Monday, August 26, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 23



23
            Aku tidak tahu kenapa. Tapi hatiku cukup ingin tahu mengapa abang Naim menolakku. Walaupun aku bakal terluka, setidak-tidaknya aku tahu sebabnya. Aku tahu aku juga ada dalam hati abang Naim. Tapi mengapa cadangan ibu dan ayahnya dipandang sepi.
Assalamualaikum. Abg Naim. Maaf kalau Ana menggangu. Ana cuma nak tahu knp abg Naim tak bersetuju dengan cadangan ibu dan ayah abg Naim?”
            SMS itu aku hantar dengan berani. Berdebar hati menunggu jawapan balas daripada abang Naim.
Wa’alaikusalam. Abg rasa cadangan tu dah x perlu.
Pantas aku menerima jawapan.
Kenapa? Abg Naim dah tak sayang Ana?
Aku terus mengasak dengan soalan. Hati benar-benar ingin tahu.
Ana yang mulakan.
Ringkas balasan daripada abang Naim. Jawapan yang cukup menyakitkan hati.
Tp Ana buat untuk kebaikan abg Naim.
Kalau Ana boleh pentingkan diri. Apa salahnya abg buat benda yg sama?
Aku terpukul membaca kiriman itu. Adakah abang Naim bermaksud untuk membalas semua perbuatanku? Kenapa abang Naim begitu? Rawan hati kerananya.

Jgn jatuh cinta dgn tunang abg Naim.
Pesanan itu aku tinggal. Aku tidak mahu mengatakan apa lagi. Kalau aku masih punya tempat di hatinya, perkara itu takkan berlaku. Abang Naim takkan jatuh cinta pada wanita lain selain aku.
“Mananya, Ana? Tak datangpun.” Kak Dahlia merungut, menanti ketibaan encik Afdhal.
            Aku terus mematikan niat untuk menunggu mesej balas dari abang Naim. Mungkin abang Naim perlukan masa. Aku berharap abang Naim akan sedar bahawa aku tidak bermaksud menolak dirinya.
            “Ana.. akak tanya ni. Encik Afdhal mana?”
“Encik Afdhal?” sengaja aku mengulang nama. Encik Afdhal juga sudah hal. Sudah dua gelas air berjaya kami habiskan. Tapi encik Afdhal masih tak nampak bayang. Aku sendiri panas hati. Payah betul dengan lelaki yang seorang ni. Nak hadap orang ramai pun susah.
            “Akak tunggu sini sekejap.” Sebelum mood kak Dahlia bertukar. Lebih baik aku pergi cari encik Afdhal.
            “Ana nak pergi mana?”
            “Tak apa. Akak tunggu sini. Jangan pergi mana-mana tau. Tunggu sampai Ana datang balik.” Aku tidak menjawab tepat pertanyaan yang diberi. Sekadar mengingatkan supaya kak Dahlia tidak berganjak dari situ. Dan kak Dahlia mengangguk, setuju.
            Aku keluar dari restoran mamak yang kian galak menerima kunjungan. Mungkin siaran televisyen yang menyajikan perlawanan bola sepak menjadi penarik utama. Aku berhenti di sebelah restauran, tidak meneruskan langkah kaki. Asalkan kak Dahlia tidak nampak diriku. Kat mana aku boleh cari encik Afdhal? aku tertanya sendiri.
Di office? Mustahil. Waktu aku lalu depan Arena Printing tadi, roller shutter sudahpun siap berkunci. Atas bumbung agaknya. Itu boleh jadi. Tapi aku tak ada keberanian untuk daki atas bumbung sendirian waktu malam begini. Macam mana sekarang?
“Pssssttt... Psssttt...”
            Ada bunyi pelik kedengaran di telinga. Nak kata bunyi cicak, tak serupa nadanya. Bunyi cengkerek, lagilah jauh, tak sama.
            “Psssttt... Gomes... sini!”
            Sekali lagi bunyi yang sama kedengaran. Kali ini berserta satu nama yang sudah melakat dalam jiwa. Aku pandang ke kiri. Tiada apa-apa. Cubaan menoleh ke kanan nampaknya mendatangkan hasil. Wajah encik Afdhal kelihatan. Dirinya berselindung di sebalik tembok pejalan kaki di hadapan restauran mamak. Tidak jauh dariku. Boleh pula dia menyorok di situ?
            Lambaian tangan encik Afdhal membawa langkahku menghampiri dirinya. “Bos pergi mana? Yang menyorok kat sini, kenapa? Lama cik Dahlia tunggu kat dalam tu.” Aku terus bubuh sabun. Membasuh dengan kata-kata atas tindakan kurang bijak encik Afdhal.  
            “Cik Dahlia ajak bos makanlah. Bukan main sorok-sorok.” Aku tambah lagi. Bagi puas hati.
            “Ah, bisinglah kau ni. Diamlah sikit. Karang orang dengar, semua pandang kita.”
            “Hah?” aku tercengang. Sampai begitu sekali fobia encik Afdhal? “Okey, sekarang ni macam mana? bos nak masuk dalam ke, tak? Kita orang dah lapar ni.”
            “Ramai gila kat dalam tu. Tempat lain tak boleh, ke?”
            “Apa masalah bos ni? Ramailah bagus. Tak adalah bos kekok nak berbual dengan cik Dahlia tu.”
            “Kau tak faham masalah aku...” cebik wajah encik Afdhal.
            “Dah bos tak cerita, macam mana saya nak faham?”
            “Malaslah cerita dengan kau.”
            “Suka hati boslah! Sekarang ni bos nak masuk dalam ke, tak nak?”
            “Ish, tak naklah aku. Kau pergilah masuk seorang.”
            “Okey. Kalau macam tu saya cakap kat kak Dahlia yang bos tak ingin makan semeja dengan dia. Saya masuk dululah.” Aku mahu bergerak pergi. Seperti selalu aku terpaksa mengugut.
            “Eh... Eh.. janganlah macam tu. Kau bagilah alasan yang best sikit. Hah! Kau cakap aku sakit perut. Aku pergi klinik.”
            “Bos, cik Dahlia tu bukan budak kecil tau nak bagi alasan macam tu.” Aku bantah. Cakaplah alasan macam manapun sekalipun, aku pasti akan bantah seratus peratus.
            “Alah, tolonglah aku. Kau ni...” encik Afdhal merayu bantuan.
            “Tak ada tolong-tolong dah. Apa bos ingat saya ni sukarelawan khidmat masyarakat? Dah banyak saya tolong bos. Kali ni bos settle sendiri. Kalau nak diikutkan, saya dah boleh bersantai dekat rumah tau sekarang ni. Disebabkan bos, saya korbankan masa rehat saya. Bos pula nak buat hal. Kalau macam ni, tak naklah saya tolong bos lagi.” aku tarik muka. Buat-buat marah. Aku perlu paksa encik Afdhal berhadapan dengan orang ramai hari ini walau apapun yang terjadi.
            Encik Afdhal membatukan diri. Saling tak tumpah macam tembok di sebelahnya. Keras, tidak mampu bergerak
            “Nak masuk ke tak nak ni?” aku tanya sekali lagi. Mengharap jawapan yang lebih positif.
            “Kau masuk sekali ke?”
            “Mestilah. Sayakan orang tengah!”
            “Okey. Kau masuk dulu. Aku jalan belakang kau.”
            “Oh, nak jadikan saya benteng pertahananlah ni?” aku soal, tanda tak puas hati. Sempat pula dia fikir idea sebegitu.
            “Ah, jalan ajelah cepat. Karang lagi ramai orang.” Balas encik Afdhal. Mengelak.
            “Nak jalanlah ni.” aku besarkan mata. Asyik-asyik nak kena dengar arahan dia. Tapi aku tidak kisah. Asalkan aku berjaya bawa encik Afdhal masuk, duduk bersama orang lain. Sebab itu aku sengaja memilih meja makan di tengah-tengah restauran. Dia tidak akan terlepas daripada pandangan sesiapa dalam restauran itu.
            “Eh, tak payahlah tarik baju saya, bos, koyak karang!” Aku tepis lagi tangan encik Afdhal yang asyik memegang belakang bajuku. Kali ini aku bagi amaran sama. Sudah macam nak bermain permainan musang dengan anak ayam. Tak pasal-pasal mata semua yang ada di dalam memanah ke arah kami. Dia tak apalah, jalan menunduk wajah. Aku ni? Dahlah jalan depan. Mengheret dia pula. Nak sorok muka kat manapun aku tak tahu?
            “Bos... janganlah bos. Buat malu kat cik Dahlia aje.” Aku cakap lagi. Susuk tubuh kak Dahlia sudah kelihatan. Cuma wajahnya saja tidak nampak kerana dia duduk membelakangkan kami yang sedang berjalan menghampiri. Tidak jauh lagi. Tapi encik Afdhal tetap begitu.
            “Ah, peduli apa aku. Kau tu pun jalanlah laju sikit!”
            “Eh...eh, saya pula yang kena.” Aku membebel lagi. Tak henti mulutku berbicara.
            “Dah, diamlah.”
            Aku sudah malas mahu melayan perangai encik Afdhal yang entah apa-apa. Muka aku tebalkan. Berjalan mendapatkan kak Dahlia. Sampai saja di meja, aku tarik nafas lega. Kak Dahlia mengangkat keningnya. Bertanya apa yang berlaku dengan orang di belakangku. Aku muncungkan bibir sambil jungkit bahu.
            “Encik Afdhal, duduklah. Kita dah sampai dah ni.” Depan kak Dahlia, aku terpaksa berlaku sopan. Penuh protokol.
            Perlahan-lahan bajuku dilepaskan. Pasti renyuk teruk kerana aku dapat rasa genggaman kuat tangan encik Afdhal pada bajuku.
            “Silakan duduk.” Kak Dahlia mempelawa.
            “Encik Afdhal duduk sini.” Aku arahkan encik Afdhal duduk di tempat dudukku tadi. Menghadap kak Dahlia. Dan aku pula mengambil tempat di sebelah kak Dahlia.
            Encik Afdhal mendengar kata. Dia duduk dengan penuh hemah. Dia tidak mengangkat wajah. Hanya tunduk kaku.
            “Ingatkan awak tak sudi datang tadi.” Kak Dahlia bijak memainkan peranan.
            Baru kini encik Afdhal tunjuk muka. “Sudi...” hanya sepatah kata yang keluar dari mulutnya.
            “Sebenarnya saya nak ucapkan terima kasih pada awak sebab dah selamatkan saya hari tu. Kalau awak tak ada, tak tahulah macam mana.”
            “Alah... tak payah berterima kasihlah cik Dahlia, bos saya ni, sebut aje pasal cik Dahlia, merentas Laut China Selatan pun dia sanggup.” Aku tolong jawab bagi pihak encik Afdhal. Natijahnya, kakiku disepak kuat. Encik Afdhal besarkan mata. Memberi amaran.
            Eleh, macamlah aku heran sangan nak ikut campur! Aku cebikkan bibir. Mula sedar diri. Seorang lelaki berkopiah putih, datang mengambil pesanan. Kak Dahlia memesan sepinggan nasi goreng dan air barli panas. Aku pula hanya meminta mee goreng dan milo ais. Kini tinggal encik Afdhal yang belum membuat pesanan. Pelayan kedai masih menanti dengan pen dan kertas di tangan.
            “Awak nak makan apa?” kak Dahlia bertanya apabila melihat encik Afdhal hanya mendiamkan diri.
            Soalan dari kak Dahlia tidak berjawab. Encik Afdhal memandang ke arahku. Buat muka simpati. Pasti mahu aku yang memilihkan menu untuknya. Aku tahu sangat. Dia mana pernah makan di kedai. Urusan makan dan minumnya diuruskan oleh abang Joe.
            Aku alih pandangan. Tidak mahu membantu. Tadi bukan main marah aku bersuara. Alih-alih nak minta pertolongan aku. Kirim salamlah aku nak tolong. Entah kenapa pula aku panas hati?
            “Err...” encik Afdhal tidak dapat menyuarakan keinginannya. Dia mengaru kepala.
            “Sama macam sayalah. Air aje tukar. Bagi air nescafe.” Aku bantu juga akhirnya. Tak sampai hati tengok keadaan encik Afdhal. Memilih menu yang sama denganku kecuali minuman. Seingat aku encik Afdhal tidak suka milo. Dia lebih gemarkan nescafe. Aku rasa aku tepat.
            Encik Afdhal senyum. Senyuman pertamanya malam ini. Serta merta kak Dahlia senyum sama. Membuatkan aku terfikir, senyuman itu untuk aku atau untuk kak Dahlia? Encik Afdhal tidak memandang ke arah sesiapa sewaktu senyuman itu dilemparkan. Ah, takkan untuk aku pula? Mestilah untuk kak Dahlia.
            “Suka ke, makan mee goreng.” Soalan kak Dahlia nampak seperti meragui pilihan yang telah aku buat untuk encik Afdhal.
            “Erm... okeylah pada tak ada.”
            Hah? Aku tahan sabar. Boleh pula dia cakap macam tu? Nasib baiklah kak Dahlia ada di sebelah. Kalau tidak... monolog aku menjadi-jadi. Encik Afdhal sudah nampak kecil pada padangan mataku. Itu petanda darahku sudah mendidih.
            “Ingatkan she know your favorite food.”
            Mata encik Afdhal melirik padaku setelah soalan itu diperdengarkan. Pandangan itu nampak lain macam. Aku bulatkan mata. Memberi isyarat supaya encik Afdhal tidak menjawab persoalan itu dengan jawapan yang bukan-bukan.
            Lagi senyuman pada bibir encik Afdhal. Senang hati betul dia dapat bertemu empat mata dengan kak Dahlia.
            “Dia tahu semua pasal saya.” Tenang jawapan encik Afdhal.
            Kak Dahlia terus memasak padangannya pada wajahku. Terkulat-kulat aku dibuatnya. Pandai-pandai saja encik Afdhal buat cerita.
            “Betul ke, ni?” kak Dahlia sudah mula menyoal.
            Aku mati kutu. Tak pasal-pasal aku pula nak kena menjawab. Entah bila-bila masa pula aku tahu semua perkara pasal encik Afdhal? Dah tentu-tentu itu taktik encik Afdhal untuk membuat kak Dahlia cemburu. Tak habis-habis nak mengeksploitasi aku!        
            Aku terpaksa buat-buat ketawa. Geli hati kononnya. “Tak sangka encik Afdhal dah pandai buat lawak sekarang.” Aku sambung tawa. Menyelamatkan diri.
            “Tengok tu tak nak mengaku.” Encik Afdhal bersuara.
            “Apa ni, bos?”
            “Apa?” kata encik Afdhal.
            Aku diam diri. Banyak bunyi pula sekarang. Tadi bukan beria-ia pemalunya. Mengalahkan perempuan melayu terakhir. Sekarang dia pula lebih-lebih. Membuatkan aku terfikir betulkah dia memang fobia berhadapan dengan orang ramai? Macam lakonan semata-mata aje.
Makanan datang tepat pada masa. Sedia terhidang di depan mata. Jadi pertanyaan tadi mati begitu saja. Air dan makanan semuanya sudah sampai. Hanya menunggu untuk dimakan.
            “Jomlah makan. Apa lagi?” aku mengajak. Sudah tidak sabar melihat mee goreng yang cukup memikat selera.
            “Kita baca doa dululah.” Kak Dahlia memberi cadangan.
            “Okey.” Aku bersetuju. Tangan ditadah. Namun
Tiada seorangpun yang memulakan bacaan. Aku tahu kak Dahlia sedang mengharap encik Afdhal mengetuai bacaan. Padahal encik Afdhal tadah tanganpun tidak. Aku tak rasa encik Afdhal akan membacanya. Entah bila agaknya kali terakhir dia membaca doa makan? Mungkin lima belas tahun lepas juga. Aku dapat rasa begitu.
“Baca sendirilah, dah lapar sangat ni.” Aku mulakan bacaan. Sekadar didengari telinga. Kemudian sengaja aku melangar tangan kak dahlia dengan sikuku. Apabila kak Dahlia memandang, aku kelip mata untuk tatapan kak Dahlia. Mahu dia tahu bahawa kemahuannya itu tidak akan berlaku.
Kak Dahlia juga membaca doa dan mula makan. Ternyata kak Dahlia mengerti. Melihat aku dan kak Dahlia sudah menyuap makanan, barulah encik Afdhal memegang sudu dan garpu.
Tidak ada seorangpun yang bersuara semasa menjamu selera. Encik Afdhal lagilah pula. Makan sambil tunduk wajah. Pening kepala aku. Tadi nampak macam okey. Sekarang dah berubah kembali. Ini tidak harus berlaku. Aku perlu membuka ruang lebih luas untuk encik Afdhal dan kak Dahlia. Jadi aku makan dengan segera.
Selesai menghabiskan makanan, aku cepat-cepat menghirup minuman. “Alhamdullillah, kenyang. Saya keluar dululah, ambil angin kejap.” Aku minta diri.
“Kau nak pergi mana?” laju encik Afdhal menyoal.
“Tak ada pergi mana. Duduk luar tu aje. Borak-boraklah dulu.” Aku tunjukkan ibu jari pada kak Dahlia. Mengharap kak Dahlia menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Aku yakin kak Dahlia mampu melakukannya.
Tersenyum aku keluar dari restauran. Sudahlah perut kenyang, hati juga senang, sampai tidak ternampak seorang pelanggan wanita yang baru melangkah masuk. Mujur tidak terlanggar wanita yang sedang sarat mengandung itu.
Sorry kak.” Aku minta maaf.
“Tak apa.” balas wanita itu dengan senyuman.
Aku lega. Kembali menyusun langkah keluar dari restauran.
“Afdhal...”
Baru saja kakiku melepasi ruang keluar, aku dikejutkan dengan jeritan kak Dahlia. Jeritan yang menyebut nama encik Afdhal. Apa yang berlaku? Aku segera menoleh. “Auch!!” belum sempat aku melihat apa-apa, aku terlebih dahulu dilanggar kuat oleh susuk tubuh encik Afdhal. Menyebabkan aku jatuh terjelepuk.
Encik Afdhal berlari meninggalkan restauran. Lariannya laju, seperti tidak cukup tanah. Kenapa pula begitu? Baru beberapa minit aku meninggalkan meja, keadaan sudah bertukar rupa. Kecoh restauran mamak itu jadinya.
“Kenapa kak?” soalku pada kak Dahlia yang bergegas mendapatkan aku yang masih duduk terpaku.
“Entah. Tiba-tiba aje dia lari.” Kak Dahlia sendiri tidak pasti.
Jawapan yang kak Dahlia berikan tidak dapat menenangkan hati. Encik Afdhal bagaikan betul-betul dalam ketakutan. Sesuatu telah terjadi. Aku yakin. Tapi apa dia? Pantas aku bangun dengan bantuan kak Dahlia. Aku perlu mengejar encik Afdhal sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Aku perlu mendapatkan encik Afdhal.
“Ana tengok encik Afdhal dululah.” Kini aku pula berlari, mengekori encik Afdhal yang sudah tidak kelihatan. Apapun terjadi aku harus mencari encik Afdhal sehingga jumpa.
“Ana...”
Jeritan kak Dahlia aku biarkan sepi.

WALAUPUN aku ketakutan, tapi aku tetap cuba memberanikan diri. Bumbung atas bangunan Arena Printing aku jejaki. Kemana lagi encik Afdhal mahu pergi kalau bukan di atas bumbung itu. Hati memberikan jaminan.
            Perlahan kaki melangkah. Mata melilau memerhati sekeliling. Mencari kelibat encik Afdhal. Pintu rumahnya bertutup rapat. Mungkin dia di dalam. Aku menaka. Atas tekaan itu, tangan terus mencapai tombol. Bunyi tangisan yang sayup kedengaran dengan tiba-tiba mengesahan tekaanku tadi salah. Bunyi tangisan itu bukan datangnya dari dalam.
            Pencarian aku terus. Mengikuti alunan suara yang makin lama makin kuat didengar telinga. Itu petanda aku makin menghampiri. Ya, kali ini aku tepat. Aku geleng kepala melihat keadaan encik Afdal. Dia duduk di sudut sambil merengkukkan badannya. Muka disembamkan ke lutut. Manakala tangannya memegang kepala. Tangisannya jelas kedengaran.
            Aku bukan tidak biasa dengan keadaan luar biasa encik Afdhal. Tapi kali ini aku rasa encik Afdhal sedang berhadapan dengan sesuatu yang amat hebat menyiksa dirinya. Apa yang patut aku lakukan? Patutkah aku membiarkan saja encik Afdhal terus begitu? Bagaimana kalau ianya berlarutan. Tekanan perasaan boleh membuatkan orang menjadi gila. Dan orang gila mampu melakukan apa saja termasuk yang mengancam nyawanya. Aku patut bertindak.
            Aku menghampiri. Sungguh aku tidak pandai mententeramkan diri. Tapi setidak-tidaknya aku harus mencuba. Mencuba dengan sehabis daya. Rasanya encik Afdhal sudah dapat merasa kehadiranku di situ. Dia berganjak, menghimpit terus dirinya dekat dengan tembok. Kalau tidak ada tembok, tentunya dia sudah jatuh ke bawah.
            “Encik Afdhal...” seruku perlahan. Tidak mahu memeranjatkan dirinya.
            “Pergi... pergi...” jerit encik Afdhal dengan lantang.
            Aku sudah tidak tahu nak buat apa. Lalu aku berkeputusan untuk duduk menunggu di situ. Setidak-tidaknya sehingga tangisan encik Afdhal reda. Menangislah encik Afdhal. Menangislah sepuas-puasnya, kerana aku tahu tangisan mampu memberi sedikit ketenangan pada jiwa.

TANGISAN sudah hilang. Yang ada cuba bunyi kenderaan lalu lalang yang masih kedengaran. Encik Afdhal sudah mampu memandang panorama malam. Aku pula masih menunggu di situ tanpa sebarang suara. Langsung tidak bertanya apa yang membuatkan dia menggila. Aku tidak mahu soalan itu sekali lagi bakal menggugat emosinya. Sama-sama kami diam. Membisu seribu bahasa.
            “Kau tak nak tanya kenapa aku lari?”
            Soalan yang dari tadi bermain di fikiranku, diluahkan oleh encik Afdhal sendiri. Tidak aku sangka. Ya, aku sama sekali ingin tahu. Apa yang membuatkan dirinya jadi begitu? Berlari tak tentu hala tuju.  Tapi lidah keberatan untuk bertanya.
            “Tak ada orang yang tahu apa yang terjadi pada aku.” encik Afdhal meneruskan kata. “Aku tak pernah cerita pada sesiapa hal yang sebenar. Dia oranag hanya tahu apa yang dia orang nampak. Tapi sebaliknya. Aku aje yang tahu.”
            Aku tekun mendengar ayat demi ayat yang keluar dari mulut encik Afdhal.
            “Boleh aku percayakan kau?”
            Mataku berkelip tidak henti. Kata yang baru aku dengar itu menyentak hati. Apa maksud encik Afdhal? Adakah dia mahu berkongsi kisah yang selama ini dia simpan seorang diri? Bersediakah aku mendengarnya? Telinga sudah mengepakkan sayap. Tidak mahu tertinggal walaupun satu kata.
            “Saya cuba...” kataku cuba menyakinkan agar encik Afdhal meneruskan cerita.
            
Bersambung...

Kata AH:
Alhamdulillah. Akhirnya tamat juga entry JJC di blog. Seperti yg AH sudah maklumkan, entry ini adalah entry terakhir. Insya'ALLAH kalau ada rezeki, semua bakal bertemu dengan JJC dalam versi cetak. Semoga doa semua bersama JJC. Untuk soalan2 yg masih tidak berjawab, sama2 kita tunggu nanti. AH ucapkan jutaan terima kasih kpd semua rakan pembaca yg sentiasa menanti entry JJC. Thanks utk komen2 membina yg AH selalu terima. Komen2 berbentuk tekaan Ana akhirnya dengan siapa? Komen2 yg meluahkan rasa x puas hati dengan karektor yg AH wujudkan. Komen2 gembira, suka dan duka. Dan apa2 saja komen yg ada. Ketahuilah, komen2 anda semua membuatkan AH sentiasa senyum sampai ke telinga. Terima kasih krn mmberi sedikit ruang pada JJC. Semoga JJC kekal dalam ingatan, walaupun hanya untuk satu babak. Terima kasih. Insya'ALLAH jumpa pd karya yang lain.  Salam Sayang.