Saturday, May 16, 2015

CERPEN CIKGU MURNI

CERPEN : CIKGU MURNI

PETANG sudah lama menjelang. Kurang setengah jam lagi, azan maghrib pasti akan berkumandang. Dalam bilik guru, hanya aku seorang yang masih tinggal. Buku karangan yang terakhir aku tanda dengan penuh hemat sehinggakan tulisan merahku lebih menyerlah berbanding tulisan comot dan berbelak-belak akibat dipadam beberapa kali.
            “Alhamdulillah, siap pun.” Pantas aku berkemas. Ingin pulang sama. Sudah menjadi kebiasaan, aku orang yang terakhir akan melangkah keluar dari sekolah. Bukan mahukan markah prestasi kerja yang cemerlang, cuma aku tidak suka masa bersama keluarga diganggu dengan tugasan-tugasan sekolah yang tak pernah habis. Asyik bertambah dari masa ke masa. Dugaan untuk yang bernama guru pada hari ini.
            Aku senyum pada Pak cik Sam yang sedang duduk di dalam pondok pengawal. Sebelah tangan aku angkat walaupun tidak tinggi mana. Cukup sekadar dapat dilihat oleh Pak cik Sam. Manakala tangan yang sebelah lagi masih kejap memegang stereng kereta yang bergerak perlahan. Bersedia melepasi pintu pagar sekolah.
            Tolehan awal membuka seluas pandangan. Tak ada kereta langsung. Sepatutnya aku boleh melepasi simpang keluar menuju ke jalan besar dengan hati yang senang. Tapi itu tidak berlaku. Kaki masih tetap menekan pedal di tengah, menahan daripada kereta bergerak apabila melihatkan seorang anak kecil di perhentian bas. Duduknya termenung bersama pakaian seragam sekolah lengkap. Tali leher birunya juga masih belum ditanggalkan. Persoalannya, mengapa dia masih di situ pada waktu-waktu begini?
            Melihat wajah polos dari arah sisi itu membuatkan aku tergerak hati untuk menyapa. Kelihatan seperti budak darjah satu. Mungkinkah dia sudah ketinggalan bas sekolahnya? Hanya kemungkinan itu yang dapat aku fikirkan. Mustahil ibu bapanya terlupa untuk menjemputnya pulang dari sekolah. Aku tidak fikir begitu.
            Break tangan aku tarik. Membiarkan kereta terus di situ.  Aku berjalan menuju ke perhentian bas yang hanya beberapa tapak jaraknya. Perlu ada pertanyaan. Keselamatannya sudah menjadi tanggungjawab aku yang memerhati saat ini.
            “Tak balik lagi? Awak tunggu siapa?” soalku serta merta. Aku dapat lihat ada kesedihan yang menjalar.  Seakan ada air jernih yang baru dilepaskan dari empangan mata.
            Dia menggeleng. Kemudian ada jawapan yang kedengaran perlahan. “Mama tak datang lagi.”
            “Mama kerja?” hal itu aku perlu tahu. Jika ibunya bekerja, itu petanda ibunya mungkin dalam kondisi terkadas dalam kesesakan lalu lintas. Lebih-lebih lagi hanya lebuhraya MRR2 yang mampu menghubungkan jalan ke sekolah ini. Lebuhraya yang hanya dapat berehat ketika penggunanya pulang ke kampung halaman berhari raya.
            “Mama tak kerja. Mama dekat rumah.”
            Tekaanku ternyata salah. “Ayah?”
            “Ayah tak ada.”
            Tak ada ayah? Anak yatim barang kali. Aku diam lagi. Takkan aku tega membiarkan dia terus tinggal di sini? Aku pandang jam tangan. Sudah terlalu lewat untuk tidak ambil peduli tentangnya. Aku tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku pada anak kecil ini.
            “Nama awak siapa?”
            “Qayyum”
            “Qayyum tahu rumah dekat Qayyum dekat mana?”
            “Tahu.”
         “Jom, cikgu hantar awak balik.” Tekad aku membuat keputusan. Akan aku maklumkan pada Pak cik Sam supaya memaklumkan hal itu pada sesiapa yang datang dan bertanya tentang kedudukan anaknya. Itu lebih baik dan selamat!

SUDAH setengah jam berlalu. Aku sendiri naik buntu. Tak tahu jalan mana yang perlu aku ambil untuk menghantar Qayyum pulang. Jam pada dashboard kereta sudah menunjukkan jam tujuh setengah. Kalau aku terus balik tadi, tentu sekarang aku sudahpun sampai dia susur masuk ke Taman Indah.
            “Tadi masa cikgu tanya, Qayyum kata, Qayyum tahu rumah Qayyum kat mana. Sekarang ni Qayyum kata Qayyum tak tahu pula. Macam mana cikgu nak hantar Qayyum balik macam ni?”
            “Tadi memang Qayyum tahu. Sekarang dah tak tahu sebab cikgu ikut jalan lain. Jalan ni Qayyum tak tahu.”
            “Hah?” aku terkedu dengan jawapan balas daripada Qayyum. Memang nak kena budak ni. Padahal tadi, hanya dia yang menjadi gps bergerak, menunjukkan jalan. Aku hanya menurut perintah.  Apa patut aku buat sekarang? Hari sudah makin gelap.
            “Okeh, sekarang ni cuba Qayyum cerita pada cikgu, rumah Qayyum macam mana? Ada tak macam rumah depan sana tu. Yang tinggi tu.” aku tunjuk beberapa blok apartment yang tersergam jelas.
            “Tak. Rumah tu besar. Rumah Qayyum kecil aje.”
            “Kecil lagi?” Aku sempat garu kepala yang tak gatal. Herot tudung jadinya. Daripada tadi dia asyik sebut rumahnya kecil… rumahnya kecil… Mana lagi rumah yang kecil yang ada di kawasan sekitar ini? Habis sudah semua apartment dan kondominium dalam kawasan Melawati aku tunjuk, semuanya dikatakan kecil. Inipun aku sudah jauh terlajak semata-mata nak cari rumah kecil Qayyum.
            “Selain rumah Qayyum, ada apa lagi dekat situ? Ada tempat isi minyak tak? Kfc ke? ada?”
            Qayyum diam seketika. Nampak seperti sedang memikir dan mengimbas. Jadi aku diam sama. Memberikan sedikit masa untuknya.
            “Ada.”
            “Hah, ada apa?” lega aku mendengarnya.
            “Dekat dengan rumah Qayyum ada banyak lampu.”
            “Lampu?” mungkinkah kedai menjual lampu yang Qayyum maksudkan? “Lampu apa?”
            “Lampu macam lampu tu.” Arah jari Qayyum aku perhatikan. Serta merta semangat aku merundum jatuh. Itu lampu jalan. Kat mana-manapun memang banyak terpasang! Petunjuk itu langsung tidak membantu.
            “Selain lampu?” aku tak putus asa.
            “Ada pokok.”
            “Lagi, ada apa?”
            “Pasu bunga.”
            “Lagiiii…”
            “Ermmm... kucing pun ada.”
            “Ada apa lagi Qayyummmm…” sedaya upaya aku cuba bersabar. Sedang aku yang mahu membantu, aku tak patut marah dan sebagainya.
            “Ada kereta mama.”
            “Tak apalah Qayyum. Qayyum duduk aje situ. Biar cikgu yang cari sendiri.”

BUDAK ni, murid kelas siapa?

            Aku hantar gambar Qayyum dalam group whatapp cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Taman Melawati. Hanya itu cara yang tinggal. Semoga ikhtiar akhir itu berjaya menemukan Qayyum dengan rumah kecil kesayangannya.
    
Budak kelas aku. Kenapa?

            Aku senyum. Berjaya teknik yang satu itu. Rupanya anak murid cikgu Juliana. Guru kelas 1 Dinamik. Tanpa buang masa, aku terus masuk ke dalam senarai log kenalan dan menghubungi Juliana. Masalah selesai!

“CIKGU… tu rumah saya.” Teruja Qayyum memaklumkan.
            Aku pandang Qayyum dengan pandangan tak puas hati. Bukan baru sekarang, sejak dari tadi lagi. Sejak aku dapatkan maklumat tempat tinggal Qayyum daripada Juliana. Kemudian aku pandang rumah yang Qayyum tunjukkan. Ini kecil? Bertuah punya budak! Rumah semi D yang tersergam dikatakan kecil?. Letaknya di Ukay Perdana pula tu. Memang banyak lampu jalan, pokok dan pasu bunga sepeti kata Qayyum. Kucing sahaja yang aku belum nampak. Mungkin dalam rumah dia agaknya.
            “Dah, turun.” Aku arahkan.
            Dengan penuh gembira Qayyum turun. “Pak Su…” berlari Qayyum mendapatkan seorang lelaki di hadapan pagar.
            Aku turut keluar dari kereta. Ada perkara yang perlu aku jelaskan. Tidak mahu timbul salah faham. “Maaf lambat. Tak tahu pula Qayyum tak tahu jalan ke rumah. Berpusing cari jalan.” Aku perjelaskan walaupun aku tak tahu siapa lelaki itu. Tapi mendengarkan Qayyum panggilnya Pak Su, jadi aku yakin itu pak cik saudaranya yang paling bungsu.
            “Tak apa. Saya yang patut ucapkan terima kasih, cikgu bawa anak sedara saya balik. Salah saya. Sepatutnya saya ambil Qayyum tadi. Mama dia kat hospital. Saya terlupa. Mujur cikgu ada.”
            “Oh ya ke? Mama Qayyum sakit apa?”
            “Sakit nak bersalin.”
            “Bersalin?” aku pandang Qayyum. “Bukan ayah dia tak ada, ke?”
              “Memang tak ada. Ayah dia kat luar negara. Pilot la katakan.”
            Aku ketawa kecil. Mati-mati aku ingat Qayyum anak yatim. “Tak apalah. Semuapun dah selamat. Saya balik dululah.”aku minta diri. Mahu cepat pulang. Waktu maghrib kian suntuk.
            “Sekali lagi saya ucapkan terima kasih.”
            “Sama-sama. Saya gerak dululah. “ aku bersedia untuk melangkah. “Cikgu balik dulu ya Qayyum. Esok jangan lupa datang sekolah.” Aku cubit manja pipi Qayyum.
            “Okey cikgu.”
            “Assalamualaikum.” Aku hulurkan salam.
            “Wa’alaikumusalam.” Berbalas. “Oh ya, cikgu. Boleh saya tahu nama Cikgu.”
            Terpaksa aku menoleh lagi. Memberi jawapan pada pertanyaan. “Murni.”
            “Cikgu Murni?”
            “Ya, saya.” Aku angguk.
            “Saya cikgu Shaari.”
            Aku lebarkan senyuman. Tahu dia cuma bergurau. Sudah terbiasa dengan situasi begitu. Setiap kali aku sebutkan nama, pasti dialog yang sama keluar. “Saya baliklah.” Kali ini aku benar-benar masuk ke dalam kereta.
            “Bye cikgu…” Suara Qayyum kedengaran. Aku lambai tangan kemudian menutup rapat pintu kereta. Sekilas aku pandang waktu yang brgerak tanpa henti. Hari ini tugasku sebagai guru berakhir pada jam lapan malam. Esok pula bagaimana? hanya Allah SWT yang tahu waktunya. Dalam keletihan masih ada senyum yang singgah.

“CIKGU, nah. Pak Su bagi.”
            Aku tercari-cari suara kecil yang dapat ditangkap oleh telinga. Qayyum rupanya. Ada sampul surat yang diserahkan.
            “Untuk cikgu?”
       Qayyum angguk lantas pergi, berlari mendapatkan kawan-kawannya yang sudah laju menuju ke kantin sekolah. Sampul berwarna hijau aku buka. Sekeping kad ucapan terima kasih kelihatan. Apabila kad itu aku buka, ada sekeping lagi kad kecil yang tertera QR Qode di atasnya. Menggelang aku sambil tersenyum. Faham maksud kad kecil itu. Kini aku beri perhatian pada ucapan yang tertulis dalam kad ucapan tadi.

Terima kasih cikgu. Harap cikgu sudi hantar Qayyum hari-hari sepanjang tempoh Mama Qayyum berpantang nanti.

            Aku tarik nafas panjang. QR Code yang ada aku pandang sekali lagi. Kemudian aku alihkan pandangan pada cincin tunang di jari manis. Aku masih tidak mahu menanggalkan cincin itu walaupun tiada jodoh antara aku dengan Hairi. Dia lebih dicintai Illahi. Sehingga kad ini aku baca, hatiku masih sama. Enggan menanggalkannya.
Mengikut fakta, seorang guru itu setia orangnya. Setia mencurah bakti di mana saja. Adakah itu bermakna seorang guru juga setia dalam cinta? Itu sudah semestinya. Ada senyum yang mekar lagi. Kad ucapan aku masukkan kembali ke dalam sampul surat. Lalu aku selitkan dalam rekod mengajar harian. Biar kekal duduk di situ sebagai penanda buku.

           
TAMAT

Kata AH :  
Terima kasih atas bacaan semua. Karya ringkas daripada AH. Jadi AH ambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat hari guru buat semua yang pernah mendidik AH, guru-guru seMalaysia. Juga kepada semua tak kira dalam bidang apapun. Kerana tanpa sedar, sebenarnya, setiap daripada kita adalah seorang guru.  Jumpa lagi dalam karya yang lain.