Monday, April 2, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 2

                                         2
Aku tidak tahu bagaimana untuk aku mulakan? Nak cakap salah, tak cakap pun salah. Dalam keadaan yang penuh dengan serba salah ini, sedikit sebanyak membuatkan kerjaku terganggu. Ayat apa yang perlu aku susun demi memastikan janjiku pada mak cik Khamsiah tertunai? sekaligus, Zulhairi takkan bermasam muka denganku. Bukan isu biasa yang terpaksa aku bincangkan dengan Zulhairi. Ini soal besar dalam hidupnya, dan aku juga tahu yang Zulhairi tidak suka orang lain ikut campur tentang urusan masa depannya.
“Cik Suraya, Ada tetamu nak jumpa”
Terbang semua fikiran yang ada mendengarkan suara Wani, penyambut tetamu syarikat. Pantas telefon aku angkat untuk dapatkan maklumat lanjut.
“Siapa Wani?”
“Encik Ahmad Zulhairi. Dia tunggu cik Suraya kat ruang menunggu”
“Okay, Thanks Wani” ganggang aku letak kembali. Mata aku pejam seketika, tertanya-tanya, atas tujuan apa Zulhairi mencariku di sini? Ketenangan kian diganggu. Rasa bersalah kini menghimpit saat bersua dengan Zulhairi. Segera aku membawa diri ke ruang menunggu.
“Apa kes?” itu soalan pertama yang keluar dari mulutku sebaik saja langkah menghampiri Zulhairi.
“Terkejut  ke?” balas Zulhairi ringkas bersama senyuman manisnya. Langsung tidak menjawab pertanyaan yang tadinya aku utarakan.
“Terkejut? Huh, tak ada maknanya! Tapi kalau kau nak tengok aku terkejut, aku boleh buat-buat terkejut”
Zulhairi tertawa mendengar patah kata yang aku tuturkan, mungkin kata-kataku mengeletek hatinya.
“Apahal? Tak pernah-pernah nak jejakkan kaki kat office aku, alih-alih muncul pula kau hari ni? Ada good story nak share denganaku, ke? Aku mengambil tempat duduk di sofa empuk. Betul-betul menghadap Zulhairi.
“Tak habis-habis dengan good story. Kau nikan Su, sama aje macam mak aku!” Senyuman Zulhairi mula hilang. Menjadikan semangat yang cuba aku bina untuk menjadi jurucakap makcik Khamsiah, semakin luntur.
“Eh, jom keluar lunch dengan aku. Don’t worry, aku belanja!” perbualan terus bertukar topik.
“Ceh… kau datang sini semata-mata nak ajak aku keluar lunch aje?”
“Banyak tanyalah kau ni. Ikut ajelah!” Zulhairi mendesak
Sorry, kali ni aku tak boleh ikut, aku dah ada program” pelawaan Zulhairi itu terpaksa aku tolak walaupun pelawaannya itu cukup menarik kedengaran. Makan percuma, siapa yang tak nak?
“Alah, program apa yang kau ada, cuba bagi tau aku sikit?”
“Petang ni aku cuti, nak kena pergi sekolah Alia, ambil report card” aku jelaskan sebabnya.
“Kira cantiklah program kau tu. Lepas kita lunch karang, kita teruslah pergi sekolah Alia. Kita menyamarlah jadi mak bapa Alia” Zulhairi ketawa sendiri.
“Ha…ha…” aku buat-buat gelak. Rasanya Zulhairi pun tahu yang aku tidak suka dengan apa yang aku dengar. “Aku rasa kau patut masuk rancangan raja lawaklah, Zul!” aku tarik muka. Sungguh tidak berkenan dengan lawak yang dituturkan Zulhairi. Sikitpun tak mencuit hati. Terus aku bangun dari duduk, bersedia untuk meninggalkan Zulhairi sendirian di situ. Tapak demi tapak aku atur.
“Woi, Su…” terdengar jeritan Zulhairi memanggilku.
“Duduk situ diam-diam. Pukul satu nanti aku turun!” lontar suaraku. Memberikan jawapan yang Zulhairi perlukan. Satu senyuman dapat aku perhatikan terukir di bibir Zulhairi. Masih ada setengah jam sebelum pukul satu menjelang. Ada baik aku sudahkan kerja-kerja yang tak siap-siap dari tadi.

ALIA tersenyum dari tadi. Mungkin berbangga dengan keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang dicapainya. Hanya subjek Sejarah sahaja dia gagal memperolehi gred A. Puan Noraidah, guru kelasnya sendiri tak henti-henti memuji kepandaian, kerajinan dan akhlak yang ditunjukkan oleh Alia. Malah, dia antara salah seorang pelajar yang menjadi harapan sekolah untuk peperiksaan SPM nanti. Jadi, tidak banyak yang aku bicarakan dalam pertemuan yang baru tamat sebentar tadi.
            “Along!” terdegar suara kecil Alia memanggil namaku. Derap kakinya juga kedengaran jelas cuba menyaingiaku. Sekilas aku berikan pandangan padanya, kemudian aku kembali fokus pada perjalanan mendapatkan kereta Zulhairi di luar pagar sekolah.
            “Along… Along tak bangga ke, ada adik macam Alia ni?”Perlahan, Alia bertanya.
            Aku pura-pura tidak dengar soalan yang diajukan. Tak ada apa untuk aku banggakan. Dia belajar untuk masa depan dirinya, bukan untuk sesiapa.
            “Along… Along dengar tak?” sekali lagi Alia bertanya.
            Langkah kakiku mati saat itu juga. Aku pandang tepat pada anak matanya. Mahu dia mengerti bahawa aku tidak berminat untuk mengambil tahu lebih-lebih tentang dirinya. Cukup sekadar aku menjalankan tanggungjawab aku sebagai anak sulung dalam keluarga.
            Alia mendiamkan diri sudahnya. Tidak berani untuk bertanya mahupun berkata apa.  Dia juga tidak lagi cuba untuk beriringan denganku dalam perjalanan. Dia hanya berjalan perlahan di belakang.
            “Macam mana?” soal Zulhairi sebaik saja kami masuk ke dalam keretanya.
            Aku hanya mendiamkan diri, mahu membiarkan Alia sendiri menajwab pertanyaan yang sememanganya ditujukan buat dirinya. Tali pinggang keselamatan aku tarik kemas.
            “Semua diam aje ni, kenapa?” lagi soal Zulhairi, apabila Alia juga tidak mahu mengeluarkan suara.
            “Tak ada apalah Zul, kau jalanlah, hantar kita orang balik” aku memberikan arahan. Tidak mahu Zulhairi bertanya lanjut. Dan perjalanan ternyata sunyi sepi tanpa ada yang bersuara.
            “Thanks Zul” pintu kereta Pesona itu aku buka sebaik saja Zulhairi memberhentikan kereta di hadapan pagar rumahku. Alia turut melulu turun dan dengan pantas membuka pintu pagar yang tidak berkunci.
            “Su, tunggu sekejap”
            Belum sempat aku turun dari kereta, permintaan Zulhairi terlebih dahulu kedengaran. Aku kalihkan wajah, memandang tepat ke arah Zulhairi. “Kenapa?” soalku, hairan. Apa yang ingin diperkatakannya?
            “Sampai bila kau nak macam ni, Su? Kau tak kesian kat adik-adik kau ke? Dia orang tu cuma ada kau aje sekarang, dia orang perlukan kasih sayang kau. Tak boleh ke, kau lembutkan sikit hati kau tu?” laju tutur kata Zulhairi, seolah ayat itu telah lama tersusun difikiran dan menunggu masa untuk diluahkan.
            “Kau cakap apa ni, Zul? Kau tahu semuanya kan?” aku enggan menerima kata-kata Zulhairi. Entah apa yang tidak kena dengan dirinya hari ini? Sesungguhnya dia tahu apa yang aku lalui sejak kecil. Apa yang aku ada, dan apa yang membuatkan aku menangis saban hari. Kenapa tiba-tiba saja dia mahu mempertikaikan tindak tanduk aku kini?
            “Aku tahu Su, tapi sampai bila kau nak macam ni? Dia orang membesar depan mata kau, takkan sikitpun kau tak ada rasa sayang pada dia orang? Su, jangan kata kat aku yang kau tak ada hati dan perasaan” Zulhairi mula mematikan enjin keretanya. Menandakan masih banyak yang ingin diperkatakannya. Aku dapat rasakan semua itu.
            “Terima kasih atas nasihat percuma kau tu. Nanti-nantilah aku fikirkan ya, lagipun aku tak pandailah nak berkasih sayang ni. Yang penting, aku tak lupa tanggungjawab aku” sebelum Zulhairi terus menerus menghentam aku dengan kata-katanya, lebih baik aku menghentikan semua. “Alang-alang kau dah bercakap pasal kasih sayang, aku pun ada hal sikit nak cakap dengan kau ni” entah daripada mana aku dapat kekuatan untuk memulakan misi yang ditugaskan kepada aku. Mungkin sekadar untuk mengelak daripada berbual lanjut perihal aku dan adik-adik tiriku yang lain.
            “Apa dia?”
            “Kau tak ada makwe ke?” terus aku bertanya. Tidak langsung berdolak dalih.
            “Makwe? Kau ni sihat ke, tak? Tiba-tiba aje nak tanya pasal hal ni, kenapa?” berkerut dahi Zulhairi.
            “Alah, kau jawab ajelah. Bukan susahpun soalan aku tu”
            “Su, aku kenal kau Su. Kau bukannya jenis yang suka nak ambil tahu pasal hal peribadi aku. Baik kau terus terang dengan aku. Apa hal sebenarnya ni?” Zulhairi tidak berpuas hati.
             “Kau ni, Zul, aku saja tanya. Kau tu kan dah 33 tahun. Takkan tak ada yang special lagi? Bila aku nak merasa makan nasi minyak kau? Aku cuba meneutralkan keadaan. Tidak mahu Zulhairi tahu yang aku sebenarnya bertindak mengikut permintaan ibunya.
            “Malaslah, Su. Aku memang malas nak fikir pasal kahwin ni. Tak pasal-pasal kena fikir pasal tanggungjawab”
            “Alah, lecehlah kalau macam ni, Zul. Takkan tak ada serorang pun yang kau berkenan?” aku mula mengaru kepala. Kalau ikutkan pada pernyataan yang baru saja Zulhairi keluarkan, nampak gayanya, lambat lagilah mak cik Khamsiah nak dapat menantu. Itu juga bermakna, jauh lagilah perjalanan untuk aku sampai pada misi aku yang sebenar. Oh, tidak! Janganlah begitu hendaknya.
            “Dah…dah, keluar dari kereta aku. Malas nak layan kau ni.” Zulhairi mula menghidupkan enjin keretanya.
            “Zul...”
            “Turun aku cakap!” Zulhairi terus mengusir sebelum sempat aku menghabiskan kata. Aku tahu Zulhairi mahu mengelak dari terus terjebak dalam perbualan yang pastinya mengheret dirinya ke gawang resah.
            “Iyalah… aku turunlah ni. Tapi kau kena janji satu perkara”
            “Janji apa?” Zulhairi melirikkan matanya. Cuba menangkap wajahku.
            “Janji cepat-cepat cari jodoh” aku ketawa. Berjaya membawa dirinya sekali lagi ke dalam isu yang paling tidak disukainya.
            “Kau pernah tengok orang makan side mirror tak?” tegang riak Zulhairi kelihatan.
            Aku sudah ketawa besar. Faham benar maksud disebalik kata-katanya itu. Sebelum side mirrow keretanya dicabut, lebih baik aku turun menyelamatkan diri. “Kau makanlah seorang side mirrow kau tu. Beras aku banyak lagi kat rumah” terus aku menletakkan kaki ke atas jalan tar. Segera keluar, lalu kembali menutup rapat pintu kereta Zulhairi.
            “Tahu takut” Zulhairi tersenyum kecil sudahnya. “Dah la, aku balik dulu”
            “Orait” aku mengangkat tangan bersama satu senyuman balas.

PAGI-PAGI lagi mak cik Khamsiah sudah menghubungiku, mahu mengetahui tentang perkembangan kisah anak lelakinya. Tiada jawapan yang mengembirakan hatinya, yang dapat aku berikan. Cuma jawapan hampa yang anak lelakinya itu masih belum mempunyai calon untuk dijadikan isteri.
            “Maksud Su… lambat lagilah Zul tu nak dirikan rumah tangga?”
            Suara mak cik Khamsiah masih kedengaran di corong telefon walaupun sudah aku nyatakan hakikat sebenar. “Itu saya tak pastilah, mak cik” balasku, ringkas. Memang tidak tahu apa yang perlu aku katakan pada saat-saat begini.
            “Su pujuklah Zul. Su kan kawan baik dia” lembut suara mak cik Khamsiah, mendesak untuk aku meneruskan rancangannya untuk bermenantu.
            “Mak cik, bukan Su tak nak tolong mak cik, tapi…” menjadi terlalu sukar bagiku untuk menjelaskan situasi yang aku alami. Mana mungkin untuk aku terus membantunya bagi menjayakan rancangan itu. Bukan mudah untuk aku menyakinkan Zulhairi untuk segera mencari cinta lalu membina istana bahagia.
            “Mak cik tak kira, Su. Selagi mak cik tak dapat apa-apa berita yang melegakan hati mak cik, selagi tu Su kena pujuk Zul. Kalau tidak… hari-hari mak cik akan telefon Su”
            “Mak cik…” talian diputuskan sebelum sempat aku menyatakan keenggananku untuk ikut campur urusan mereka sekeluarga. Nafas tidak selesa aku hembusan. Bukan mudah untuk memaksa Zulhairi. Aku kenal sangat dengan dirinya. Kenapalah aku yang jadi mangsa? Aduhai…

ZULHAIRI muncul lagi tengah hari itu di pejabatku. Bezanya, pada hari ini, dia berpakaian kemas. Berkemeja biru lembut, siap bertali leher. Tersenyum aku melihat penampilannya itu. Kelihatan begitu segak sekali.
            “Amboi Su… senyum sampai telinga nampak? Dapat naik pangkat ke?” soal Zulhairi sebelum sempat aku duduk pada sofa yang terdapat di ruang menunggu itu.
            “Merepek ajelah kau ni, Zul. Mana ada”
            “Habis tu, yang tersenyum lebar tadi kenapa?”
            “Aik, nak senyum pun tak boleh?”
            “Bukanlah tak boleh, tapi senyuman kau tadi tu curious sangat” Zulhairi kembali meletakkan majalah yang ada di sisinya di atas meja kaca. Mungkin majalah itu yang dibacanya sementara menunggu aku turun tadi.
            “Hari ni pun kau bak belanja aku makan juga ke?’ sengaja aku mengusik Zulhairi. Kalau semalam, memang itulah tujuannya. Tapi hari ini mungkin tidak!
            “Of course. Jom!” Zulhairi beria benar. Seolah-olah, memang itu tujuan utama dia datang menemui aku di sini.
            “Biar betul kau ni Zul? Hari-hari duk belanja aku makan, tak kopak ke dompet kau tu?” dahiku sudah berkerut seribu. Seakan tidak percaya. Kemudian, tawa kecil Zulhairi kedengaran.
            “Betullah ni. Aku memang nak belanja kau makan. Nak tahu kenapa?” Zulhairi meninggalkan persoalan untuk aku teka.
            “Kenapa?”
            “Aku dah dapat kerja!” riang suara Zulhairi.
            “Hah, dah dapat kerja dah? Cayalah Zul” aku tumpang gembira dengan berita yang baru saja aku terima. Tidak sampai seminggu pulang ke tanah air, Zulhairi sudah mendapatkan pekerjaan. Seakan tidak percaya. Tapi itu semua tidak mustahil, graduan sarjana lepasan universiti luar negara pasti laku macam goreng pisang panas.
            “Tu yang nak belanja kau makan tu. Jom lah” Zulhairi mula bangun.
            “Aku okay aje. Kata orang… rezeki jangan ditolak” lebar senyuman yang aku ukirkan.

RESTORAN Sri Angkasa yang terletak di dalam Menara Kuala Lumpur itu memang menarik perhatian. Buat pertama kali menjejakkan kaki ke dalam restoran berputar, memang agak teruja. Tapi aku lebih teruja untuk mengambil tahu apakah Zulhairi mempunyai kewangan yang cukup untuk membuat bayaran nanti. Silap-silap hari bulan, duit aku yang terpaksa terbang. Sudahlah baru nak masuk tengah bulan. Ini tak boleh jadi, aku harus juga bertanya pada lelaki yang sukar aku nak duga tindak tanduknya itu.
            “Eh Zul… kau bawa aku makan kat ni, kau ada duit ke, nak bayar nanti? Karang tak pasal-pasal kita cuci pinggan kat belakang” aku terus terang, sambil melangkah, mengikut gerak Zulhairi.
            “Alah, kalau aku tak cukup duit nanti, kau top up lah. Bukan susah. Sharing is caring right” selamba aje Zulhairi membalas pertanyaanku.
            “Kau jangan buat hal, Zul. Mana aku ada duit. Karang tak makan adik-adik aku kat rumah tu!” jujur aku menjelaskan. Buatnya Zulhairi memang tak cukup duit, nahaslah jawabnya.
            “Aik, sayang juga kau kat adik-adik kau ya. Aku ingatkan hati kau tu dah jadi batu kerikil” Zulhairi tersenyum sinis. “Dahlah, duduk. Kalau aku tak cukup duit, aku tak bawa kau makan kat tempat macam ni. Aku bawa kau makan kat kedai mamak aje” Zulhairi menarik kerusi untuk aku duduk. Macam sang kekasih yang melayan manja puteri pujaan hatinya.
            “Tak ada makna sayang menyayang ni. Tanggungjawab aku, mestilah aku kena jaga!” aku bantah keras tanggapan Zulhairi. Tak ada istilah sayang dalam hidup aku. Lebih-lebih pada budak tiga orang tu. Kalau bukan kerana amanah, tak ada mana aku nak pelihara dia orang adik beradik.
            “Peliklah kau ni, Su. Aku rasa lebih baik kau buat check up. Rasanya masa kau lahir dulu, doktor tertinggal hati kau dalam perut mak kau kut. Tu yang tak tahu erti kasih sayang…”
            Panas telinga aku mendengar kata-kata Zulhairi. Semata-mata nak makan percuma, tak pasal-pasal aku jadi bahan untuk dihentam. Ini tak boleh jadi. “Alahai, kau cakap aku. Better kau yang pergi hospital dulu. Check baik-baik, mana tahu yang kau sebenarnya ada masalah kat mana-mana. Iyalah, mak bapa suruh kahwin pun susah!” aku tidak hanya berdiam diri. Kalau dengan Zulhairi, serangan balas harus aku lancarkan.
Napkin di atas meja, yang tadinya cantik seni lipatannya, Zulhairi campakkan ke mukaku. “Marah ke, bang?” aku gelak. 
“Kau memanglah, Su” Zulhairi pamerkan muka tak puas hati. “Kalau kau tak sentuh pasal kahwin tak boleh ke? Tension aku tau tak. Kat rumah kena, kat sini pun kena!”
“Eh, Zul, kau ingat aku suka sangat campur urusan kau. Akupun terpaksa tau tak? Kalau kau tak nak dengar aku cakap pasal kahwin, lebih baik kau settle kan dengan mak kau. Aku tak laratlah, Zul, mak kau nak call aku hari-hari, tanya pasal kau. Mintak tolong pujuk kau kahwin. Kau settlelah baik-baik dengan dia. Tak pasal-pasal aku pun terlibat sama”
“Yang kau ikut cakap mak aku tu, kenapa?”
“Dah mak kau minta tolong, takkan aku nak kata no way mak cik” pantas aku balas pertanyaan tak masuk akal itu. Bagaimana untuk aku menolak permintaan mak cik Khamsiah yang menjadi tempat untuk aku mencurah rasa sejak kecil lagi. “Kau settlekan je lah cepat-cepat. Buat apa-apa yang patut” tambahku lagi.
“Iyalah… nanti aku settle, tapi kali kau kena tolong akulah” Zulhairi membuat perjanjian. Perjanjian yang berjaya melukis senyuman dibibirku.
No problem. Untuk kau, semua pun boleh. Aku mesti tolong” aku juga seperti Zulhairi, memahat janji. “Tapi kau nak aku tolong apa?”  tiba-tiba saja tak sabar nak tunggu rancangan Zulhairi.
“Jadi rakan setongkol akulah” Zulhairi mula ketawa dan ketawanya itu sekaligus mematikan senyuman yang tadinya aku pamerkan. Rakan setongkol! Dapat aku rasa bahawa ada rancangan penipuan sudah diagendakan dalam fikiran Zulhairi. Tapi apa dia?

Bersambung....

P/S : Terima kasih pada semua... <3<3<3


13 comments:

Syaza Nadiah said...

Best2 . Apa masalah Su ngan adek bradek dia tu ? Anak angkat ke apa ? Curios ni . Hihi . Tak sabar nak tau apa la rancangan si Zulhairi tu . Hee .

M.T said...

haha.. dah nampak kehangatannya...

pnut said...

apela rancangan Zul tuh??
mmg kne folo ni..

Anonymous said...

rs nya adk bradik tu adk bradik tiri dia..amanat terakhir arwah mak/ayh suh jga bebudak tu.

n rancangan zul tu musti nk dorang acting like couple..then lelama tertangkap cintun...heheh..xgitu adah??

susi said...

menarik...akan ader watak tambahan ker...? someone tackle su...bagi zul jealous...haha...sambung2

Adah Hamidah said...

Terima kasih Syaza... he3 nak tahu ape rancangan si zul tu?.. tunggu next entry ya... hi2 thnks :)

Adah Hamidah said...

Terima kasih Megat. Ikutinya terus ya.. :)

Adah Hamidah said...

He3... nak tahu rancangan Zul? he3 next entry ada jawapannya... thnks pnut :)

Adah Hamidah said...

wah.... hebat tekaan ni... apapun kita tengok nanti ya.. betul atau tidak... terima kasih :)

Adah Hamidah said...

He3... susi.. comel soalan tu... lelaki yg gah lagi berani berhadap dgn su... kita tengok siapa orangnya ya... thnks susi ;)

Mummy Hanan said...

Assalam Adah, hemmm... menarik... suke ngan Su dan Zul awak nie... bagi akak jalan ceta belum berapa jeles cuma apa yg akak harap Su ngan Zul nie akan kawen...hehehehe

satu lagi, suka ngan satu nama tuh, Puan Noraidah sbijik macam nama akak....bangga wo... ---> nie kes perasaan lebih kan...hahahaha tak kira walaupun bukan akak tp tetap suka....

nyway...teruskan...sambung cepat yea...hehehe

Anonymous said...

Bacaan ringan dan ingin tahu kisah selanjutnya....Jangan konflik banyak sangat ye....@bluescarf

zul said...

saya nak beli novel nie..boleh pos x???

Post a Comment