TUJUH BELAS
Hadif masih membuat pelawaan untuk menghantar aku pulang ke rumah petang itu. Aku benar-benar tidak faham dengan sikap Hadif! Bukan dia tidak tahu betapa Aqil tarik muka dengan kejadian semalam, mengapa dia masih mahu menghantarku pulang? Apa yang cuba dia buktikan pada Aqil? Sudahnya, aku terpaksa menolak tawarannya itu. Aku tidak mahu membangkitkan kemarahan Aqil lagi. Aku juga sudah lemas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan gelaran yang menyakitkan hati.
“Betul ni, kau tak nak aku hantar kau balik?” Hadif masih lagi bertanya walaupun sudah aku berikan jawapannya.
“Tak apalah, Dif. Terima kasih. Aku balik dululah.” aku lemparkan senyuman hambar kepada Hadif, kemudian aku terus saja meninggalkan bilik pensyarah. Aku harus segera keluar daripada bangunan tinggi itu dan seterusnya mendapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Takut pula aku tidak dapat pulang tepat seperti hari biasa memandangkan hari kian gelap ditambah pula dengan bunyi guruh yang sesekali kedengaran. Aku berjalan pantas, keluar daripada kawasan universiti menuju ke perhentian teksi.
Jam hampir pukul 7 malam, namun tidak ada langsung teksi yang mahu berhenti ketika aku menahannya. Aku menghembus nafas resah. Tidak tahu berapa lama lagi aku harus menunggu di situ. Akhirnya aku kembali duduk di bangku panjang yang disediakan di perhentian teksi itu. Aku yang sedari tadi hanya memandang kosong telefon bimbit di tanganku, kembali memandang ke arah jalan raya apabila terdengar bunyi hon kereta berkumandang.
“Nysa, naik!” Aqil terus saja mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya sebaik sahaja dia menurunkan tingkap kereta di sebelah penumpang hadapan.
Aku yang terkejut dengan kehadiran Aqil di situ terus saja mengalihkan pandangan. Pura-pura tidak menyedari kehadiran Aqil di perhentian itu. Melihat tindakanku, Aqil terus saja keluar daripada keretanya dan berjalan menghampiriku. Aku masih enggan menoleh ke arahnya walaupun dia kini betul-betul berdiri di hadapanku. Mujur saja hanya aku seorang yang menunggu teksi di situ. Jika tidak, pasti malu dengan tindakan Aqil itu.
“Ini... merajuk ke, protes?” Aqil mencekakkan pinggangnya.
Aku yang tidak mahu menjawab soalan itu, terus saja bangun dan berjalan laju meninggalkan Aqil sendirian di perhentian itu. Tidak ada kuasa mahu melayan sikapnya. Hati yang luka masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu sembuh. Jadi segala apa yang diperkatakan mahu pun yang dilakukan olehnya, tidak aku endahkan.
“Betul Nysa dah tak nak bercakap dengan abang lagi?” Aqil mengejarku dari belakang.
Aku buat tidak tahu dan berjalan meneruskan haluan yang aku sendiri tidak pasti ke mana arahnya. Yang aku tahu, buat masa ini, aku hanya ingin berada jauh daripadanya. Sehinggalah satu saat yang dapat mengembalikan kesembuhan pada luka di hatiku.
“Nysa jangan nak cabar kesabaran abang. Nysa ingat... Nysa siapa, nak buat abang terkejar-kejar Nysa macam ni? Tolonglah Nysa, abang dah cukup penat melayan karenah Nysa.” Lantang suara Aqil kedengaran walaupun bunyi kenderaan lalu lalang sepatutnya menenggelamkan suaranya.
Kakiku berhenti melangkah mendengar bicara itu. Bagai dihempap dengan batu-bata apabila mendengar setiap katanya. Hati yang sudah lama retak kini tinggal menunggu saatnya saja menanti belah dan berkecai hancur. Ingin sekali aku menangis diketika itu, melaung sekuat-kuat hati dan menyatakan kepadanya betapa kejam dirinya di atas setiap apa yang telah dilakukannya padaku. Hari-hari bersamanya umpama aku mencampakkan diriku di lembah derita yang penuh dengan duri sengsara. Namun dia tidak pernah tahu tentang itu kerana aku tetap tersenyum atas semua perbuatannya. Cintaku padanya telah membuatkan aku membunuh perasaan hatiku sendiri. Demi membuat dirinya bahagia, aku terpaksa menyusun air mataku menjadi hiasan hati agar terselindung setiap apa yang aku rasa. Tapi tidak ada satu pun yang dihargainya!
“Nysa tahu... Nysa bukanlah siapa-siapa pada Abang Aqil. Kalaulah ditakdirkan, Tuhan jemput Nysa saat ini juga, mesti Abang Aqillah insan yang paling gembirakan? Nysa yakin Abang Aqil akan tersenyum dan hidup dengan lebih bahagia tanpa Nysa.” Serius aku berbicara.
“Abang Aqil pun dah penat... Abang Aqil baliklah. Tak payah kejar Nysa yang tak bawa apa-apa makna dalam hidup Abang Aqil. Abang Aqil dah banyak susah sebab Nysa. Abang Aqil anggaplah, ini kali terakhir Nysa susahkan Abang Aqil. Lepas ni, Nysa akan pastikan, Nysa tak akan muncul lagi depan Abang Aqil walaupun secara kebetulan.” air mata mula gugur setitis demi setitis. Tidak dapat aku bendung lagi. Cukuplah segala kesedihan yang terpaksa aku tanggung selama ini.
Aku merenung lama mata Aqil sebelum melangkah jauh meninggalkan dirinya. Entah betul atau tidak keputusan yang aku lakukan itu, aku sendiri tidak pasti. Aku tahu, aku bakal dimarahi ayah dan mungkin juga dibenci oleh kedua orang tua Aqil. Tapi aku tidak ada cara lain selain mengembalikan dunia Aqil yang hanya ada Lily.
Aku berjalan entah ke mana halanya. Aqil juga sudah tidak lagi mengejarku. Sehinggalah kaki berasa penat, barulah aku berhenti seketika. Bersandar di tiang lampu yang kian bersinar terang. Tidak mahu terus menunggu di situ, aku segera menahan teksi yang dapat aku perhatikan dari jauh. Bersyukur kerana teksi itu berhenti. Aku terus saja masuk dalam teksi. Laungan azan yang kedengaran dari pembesar suara di dalam teksi itu berjaya menghimpun rasa tenang seketika.
“Anak ni... nak ke mana?” soal pemandu teksi yang berkopiah putih.
Lama aku merenung ke luar tingkap. Mencari arah tuju. Kemana harus aku pergi saat ini? Hati tertanya. Akhirnya suara azan yang memuji kebesaran Illahi itu telah mengirimkan ilham yang pastinya diutus oleh Maha Pencipta.
“Pak cik hantarkan saya ke masjid yang berdekatan ya,” aku nyatakan destinasi yang ingin aku tuju.
“Bagus juga tu, pakcik pun nak singgah solat juga ni.” balas lelaki tua itu dengan senyuman. “Kalau pakcik tanya sikit... anak jangan marah ya. Anak ni menangis kenapa?”
Soalan lelaki tua itu membuatkan hatiku kembali sayu. Hati isteri mana yang tidak sedih apabila tidak berpeluang mendapat kasih seorang suami. Mata isteri mana yang tidak mengalirkan air mata, jika di hati suaminya ada wanita lain dan bukan dirinya.
“Dugaan hidup, pak cik!” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Aku berharap, lelaki tua itu tidak bertanya lebih. Aku takut air mata yang baru saja berhenti, kembali renyai membasahi pipi.
“Tak akan ada hidup tanpa dugaan, nak. Hanya orang-orang yang beriman saja yang akan diuji. Itukan janji Allah! Jadi, pak cik nasihatkan, janganlah terlalu bersedih sebab itu tandanya anak tidak redha dengan ujian Allah.”
Nasihat itu membuatku aku merenung diri sejenak. Benarkah aku tidak redha dengan ujian ini? Aku mula beristgfar panjang dalam hati. Itu tidak harus berlaku. Aku seharusnya redha dengan segala ketentuan Allah untukku.
“Anak percayalah, ujian daripada Allah itu akan beserta kebahagian jika kita redha,” lagi tambahnya.
“Tapi saya tak cukup kuat, pak cik.” itulah apa yang aku rasa.
“Kekuatan itu datangnya daripada Allah, nak. Bukankah Allah tu Maha Pemurah, mintalah pada-Nya dengan hati yang sabar. Sesungguhnya Allah SWT malu untuk tidak menunaikan permintaan hamba-hamba-Nya. Berdoalah, doa itukan senjata orang mukmin.” masih ada butir bicara mutiara yang keluar daripada mulut orang tua itu.
“Terima kasih pakcik,” aku lagukan itu dengan hati yang ikhlas. Terasa kebenaran kata-kata lelaki tua itu. Hanya Allah yang mampu merubah hati sekalian makhluknya. Jadi aku akan berdoa, semoga Allah memelihara hatiku agar terus tabah menghadapi hari mendatang. Hati juga mula berjanji... berjanji untuk tidak terlalu mengikut perasaan dan sama sekali tidak akan membiarkan tangis kekecewaan melebihi tembok redha.
PUKUL empat pagi aku tiba betul-betul di hadapan pintu rumah. Bukan niatku untuk kembali lagi ke rumah itu apatah lagi dengan sengaja berada di situ untuk bertemu dengan Aqil. Aku masih pegang janji-janjiku untuk terus hilang daripada hidupnya. Hati mula tenang setelah lama aku bertafakur sendirian di dalam masjid Ibnu Majah. Terasa kerdilnya diriku bersendirian di situ memohon dan memanjatkan doa kepada-Nya.
Akhirnya perkataan redha itu wujud juga dalam hati. Kali ini aku tidak akan berkata apa-apa andai takdir menetapkan bahawa Aqil akan melepaskan aku pergi. Pasti itu takdir terbaik tetapan-Nya. Aku kembali lagi ke rumah itu sekadar untuk mengambil semua barang-barang milikku dan akan terus melangkah pergi sebaik sahaja selesai mendapatkan semuanya. Makanya aku berharap Aqil sudah pun tidur saat ini. Jadi tidak perlulah untuk aku bertemu dengannya lagi. Perlahan aku membuka mangga yang ada pada grill rumah. Berhati-hati agar tidak menghasilkan sebarang bunyi yang mungkin akan membuatkan Aqil terjaga dari tidurnya.
Keadaan rumah gelap gelita, tapi aku langsung tidak berniat untuk memasang lampu. Masih ada sinar yang dapat memberikan cahaya daripada ruang balkoni yang menghadap jalan-jalan utama. Jadi aku masih mampu menapak untuk naik ke bilik dengan selamat walaupun dengan sinaran cahaya yang sedikit itu. Segera aku masuk ke bilik, mengemas semua barang yang ada dan memasukkannya ke dalam beg milikku. Mujur barangku tidak banyak mana. Selesai saja mengemas, aku segera keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu utama rumah yang sengaja tidak aku tutup rapat tadi.
Hatiku lega sebaik saja kaki melangkah ke luar menuju ke ruangan lif utama. Segalanya sudah selesai dan kini aku hanya perlu berhadapan dengan ayah dan ibu untuk menjelaskan segala-galanya. Harap mereka dapat menerima semuanya, terutama sekali ayah. Gerun hatiku setiap kali memikirkan tentang ayah. Takut kalau-kalau dia akan teruk memarahiku dengan keputusan yang telah aku buat. Tapi aku harus hadapinya juga. Tidak ada lagi alasan untuk aku terus tinggal bersama-sama Aqil kerana kehadiranku ternyata tidak disenanginya sama sekali.
Aku yang baru saja mahu melangkah masuk ke dalam lif tidak dapat meneruskan hayunan kaki sebaik sahaja melihat Aqil keluar daripada lif itu. Segera aku menukar langkah, cuba membawa begku menuju ke pintu kecemasan yang menempatkan anak-anak tangga. Laju aku aturkan langkah, melarikan diri daripada Aqil yang pastinya sudah jelak melihat wajahku ini. Tidak sesekali aku menoleh kerana aku sudah berjanji untuk tidak akan membiarkan lelaki itu melihat diriku yang begitu membebankan dirinya. Satu persatu anak tangga aku turuni dengan langkah tergesa-gesa. Bertindak berlari sejauh mungkin.
“Nysa!” suara Aqil bergema di ruang tangga itu. Mungkin kerana pintu-pintu rintangan api yang tertutup rapat di setiap tingkat yang telah menghasilkannya.
Aku tidak sesekali menghentikan langkah. Malah, semakin laju aku membawa kakiku menuruni anak tangga. Tidak sanggup untuk aku terus mendengar kata-kata yang menyakitkan hati. Namun kudrat wanitaku tidak sehebat mana, dengan beg besar yang terpaksa aku bimbit bersama telah membuatkan Aqil berjaya mengekori aku rapat dan kemudiannya berjaya menghalang aku daripada terus melangkah. Segera aku alihkan wajah apabila Aqil berada di hadapan mata. Aku tidak akan membiarkan dia menatap wajahku lagi.
“Nysa... please! Puas abang cari Nysa.” Aqil kembali mendapatkan wajahku, namun segera aku menoleh. Tidak mengizinkannya memandang wajahku.
“Jangan buat abang macam ni, Nysa... Bagilah abang peluang untuk tebus semuanya.”
Hatiku tersenyum sinis mendengar permintaan itu. Peluang? Kenapa tiba-tiba saja dia inginkan peluang itu daripadaku? Takkan baru beberapa jam aku hilang daripada pandangan matanya telah membuatkan dia sedar betapa amat pentingnya aku dalam hidupnya? Hatiku ketawa lagi. Tidak masuk akal! Permintaan itu tidak aku hiraukan kerana aku tahu permintaannya itu bukan seperti apa yang diingin oleh hatinya.
“Abang Aqil tak perlukan peluang tu!” Aku tepis perlahan tangannya yang sedari tadi menghalang laluanku. Kembali aku melangkah, membawa hati yang pudar.
“Nysa... boleh tak Nysa jangan tinggalkan abang? Tolonglah Nysa, jangan buat macam mana yang Lily pernah buat pada abang!” jeritan Aqil yang masih berada di belakangku, tidak aku endahkan.
SAKIT KEPALA menyerang lagi, perut juga rasa tidak sedap. Mungkin kerana belum ada satu butir makanan pun yang sempat masuk ke dalam perutku sejak petang semalam. Tidak tahu apa lagi yang perlu aku lakukan kini. Aku terus pulang ke rumah orang tuaku selepas aku keluar dari rumah Aqil semalam. Bukan tidak mempunyai timbang rasa kerana enggan menghulurkan Aqil peluang seperti mana pintanya. Cuma, aku dapat rasakan bahawa hakikatnya terlalu sukar untuk aku dan Aqil terus hidup bersama. Hatinya bukan untukku, dan yang sebenarnya dia langsung tidak memerlukan peluang itu.
Tapi ayah dengan teganya kembali menyeret aku ke rumah kenangan Aqil dan Lily ini. Sedikit pun tidak ingin mendengar alasan mahupun ceritaku. Apa yang dia tahu, dia tidak mahu aku menjadi seorang isteri derhaka. Meninggalkan suami tanpa bicara! Kata ayah, aku bukan lagi anaknya jika aku dengan berani-beraninya meninggalkan Aqil sekali lagi. Ugutan yang sama, yang pernah aku dengar satu ketika dahulu ketika meminta agar pertunanganku dengan Aqil diputuskan. Melihat tangisan ibu semasa ayah meluahkan kata-kata itu, hati kecilku sebagai seorang anak berusaha menghapuskan air mata ibu.
Dan kerana itu, kini aku kembali terperangkap di dalam hidup Aqil. Aqil sendiri terkejut melihat ayah menyerahkan aku kembali padanya awal pagi sebegini. Ayah turut mengingatkan Aqil tentang tanggungjawabnya dan meminta Aqil segera menyelesaikan segala konflik yang ada di dalam perhubungan kami yang membuatkan aku merajuk pulang ke rumah ibu bapa. Jadi, langkahku sudah dikunci rapat. Tidak mampu lagi untuk aku bergerak. Umpama tahanan dalam kurungan besi. Tidak mengapa, selepas ini, setiap kali terluka, aku akan menggunakan senjataku, doa sebagai perisai hati.
Aqil yang masih lagi berdiri di muka pintu bilikku terus memandangku yang sedang berbaring di atas katil itu. Sejak ayah pulang sebentar tadi tiada satu patah perkataan pun yang terkeluar dari bibirnya buatku. Dan aku juga terus membisukan diri.
“Abang serius bila abang minta Nysa bagi abang peluang sekali lagi. Tak apalah, Nysa rehatlah dulu, dari malam tadi Nysa tak tidurkan. Nanti kita bincang lagi.” Aqil kemudiannya menutup rapat pintu bilikku.
Aku langsung tidak melihat ke arahnya sehinggalah dia keluar daripada bilikku. Aku langsung tak ada hati untuk berbicara tentang apa–apa sekalipun. Mujur hari ini merupakan hari cuti bagiku. Jika tidak terpaksalah aku mengambil cuti kecemasan memandangkan tidak mungkin bagiku ke universiti dengan keadaanku sekarang. Aku memejamkan mata seketika dan terus saja terlena sudahnya.
Aku terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi pintu bilikku diketuk. Terkebil-kebil mataku menerima cahaya matahari yang membias masuk ke dalam kamarku. Aku pegang kepalaku yang tetap saja rasa sakit. Tidak sikitpun mahu berkurangan rasa sakit itu walaupun sudah beberapa jam aku melelapkan mata. Mungkin migrinku kembali menyerang. Aku gagahkan juga diriku untuk bangun. Belum sempat aku berjalan menuju ke muka pintu, Aqil telah terlebih dahulu membuka pintu bilikku dan melangkah masuk. Aku yang baru saja berdiri, kembali duduk di atas katil. Jiwa rasa tidak senang dengan kehadiran Aqil di situ. Entah apa lagi mahunya.
“Abang dah masak makanan tengah hari untuk Nysa. Semua abang dah sediakan kat bawah. Jom kita turun makan!” Aqil berjalan menghampiriku lalu duduk di sebelahku, di atas katil itu.
Aku terus mendiamkan diri. Kenapa baik pula sikap Aqil hari ini? Apa yang tidak kena dengan dirinya?
“Abang betul-betul minta maaf pada Nysa.” tiba-tiba sahaja Aqil memegang tanganku. “Abang nak kita bina semula hubungan kita. Abang janji, abang takkan lukakan hati Nysa lagi.” Aqil menarik daguku, membawa wajahku itu menghadap wajahnya.
Akhirnya kami berpandangan. Aku tidak tahu apakah aku harus mempercayai kata-katanya? Ketika bibirku cuba menolak permintaannya itu, kenapa pula hatiku tetap sahaja mahu memberikan kepercayaan buat Aqil untuk yang kesekian kalinya.
“Kenapa dengan tiba-tiba?” aku luahkan keraguan hati.
“Abang pun tak tahu kenapa. Apa yang pastinya, abang nak kita mulakan dari awal.”
“Boleh ke, Abang Aqil cintakan Nysa?” sengaja aku mengingatkannya persoalan itu.
“Abang akan cuba. Mungkin akan makan masa, tapi abang harap... Nysa faham keadaan abang.” Aqil mengharapkan pengertian dariku.
“Lily macam mana?” aku mahu semuanya jelas sebelum aku membuat keputusan.
“Lily?” Aqil menundukkan wajah apabila nama wanita itu meniti di bibirnya. Lama dia mendiamkan diri, membuatkan aku tertunggu-tunggu.
“Abang tak nak dengar Nysa cakap pasal Lily lagi lepas ni. Dah jom kita turun makan.” Aqil mula bangun. Tanganku turut ditariknya membuatkan aku terpaksa mengikut saja langkahnya.
Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku pada ketika ini. Apa yang Aqil mahu lakukan sebenarnya? Mengapa tiba-tiba saja dia berubah laku sehingga membuatkan aku bertambah resah. Haruskah aku memberi peluang seperti mana pintanya? Perlukah aku membuka kembali jalan cinta buat dirinya? Patutkah aku mempercayainya? Dan kenapa tiba-tiba saja hatiku terasa seperti sudah dipujuk? Nampaknya, harus ada pertimbangan yang sewajarnya supaya aku tidak lagi membuat keputusan yang salah buat kali kedua.
________________________________________________________________
Sedutan Bab 18.
“Aqil!”
Laungan kuat nama Aqil membuatkan pandangan mataku dan Aqil yang tadinya bersatu pada satu titik, terpisah. Kami sama-sama memandang ke arah seorang wanita yang dari jauh melambai ke arah Aqil. Melihat ke arah wanita itu membuatkan jantungku berdegup laju. Mungkinkah itu Lily? Wanita itu mempercepatkan langkahnya mendatangi kami dengan senyum kegembiraan yang terpancar jelas. Aku menoleh ke arah Aqil yang seakan kaku di situ. Terasa seperti mahu lari saat itu.
4 comments:
ala~
benci!!!
tu mesti lily kan...
kesian nysa
Aqil ni memang tak ada skill memujuk ...kalau Aqil ni tak insaf2 & melupakan Lily..Nasya boleh tinggalkan aje siAqil. Jangan bagi peluang lagi dahh..belahhhh!!!
Tapi kan...teringin jugak nak tahu apa perasaan Aqil Pada nasya tika dan saat ini.. AH..tulislah sket ^_^
salam ..tak faham betul akak ngan akil ni..masih berpaut pada kenangan lama..macam org tak beriman pulak..takdir tlh menentukan kehidupannya adalah bersama nysa..why waste yr precious time and years greiving for a women who left U.Start a new life and carry on...betui tak..Nysa wife U punya la baik macam malaikat tak tersentuh ke hati..tak faham aku..
aku pon tak faham ntah ngan sikap buruk aqil tue...
tak tau nak bezakan intan ngan kaca...
i think itu lily kowt...
a big trouble is coming sonner...
wah.. can't wait for it..
Post a Comment