Wednesday, April 22, 2015

ISTERI SOLIHIN



ISTERI SOLIHIN
Oleh : Adah Hamidah


“Alhamdulillah, sampai dah kita. Inilah rumah saya.” Pak cik Jamal senyum. Enjin kereta sudah dimatikan.
Rumah yang beratapkan zink aku pandang tanpa rasa teruja. Mama kat sebelah wajahnya nampak pasrah. Sungguh-sungguh menyerah diri pada takdir. Pemilik kereta Proton Iswara sudahpun turun. Inilah masa dan peluang untuk bertanya sekali lagi pada mama.
“Ma, betul ke keputusan yang mama buat ni?” aku soal. 
Mama tunduk.  “Kita ada pilihan lain? Tak ada kan?” soalanku dibalas dengan soalan.
“Tapi ma… tengoklah rumah tu, macam reban aje.” Aku suarakan apa yang aku rasa. Tak sangka di bandar besar beginipun masih ada lagi kawasan perkampungan. Penempatan yang terdiri daripada rumah-rumah berdindingkan papan, dan beratapkan zink karat.
“Bersyukurlah... mama rasa lebih baik kita tidur dalam reban ayam daripada tidur kat kaki lima.” Mama terus keluar dari perut kereta.
Aku mendengus kasar. Benci dengan apa yang berlaku. Terlalu banyak yang aku tak puas hati. Cuma tak dapat aku luahkan pada mama. Termasuk soalan yang satu itu, yang sudah lama aku pendam sejak huru-hara menyerang hidup aku macam halilintar. Soalnya sekarang, macam mana aku nak tinggal di sini? Aku tak rasa aku mampu bertahan walau untuk sehari.  Bencinya! Kenapalah tiba-tiba saja dugaan datang bertubi-tubi?

KOPI dihidangkan kepada aku dan mama. Dari bertiga, kini sudah jadi berlima. Isteri Pak Jamal iaitu, Aminah juga ada sama, duduk di ruang tamu. Yang kelima ialah anak lelaki Pak Jamal yang tidak pernah aku kenal.
            “Jemput minum puan.” Pelawa Mak cik Aminah
            “Tak payahlah berpuan-puan bagai. Malu saya. Panggil kakak aje.” balas mama.
            “Tak apalah puan. Dah banyak jasa puan dan arwah tuan pada kami sekeluarga.”
            “Kami tak buat apapun. Semuanya rezeki Allah.”
            “Kenalkan, inilah anak saya yang sulung tu.” Giliran Pak Jamal bersuara.
            “Ini Solihin?” Lebar pula senyuman mama. Nampak sangat mama kenal. “Dah habis belajarkan?”
            “Belum puan. Sekarang ni tengah semester akhir.” Solihin jawab sendiri.
            “Oh… belajar kat mana? Lupa pula mak cik.”
            “UIA.”
            “Course apa?”
            “Engineering.”
Aku pandang Solihin. Budak engineering, patutlah skema jawapan. Sudah tentu-tentu aku lebih tua daripada dia.
“Tengah cuti sem ke?”
“Eh, tak adalah puan. Memang saya ulang alik dari rumah sebab tak jauh manapun.”
“Janganlah panggil puan. Kekok mak cik rasa. Dahlah mak cik menumpang kat sini.”
“Baiklah mak cik.” Solihin senyum.
Aku bosan. Nak-nak bila mama buka cerita pasal menumpang hidup di sini. Sesuatu yang langsung tak pernah aku terfikir.
“Ini Puteri Maisara. Anak tunggal saya.”
Mama memperkenalkan aku. Aku paksa bibir kuntumkan senyuman atas perkenalan itu. Manisnya ada, ikhlas saja yang tak ada. Mukadimah perbualan mereka terasa panjang benar. Tak sanggup aku nak tunggu. Kalau dibiarkan, mahunya melarat sampai ke tengah malam nanti.  
“Boleh tanya sikit tak?” aku mencelah.
            “Nak tanya apa tu?” Pak Jamal angkat kening.
            “Kipas ni memang dah habis laju ke?” aku pandang kipas siling yang nampak begitu keberatan untuk berputar laju. Langsung tak mengalu-alukan kedatangan aku. Terpaksalah aku bersusah payah mengipas diri dengan tangan. Dari tadi aku kepanasan, tak ada seorangpun yang peduli.
            Solihin dengan ayahnya berpandangan. Mama pula mula bagi signal dengan membutangkan matanya padaku. Eh, adakah menjadi satu kesalahan untuk aku bertanya?
            “Kipas lama… macam inilah.” Suara Pak Jamal menjawab. “Tak apa, biar Pak Jamal ambilkan kipas berdiri.” Pak Jamal bangun dari duduk.
            “Ayah, tak apa. Biar along yang ambil.” Solihin menahan ayahnya.
            Aku sekadar memandang babak keluarga bahagia di depan mata. Suasana harmoni yang dipamerkan itu menimbulkan satu rasa dalam jiwa. Bukan rasa yang menyenangkan, tapi rasa disebaliknya. Untunglah budak Solihin tu. Ayah masih ada. Aku ni?
            “Tak payahlah. Boleh sesiapa bagi tahu bilik saya dekat mana?” aku mahu buka cerita baru. Tutup kisah kipas tadi.
            “Hah penat ya. Mari mak cik tunjukkan bilik.” Kini Mak cik Aminah pula bangun.
            Aku bangun sama. Tapi tidak mama. Masih duduk di situ. Tak mahukah dia menyertai aku berehat-rehat di dalam bilik?
            “Mama?”
            “Sara masuk dulu. Nanti mama masuk.”
            Aku sekadar mengangguk. Biarlah, mungkin ada perkara yang ingin mama bincangkan dengan Pak Jamal setelah apa yang terjadi hari ini. Aku malas nak fikir.

SUNYI pula! Nak sambung berbaring, badan aku dah mula rasa sakit-sakit. Mana taknya, dapat katilpun tak serupa katil. Tilam pula punyalah nipis. Kek lapis Apollo lagi tebal rasanya.  Tak jadi nak teruskan misi bersantai-santai.
Mama dengan mak cik Aminah ada di dapur menyediakan minum malam sementara menunggu Pak Jamal dengan Solihin pulang dari surau. Mama pun satu, bukannya sihat sangat tapi masih tak menang tangan membantu mak cik Aminah. Aku nampak biskut kering sudah terhidang. Tak jadi aku nak masuk campur memandangkan kedua wanita itu sedang rancak berbual. Perlu ada haluan lain.
            Sudahnya aku selak langsir bilik yang menyinar cerah cahaya lampunya. Itu bilik anak paling bongsu dalam keluarga Pak Jamal. Mama cakap namanya Aisyah. Baru berumur enam tahun. Jauh jarak umur antara dia dan solihin.
            “Buat apa tu?” aku tegur dari luar. Hanya kepala yang aku jengahkan ke dalam.
            “Eh, kakak.” Aisyah letak pensil warna.
            Senyuman Aisyah menghantar langkahku masuk ke dalam biliknya. Bilik itu lebih kecil daripada kamar mandiku dahulu. Aku duduk sebelah Aisyah. Alang-alang dah tak ada kawan, ada baik juga aku jadikan si kecil ini kawan. Boleh jadi teman berbual.
            “Ayah cakap tadi, nama kakak Puteri. Betul ke kakak ni puteri?” Aisyah petah bertanya.
            “Betul!” aku mengiyakan. Memang itu namaku walaupun masih belum lengkap sepenuhnya.
            “Puteri tu princess kan? Kakak ni princess lah?”
            Aku diam seketika. Kemudian ada tawa menyilang. “Hah, betullah tu.”
            “Macam Princess Anna dengan Elsa ni?” Aisyah tunjuk gambar kartun yang tadi diwarnakan.
            Masih aku ketawa. Kepala aku anggukkan. Layan saja karenah budak kecil itu. Lagipun sesekali dapat pengiktirafan jadi puteri dalam cerita dongengpun seronok juga.
            “Kalau kakak memang princess, kenapa kakak tak duduk dekat istana?”
            Budak ini! Terdiam aku dibuatnya. Tak sampai lima minit berbual, dia sudah bagi aku soalan aras tinggi. Jenuh juga nak jawab.
            “Errr…” aku mencari idea. “Hah, sebab akak kan princess. Kan semua princess dalam fairy tales tu tak dapat nak duduk dekat istana sebab istana ada orang jahat. Istana akak kena kepung dengan orang jahat, jadi akak terpaksa lari duduk dekat sini.” Aku reka cerita supaya sesuai dengan kefahaman anak kecil seperti Aisyah. Kalau aku cakap rumah aku kena sita, tunggu masa untuk dilelong, aku yakin dia tidak faham.
            “Ha’ahlah… istana ada orang jahat. Princess Anna pun nak lari dari istana sebab Duke jahat.    
            “Betul tu.” sokong aku sepenuhnya tanpa ada keraguan walaupun aku tak kenal siapa Duke.
            “Kesiannya kakak princess. Tak apa, kakak princess tinggallah kat sini. Kalau ada orang jahat datang sini, nanti along boleh lawan.”
            “Along?” Otak aku dah terbayang gambar Solihin tersenyum dengan pakaian sang putera. Siap pegang perisai dengan pedang. Ceh! tak kena langsung.
            “Tak naklah. Akakkan princess. Akak ada kuasa nak lawan orang jahat.  Kalau akak tunjuk aje tapak tangan macam ni, terus kuasa akak keluar. Along tak payah tolongpun tak apa.” Berapi-api aku bercerita. Siap dengan gaya.
            “Kenapa? Ingat saya tak boleh lawan orang jahat?”
            Tersentak aku dibuatnya. Tiba-tiba pula Solihin muncul depan pintu. Dia tentunya sudah dengar perbualan antara aku dan Aisyah. Aduhai. Tak suka betullah aku.
            “Along dah balik...” Aisyah lari mendapatkan satu-satunya abang yang dia ada.
            Solihin membawa Aisyah dalam dukungan. “Ibu panggil kat dapur tu. Pergi cepat.” Aisyah diturunkan.
            Aku turut bangun. Memandangkan Aisyah sudah mahu keluar, aku juga patut beredar. Potong betullah budak Solihin ni. Laju aku berjalan melepasi Solihin yang masih tegak berdiri di muka pintu.
            “Menipu tu berdosa.”
            Sambil aku lalupun sempat Solihin bagi nasihat. Pantang betul keturunan aku, budak muda nak nasihatkan orang lebih tua. “Apa dia?” aku peluk tubuh sendiri sebaik berpaling. Tanya dengan nada tak puas hati walaupun aku dah dengar tadi. Sengaja nak uji apa Solihin berani nak ulang lagi?
            “Tak baik menipu, berdosa. Saya cakap salah ke?”
              Ternyata Solihin memang berani. Aku pula yang tergamam. “Amboi, mengalahkan Ustaz Don. Tengah-tengah jalan ni pun sempat nak bagi ceramah.” Aku tetap pamerkan senyuman pada anak tuan rumah walaupun aku rasa menjengkilkan.
            “Saya bukan nak berceramah. Mana yang saya nampak salah, saya tegur untuk ingatan bersama.” Balas Solihin.
            Aku pandang sinis. Bukan aku sengaja tak suka dia. Tapi emak yang melahirkan rasa kurang senang aku pada Solihin. Sejak emak langkah masuk ke dalam bilik, mak tak henti-henti memuji-muji Solihin. Sakit telinga aku dibuatnya. Dan sekarang, rasa itu makin meluap-luap. Tak adalah bagus manapun budaknya. Emak saja yang rasa begitu!
 “Oh begitu ceritanya…” terangguk-angguk kepala aku.  “Terima kasihlah ya ustaz… terima kasih sangat-sangat atas ingatan tulus ikhlas tu. Terharu sangat dah ni. Lain kali tegurlah lagi.” malas aku nak layan. Lebih baik pergi menonton siaran televisyen.
            “Sara, nak ke mana tu? Semua dah tunggu nak minum sama.” Laung Solihin.
            Sekali lagi aku berpaling tanpa rela. “Tak apalah. Aku tak makan biskut kering, nanti makin kering badan aku ni.” Aku cakap tanpa tunjuk wajah. Meneruskan misi mendapatkan remote control televisyen.

PUKUL lima pagi mama sudah kejutkan aku bangun. Mama suruh pergi mandi. Siap sedia untuk tunaikan solat subuh.
            “Pergilah cepat, Sara. Nanti orang lain nak mandi pula.”
            Aku masih pejam mata dalam duduk. Belum pernah dalam hidup aku, bangun pukul lima pagi semata-mata nak mandi? “Sekejap lagilah ma… mengantuk ni.”
            “Jangan macam ni, Sara. Kita ni menumpang, buatlah cara orang menumpang. Janganlah nak jadi macam tuan rumah.”
            Mata yang mengantuk jadi segar mendengar kata-kata mama. Menumpang? Aku benci dengan perkataan yang satu itu! Kenapa mesti aku? aku hentak kaki. Membentak keadaan yang menyepit. Terus berjalan mendapatkan tuala dan keluar dari bilik.
            “Sikit-sikit menumpang… sikit-sikit menumpang…” aku membebel sendiri. Pintu bilik air aku tolak kuat. Tapi kaki tidak melangkah masuk. Kedinginan yang menyerbu tubuh menghentikan langkah. Belumpun sempat sentuh air, aku dah rasa menggigil kesejukkan. Macam mana nak mandi? Terdiam aku di situ.
            “Kenapa tercegat kat situ? Kalau nak mandi, baik mandi cepat, ramai lagi yang nak mandi ni.”
            Automatik aku toleh kepala. Ada solihin di sebelah. Dia datang dengan tuala di tangan. Sah, diapun nak mandi juga.
            “Water heater ada tak?” aku tetap soal walaupun aku tahu mustahil ada.
            Solihin sekadar menggeleng. “Kalau sejuk sangat boleh jerang air, lepas tu campur dengan air dalam kolah.” Cadangan dikemukakan oleh Solihin.
            “Cara tu dah lapuk. Tak ada cara yang lebih cepat dan mudah?” aku soal lagi. Tuala yang menutup kepala masih belum aku lepaskan. Sejak berhijrah beberapa bulan lalu, aku cukup jaga aurat yang satu itu.
            “Tak ada.” Solihin memberikan jawapan yang sama
“Takkan tak ada. Bekulah aku dalam ni nanti.”
“Belum pernah ada lagi orang yang beku sebab mandi pagi.”
“Sebab tak pernah adalah aku risau. Mana tahu aku orang yang pertama. Kau tu carilah inisiatif, usaha sikit. Jangan asyik jawab tak ada aje. Akukan tetamu. Dalam Islam, tetamu kena layan baik-baik. Takkan tak tahu? Semalam bukan main pandai lagi kau bagi ceramah.” Panjang lebar aku membebel.
“Usaha?”
“Hahlah. Usahakan tangga kejayaan. Cepatlah, kata ramai lagi nak mandi.” Aku arah macam puan besar. Gaya aku cakap memang penuh lagak. Setakat budak UIA jangan mimpilah nak berlawan cakap dengan aku. Kalaulah dia tahu aku ni belajar dekat mana dulu, tentu dia tercengang. Saja malas aku nak kecoh-kecoh.
            “Apa-apa pun tak apa?”
“Tak kisahlah. Janji aku tak jadi ais kepal dalam bilik air ni.”
Solihin mengangguk. “Tunggu kejap.”
            Aku hantar pemergian Solihin dengan senyuman. Macam ini barulah ada semangat nak mandi. Kalau tak ada pemanas air, nescaya tak sanggup aku nak mandi.
            Tak sampai lima minit, Solihin datang balik. “Nah cuba guna ni. Mungkin boleh bantu.” Senyuman solihin terbuka kecil.
            Aku pandang peralatan yang dihulurkan oleh Solihin. Alat yang didakwa mampu memanaskan air itu tidak tercapai tanganku.
            “Ambillah. Lepas pasang suis, letak terus dalam kolah. Kut-kut air boleh jadi panas.”
             Aku jadi bahang dengan tiba-tiba. Tahulah dia bakal engineer, tapi tak perlulah pemikirannya sampai ke tahap ini. Rasa nak telan aje budak tak cukup umur depan aku ni. Buatnya aku bendul, ikut cakap dia, tak pasal-pasal aku akhiri hidup aku dalam bilik air. Mati kena renjatan elektrik.
            “Ini bukan nak bagi air jadi panas, ini nak bagi hati jadi panas.” Aku jerkahkan aje. “Simpan ajelah water heater tak cukup sifat tu.” Aku jelir lidah, lepas tu cepat-cepat masuk dalam bilik air. Gila betul, ada ke seterika nak dijadikan pemanas air? Macamlah aku tak tahu niat Solihin. Pada semalam tak puas hati dengan aku. Nampak sangat dia tak suka aku menumpang kat sini. Ah, ada aku kisah! Ini bukan rumah dia pun. Rumah emak dengan ayah dia. Bermakna, dia juga penumpang di sini. Huh!

Untuk bacaan lanjut dapatkan Antalogi cerpen & mini novel, Melodi Cinta Terbitan Karyaseni. Himpunan 10 karya daripada 10 penulis Karyaseni & Penulisan2u.

Kata AH:
Assalamualaikum, Salam hormat buat semua pembaca AH. Lama AH tak update blog. Tak ada story dapat dikongsikan pada semua. Tapi hari ni, AH kongsikan teaser Cerpen ISTERI SOLIHIN yang turut dimuatkan dalam Antalogi Melodi Cinta. Memuatkan 10 Cerpen/mini novel daripada penulis2 hebat KS dan Penulisan2u. AH aje penulis bilis yang direzekikan terselit di situ. He3. Harap semua rakan-rakan pembaca sudi dapatkannya. Semua kisah ringkas daripada AH. Mudah-mudahan ada sedikit ilmu di dalamnya. Oh ya, boleh didapatkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. Insya'Allah kalau tak ada sebarang perubahan, AH akan berada di Penerbitan Karyaseni pada 3 MEI nanti, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Ada kesempatan bolehlah kita jumpa ya. Doakan AH ada karya yang lebih besar tahun ni. Jumpa lagi nanti. Terima kasih pada semua.