Saturday, March 30, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 2



2
AKU menarik selimut, menutup tubuhku yang kesejukan. Mata juga sudah mengantuk. Letih seharian membantu pekerja-pekerja di Arena Printing. Hari pertama yang menyeronokkan. Semua pekerja-pekerja di Arena Printing baik dan ramah, tidak termasuk Encik Afdhal. Dia hanya duduk di mejanya saban hari, sikitpun tak masuk campur kerja kami. Duduknya menyendiri bersama muka ketatnya yang langsung tidak menampakkan senyuman.
Terbukti kebenaran kata-kata Fina. Sememangnya abangnya itu seorang pendiam. Mujur aku telahpun mendengar suaranya pagi tadi. Jika tidak, pasti aku akan menyangkakan yang abangnya itu bisu. Mana tidaknya, lelaki itu lebih banyak berinteraksi dengan mimik muka dan pergerakkan tangannya untuk berkomunikasi. Memang pelik! Dengan aku lagilah pula, jangan kata bercakap, memandang wajah akupun lelaki itu tidak mahu. Mungkin masih marah. Namun padaku, aku tetap tidak bersalah!
Bunyi ketukan pintu membuatkan aku kembali menolak selimut. Pantas aku berjalan mendapatkan pintu. Tombolnya aku pulas, apabila pintu telah terbuka, kepala dijengahkan melihat gerangan yang mengetuk pintu itu sebentar tadi. Namun tidak ada sesiapa yang kelihatan. Aku kerutkan dahi. Mustahil aku silap pendengaran! Kemudian mata mula menangkap satu objek yang tergantung pada tombol pintu.
“Lolipop!” aku terkejut. Bagaimana lolipop itu boleh tergantung pada tombol pintu bilikku itu? Walaupun persoalan itu tidak ada jawapannya, namun tanganku pantas mengambil lolipop yang tergantung itu. Ada kad kecil di situ.
Abang minta maaf pasal pagi tadi. Sengaja nak tengok Ana merajuk. Ternyata  masih comel macam dulu!
Selepas membaca ayat itu, aku jadi hilang kata. Rasa seperti tidak percaya dengan apa yang aku baca. Benar-benar mengejutkan. Kemudian, perlahan-lahan hati mula tersenyum. Pintu kembali aku tutup rapat, tidak perlu aku cari lagi siapa gerangan yang muncul sebentar tadi kerana jawapan itu sudah pasti kini. Rasa mengantuk hilang dengan tiba-tiba dan rasa itu digantikan pula dengan rasa bahagia yang teramat sangat.

PAGI ini aku tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Naim kerana dia terlebih dahulu telah keluar bekerja. Namun aku tetap masih mampu untuk tersenyum. Semuanya gara-gara lolipop pemberian Abang Naim semalam. Dan aku yakin, masih banyak lolipop yang akan aku terima selepas ini. Mengenangkan itu, aku sudah mengatur rancangan untuk petang nanti. Aku mahu mendapatkan balang kaca untuk aku simpan setiap lolipop yang aku terima. Rancangan itu membuatkan hariku bertambah ceria.
            Setibanya aku di premis Arena Printing, seperti semalam, Afdhal sudah tercongok di hadapan pintu kaca syarikat miliknya itu bersama akhbar yang menutup wajahnya. Hari ini juga dia berpakaian serba hitam. Mungkin itu memang warna kegemarannya atau mungkin juga itu baju semalam! Langkah yang tadinya laju, kini mula aku perlahankan. Otak ligat menyusun ayat untuk menyapa. Tidak mahu kejadian semalam berulang. 
            “Assalamualaikum Encik Afdhal, boleh saya tumpang lalu” terpaksa juga aku berbicara.
Afdhal mengalihkan surat khabar yang dibacanya. Sama seperti hari semalam. Cuma, pada kali ini aku tidak akan bertindak seperti melulu. Afdhal hanya memandang aku sekilas, sebelum dia mula mengubah kedudukannya agar tidak lagi menghalang laluan. Kemudian dia kembali menyambung bacaannya. Kalau diikutkan, sememangnya aku sudahpun boleh melepasi pintu kaca itu. Namun entah kenapa kakiku terkunci di situ. Aku tidak tahu apa yang aku rasakan, tapi apa yang pasti, langkahku terpaku di situ kerana dirinya. Aku tidak pernah berjumpa lelaki pelik seperti dirinya. Sukar untuk aku tafsirkan keadaannya. Tapi aku dapat rasakan ada yang aneh tentang dirinya.
Menyedari aku masih berdiri di tempat tadi bersama renungan yang tidak putus-putus ke arahnya, Afdhal kembali memberikan sedikit tumpuan padaku. Keningnya diangkat bersama wajah penuh persoalan, cuba memberikan isyarat. Aku faham maksud isyaratnya itu. Pantas aku ukirkan senyuman, lalu aku menggelengkan kepala tanda tidak ada apa-apa yang tidak kena, sebelum segera angkat kaki masuk ke dalam premis. Hati menghembuskan nafas lega. Jujur, semuanya berada diluar kawalanku.

JANTUNGKU mula berdegup laju apabila Abang Joe menyampaikan pesanan bahawa Afdhal ingin berjumpa denganku di mejanya. Aku yang dari tadi sibuk membantu pekerja-pekerja yang lain menyusun  majalah sekolah yang sudah siap dicetak, mula rasa tidak senang hati.
            “Habislah kau, Ana...”
Kata-kata Abang Ijad telah membuatkan aku jadi bertambah kecut perut. Apa maksud Abang Ijad yang sebenar? Aku yang baru saja mahu bangun dari duduk, tidak jadi meneruskan niat itu. Aku harus mendapat jawapan daripada Abang Ijad sebelum aku berjumpa dengan Afdhal.
“Apa maksud Abang Ijad?” Aku menyoal. Aku perlu tahu.
Abang Ijad hanya tersenyum panjang. Tidak ada tanda-tanda yang dia mahu menjawab soalan yang aku berikan sebentar tadi.
“Dahlah Ana, jangan duk dengar cakap Ijad. Lebih baik Ana cepat pergi jumpa Afdhal. Nanti tak pasal-pasal kena marah” Abang Joe memberikan peringatan.
Aku mengangguk, lantas aku atur langkah menuju ke meja Afdhal. Langkah yang tadinya laju bertukar menjadi perlahan apabila melihatkan keadaan Afdhal dari jauh. Aku tidak pasti apa yang dilakarkannya, tapi yang aku pasti lakarannya itu berbentuk contengan bersama deruan nafasnya yang turun naik. Tidak tumpah seperti keadaan orang yang sedang melepaskan marah. Terus mati langkahku. Kertas lakaranya itu kemudian dikoyakkan dan direnyukkan sebelum mencampakannya merata.
Aku jadi kecut perut. Meneruskan langkah atau berpatah balik? Hati mula membuat pertimbangan. Membatu aku di situ. Aku alihkan pandangan, cuba meraih simpati Abang Joe dan Abang Ijad dari jauh. Tapi ternyata sia-sia kerana mereka kelihatan biasa-biasa saja, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Ketika Afdhal mengangkat wajahnya dan melihat aku, barulah dia kembali menenangkan dirinya. Lama dia terdiam bersama renungan tajamnya. Seketika kemudian, dia mengarahkan jari telunjuk padaku sebelum memanggil aku menghampirinya juga dengan isyarat jarinya itu.
Dengan langkah terketar, aku berjalan juga menghampiri meja Afdhal. Takut diapa-apakan. Aku tidak tahu kenapa, yang pasti saat ini memang dia kelihatan tidak waras. “Encik Afdhal cari saya” terus aku bertanya sebaik sahajaaku berhenti beberapa langkah sebelum sampai di mejanya.Afdhal memandangku tanpa sebarang kata. Lama aku tunggu dirinya berbicara.
“Kau ambil jurusan apa?” akhirnya Afdhal bersuara juga. Drawing block yang berada di atas mejanya itu, diangkat lalu dicampakkan ke bawah mejanya.
“Pengurusan pejabat” jawabku sekadar memenuhi soalan yang diberikan. Tidak berani berlebih kata.
Afdhal mengangguk lemah. “Nah” Sampul surat besar yang mempunyai lambang institusi pengajianku, dihulurkan kepadaku. Sampul yang sama, yang aku serahkan pada abang Joe semalam. Aku tahu apa isi dalam sampul putih itu. Borang penilaian yang perlu diisi oleh majikan setelah selesai menjalani latihan industri. Semua itu menimbulkan rasa tidak senang di hati. Apa mungkin, dia tidak mahu aku meneruskan latihan praktikal ditempatnya?
“Kenapa Encik Afdhal bagi borang ni pada saya?” sampul yang dihulurkan oleh Afdhal tidak aku sambut. Aku mahukan jawapan kepada soalanku terlebih dahulu.
“Habis tu, kau nak aku bagi borang ni kat siapa? Ni borang kau, kan?” serius kata yang Afdhal tuturkan.
“Memang borang saya, Encik Afdhal. Tapi sepatutnya Encik Afdhal kena bagi borang ni masa minggu terakhir saya kat sini. Lagipun, Encik Afdhal kena isi dulu borang ni” walaupun ada rasa getar, namun aku tetap terangkan prosedur yang sebenar.
“Sekarang ni, siapa majikan?” Satu pertanyaan sinis diajukan. Afdhal meletakkan sampul yang sedari tadi dipegangnya di atas mejanya dengan kasar. Mungkin dia sendiri keletihan memegang sampul yang tidak bersambut itu.
“Encik Afdhal lah majikan” balasku pantas.
“Habis tu, yang banyak sangat hal ni, pasal apa? Sekarang ni, kau nak ambil sampul ni, ke tak nak? Kalau kau tak nak, aku nak buang”
“Saya ambil!” pantas aku berjalan, menapak beberapa langkah dan terus mencapai sampul di atas mejanya itu.
“Satu lagi... meja kau kat situ” Afdhal menunjukkan arah letaknya mejaku dengan muncungnya.
Hati rasa gembira saat menerima perkhabaran itu. Buat pertama kalinya aku bakal mempunyai ruang kerjaku yang tersendiri. Yes! Memang gembira, lantas dengan segara aku mengalihkan wajah, memandang ke arah yang dimaksudkan oleh Afdhal. Namun senyuman yang tadinya lebar aku ukir, kini hilang sedikit demi sedikit semata-mata kerana kegagalan mencari meja yang diperkatakan oleh Afdhal tadi. Setelah lama memerhati, barulah aku perasan di mana kedudukan meja itu.
Meja ke, rak simpan kotak? Aku hanya mampu bertanyakan soalan itu tanpa suara. Terkedu aku melihatkan keadaannya. Aku akui, memang ada sebuah meja di situ, tapi meja itu dikelilingi dengan kotak-kotak besar. Tidak cukup dengan itu, beberapa buah kotak juga ada terletak di atas meja yang baru sahaja diisytiharkan menjadi milikku sepanjang berada di Arena Printing ini.Aku kembali memandang wajah Afdhal. Tertanya-tanya benarkan itu tempatku? Mengharap, semoga Afdhal akan ketawa lalu menyatakan semua itu hanya gurauan semata-mata.
“Mulai hari ni, kau boleh duduk kat situ. Pandai-pandailah kau kemas ikut kreativiti kau” Afdhal memberikan kebenaran. Dia kemudiannya bangun mahu meninggalkan tempatnya. “Lupa pula aku nak cakap. Kau jangan buka sampul tu selagi kau tak habis praktikal kat sini, faham!” sempat pula Afdhal menghentikan langkahnya semata-mata ingin menyampaikan pesanan itu.
Aku hanya mampu mengangguk pada setiap perintah yang disuarakan. Lain yang aku harapkan, lain pula yang diperkatakan.Afdhal akhirnya berlalu pergi meninggalkan aku di situ. Aku pula hanya mampu memandang Afdhal dengan rasa hampa. Mahu ataupun tidak, aku perlu juga menduduki meja itu, muktamad! Tidak ada alasan untuk aku ingkar pada arahan Afdhal. Mataku kembali aku bawa menyoroti kawasan yang penuh dengan kotak pelbagai saiz. Aku cebikkan bibir, bagaimana untuk aku menguruskan semuanya seorang diri? mungkin aku boleh dapatkan bantuan rakan-rakan yang lain, tapi mahukah mereka di sini membantuku?

KOTAK yang banyak di situ, aku pandang dengan senyuman lebar. Bukan kerana gembira berpeluang mengemas kawasan yang saling tidak tumpah macam tongkang pecah itu, tapi kerana janji yang dibuat oleh abang Joe, dan abang Ijad untuk menghulurkan bantuan padaku. Setidak-tidaknya, ringan sedikit bebanku untuk menguruskan tempat baruku. Sementara menunggu abang Joe, dan abang Ijad menyelesaikan tugas mereka, aku sendirian cuba mengalih kotak yang aku rasa aku mampu alihkan tanpa bantuan sesiapa.
            Mujur benar jangkaanku, kotak bersaiz sederhana itu tidaklah seberat mana. Dengan kudrat yang ada, berjaya juga aku mengalihkan hampir enam buah kotak ke atas troli besar untuk dibawa ke atas bumbung bangunan yang telah diubahsuai menjadi ruang stor. Aku duduk sebentar apabila mula ada rasa lelah. Nafas aku tarik panjang sambil mengesat peluh yang menitik di dahi.
            “Aik, dah rehat?” suara abang Ijad kedengaran.
            Aku kembali berdiri melihat kehadiran abang Joe dan abang Ijad di situ, menunaikan janji mereka. “Ingatkan abang Joe dengan abang Ijad dah lupa nak tolong Ana kat sini” sengaja aku bermain bahasa dengan mereka.
            “Kalau difikir-fikirkan pasal kotak yang melambak-lambak ni, memang abang Ijad dengan abang Joe nak lupakan aje niat nak tolong Ana. Tapi, bila mengenangkan yang Ana ni duduk dalam kategori kaum yang lemah, tak sampai hatilah pula, kan Joe” abang Ijad menyiku lengan abang Joe. Abang Joe pula hanya menampakkan tawanya sambil mencekak pinggang.
            “Lagipun, kita orang ni kan jenis lelaki budiman. Takkan nak biarkan Ana buat seorang diri” tambah abang Ijad lagi.
            “Iyalah... bertuah Ana dapat bantuan daripada lelaki-lelaki budiman ni. Nanti Ana belanja minum ya. Tapi kena tunggu dapat elaun dululah” aku mengikat janji bagi membalas budi. Harap mereka senang mendengarnya.
            “Ha... tu yang sedap didengar tu!” masih lagi abang Ijad bersuara.
            “Dahlah, jom start kerja, bercakap aje dari tadi, bila nak siapnya?” barulah kini abang Joe mencelah kata.
            “Okay, jom kita mula” balasku. “Tadi abang Joe cakap, semua kotak-kotak ni boleh letak kat stor atas bumbung kan?”
            “Ha’ah, kita sumbat dalam stor ja. Tak payah fikir banyak” abang Joe mengiyakan pertanyaanku.
            “Kalau semua dah sumbat dalam stor, wah... luaslah tempat Ana. Bolehlah main bola kalau boring” abang Ijad yang mula memindahkan kotak, melontarkan kata. Membuatkan rasa senang di hatiku.
            “Itulah, Ana ingat, nanti Ana nak tarik meja ni ke kiri sikit. Lepas tu, Ana nak minta tolong abang Joe dengan abang Ijad pasangkan partition yang ada ni. Bolehlah Ana buat ruang untuk solat kat sini” aku tersenyum dengan cadangan yang aku ajukan itu. Rasa segan untuk menumpang solat di premis sebelah. Aku sendiri tidak pasti mengapa Arena Printing langsung tidak menyediakan ruang solat untuk pekerja-pekerjanya sedangkan semua kakitangan di sini beragama Islam. Ketika soalan itu aku ajukan pada kak Jun masa dia membawa aku bersolat di premis sebelah, dia cuma tersenyum sambil menjungkitkan bahu, tanda tidak tahu sebab musababnya. Jadi, soalan itu tidak ada jawapannya.
            Abang Joe dan abang Ijad berpandangan sesama sendiri ketika aku suarakan cadanganku itu, seolah-olah tidak menyenanginya. Reaksi yang mereka tunjukkan itu menimbulkan tanda tanya di hatiku. Mengapa begitu?
            “Abang rasa tak payahlah Ana nak buat ruang solat. Ana solat kat sebelah ajelah” abang Joe nampaknya tidak menyokong cadanganku.
            “Kenapa pula? Lagipun, kat sini bukanya ada tempat untuk solat” aku yang tidak berpuas hati, terus mempertahankan ideaku.
            Abang Ijad mula mengaru kepala. “Betul cakap abang Joe tu. Ana tak payahlah nak tanya kenapa. Ana pun bukan lama kat sini, empat bulan aje kan?”
            “Alah... apa salahnya Ana buat ruang solat kat sini? Kalau Ana tak ada nanti pun, orang lain boleh terus guna ruang solat ni. Kalau abang Joe dengan abang Ijad tak nak tolong pasangkan partition ni, tak apalah, Ana boleh pasang sendiri”
            “Bukan pasal partition ni, Ana. Abang cuma tak nak timbul masalah. Nanti tak pasal-pasal, Ana kena marah”
            “Marah? Siapa pula yang nak marah?” tanyaku, tidak berpuas hati dengan setiap tutur kata abang Joe dan abang Ijad. Mereka terdiam akhirnya. Tiada jawapan balas untuk pertanyaanku.
            “Aku yang marah, kenapa?”
            Segera aku menoleh ke arah suara yang tiba-tiba kedengaran. Muncul Afdhal di situ. Terkejut aku dibuatnya.
            “Tak sampai seminggu kat sini, dah nak buat kecoh, apa kes?” Afdhal meneruskan kata.
            “Tak, encik Afdhal. Saya cuma bercadang nak buat ruang solat kat sini” mampu juga aku bersuara akhirnya, setelah kian lama hanya membisu dengan kehadirannya di situ.
            “Ruang solat? Boleh kau bagi aku satu sebab kenapa kena ada tempat solat ofis aku ni?”
            “Sebab kat sini tak ada tempat nak solat. Setiap kali nak solat, nak kena pergi kedai sebelah” pantas aku menjawab. Memang itu kebenarannya. Berubah air wajah Afdhal aku perhatikan. Abang Joe dan abang Ijad pula hanya mampu memerhati.
“Kalau aku kata tak boleh, kau nak buat apa?”
            “Janganlah macam tu encik Afdhal. Kan lebih afdhal kalau ofis ni ada tempat nak solat. Encik Afdhal juga yang dapat pahala” Dengan sengaja aku menggunakan namanya untuk tetap cuba bertahan.
            Afdhal terdiam. Abang Joe dan abang Ijad lagilah pula, langsung tidak bersuara sejak Afdhal tiba. Menikus mereka di situ.
            “Okay, kau boleh buat apapun ikut suka hati kau, tapi dengan satu syarat” Afdhal memandangku acuh tidak acuh.
            “Saya akan tunaikan walau apapun syaratnya” sungguh yakin aku berbicara. Hati mula senang. “Apa syaratnya encik Afdhal?” begitu teruja untuk mengetahui apa syarat yang dimaksudkan. Akan aku lakukan apa saja demi ruang solat itu. Semoga ianya bakal memberikan manfaat yang besar buat semua kakitangan Arena Printing.
            “Okay... aku nak kau settle semua kotak ni tanpa bantuan sesiapa hari ni juga. Kalau kau tak boleh settle, jangan mimpi kau dapat buat apa-apa” syarat itu Afdhal tuturkan bersama senyuman di bibir.
            “Afdhal... kesian dia Afdhal” Abang Joe seakan cuba menentang. Segera dia berjalan menghampiri Afdhal, namun Afdhal lebih dahulu bertindak mengangkat tangannya, tidak mahu abang Joe mencampuri urusannya. Lantas langkah abang Joe hanya mati di situ.
            Aku terkedu, tidak sangka syarat itu yang ditetapkan. Agak mustahil untuk aku memenuhi syarat itu. Mengangkat enam buah kotak yang saiznya tidak besar manapun sudah membuatkan aku terduduk keletihan. Inikan pula menyudahkan kerja-kerja mengalihkan kotak-kotak besar itu ke ruang stor secara bersendirian. Mana mungkin aku mampu melakukannya seorang diri? Gila apa?
            “Macam mana? Setuju?” Afdhal masih lagi dengan senyumannya. Senyuman itu aku perhatikan seolah-olah mentertawakan aku. Membuatkan hatiku menjadi sakit. Saat itu muncul semangat juang yang tinggi. Aku tidak mahu kalah. Walau apapun terjadi, aku harus sahut cabaran itu. Andai pinggangku patah sekalipun, aku tak peduli. Niat baik harus diteruskan walau apapun rintangannya.
            “Okay, saya setuju, encik Afdhal. Insya’Allah saya akan usahakan” balasku. Puas hati dengan jawapan yang aku berikan.
            “Tapi ingat, tak ada orang boleh tolong kau!” sekali lagi Afdhal mengingatkan tentang hal itu. Mungkin mahu memutuskan semangat juangku.
            “Tak apa, Allah sentiasa ada untuk bantu saya!” giliran aku melemparkan senyuman buat Afdhal. Dan senyumanku itu mematikan senyuman Afdhal yang tadinya megah menunjukkan diri.
            “Joe, Ijad... aku ingatkan kau orang ya, jangan pandai-pandai tolong budak ni tanpa arahan aku. Jangan sampai ada yang langgar arahan aku ni. Ingatkan yang lain juga!”
            Itu pesanan terakhir Afdhal yang aku dengar sebelum dia berlalu pergi dari situ.
            Sorry Ana, harap Ana faham” abang Joe menunjukkan wajah ehsannya.
            “Abang pun minta maaf. Ana jangan paksa diri. Kalau tak boleh tinggalkan aje” giliran abang Ijad menyampaikan kata.
            “Tak apa. Ana faham. Doakan Ana berjaya ya” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Mereka tidak bersalah. Kalau boleh, pastinya mereka mahu membantu. Dan aku tidak berkecil hati dengan hal itu. Sebaik sahaja melemparkan senyuman bersalah buatku, abang Joe dan abang Ijad berlalu meninggalkan aku sendirian.
            Aku melihat jam di pergelangan tangan, sudah hampir jam 4.00 petang. Sempatkah aku menyelesaikan semuanya hari ini? Walau apapun, aku mesti selesaikannya! Sendirian aku mengucapkan kata-kata peransang. Kotak-kotak yang banyak itu pula kelihatan mula melambai-lambaikan tangannya ke arahku...

Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum semua.... Alhamdulillah sempat AH postkan n entry JJC-2 utk tatapan semua. Semoga AH menerima komen2 membina bg membina kembali semangat AH yang sejak kebelakangan ni hanyut entah ke mana. Sokongan semua rakan2 pembacalah menaikkan semangat AH untuk terus menulis. Terima kasih AH ucapkan kepada semua yg selalu ada bersama AH. Sangat AH hargai. Insya'ALLAH entry JJC-3 Ah akan cuba uplodkan secepat mungkin ya.
Salam Ukhwah,
Adah Hamidah.

           

               

Monday, March 25, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 1



1
MASUK saja dalam rumah teres dua tingkat itu, aku terus di bawa ke ruang tamu. Pak Lang dan Mak Lang tidak henti-henti tersenyum memandangku sejak mereka menyambut kedatanganku di KLIA lagi. Mungkin terlalu gembira menerima aku sebagai tetamu dalam rumahnya ini. Setidak-tidaknya, senyuman mereka itu membuatkan hatiku menjadi sedikit lega. Mana tidaknya, aku akan menumpang untuk satu jangka masa yang lama di sini. Mujur Pak Lang dan Mak Lang yang merupakan sepupu kepada ayahku mengizinkan aku menetap di rumah mereka sepanjang tempoh aku menjalani latihan praktikal di Kuala Lumpur. Jika tidak, entah dimana aku mahu tinggal.
“Ana ingat lagi tak dengan rumah ni?” Pak Lang meletakkan kunci kereta miliknya di atas meja kopi.
“Ingat, Pak Lang.” Jawabku ringkas bersama senyuman kecil. Mana mungkin aku lupakan rumah ini walaupun sudah banyak perbezaannya. Lima belas tahun terpisah jauh dari rumah ini tidak langsung membuatkan aku menjadi lupa pada semua kenangan yang ada.
Aku masih ingat setiap ruangan yang menempatkan kenanganku bersama Abang Naim. Zaman kanak-kanak yang tidak pernah lekang dari ingatanku. Naim Zulkarnain! Lelaki itulah yang amat aku kagumi sejak kecil. Dia pakar dalam semua perkara. Ketika rantai basikalku tercabut, dialah yang membetulkannya semula. Di saat aku menangis, dialah yang memujuk jiwa dengan menghadiahkan lolipop kepadaku. Pada waktu aku terjatuh dan tercedera, dialah doktor pakar yang selalu memberikan rawatan segera. Jadi amat mustahil untukku meninggalkan semua memori indah dahulu.
“Tak payahlah nak malu-malu dengan Pak Lang dan Mak Lang, Ana. Kamu dah macam anak kami sendiri.” Pak Lang mula bersuara sebaik saja duduk di atas sofa.
“Betul tu, Ana. Tak ada apa yang nak dimalukan. Buatlah rumah ni, macam rumah Ana sendiri.” Sambung Mak Lang, melengkapkan maksud Pak Lang.
“Terima kasih Pak Lang, Mak Lang.” balasku penuh kesyukuran di dada.
“Ana duduk dulu, ya. Biar Mak Lang ke dapur sekejap, buatkan ai.r” Mak Lang mula bangun dari duduknya yang tidak lama mana.
“Biar Ana tolong.” aku juga bingkas bangun. Tidak elok menjadi puan besar dalam rumah yang mana aku duduk menumpang di dalamnya.
“Eh, tak payah. Ana duduk aje, berehat dulu. Lama duduk dalam kapal terbang tu, mesti letihkan. Biar Mak Lang yang buatkan.” Mak Lang enggan membenarkan aku membantunya.
“Iyalah, Ana. Kamu duduk aje sini, temankan Pak Lang. Boleh kita berbual panjang. Lagipun dah lama Pak Lang tak berbual. Nak harapkan Abang Naim kamu tu, tak ada maknanya. Sejak kerja, bukan main sibuk lagi dia. Mengalahkan tokoh korporat” Pak Lang menggeleng-gelengkan kepala.
Aku tersentak saat nama Abang Naim keluar dari mulut Pak Lang. Nama itulah yang aku mahu dengar khabarnya sejak dari tadi. Namun tidak ada seorangpun yang bersuara, berceritakan tentang diri Abang Naim. Apa khabar agaknya Abang Naim? Bagaimana dia kini? Masih ingatkah dia padaku? Soalan-soalan itu bermain-main di benak fikiran. Rasa tidak sabar bertemu dengan Abang Naim. Secara jujurnya, aku amat merinduinya. Sejak berpisah dengan Abang Naim dahulu, hatiku menjadi kosong, dan kekosongan itu tidak pernah terisi sehingga ke hari ini.
“Abang Naim kerja apa sekarang, Pak Lang?” soalku, cuba membuka lembaran kisah Abang Naim yang sudah lama tidak aku ketahui.
“Abang Naim kamu dah jadi kaunselor sekarang!” Pak Lang membuka kisah.
“Kaunselor? Wah, hebat ya Abang Naim tu, Pak Lang, Aku terkejut menerima perkhabaran itu. Kaunselor! Memang sesuai dengan diri Abang Naim.
“Dah rezeki dia, Ana” Pak Lang memperlihatkan senyumannya. Pasti dia berbangga mempunyai anak seperti Abang Naim.“Hah, yang Ana ni, praktikal kat company mana pula? Bila mulanya?”
“Esok dah mula, Pak Lang. Company kecil aje. Buat kerja-kerja printing.” Balasku.
“Tak apalah, cari pengalaman dulu. Kerja kat mana-manapun sama aje, Ana. Yang penting niat kita betul,” Pak Lang memberikan nasihat.
“Iyalah Pak Lang, Ana pun tak kisah juga sebenarnya. Inipun mujur kawan Ana tolong dapatkan tempat kat company abang dia. Kalau tidak, tak tahulah Ana nak praktikal kat mana.” aku mula bercerita.
“Dah memang takdir, Ana kena praktikal kat KL ni. Adalah hikmahnya tu.” Pak Lang masih meneruskan bicara. “Habis tu, esok nak ke sana macam mana? Nak Pak Lang hantarkan?” Pelawaan itu dibuat oleh Pak Lang.
“Eh, tak apalah, Pak Lang. Ana naik PUTRA LRT ajelah.” Aku menolak bantuan yang ingin Pak Lang hulurkan. Bukan apa, aku tidak mahu terus menyusahkan orang-orang di dalam rumah itu. Dapat tumpang tinggal di situ saja sudah amat aku bersyukur dengannya.
“PUTRA LRT? Ana tahu ke?”
“Insya’Allah, Ana tahu, Pak Lang. Lagipun kawan Ana dah bagi Ana kursus dulu dah sebelum Ana sampai sini. Tak ada masalah rasanya.”
“Ikut suka Analah. Tapi kalau perlukan apa-apa, jangan segan-segan pula nak bagi tahu Pak Lang.”
“Terima kasih, Pak Lang.” Aku terus tersenyum.

AKU membelek satu persatu pakaian yang ada di atas katil. Esok merupakan hari pertama aku menjalani latihan praktikal. Aku tahu, aku harus berpenampilan kemas. Tapi aku runsing, pakaian bagaimana yang perlu aku pakai? Kata pensyarah, first impression sangat penting! Jadi, adakah itu bermakna aku harus berpakaian formal? Aku mula kusut. Hendak menghubungi Fina, telefon bimbitku kehabisan kredit pula.
            “Argh... pakai ajelah baju kurung ni, habis cerita.” aku sudahnya mencapai baju kurung hijau berbunga jingga. Malas mahu memikirkan apa-apa lagi. Setelah tekad dengan keputusan itu, aku kembali menyusun pakaian-pakaian yang tadinya aku lambakkan di atas katil itu. Satu persatu aku sangkut pada penyangkut baju yang tersedia ada di dalam almari kayu yang kosong.
            Selesai menyudahkan kerja-kerja mengemas baju. Aku terus saja keluar dari bilikuntuk bertemu dengan Mak Lang bagi mendapatkan seterika. Aku mahu bersiap lebih awal. Tidak mahu terkocoh-kocoh esok hari. Perlahan-lahan aku bawa kaki menuruni anak tangga. Melilau mataku memandang ruang tamu. Namun tidak ada sesiapa di situ. Aku teruskan juga langkah untuk menjejaki Mak Lang. Di dapur juga Mak Lang tiada,jadi di mana mereka? Mungkin di dalam bilik, dugaku.
            Aku matikan niat untuk terus mendapatkan Mak Lang. Mustahil bagiku untuk mengetuk pintu bilik Mak Lang. Tidak mahu menjadi pengganggu. Sudahnya, aku rebahkan punggungku di atas sofa. Berehat seketika. Sempat juga mataku memandang jam besar pada dinding rumah. Hampir pukul 10.30 malam. Nampak gayanya, aku harus bangun lebih awal esok hari. Keletihan tiba-tiba saja terasa. Lantas aku baringkan diri di atas sofa itu. Malas pula mahu melangkah, menaiki anak tangga untuk menuju ke bilik.
            “Macam manalah dengan esok...” omelku sendiri. Tiba-tiba saja ada gentar menemani hati. Lebih-lebih lagi apabila terfikirkan semua peringatan yang Fina berikan tentang abangnya, merangkap bosku nanti.
            “Baik aku test, macam mana nak perkenalkan diri esok. Tak adalah gabra nanti.” aku tersenyum.
            Hello everybody.My name is Marina and you all can call me, Ana.  Aku terdiam seketika. “Alahai, macam pelik aje, bunyinya. Cakap Melayu dahlah!” aku membuat penilaian sendiri. “Cuba sekali lagi.”
            “Assalamualaikum semua. Nama saya Marina, boleh panggil saya, Ana je.” kali ini aku tersenyum. Amat berpuas hati.
            “Wa’alaikumusalam.”
            Aku tersentak apabila mendengar salam yang tidak aku berniat tujukan kepada sesiapa itu, bersambut. Dengan pantas aku bangun daripada pembaringan dan menoleh ke arah suara yang kedengaran jelas itu.
            “Nama saya Naim Zulkarnain, Ana boleh panggil saya, Naim.”
            “Abang Naim!” aku terkejut. Tidak pasal-pasal nama itu meluncur keluar dari mulutku.
            “Abang Naim? Erm... okey juga panggilan tu,” Abang Naim tersenyum nipis bersama mukanya yang bersahaja. “Okeylah, Abang naik dulu.”Abang Naim akhirnya terus berlalu begitu sahaja.
            “Abang Naim!” Pantas nama lelaki yang amat aku rindu itu, aku panggil. Abang Naim kembali menghentikan langkahnya, menolehkan kepala, memandangku.
            “Abang Naim, ingat Ana lagi tak?” dengan berani aku bertanyakan tentang itu. Sekadar ingin mengetahui apakah namaku masih tersimpan dalam memorinya.
            “Ana, budak manja yang selalu menangis tu, ke?” Abang Naim tersenyum lagi.
            Aku terkedu. Ternyata dia masih ingat padaku.
            “Abang naik dulu. Have a good rest.
            Aku menganggukkan kepala. Hanya isyarat itu  yang dapat aku berikan sebagai balas kata. Hati berbunga bahagia. Sangat gembira kerana Abang Naim masih mengingatiku, sama seperti aku mengingati dirinya. Seorang lelaki yang akan sentiasa aku kagumi.

PAGI-PAGI lagi, Fina sudah menghubungiku. Mengingatkan tentang itu dan ini. Kerisauan yang dia tunjukkan membuatkan aku benar-benar terharu. Dia kawan baikku, dan akan kekal menjadi kawan baikku buat selama-lamanya. Hakikat yang tidak mungkin dapat diubah.
            “Abang aku tu, lain macam sikit orangnya. Kau jangan kecil hati pula.” Fina tidak henti-henti memberikan amaran.
            “Lain macam apanya? Abang kau ada tiga kepala macam raksasa dalam cerita Ultraman tu, ke? Atau dia ada kuasa sakti yang boleh buat aku menangis tak henti-henti?” aku gelak. Sedikitpun tidak mengambil serius kata-kata Fina.
            “Main-mainlah kau, nanti dah kena, baru kau tahu langit tu tinggi ke, rendah. Masa tu nanti, kau jangan kata aku tak pesan apa-apa pula.” Fina masih serius dengan katanya.
            “Alah Fina, janganlah marah. Aku bukan apa... hari tu, kau yang cakap kat aku yang abang kau tu jenis yang pendiam, tak banyak cakap dengan orang lain. Hari ni, kau cakap lain pula. Mana satu yang betul ni?”
            “Memanglah abang aku tu spesis yang pendiam. Tapi kalau dia dah start bercakap, boleh bernanah telinga orang yang mendengarnya, kau tau tak!” Fina menjelaskan.
            “Alah, tak ada hallah. Pandai-pandailah aku nanti. Lagipun, orang yang pendiam ni, senang nak handle,” aku cuba menyakinkan Fina.
            “Pandai-pandai kaulah. Tapi jangan jatuh cinta dengan abang aku, sudah! Pantang datuk, nenek, moyang aku, kalau kawan aku, suka kat abang aku.” sempat juga Fina memberikan peringatan sama, yang pernah diperdengarkan padaku dulu.
            “Alah tak ada maknanya. Kalau jenis pendiam macam tu, jangan kata jatuh cinta, jatuh suka pun belum tentu.” Dengan yakin aku melafazkan kata-kata itu.
            “That’s good! Okeylah, jalan elok-elok. Apa-apa hal nanti kau contact aku!”
            “Okey, adik bos!” Talian dimatikan sudahnya. Kemudian aku memasukkan telefon bimbitku itu ke dalam beg tangan yang tidak berjenama yang sempat aku beli sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
            Setelah menyarungkan jilbab jingga di kepala. Aku segera keluar dari bilik dan bergegas menuruni anak tangga. Pak Lang, Mak Lang dan Abang Naim sudah mula menikmati hidangan sarapan pagi sewaktu aku turun. Lantas aku mengambil tempat duduk di sebelah Mak Lang setelah diarahkan oleh Pak Lang.
            “Takkan tengok aje, makanlah, Ana.” Mak lang mula menuangkan teh ke dalam cawan. Cawan teh itu kemudiannya diserahkan padaku.
            “Terima Kasih, Mak Lang.” aku menyambut cawan teh yang dihulurkan itu.
            “Naim, alang-alang kau nak pergi kerja ni, kau tolong hantarkan Ana kat stesen PUTRA sekali, boleh? Takkan kita nak biarkan Ana jalan kaki. Ana bukannya biasa lagi dengan tempat ni.” Pak Lang mengarahkan Abang Naim.
            Pantas mata Abang Naim memandangku. Kemudian dia mengerling jam ditangannya. Aku pula kelu. Mencari kata untuk menolak cadangan Pak Lang itu. Daripada pemerhatianku, dapat aku rasakan yang diasebenarnya keberatan untuk menumpangkan aku. Mungkin dia sendiri sudah terlewat.
            “Boleh tak ni?” Pak Lang bertanya sekali lagi.
            “Tak apalah Pak Lang. Biar Ana jalan kaki aje. Lagipun, bila lagi Ana nak biasakan diri dengan kawasan sini,” aku terlebih dahulu bersuara. Tidak mahu menyusahkan Abang Naim mahupun sesiapa. Mujur ada juga alasan yang muncul di minda.  
            “Biarlah Ana belajar berdikari, ayah. Lagipun dia dah besar. Dia tahulah nak jaga diri.”
            Jawapan yang Abang Naim berikan membuatkan aku tidak tertelan roti bakar yang sudahpun aku kunyah lumat itu. Rasanya, Abang Naim di hadapanku kini, bukan lagi Abang Naim yang pernah aku kenal dulu. Tiba-tiba sahaja ada rasa sedih di hati. Kerinduan pada Abang Naim yang selalu menjadikan aku sebagai keutamaannya muncul kembali. Ternyata masa telah merubah segalanya.
            “Ana pergi dulu ya, Pak Lang, Mak Lang.” pantas aku bangun, bersalaman dengan kedua orang tua itu, mahu segera bergerak meninggalkan meja makan. Bukan merajuk pada sesiapa, namun situasi sebegitu hanya menjerat diriku sendiri. Risau jika kehadiranku hanya menimbulkan rasa susah mereka.
            “Biar Pak Lang hantarkan Ana, ajelah.” Pak Lang mula berdiri.
            “Eh, tak apalah Pak Lang. Ana memang nak pergi sendiri. Pak Lang tak payah susah-susah. Betul cakap Abang Naim, Ana kena belajar berdikari,” aku tidak membenarkan Pak Lang meneruskan niatnya. “Ana pergi dulu ya, assalamualaikum.” kakiku melangkah laju, meninggalkan mereka semua. Aku berharap, semoga itu merupakan kali pertama dan kali terakhir situasi sebegitu terjadi padaku.

AKU memandang bangunan kedai tiga tingkat di hadapanku itu. Papan tanda yang tertulis perkataan Arena Printing Enterprise jelas kelihatan pada lot kedai paling hujung.Aku kembali melipat kertas yang terlakar peta perjalanan dari Stesen Masjid Jamek hinggalah ke bangunan berwarna merah bernyala itu. Tepat sekali lakaran Fina. Langsung aku tidak sesat. Bangunan merah bernyala itu masih aku renung. Sudah kelihatan sepert balai bomba sahaja. Mengenangkan itu, aku ketawa sendirian.
            Setelah menarik nafas panjang, aku mula melangkah menghampiri bangunan itu. Aku ingin terus masuk ke dalam bangunan Arena Printing Enterprise, namun laluanku di halang oleh seorang lelaki yang begitu khusyuk membaca akhbar di hadapan pintu kaca syarikat itu. Mungkin pengawal keselamatan di situ.
            “Assalamualaikum encik, tumpang lalu, boleh?” akhirnya aku bersuara. Tidak sanggup berdiri lebih lama di situ.
            Lelaki berpakaian serba hitam itu menghentikan bacaannya. Surat khabar yang tadinya menutup wajahnya, kini tidak lagi menjadi penghalang. Wajah lelaki itu jelas kelihatan. Dia hanya memandangku tepat, dari atas hingga bawah. Berulang kali dia memandangku begitu, membuatkan aku rasa tidak selesa.
            “Kenapa encik pandang saya macam tu? Saya pakai baju terbalik, ke?” soalku, sengaja menyedarkan dirinya bahawa pandangannya itu merimaskan diriku.
            “Kausiapa?” lelaki itu kembali menyoal.
            Aku tersentak. Kasar sungguh bahasa lelaki itu. Sudahlah pakaian macam orang jahat. T-shirt hitam, jeans hitam, Kasut hitam. Perangai pun hitam juga. Dah sah-sah gelap masa depan!
            “Encik ni siapa pula? Tiba-tiba aje nak tanya saya siapa, apa hal?” Aku tunjuk garang. Sama seperti pesan emak. Perlu berhati-hati dengan sesiapapun juga. Lelaki itu tidak mampu membalas kata-kataku. Jadi, kemenangan berpihak padaku.
            “Apa kes ni?” tanya seorang lagi lelaki yang tiba-tiba saja muncul di situ.
            Aku jadi cuak seketika. Mana tidaknya, dibuatnya lelaki yang satu itu pun bersekutu dengan lelaki serba hitam itu, mahu nahas aku jadinya.
            “Joe, kau tolong settlebudak ni. Menyemak aje!” lelaki serba hitam itu terus saja berlalu pergi setelah mengeluarkan arahan itu kepada lelaki yang seorang lagi.
            Aku hanya mampu memandang lelaki itu pergi dengan penuh rasa marah. Boleh pula dia kata aku menyemak! Hatiku betul-betul sakit. Kurang ajar sungguh! Jerit hatiku.
            “Adik ni, nak cari siapa?”
            Pandanganku pada lelaki yang tidak aku tahu namanya itu mati begitu saja apabila lelaki yang bernama Joe itu memulakan pertanyaan.
            “Saya student praktikal kat sini. Saya nak daftar diri, jadi boleh saya jumpa dengan Encik Muhammad Afdhal?” Aku segera mengeluarkan fail dari dalam beg tanganku. Surat pengesahan penerimaan dan penempatan praktikal aku tarik keluar dari dalam fail, lalu aku menyerahkannya kepada Joe sebagai bukti.
            “Lah... kenapa tak cakap dari tadi?” Joe tersenyum.
            “Kenapa pula encik?” aku bertanya apabila rasa tidak sedap hati mendengar nadanya itu.
            “Yang tadi tulah, Encik Muhammad Afdhal.” 
            “Hah?” Fail di tanganku, terlepas dengan serta merta. Rasa seperti tidak mahu percaya dengan apa yang baru saja aku dengar. “Betul ke ni, encik?” walaupun aku sudah mengetahui hakikatnya, tapi aku tetap mahu bertanya sekali lagi.
            “Iya, betul. Dah, tak payah nak formal sangat kat sini. Panggil Abang Joe pun dah kira okay. Tak payah nak berencik-encik! Kerja kat sini tak payah nak berprotokol, redah aje. Apa-apa hal pun, jom kita bincang kat dalam office.” Joe membuka pintu kaca seluas-luasnya setelah mengutip failku di atas lantai kaki lima. Setelah fail itu dikembalikan kepadaku, Joe mempersilakan aku masuk ke dalam pejabat.
Dengan hati yang berat, aku melangkah juga. Muhammad Afdhal? Tidak sesuai sungguh nama itu dengan dirinya! Aku tahu, aku akan berhadapan dengan masalah besar di situ. Aku menampar pipiku perlahan, memang sengaja mencari nahas! Habislah...

Bersambung.....
Kata AH :
Assalamualaikum n salam ukhwah. Aduh, lama sungguh AH x update blog rupanya. Jadi untuk kembali memeriahkan blog AH ni, AH mulakan dengan mempamer karya Jangan Jatuh Cinta. Actually, karya ini AH ada letakkan pada laman penulisan2u.my. Tapi cuma ada 2 bab di sana. Insya'ALLAH AH akan sambung di sini juga. Selamat membaca... :)