yang
diperdengarkan membuatkan kepaku bertambah berat. Sungguh, aku tak rela dengan
ikatan ini. Zulhairi hanya kawan. Sejak dari kecil dia menjadi sahabat setia
dan aku harap ia hanya kekal sebegitu hingga hujung nyawa.
“Suraya…” suara mak cik
Khamsiah kedengaran kini.
Perlahan-lahan aku
angkat wajah, memandang mak cik Khamsiah yang nampak bergegas menuju ke arahku.
“Ya, Allah… Su kenapa
ni?” mak cik Khamsiah mula cuba menarik aku untuk kembali bangun. “Zul kamu dah
buat apa dengan Su?” tanya mak cik Khamsiah pada anak lelakinya.
Tiada kata balas
daripada Zulhairi. Dia hanya memerhatikan aku dan ibunya berselang seli,
kemudian dia melangkah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan kami berdua di situ.
“Dah jom masuk, kita
bincang kat dalam” mak cik Khamsiah memimpin aku yang masih lagi terasa lemah
untuk berjalan masuk ke dalam rumahnya.
“Mak cik, tunggu dulu
mak cik. Su nak tahu, semua yang Zul cakap pada Su tu, tipukan?” aku berharap
jawapan yang bakal diberikan oleh mak cik Khamsiah dapat membuatkan semangatku
kembali lagi.
“Su dah kenal Zul dari
kecil lagikan? Mak cik rasa Su lebih faham dia daripada mak cik. Apa yang
Zulhairi cakap pada Su, semuanya betul. Kami dah berbincang anak beranak. Dahlah,
kita bincang kat dalam nanti ya!”
Entah sudah berapa kali
hatiku mengeluh sendiri. Kalau semuanya sudah diputuskan, apa lagi yang perlu
dibincangkan? Aku tidak nampak pilihan apa lagi yang aku ada? Tidak pernah
sekalipun terlintas di dalam fikiranku untuk menjadi isteri kepada Zulhairi.
Andai aku berfikiran begitu, sudah pasti aku adalah orang yang tidak waras!
Sudah aku bilang berkali-kali, aku tidak mahu berkahwin! Kenapa Zulhairi tidak
faham? Zulhairi…! Aku cuba tenangkan
sedikit rasa hati. Tak boleh harap langsung! Kalaulah aku dapat belasah dia pun
bagus juga ni! Hati menjerit marah.
Masuk aje dalam rumah,
Zulhairi dan pak cik Ismail sudah sedia menunggu di ruang tamu. Bukan takat
mereka berdua, kak Zarina, kakak sepupu Zulhairi dan suaminya, Badrul juga ada.
Entah bila mereka pulang dari Brunei? Apabila melihatkan mereka sekeluarga kini
aku lebih yakin dengan kata-kata Zulhairi. Kak Zarina adalah anak saudara yang
paling rapat dengan mak cik Khamsiah dan pak cik Ismail.
Kalau kak Zarina sendiri
dah turun padang, itu tandanya majlis peminangan memang bakal berlangsung. Jika
tidak, masakan kak Zarina sanggup turun dari Brunei. Kebiasaannya kak Zarina
hanya datang melawat ketika perayaan Aidilfitri. Zulhairi… Zulhairi, berjaya
juga dia jadikan penipuan ini suatu realiti.
“Kenapa, Su? Kak Ina
nampak macam tak sihat aje” soal kak Zarina sebaik sahaja salam kami bertaut.
“Tak adalah, kak Ina.
Su sihat aje. Bila kak Ina sampai?” sebelum kak Zarina dapat membaca riak
sebenar hati, lebih baik aku tukar topik.
“Maghrib tadi.
Adik-adik Su macam mana?”
Hati mula berubah rasa
apabila perihal Alia, Azira dan Amira dipersoal. Tanggapan apa pula yang akan
mereka katakan setelah mengetahuinya nanti? “Alhamdulillah, dia orang semua pun
sihat.” Balasku dengan senyuman.
“Duduklah dulu, Su” pak
cik Ismail mempelawa. Aku kemudiannya duduk di sebelah kak Zarina. Zulhairi
yang duduk menghadapku menampakkan senyuman nipisnya. Mana tidaknya, pasti dia
sedang gembira. Aku buat muka, satu jelingan tajam aku hadiahkan padanya. Tanda
tahniah atas kejayaannya terus menyeret aku dalam rancangan yang menyakitkan
hati.
“Kita mulakanlah ya”
suara pak cik Ismail kedengaran lagi.
Aku tundukkan wajah.
Hanya memandang permaidani berwana coklat. Namun wajah Zulhairi tiba-tiba
kelihatan di situ. Tapak kaki aku angkat sedikit, kemudian aku hentakkan pada
wajah Zulhairi yang muncul. Ambil kau! Aku tenyeh-tenyeh bayangan wajah
Zulhairi dengan tapak kaki. Cuba melahirkan satu rasa kepuasan di hati.
“Suraya…”
Panggilan pak cik
Ismail membuatkan aku tersentak. Kaki yang tadinya ligat bekerja, mula berhenti
bergerak. “Ya, pak cik?”
“Untuk pengetahuan, Su.
Kami sekeluarga dah dengar cerita sebenar daripada Zulhairi.” Tiada senyuman
yang aku ukirkan tatkala mendengar kata permulaan dituturkan oleh pak cik
Ismail. Padahal sepatutnya pada saat-saat begini, seorang wanita yang bakal
disunting harus melebarkan senyumannya, bergembira dan bersenang hati. Namun
aku sedikitpun tidak mampu melakukan itu.
Resah kalau-kalau
reaksiku itu bakal mengecilkan hati keluarga Zulhairi, terpaksa aku kembali
tundukkan diri, menyembunyikan wajah daripada dikesan. Aku tidak pasti apa
kelebihan yang aku ada sampaikan mereka tetap mahu menjadikan aku sebagai
menantu walaupun sudah Zulhairi kemukakan kebenarannya. Diriku sebagai calon
isteri Zulhairi hanyalah watak ciptaan Zulhairi. Ia sepatutnya tidak menjadi
lebih daripada itu!
“Pak cik mewakili
Zulhairi nak minta maaf pada Su” sambung pak cik Ismail.
Maaf? Hatiku sedikit
rasa bersalah mendengar perkataan itu. Sepatutnya akulah orang yang harus
memohon kemaafan kerana menjadi rakan kongsi pembohongan Zulhairi. Tapi
sebaliknya mereka pula yang terlebih dahulu meminta maaf.
“Pak cik sebenarnya tak
tahu macam mana nak bagi tahu pada Su”
Mata
sudah aku pejamkan rapat. Kalaulah aku boleh membantah saat ini, pasti sudah
aku lakukan itu. Membayangkan wajah mak cik Khamsiah dan pak cik Ismail yang
selama ini menjadi tempat aku mengadu rasa, tidak tega pula mahu meruntuhkan
harapan mereka. Sukar untuk aku jelaskan perasaanku kini.
“Abang,
biar Siah yang jelaskan pada Su” mak cik Khamsiah mengambil alih tugas suaminya
yang terdiam tiba-tiba.
“Su,
mak cik tahu yang mak cik dah janji untuk masuk meminang Su hujung bulan ni.
Tapi…” Nampak seperti mak cik Khamsiah sudah berjangkit dengan pak cik Ismail.
Kedua-dua mereka seakan sukar meneruskan kata dengan tiba-tiba. “Zul cakap,
kalau boleh Zul nak terus nikah dengan Su!”
Mataku
terus mencari wajah Zulhairi sebaik sahaja mendengar penerangan daripada mak
cik Khamsiah. Zulhairi! Mata aku buntangkan. Kau sengaja nak cari nahas Zul!
Kalau sudah sampai tahap ini. Aku tak boleh terima. Suka-suka hati saja
Zulhairi membuat keputusan tanpa bertanyakan aku terlebih dahulu. Huh! Mustahil
dia mahu mendapatkan pendapat aku. Sedangkan mahu menjadikan aku pengantin pun
aku tak mahu, inikan pula nak bernikah segera dengan dirinya. Pasti aku tolak
mentah-mentah!
Pandanganku
dibalas Zulhairi. Kenyitan matanya dihadiahkan padaku. Siap beribenkan senyuman
simpul. Semua itu membuatkan hatiku bertambah panas. Langsung tak ada
tanda-tanda penyelasan pada wajahnya. Jadi aku rumuskan, ungkapan maaf yang
keluar dari mulutnya sewaktu aku tiba tadi hanyalah sekadar perisai yang dapat
melindungi dirinya daripada menjadi mangsa amukkanku. Kurang asam kau, Zul!
“Mak
cik, Su tak boleh terima semua ni! Su tak boleh terima!” Sudah sampai masa
untuk aku melindungi diri. Kalaulah aku terpaksa putus sahabat dengan Zul
sekalipun, aku takkan berdiam diri lagi. Janjinya sebagai sahabat, dia akan
sentiasa ada untuk melindungi aku. Nampaknya kini semuanya sudah bertukar arah.
Kalau beginilah kisahnya, bukankah aku yang sedang melindungi dia? Zulhairi
punya janji, ternyata langsung tak boleh pakai!
“Su…
janglah macam ni. Tahun depan aje, Su. Takkan Su tak boleh tunggu?” mak cik
Khamsiah mula memegang tanganku. Mengharapkan sebuah pengertian.
Tahun
depan? Apa pula kena mengena dengan tahun depan? Kepala yang tidak gatal minta
digaru. Apa sebenarnya? Aku mula tidak faham. “Mak cik, Su tak…”
“Zul,
kamu punya pasallah ni. Kamu nak kahwin tahun depanpun kamu punya sukalah.
Kalau emak meminang Su hujung bulan ni, pun apa masalahnya?”
Belum
sempat aku mahu mendapatkan penjelasan sebenar, mak cik Khamsiah terus saja
bangun, berjalan beberapa langkah ke arah tempat duduk Zulhairi, lalu menyerang
anak lelakiya itu dengan kata-kata. Dalam kebinggungan, aku cuba mencari
jawapan.
“Tahun
depan. Zul tetap nak semuanya diuruskan tahun depan!” balas Zulhairi penuh
tegas.
Rasanya
aku sudah dapat menangkap maksud yang sebenar. Zulhairi berusaha menghalang
majlis peminangan hujung bulan ini. Ya, pasti itu yang sedang berlaku kini!
Bukan seperti apa yang aku sangkakan.
“Baik,
kalau tu yang Zul nak. Tapi Zul jangan menyesal kalau ada orang lain yang
meminang Su nanti” mak cik Khamsiah memberikan peringatan.
Zulhairi
membungkam seketika. Kemudian, Zulhairi bangun dari duduknya. “Zul takkan
izinkan itu berlaku. Zul percayakan Su. Dia takkan dapat cintakan lelaki lain
selain daripada Zul!”
Pehhh…
ayat plastik Zulhairi, bukan main lagi! Kalau buat dialog filem ni, mesti
meletop panggung. Hati sudah ketawa girang. Sangat senang hati. Habis lebur
semua keresahan yang ada. Walaupun aku masih belum terlepas sepenuhnya,
setidak-tidaknya aku masih ada baki masa empat bulan lagi pada tahun ini
ditambah dengan dua belas bulan lagi pada tahun hadapan untuk menguruskan hati
Zulhairi. Zul, aku tarik balik semua kata-kata negatif pasal kau tadi! Suara
yang kedengaran di hati itu membuahkan rasa kesenangan yang panjang.
“Su,
jom kau hantar kau balik!’ Zulhairi mengeluarkan arahan sambil menghantar
isyarat matanya supaya aku bergerak keluar dengan kadar segera.
Aku
menganggukkan kepala. Sementara keputusan menjadi sebegitu baik, lebih elok aku
cepat beredar sebelum keputusan berubah menjadi sesuatu yang mengerikan seperti
tafsiranku yang ternyata salah tadinya.
“Mak
cik, Su balik dulu” segera aku bangun, mendapatkan tangan mak cik Khamsiah.
“Su,
mak cik minta maaf ya. Mak cik janji, Su tetap jadi menantu mak cik!”
Hanya lukisan abstrak
kekesalan yang dapat aku lihat pada wajah mak cik Khamsiah. Kerana kini aku
sudah mampu tersenyum, maka aku perlihatkan senyuman untuk mak cik Khamsiah.
Aku mahu memadam rasa itu.
“Mungkin susah untuk Su
terima, tapi Su akan cuba faham kehendak Zul, sama macam yang mak cik harapkan”
Tiba-tiba pula aku tukar pernyataan. Kalaukah ada para wartawan kat sini, pasti
aku sudah tertanggap kerana cubaan memutar belitkan cerita. Sekejap tidak
bersetuju dan kini mudah-mudah pula berubah fikiran, dan mendengar kata seperti
saranan Zulhairi. Bukankah itu pelik namanya! Harapnya, mereka yang ada tidak
dapat mengesan semua itu.
“Kak Ina, Su balik
dulu” tangan Kak Zarina mula aku genggam kemas. “Pak cik, Abang Bad, Su balik
dulu” aku langsung mengundur diri. Keluar daripada rumah itu dengan langkah
yang laju.
“ZUL, kau ni memanglah… Mati-mati aku
ingat aku dah confirm kena jadi
isteri kau.” Apabila Zulhairi hanya mendiamkan diri, maka aku terpaksa
mengambil inisiatif untuk menghidupkan suasana. Zulhairi mengerling ke arahku
seketika. Baru kini aku dapat lihat senyuman di bibirnya. Walaupun senyuman itu
tidak selebar mana, namun sekurang-kurangya itu dapat melegakan hatiku.
“Tapi
memang powerlah ayat-ayat kau tadi,
Zul. Lakonan kau pun dah setanding dengan Fizz Fairuz, Aaron Aziz… erm siapa
lagi? Ha, Zul Huzaimi! Pendek cerita memang menggagumkanlah!” Aku ketawa kecil.
Terimbas kembali semua yang tadinya terjadi.
“Tengok
oranglah!” Zulhairi tunjuk muka lagak.
“Ceh,
belagak! Kau ni memang spesis yang tak boleh kena pujikan?”
Zulhairi
ketawa mendengar kata-kataku. Tawanya itu turut menimbulkan tawaku.
“Eh,
Zul… Apa yang kau dah cakap dengan family
kau?” Aku ingin tahu.
“Rahsia!”
Zulhairi enggan berkongsi cerita.
“Eleh,
rahsia konon… Kau tu kan, lain kali boleh tak kalau kau nak buat rancangan tu,
kau cerita kat aku dulu. Biar aku tahu rancangan kau. Nasib baik aku tak kantoi
tadi.” Aku mula protes. Meluahkan rasa tak puas hati.
“Betul
ni, kena cerita kat kau dulu?” Zulhairi cuba mendapatkan kepastian.
“Haahlah.”
Aku mengiyakan.
“Su,
cuba kau bayangkan. Kalau betullah mak aku jadi meminang kau hujung bulan ni,
apa yang kau nak buat?”
Soalan
yang Zulhairi berikan itu membuatkan langkah kakiku terhenti. Hanya otak yang
berjalan sendiri, mencari jawapan. Zulhairi yang sudah berada beberapa langkah
di hadapan, berpatah balik, mendapatkan aku.
“Entahlah
Zul. Paling tidakpun, mungkin aku larikan diri kut. Lari kat suatu tempat yang
kau orang tak dapat nak jumpa aku lagi!” Aku tersenyum. Ya, itu jawapan paling
tepat. Apa lagi yang dapat aku buat untuk mengelakkan diri, selain daripada
itu. Melihat perubahan air muka Zulhairi secara tiba-tiba, aku jadi
serba-salah. Senyuman yang tadinya sedikit kelihatan, kini sudah hilang.
“Sampai
macam tu sekali?” Zulhairi seakan enggan percaya.
Aku
sudah tidak mahu bersuara. Jadi aku hanya menganggukkan kepala. Zulhairi
merenung anak mataku. Aku jadi tidak selesa dengan ekor mata Zulhairi yang
masih terus memerhati. Aku tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran Zulhairi
saat ini. Tapi aku tidak dapat meneka apakah itu?
“I have no chance anymore!” Suara
Zulhairi kedengaran perlahan.
“Apa
dia?” Aku minta Zulhairi ulang kembali kata-katanya. Tidak berapa jelas setiap
patah kata Inggeris yang baru saja dituturkannya. Namun Zulhairi hanya
mendiamkan diri.
“Pekaklah
kau ni, Su. Dah, jom jalan!” Zulhairi menolak kepalaku dengan tangannya.
Kemudian terus dia menyambung perjalanan yang tadinya terhenti.
Aku mula tak puas hati.
Paling pantang orang tolak kepala. Zulhairi! Sudah berkali-kali aku ingatkan
hal itu. Tapi dia masih dengan tabiat yang sama, menolak kepalaku ikut suka
hati dia! Beratus kali aku marah, beratus kali jugalah dia mengulanginya.
Sedikitpun dia tak ambil peduli tentang hal itu.
“Aku patahkan tangan tu
kang, baru tahu!” Aku bercakap seorang diri. Langkah kaki aku pasang kembali.
Malas mahu jalan bersaingan dengan Zulhairi lagi, jadi aku hanya mengekori
langkahnya dari belakang. Zulhairi juga sudah tidak menoleh padaku. Dia
meneruskan perjalanan seolah-olah aku ada di sisinya. Padahal aku jauh di
belakang. Sekali sekala aku dapat melihat Zulhairi memandang ke langit malam
yang tinggi. Dan pada saat ini, aku yakin Zulhairi benar-benar ada penyimpan
satu masalah di hatinya. Sudah terlalu lama aku kenal Zulhairi. Setiap kali dia
dilanda masalah, hatiku dapat merasakannya. Aku tidak pernah silap tentang hal
itu.
“Terima kasih, Zul.
Kaulah kawan aku dunia, akhirat.” Ucapan itu memang ikhlas aku zahirkan dari
hatiku sendiri sebaik sahaja sampai di rumahku. Sepanjang aku hidup, memang
lelaki itulah yang banyak membantu.
“Kawan dunia, akhirat?”
“Ya, dunia dan
akhirat.” Aku perjelaskan sekali lagi.
“Kalau macam tu, kau
boleh tolong akulahkan?”
“Boleh, no problem!” aku bersetuju.
“Boleh tak kau berhenti padankan aku dengan Madihah?”
“Ha?” aku benar-benar
terkejut dengan pertolongan yang Zulhairi perlukan. Jadi, keresahan yang ada
padanya adalah berpunca daripada Madihah? Aku cuba meneka.
“Tapi Zul, kau…”
“Aku nak kau tolong aku
satu tu aje, Su. Dah, cepat masuk, aku nak balik ni!” Zulhairi tidak
membenarkan aku menyudahkan kata.
Sudah kataku dipotong,
aku tidak tahu apakah perlu untuk aku untuk terus bersuara lagi. Zulhairi
sendiri tidak mahu mendengarnya. “Kau baliklah dulu, Zul. Aku nak ambil angin
kat luar ni sekejap” aku pinta Zulhairi pulang terlebih dahulu. Aku rasa aku
perlu fikirkan kembali soal Zulhairi dengan Madihah. Kenapa pula Zulhairi
kelihatan berat membiarkan aku membawa Madihah masuk ke dalam hatinya? Apa yang
menjadi kerisauan Zulhairi?
Aku takkan percaya
kalau Zulhairi mengatakan dia tidak dapat menyukai Madihah. Renungan pertamanya
pada Madihah sudah cukup untuk membuktikan ruang hatinya boleh dibuka untuk
wanita itu. Atau sebenarnya Zulhairi takut kalau-kalau Madihah menolak
cintanya? Ya, boleh jadi begitu! Jadi mungkin aku boleh aturkan percintaan
mereka secara tersembunyi, tidak terang-terangan. Zulhairi tidak tahu, Madihah
pun begitu. Apa yang mereka sedar nanti, mereka sudah jatuh cinta. Suka sama
suka. Ya, mungkin itu yang terbaik.
“Kau masuklah, dah
malam ni. Tak elok berembun, nanti sakit. Masuk sekarang!”
“Kau ni, Zul… macamlah
aku budak-budak. Nanti aku masuklah!”
“Degil, nak kena tolak
kepala?” Zulhairi dah mula mengangkat tangannya. Pandai saja dia cari kelemahan
aku.
“Iyalah, nak masuklah
ni.” Akhirnya aku yang terpaksa mengalah. Pintu pagar aku buka. “Pergilah
balik!” kataku sambil kembali mengunci mangga pada pagar. Zulhairi hanya
tersenyum. Aku berjalan terus ke pintu utama, membuka grill dan terus membuka pintu. Sewaktu grill dan pintu kembali aku tutup, dapat aku lihat Zulhairi masih
ada di luar pagar. Aku dah tahu, dah, dia memang takkan puas hati selagi aku
tak masuk ke dalam rumah.
Setelah pintu bertutup,
aku berdiri seketika di belakang pintu. Beberapa minit kemudian, setelah yakin
Zulhairi telah pulang, aku kembali membuka pintu, berniat untuk duduk diluar
seperti mahuku tadi. Dengan senyum panjang sampai ke telinga, aku buka pintu
semula.
“Hah! Nak kemana tu?”
Hampir jatuh jantungku
mendengar suara itu. Zulhairi! Dia masih berdiri di situ.
“Aku dah agak dah…
orang degil macam kau ni, mesti tak dengar cakap punya” Suara Zulhairi lantang
kedengaran.
Aku sudah malu sendiri.
Kuang asam punya Zulhairi! Aku ingatkan dia dah balik. Boleh pula dia duk
tunggu lagi depan pagar. “Aku lupa nak
bawa masuk seliparlah.” Aku cipta alasan.
“Iyalah kau tu…”
sambung Zulhairi. Pasti dia tidak percaya. Sejak bila aku simpan selipar di
dalam rumah? Akupun satu hal, buat alasan tak berfikir dulu.
“Dahlah kau Zul, kau
duduklah situ sampai pagi.” Aku jelirkan lidah, mengejek, lalu terus kembali
menutup pintu. Rancangan untuk mengambil angin diluar aku matikan begitu saja.
Malas dah nak buka pintu lagi, takut kalau Zulhairi masih di situ. Tapi rasanya
Zulhairi takkan buat kerja gila begitukan!
Bersambung...
Kata AH : Alhamdulillah, kerana AH agak kelapangan hari ini, maka AH postkan new entry utk SAC. AH sgt gembira mmbaca komen2 yang dikirimkan oleh rakan2 pembaca sekalian. Setiap komen yang AH baca pasti membawa bersama senyuman utk AH. Syukur atas sokongan padu semua. Semoga masih setia utk mengikuti Saat Ada Cinta... Jumpa Next Week... :)
Salam Ukhwah,
AH
9 comments:
laa,xjadi tunanglah nih!! kesian zul! saya tau dia sukakan su!hehehe...bla zul nak confess nih..kan melepas plak kang!! anyway,bestlah cter nihhh..
alahai, nape la su x nk bg peluang kat Zul...
suspen nyer.....x sabar nak tunggu sambungan nye...confirm zul dah suka kat su...harap2 zul faham beban yang ditanggung su :)
terima kasih krn sudi update..;)
cept pulak tu..he he
Su mahu melaksanakan amanh dan tanggungjawab
terhadap adik2nya..
tu sbb menutup hati utk bercinta..
tp..harap2 pintu hatinya terbuka utk zul..
dan zul mesti meyakinkan su bhw dia xkan menghlg su menjalankan t/jawabnya, malah bersedia memikulnya bersama...(aik..pjgla pulak komen..hik hik hik)
-che`leen-
bff tul diaorg nie kan
tak kisahlah apa pun dugaannya, saya nak su dengan zul bersama akhirnya.
kekeke.
kak adah, tak boleh ke 2 entry seminggu? ><
hihihi.
:)
frust zul,.kesian3 keke
dh lame x komen kat sini...kak adah..zul tu mmg sukakan su kan..kan??? please say yes..Zul berani la ckit huhu
Dlm hati ada cinta yea....thks Adah
Post a Comment