Sunday, June 17, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 9


9
Alia, Azira dan Amira sudah duduk di sofa sebaik sahaja aku turun. Masing-masing aku lihat memegang buku di tangan, kecuali Amira. Anak kecil itu setia mengendung anak patung beruang kesayangannya. Hadiah daripada arwah ayah ketika sambutan hari lahirnya yang ke 3. Aku terus duduk di sofa utama. Ada perkara yang perlu aku bincangkan dengan Alia dan Azira. Sebaik sahaja aku duduk, Alia dan Azira mula menutup buku.
“Subjek apa yang kau orang lemah?” Soalku ingin tahu.
Alia dan Azira berpandangan. Mungkin terkejut dengan soalan yang aku kemukakan.
“Maksud Along?” Alia bersuara.
“Aku nak hantar kau orang kelas tuisyen. Subjek apa yang paling kau orang lemah?” Aku perjelaskan.
“Alia rasa tak perlu kut, Along. Apa yang Alia dapat kat sekolah tu pun dah cukup pada Alia” Alia cuba menolak secara baik.
“Keputusan pertengahan tahun hari tu kau dapat apa?” Aku memang tak puas hati.
“6 A plus, 2 A biasa, 1 A minus, dengan 1 B” Alia memaklumkan.
“Enam subjek aje yang dapat A plus kan? Itu yang kau kata dah cukup?”
“Maksud Alia…”
“Dah diam. B untuk subjek apa?” Aku teruskan pertanyaan.
Add Math” perlahan suara Alia.
“Kawan-kawan kau tuisyen Add Math kat mana?”
“Kebanyakkan kawan Alia tak tuisyen kat luar. Parent dia orang upah tutor datang rumah”  
Tutor! Dengar saja perkataan itu sudah dapat aku gambarkan betapa mahalnya yuran yang perlu aku bayar. Paling tidakpun, mungkin seratus ringgit per jam. Tambah pula dengan subjek berat macam tu, tidak mustahil kosnya akan jadi bertambah tinggi daripada apa yang aku jangkakan.
“Kau, Azira?”
“Azira tak nak tuisyen. Azira boleh bawa semua subjek!” Sama seperti Alia, Azira juga enggan.
“Pandai sangatlah tu! Berapa A yang kau dapat?”
“Tujuh” jawab Azira pantas.
“Satu lagi subjek?”
“B”
“Subjek apa?”
“Matematik”
“Kalau boleh bawa, macam mana boleh dapat B?”
Azira tidak dapat menjawab soalan itu. Dia hanya mendiamkan diri. Buku di tangannya, dibuka kembali.
“Kau orang tetap kena tuisyen!” Keputusan aku buat. Mereka harus mengikuti kelas tuisyen. Aku akan segera mencari tempatnya. Aku tahu, mungkin agak terlewat untuk menghantar mereka mendapatkan ilmu tambahan. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi mereka akan menghadapi peperiksaan besar. Tapi baru kini aku berkemampuan untuk berbuat begitu. Biar hanya sedikit masa yang tinggal, aku tetap akan memberikan yang terbaik buat mereka. Aku tak mahu ada rasa bersalah pada arwah ayah.

HARI ini langsung aku tak terserempak dengan Wafi. Senang hati dibuatnya. Namun, kehilangan Zulhairi pula menjadi satu tanda tanya. Mungkinkah dia bekerja di luar kawasan? Itu macam mustahil, kerana kebiasaannya Zulhairi akan memaklumkan kepadaku terlebih dahulu sekiranya dia akan bekerja di luar kawasan. Siap ditanya, sama ada aku inginkan buah tangan dari destinasi yang akan ditujui. Jadi pasti itu bukan sebab kehilangan Zulhairi.
Atau sebenarnya Zulhairi bercuti pada hari ini? Tapi cuti apa? Cuti kecemasan? Nampak macam tak mungkin. Cuti sakit kut! Tapi malam tadi Zulhairi nampak sihat saja. Habis tu, kenapa mesej yang aku hantar juga tidak berjawab? Lagi bertambah musykil aku dibuatnya.
Untuk tidak terus dihurung rasa misteri, aku berkeputusan untuk singgah di rumah Zulhairi sebelum pulang ke rumah. Oleh itu, masuk saja simpang yang membawa ke Taman Putra Damai, aku terus membelok ke jalan rumah Zulhairi. Enjin aku matikan apabila sampai di hadapan pintu pagar. Hon aku bunyikan, memberikan tanda aku datang berkunjung.     
Orang pertama yang menjengah di muka pintu ialah kak Zarina. Dia melambaikan tangannya bersama satu senyuman, mengalukan kehadiranku. Kak Zarina terus berjalan menuju ke pintu pagar, sementara aku pula mula duduk di hadapan kereta.
“Masuk, Su.” Pelawa kak Zarina
“Eh, tak apalah kak. Su singgah sekejap aje ni.” Aku menolak. Bukan tidak sudi, tapi sememangnya aku ke situ hanya untuk bertanyakan perkhabaran Zulhairi.
“Betul ni?” Kak Zarina bertanya, mahukan kepastian.
“Betul!” Aku mengesahkan. “Kak Ina, Zul ada?” Niat sebenar diteruskan.
“Oh, datang sebab nak jumpa Zul ajelah ni, ya?” Kak Zarina mula mempamerkan senyuman nakal. “Baru jumpa semalam, takkan dah rindu kut?” lagi kak Zarina cuba mengusik.
Aku cuma tersenyum. Faham benar maksud kak Zarina. Namun aku tidak ambil pusing tentang hal itu. Pengetahuan kak Zarina tentang status hubungan aku dan Zulhairi ternyata salah. Dia tidak mengetahui hakikat yang sebenar. Kalaulah kak Zarina tahu, pasti dia sendiri malu dengan kata-katanya.
“Kak Ina ni… ada-ada aje. Zul ada tak?” Aku cuba membawa kak Zarina kembali perbincangan asal. 
“Ada kat dalam tu. Nak jumpa dia, ke?” Kak Zarina sudah berkira-kira untuk melangkah masuk semula.
“Eh… tak adalah kak Ina. Su saja nak tahu, sebab satu hari langsung tak nampak Zul kat tempat kerja.” Aku maklumkan hal yang sebenar. Sesungguhnya aku hanya ingin tahu kedudukan Zulhairi.  Dan setelah mendapat khabar daripada kak Zarina, aku rasa aku sudah boleh pulang dengan senang hati.
“Lah… mestilah Su tak nampak Zul kat pejabat sebab dia kat MC hari ni”
MC? Kenapa kak, Zul tak sihat ke?”
“Zul tak bagi tahu Su, ke yang dia MC?” Soal kak Zarina. 
Aku tidak mampu menjawab soalan yang kak Zarina ajukan. Sememangnya Zul tidak memaklumkan padaku tentang perkara itu.
“Su dengan Zul gaduhlah ni, ya?” kak Zarina meneka.
Aku masih tidak dapat juga menjawabnya.
“Su, akak tahu Su marah kat Zul. Tapi Su percayalah… Zul takkan buat satu perkara tanpa sebab. Kalau dia kata dia nak semua urusan perkahwinan tu dibuat tahun depan, mesti dia ada sebab yang sendiri. Akak harap Su faham!”
Terkedu aku di situ. Tak habis lagi rupanya kisah malam semalam. Aku ingatkan semua dah selesai. “Su tak marah, kak. Cuma Su ada rasa sikit terkilan dengan keputusan Zul.” Aku tidak bermaksud apa-apa ketika pernyataan itu aku keluarkan. Sekadar ingin menutp cerita. Semoga selepas ini tidak lagi dibangkitkan kisah semalam.
“Kalau Su tak marah, kenapa Su tak nak masuk jenguk Zul?” kak Zurina kelihatan kurang yakin dengan jawapan balas yang aku berikan.
“Su…” Otakku rasa seperti sudah kejang. Langsung tidak dapat membalas kata. “Su memang nak jenguk Zul. Teruk sangat ke, sakitnya kak Ina?” akhirnya berjaya juga bibir berbicara.
“Mahu tak teruk, sebelah mata lebam kena tumbuk” beria-ia kak Ina melaporkan.
“Zul kena tumbuk?” khabar itu benar-benar mengejutkan aku. “Macam mana boleh kena tumbuk kak? Siapa yang tumbuk?” Aku yang dari tadi duduk di atas boots kereta, kini mula berdiri tegak.
“Akak boleh cerita, tapi Su jangan cakap kat Zul yang akak cerita pada Su. Nanti dia marah akak. Lagi satu, Su pun jangan marah tau”
Lagi aku tidak sedap hati mendengar ayat yang dituturkan oleh kak Zarina. Apa pula kena mengena dengan aku? Kenapa pula aku mesti marah? Lagi bertambah-tambah soalan yang timbul menggunung.
“Taklah, Su tak marah. Kenapa kak? Cuba cerita.” Aku sudah tidak sabar mahu mendapatkan berita sebenar.
“Zul kena tumbuk sebab mengendap rumah orang”
“Hah?” Kuat suaraku kedengaran. Cepat-cepat kak Zarina menutup mulutku. Pastinya tidak mahu suaraku didengari oleh sesiapa. “Zul menghendap rumah orang? Biar betul ni, kak Ina!” Aku langsung tak mampu untuk percaya kata-kata kak Zarina. Zulhairi menghendap rumah orang? Mustahil… memang mustahil, nak angkat muka tengok anak dara orang pun Zulhairi tak pernah, inikan pula nak pergi sekodeng rumah orang? Memang tak masuk akal.    
‘Ish… Su tak percayalah kak!” Aku tetap dengan pendirianku. Enggan percaya dengan apa yang aku dengar.
“Itulah, akak pun tak percaya. Tapi dah dia sendiri yang mengaku…”
“Bila kenanya kak?” Aku cuba dapatkan info. Kalau Zulhairi tidak membenarkan hal ini menjadi pengetahuanku, pasti sukar untuk aku dapatkan maklumat daripada Zulhairi. Jadi lebih baik korek daripada orang yang sudi berkongsi cerita.
“Malam semalam masa Zul hati Zu balik, kau orang ada singgah mana-mana?”
“Tak adalah kak Ina. Zul terus hantar Su balik, lepas tu diapun balik” aku membuat penerangan.
“Iya ke?”
“Haahlah kak”
“Tapi dekat pukul dua baru Zul sampai rumah tau!” jelas kak Zarina.
“Su nak masuk tengok Zul” aku terus buat pemintaan. Berita panas lagi sensasi begitu memang perlu aku pastikan. Buat pertama kalinya dalam perkenalan kami, Zulhairi buat perangai gila. Ini tak boleh tidak, aku mesti terjah. Bolehlah jadi bahan nak kenakan dia nanti. Mahu cukup malu sampai tua ni. Zulhairi… Zulhairi… aku  sudah gelak dalam hati.
“Jom, ikut akak masuk! Zul ada terbaring kat sofa tu.” kak Zarina menarik tanganku.
Aku mengekor kak Zarina berjalan. Masuk saja ke dalam rumah, aku terus mencari kelibat Zulhairi di ruang tamu. Namun Zulhairi langsung tidak kelihatan di situ.
“Aik, mana pula perginya budak Zul ni?” kak Zarina tercari-cari kedudukan Zulhairi.
“Aiman, pak cik Zul mana?” Kak Zarina cuba mendapatkan maklumat daripada anak lelakinya yang sedang khusyuk menonton televisyen.
“Kat atas” jawab Aiman ringkas.
“Ha, jom Su, kita naik atas”
“Eh, tak naklah kak Ina. Su tunggu bawah ajelah.” Aku tidak bersetuju dengan saranan kak Zarina. Sungguhpun aku dan Zulhairi boleh diumpamakan macam isi dan kuku, tapi aku tidak pernah memasuki zon peribadi Zulhairi. Aku hormat setiap milik persendirian Zulhairi.
“Okay, Su tunggu sekejap ya!” kak Zarina sudahnya bergegas lari menaiki anak tangga. Sementara menunggu Zulhairi turun, aku ke dapur, mencari mak cik Khamsiah. Tiada! Mungkin mak cik Khamsiah berada di dalam biliknya. Dugaku. Kemudian aku berjalan kembali ke ruang tamu lalu duduk di situ, menemani Aiman menonton televisyen dalam diam.
“Su… Zul tak nak buka pintu” kak Zarina turun dengan wajah hampa.
“Kenapa pula?” Soalku musykil.
“Entahlah Su, dia suruh Su balik” serba salah kak Zarina menyampaikan pesanan itu.
“Dia suruh saya balik, kak Ina?” Panas… panas… rasa berbahang satu badan mendengar pesanan daripada Zulhairi. Berani dia halau aku balik! “Kak Ina, jom ikut Su!” kini giliran aku pula menarik tangan kak Zarina. Tangga aku daki sepantas mungkin. Berani betul Zulhairi buat aku macam ni. Memang nak kena ni!
“Zul, buka pintu ni?” Suaraku garang. Dah macam polis nak tangkap penjenayah pula rasanya. Kemudian aku diam seketika, memberi ruang masa pada Zulhairi. Nampaknya Zulhairi benar-benar tidak mahu bertemu denganku. Lantas aku lancarkan serangan seterusnya.
“Zul… aku kira sampai tiga, kalau kau tak buka, aku pecahkan…” aku terdiam seketika.  Tidak menghabiskan kata. Sebenarnya aku sendiri tak tahu perkataan apa yang perlu aku letak apa pada hujung ayat itu. Memecahkan rahsia atau memecahkan pintu? Yang mana lebih sesuai? Kalau nak aku kata pecahkan rahsia, pasti kak Ina akan mengesyaki sesuatu. Tapi kalau aku kata pecahkan pintu, tidak ke nampak macam ganas sangat bunyinya? 
Krook… pintu terbuka sudahnya. Zulhairi muncul di balik pintu.
“Kau nak pecahkan apa tadi?” Zulhairi terus saja bersuara.
Dapat aku lihat dengan jelas lebam pada mata sebelah kiri Zulhairi. “Ya Allah, lebamnya, Zul. Siapa yang pukul kau ni?” Aku seolah tidak percaya dengan apa yang aku lihat.
“Cakap kat luarlah” Zulhairi menutup pintu biliknya, kemudian dia berjalan menuruni anak tangga.
“Pergilah, Su” Arah kak Zarina.
Aku menganggukkan kepala, kemudian kaki mula pantas mengikut jejak Zulhairi. Keluar saja dari pintu utama, Zulhairi terus duduk pada kerusi rehat yang ada di luar. Aku juga melakukan hal yang sama sambil menahan gelak. Tawa cuba kebendung sehabis-habisnya. Mana tidaknya, pertama kali melihat Zulhairi dalam keadaan begitu. Bukan lebam biasa-biasa, kelihatan seperti Zulhairi terbabit dengan kes pergaduhan besar. Namun tidak pula aku jumpa kesan-kesan luka yang lain pada wajahnya.
“Hah, nak gelakkan akulah tu. Ni yang aku malas nak jumpa kau ni!” Zulhairi tunjuk muka tak puas hati. 
Aku lepaskan tawa yang tadinya aku simpan baik-baik. Berdekah-dekah bunyinya. Alang-alang Zulhairi dan perasan, lebih baik aku lepaskan saja. “Zul… Zul… aku betul-betul tak sangkalah…” 
“Tak sangka apanya?”
“Patutlah kau marah bila aku padankan kau dengan Madihah. Rupa-rupanya, dah ada pilihan hati.” Aku ketawa lagi.
“Apa yang kau merepek ni, Su?”
“Jadi itulah sebabnya kau tak bagi aku keluar malam tadi. Kau takut terkantoi dengan akukan? Anak siapa yang kau menghendap semalam?”
Muka Zulhairi terus merah padam. Air mukanya turut kelihatan berubah. Terdiam dia tanpa kata. Akupun apa lagi, bukan senang dan dapat peluang besar macam tu. Inilah masa yang ditunggu-tunggu.
 “Betul punya cinta ni, tak dapat tengok orangnya, tengok bumbung rumah pun jadi…” Aku ketawa lagi. Zulhairi pula sudah macam cacing kepanasan. Satu per satu kata yang aku perdengarkan nampak menyentak hatinya.
“Kak Ina..” terdengar nama kak Zarina disebut oleh Zulhairi. Perlahan tapi keras bunyinya.
“Eh, Su… Kalau kau datang setakat nak ketawakan aku, lebih baik kau balik” muka Zulhairi berubah menjadi serius.
“Woo… janganlah marah Zul. Rilekslah. Orang yang tengah dilamun cinta, normallah buat kerja-kerja bahaya macam tu” Aku tambah minyak pada api.
“Sebelum aku suruh mak aku masuk meminang kau hujung bulan ni, lebih baik kau balik!”
“Mengugut nampak? Huh, yer la, aku nak baliklah ni!. Baru ada girlfriend dah sombong dengan aku”  Aku jelir lidah, sambil bersiap sedia untuk pulang. Baru saja aku ingin bangun, kepalaku terlebih dahulu ditolak oleh Zulhairi.
“Aku potong lidah tu nanti, baru tahu!” Nampak sangat Zulhairi tidak suka dengan kelakuaanku.
“Adui! Tak habis-habis tolak kepala aku. Kau tak faham bahasa ke, aku tak suka!” Aku buat bantahan. Bantahan yang sama yang pernah aku kemukakan.
“Habis tu, kau ingat aku suka sangat tengok lidah kau tu?” Zulhairi pun menyuarakan rasa tidak puas hati.
Iya tak ya juga. Akupun selalu buat benda yang Zulhairi tak suka. “Dahlah, kau Zul. Aku baliklah” Aku bergerak, meninggalkan Zulhairi. Tapi hati tetap rasa mcam tak puas hati. Jadi sebelum melangkah masuk ke dalam kereta, aku berpaling, menjengahkan kepada memandang Zulhairi. “Hoi, Zul… Malam ni, kalau kau nak jalankan operasi mengintip, jangan lupa ajak aku sekali!” Aku ketawa lagi. Sepantas kilat aku masuk dalam kereta, menghidupkan enjin dan berlalu pergi sebelum Zulhairi membuat tidak balas. Kali ini baru aku rasa puas hati!  
HAMPIR waktu maghrib, baru aku sampai di rumah. Pintu jiran sebelah rumah terbuka luas. Mereka yang baru berpindah masuk beberapa hari yang lalu masih sibuk mengemas. Aku pun masih belum sempat menghulurkan salam perkenalan kepada mereka. Apabila mereka sudah selesai mengemas dan berkelapangan nanti, aku akan menjengah.
            Pagar aku kunci setelah kereta aku bawa masuk. Semasa aku berjalan ke muka pintu, salam daripada seorang wanita sayup-sayup kedengaran. Aku menoleh ke arah suara yang kedengaran sambil menjawab salam yang diberikan.
            “Baru balik kerja.” Sapa wanita yang di balik pagar yang memisahkan rumah kami.
            “Haah, baru balik” Senyuman perkenalan aku hulurkan buat wanita itu.
            “Saya akak Azah. Maaflah, baru sempat nak bertegur. Sibuk mengemas”
            “Tak apa, biasalah tu kak… baru pindah, banyak kerja yang nak kena buat. Saya Su” giliran aku memperkenalkan diri.
            “Su tinggal dengan siapa kat sini?” sesi perkenalan bermula.
            “Su tinggal berempat aje kak kat rumah ni, dengan adik-adik, Su”
            “Oh, patutlah…”
            “Patutlah? Kenapa kak, macam lain aje bunyinya”
            “Akak rasa Su kena hati-hati”
            “Hati-hati?” aku bertambah tak faham.
            “Semalam, suami akak balik lambat, lepas tu dia nampak ada orang lelaki kat depan pagar rumah Su” Azah memulakan kisah.
            “Lelaki, kak?” aku mula binggung
            “Haah, lelaki. Suami akak cakap, dia nampak lelaki tu macam mencurigakan aje, jadi dia pergilah tanya. Bila ditanya buat apa kat depan rumah Su, lelaki tu diam pula. Habis tu apa lagi, suami akak bagilah penumbuk sebiji. Su tak payahlah risau, suami akak tu bodyguard. Lelaki tu confirm tak berani nak datang balik bila dah terkena penumbuk suami akak.”
            Saat ini tiba-tiba pula tergambar wajah Zulhairi. Mungkinkah lelaki yang dimaksudkan oleh Azah berkemungkinan Zulhairi? Jika benar, patutlah teruk benar lebam di mata Zulhairi. Ditumbuk oleh seorang bodyguard. Mesti sakit punya. “Lelaki tu macam mana kak?” aku mulakan penyiasatan.
            “Kalau tak silap akak, suami akak cakap, lelaki tu tinggi juga. Dia pakai baju t-shit dengan kain pelekat” terang Azah.
            “Kejadian tu lebih kurang dalam pukul berapa kak?” aku tanya lagi. Rasanya seperti hampir dengan jawapan.
            “Dalam pukul dua pagi”
Sah, Memang Zulhairi! Jadi Zulhairi menunggu di hadapan pagar rumahku sehingga pukul 2 pagi? Apa pula yang Zulhairi tunggukan? Takkan Zulhairi nak menghendap aku pula? Ish… itu tak mungkin, Zulhairi bukan orang macam tu. Andaian demi andaian bermain difikiran.
            Laungan azan maghrib sayup-sayup kedengaran. “Kak, saya masuk dululah ya, kak. Dah maghrib ni. Terima kasih untuk akak dan suami sebab prihatin.” Aku minta diri untuk masuk.
            “Ha… iyalah, akak pun nak masuk ni. Nanti kita berbual lagi ya” Azah juga mahu menamatkan perbualan.           
Selesai bersalaman, masing-masing melangkah masuk ke dalam rumah. Fikiran masih terkenangkan Zulhairi. Takkan dia tunggu sampai pukul 2 pagi sebab takut aku keluar rumah? Atau Zulhairi betul-betul ikut arahanku supaya dia terus tunggu di situ sehingga pagi? Biar betul Zulhairi ni!
Rasa bersalah mula menyerbu hati dan minda. Nampaknya Zul cedera di hadapan rumahku, sedangkan pada waktu itu aku sudah tidur lena. Apa patut aku buat kini?

Bersambung...

Kata AH: Ramai pembaca mula berteka-teki dgn perjalanan SAC. AH hanya tersenyum dengan andaian2 yang AH terima. Hi2... apapun kita tunggu kisah sebenarnya nanti ya. Bunyi mcm mendebarkan ye tak? (saja nk buat suspen...) Hi3 Terima kasih pada semua pembaca SAC.

Salam Ukhwah
AH 

Sunday, June 10, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 8


8
Aku hanya termenung di hadapan hidangan makan malam. Langsung tak bersentuh nasi di dalam pinggan. Hanya Alia, Azira dan Amira yang menjamu selera. Itupun hanya berlaukkan telur masak kicap dan sayur bayam goreng. Semuanya gara-gara Zulhairi. Selagi belum ada berita tentang peminanganku, selagi itulah aku tak senang duduk. Langsung tak mampu nak lakukan kerja-kerja seperti biasa. Fikiran terganggu, lalu jiwa menjadi kacau.
“Along, kenapa Along tak makan?” Alia tiba-tiba bersuara.
Sapaan itu membuatkan tumpuan fikiran pada Zulhairi hilang seketika. “Tak ada selera” seperti selalu, aku hanya jawab sekadar perlu  pada pertanyaan yang diajukan.
“Along tak sihat, ke?” sambung Alia lagi.
“Aku tak ada apa-apa. Makan ajelah!” Aku tunjuk wajah bengis. Sebenarnya tidak suka kalau Alia dan dua orang lagi adiknya dibebankan dengan masalahku sendiri. Tugas mereka buat masa ini hanyalah belajar. Jadi aku tak nak mereka ikut campur dalam urusan yang lain.
“Along, betul ke, nanti Abang Zul nak tinggal dengan kita semua?”
Terus pasang mataku menangkap wajah comel Amira. Tidak sangka pertanyaan serupa itu diajukan. Mana dia dengar kisah itu? “Siapa cakap?” soalku kembali, dan pertanyaan itu nampak begitu sukar untuk Amira menjawabnya. Dia mampu memandang wajahku dengan bibir terkunci rapat.
“Mak cik Khamsiah yang bagi tahu kita orang. Betul ke, Along nak kahwin dengan Abang Zul?” Azira mengambil alih tugas menjawab soalan itu daripada Amira. Malah dia turut membuka satu lagi soalan yang lebih mencabar untuk aku berikan jawapan.
    Nampaknya, hal itu sudah diketahui oleh mereka bertiga. Aku diam seketika. Cuba menyusun kata. Apa jawapan yang harus aku berikan untuk soalan itu? Tidak terduga seawal ini mak cik Khamsiah membuka cerita. Masing-masing sudah berhenti makan. Mata mereka bertiga memandang tepat ke arahku. Tidak sedikitpun berkelip. Mungkin tidak sabar menunggu jawapan.
“Kalau betul, kenapa? Ada masalah, ke?” aku rasa hanya itu jawapan yang patut aku berikan. Masih terlalu awal untuk aku bercerita apa-apa. Kalau ikutkan hati, tidak mungkin aku terima pinangan keluarga Zulhairi. Aku tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada ketika ini. Zulhairi… Argh… dia pun satu hal. Otak sudah tidak mampu untuk berfikir, pening!
“Kalau Along kahwin dengan Abang Zul nanti, siapa yang nak jaga kita orang? Along memang dah tak nak jaga kita orang lagikan?” Tajam pandangan mata Azira.
“Azira!” Tempik Alia. Matanya dibesarkan. Dia nampak tidak senang dengan soalan yang diajukan oleh Azira kepadaku.
Mendengar kata-kata Azira membuatkan hatiku menghidupkan rasa-rasa yang aku sendiri tidak pasti. Marahkah aku dengan kata-kata Azira itu, atau hati sebenarnya merintih sedih menerima kata-kata sebegitu? Adalah mustahil untuk aku membiarkan mereka sendiri menempuh kehidupan sedangkan aku telahpun diamanahkan untuk menjaga dan memberikan yang terbaik buat mereka semua. Biarpun bergunung rasa kemarahan dan kebencian di hati terhadap mereka, namun aku masih waras untuk membiarkan mereka hidup terkontang-kanting sendirian.
Kalaulah mereka tahu bahawa sekali-kali aku tidak akan meninggalkan mereka selagi mata kepalaku tidak melihat kejayaan mereka, apakah mereka akan tetap menyimpan andaian begitu terhadapku? Kerana itu jugalah aku mencuba sedaya upaya untuk menolak perminangan ini dan mana-mana tawaran cinta sekeras-kerasnya hanyalah demi menjaga mereka. Dalam tidak sedar, mereka mula menjadi keutamaanku kini, dan mungkin juga buat selama-lamanya.
“Dah makan, kemas. Jangan nak harapkan aku aje!” Aku tolak kerusi dengan sedikit kasar. Bersedia melangkah meninggalkan mereka. Enggan mengulas kata-kata Azira. Mereka tidak perlu tahu apa yang aku fikirkan!

PANGGILAN telefon yang aku terima daripada Zulhairi seminit yang lalu telah membuatkan resahku bertambah tak menentu. Tiada kata-kata lain yang diucapkan oleh Zulhairi selain meminta aku ke rumahnya dengan segera. Jadi itu bermakna, aku harus bertemu dengannya segera.
            “Aku nak keluar kejap. Jaga adik-adik kau!” pesananku pada Alia. Azira dan Amira hanya memandang. Setelah Alia menganggukkan kepala, aku kembali menutup pintu bilik mereka.
            Langkahku mula laju sebaik sahaja pintu pagar rumah aku manggakan. Tidak berminat untuk membawa keretaku ke sana kerana saat ini aku rasa kakiku mampu berfungsi lebih laju daripada semua kenderaan yang ada di dunia. Jantung sudah bergoncang, umpama menunggu masa untuk gugur. Entah apa yang terjadi sebenarnya? Apakah Zulhairi benar-benar telah menceritakan perihal sebenar kepada ibu dan ayahnya ataupun yang sebetulnya, dia gagal untuk memperbetul keadaan?
            Dari jauh sudah mampu aku lihat kelibat Zulhairi di hadapan pintu pagar, dengan hanya memakai t-shirt dan berkain pelikat, berjalan mundar-mandir penuh gelisah. Keresahan yang terpamer jelas pada tingkah Zulhairi itu telah membuatkan aku menjadi bertambah gundah. Apa sajalah yang Zulhairi khabarkan pada ibu dan ayahnya? Jangan Zulhairi merumitkan lagi kisah antara akau dan dia, sudah!
            “Apa hal Zul?” Terus aku bertanya sebaik saja tiba. Sememangnya hanya soalan itu yang bermain di minda sejak menerima panggilannya tadi.
            Zulhairi nampak berat mahu mengeluarkan kata. Dia hanya melemparkan pandangan padaku. Pandangan yang entah apa maknanya? “Woi, Zul, apa hal sebenarnya ni. Kau jangan nak buat aku cuak!” Apabila Zulhairi enggan menjawab, aku teruskan juga bertanya soalan yang sama. Dan kini sistem pernafasanku pula terasa seperti bermasalah. Turun naik nafasku tidak lagi mengikut rentak aman.
            “Su, kau boleh terima aku seadanyakan?” baru kini Zulhairi bersuara.
            Aku sudah rasa seperti mahu rebah mendengarnya. Kata-kata Zulhairi itu seolah memberi makna bahawa tiada apa lagi yang dapat dia lakukan, dan aku akan tetap disatukan dengannya seperti perancangan. “Zul, kau…” aku cuba bersuara, tapi lidahku mula kaku untuk bertutur.
            “Su, aku tahu kau tak rela, tapi aku tak dapat nak buat apa-apa dah. Aku dah ceritakan semuanya tapi nampaknya kita tetap tak boleh nak mengelak.” Pernyataan Zulhairi kali ini seakan mengesahkan semua yang aku fikirkan.
“Aku tahu kau tak pernah cintakan aku. Jadi aku harap kau boleh mula belajar untuk cintakan aku sekarang!”
Kali ini aku dah terjelepuk, jatuh terduduk di atas bumi. Lemah semua sendi. Longlai tak lagi dapat berfungsi mendengar berita yang baru aku terima. Berkahwin! Itu bermakna masaku akan lebih banyak dibahagi untuk suami dan keluarga mertua, sedangkan itu bukanlah apa yang aku perlukan kini. Aku tidak mahu tumpuan dan masaku pada Alia, Azira dan Amira berkurangan mahupun hilang. Kini, satu persatu wajah mereka muncul di minda.
“Aku minta maaf, Su” Zulhairi yang masih lagi berdiri. Namun aku tahu pandangannya hanya jatuh padaku saat ini.
Kata maaf yang diperdengarkan membuatkan kepaku bertambah berat. Sungguh, aku tak rela dengan ikatan ini. Zulhairi hanya kawan. Sejak dari kecil dia menjadi sahabat setia dan aku harap ia hanya kekal sebegitu hingga hujung nyawa.
“Suraya…” suara mak cik Khamsiah kedengaran kini.
Perlahan-lahan aku angkat wajah, memandang mak cik Khamsiah yang nampak bergegas menuju ke arahku.
“Ya, Allah… Su kenapa ni?” mak cik Khamsiah mula cuba menarik aku untuk kembali bangun. “Zul kamu dah buat apa dengan Su?” tanya mak cik Khamsiah pada anak lelakinya.
Tiada kata balas daripada Zulhairi. Dia hanya memerhatikan aku dan ibunya berselang seli, kemudian dia melangkah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan kami berdua di situ.
“Dah jom masuk, kita bincang kat dalam” mak cik Khamsiah memimpin aku yang masih lagi terasa lemah untuk berjalan masuk ke dalam rumahnya.
“Mak cik, tunggu dulu mak cik. Su nak tahu, semua yang Zul cakap pada Su tu, tipukan?” aku berharap jawapan yang bakal diberikan oleh mak cik Khamsiah dapat membuatkan semangatku kembali lagi.
“Su dah kenal Zul dari kecil lagikan? Mak cik rasa Su lebih faham dia daripada mak cik. Apa yang Zulhairi cakap pada Su, semuanya betul. Kami dah berbincang anak beranak. Dahlah, kita bincang kat dalam nanti ya!”
Entah sudah berapa kali hatiku mengeluh sendiri. Kalau semuanya sudah diputuskan, apa lagi yang perlu dibincangkan? Aku tidak nampak pilihan apa lagi yang aku ada? Tidak pernah sekalipun terlintas di dalam fikiranku untuk menjadi isteri kepada Zulhairi. Andai aku berfikiran begitu, sudah pasti aku adalah orang yang tidak waras! Sudah aku bilang berkali-kali, aku tidak mahu berkahwin! Kenapa Zulhairi tidak faham?  Zulhairi…! Aku cuba tenangkan sedikit rasa hati. Tak boleh harap langsung! Kalaulah aku dapat belasah dia pun bagus juga ni! Hati menjerit marah.
Masuk aje dalam rumah, Zulhairi dan pak cik Ismail sudah sedia menunggu di ruang tamu. Bukan takat mereka berdua, kak Zarina, kakak sepupu Zulhairi dan suaminya, Badrul juga ada. Entah bila mereka pulang dari Brunei? Apabila melihatkan mereka sekeluarga kini aku lebih yakin dengan kata-kata Zulhairi. Kak Zarina adalah anak saudara yang paling rapat dengan mak cik Khamsiah dan pak cik Ismail.
Kalau kak Zarina sendiri dah turun padang, itu tandanya majlis peminangan memang bakal berlangsung. Jika tidak, masakan kak Zarina sanggup turun dari Brunei. Kebiasaannya kak Zarina hanya datang melawat ketika perayaan Aidilfitri. Zulhairi… Zulhairi, berjaya juga dia jadikan penipuan ini suatu realiti.
“Kenapa, Su? Kak Ina nampak macam tak sihat aje” soal kak Zarina sebaik sahaja salam kami bertaut.
“Tak adalah, kak Ina. Su sihat aje. Bila kak Ina sampai?” sebelum kak Zarina dapat membaca riak sebenar hati, lebih baik aku tukar topik.
“Maghrib tadi. Adik-adik Su macam mana?”
Hati mula berubah rasa apabila perihal Alia, Azira dan Amira dipersoal. Tanggapan apa pula yang akan mereka katakan setelah mengetahuinya nanti? “Alhamdulillah, dia orang semua pun sihat.” Balasku dengan senyuman.
“Duduklah dulu, Su” pak cik Ismail mempelawa. Aku kemudiannya duduk di sebelah kak Zarina. Zulhairi yang duduk menghadapku menampakkan senyuman nipisnya. Mana tidaknya, pasti dia sedang gembira. Aku buat muka, satu jelingan tajam aku hadiahkan padanya. Tanda tahniah atas kejayaannya terus menyeret aku dalam rancangan yang menyakitkan hati.
“Kita mulakanlah ya” suara pak cik Ismail kedengaran lagi.
Aku tundukkan wajah. Hanya memandang permaidani berwana coklat. Namun wajah Zulhairi tiba-tiba kelihatan di situ. Tapak kaki aku angkat sedikit, kemudian aku hentakkan pada wajah Zulhairi yang muncul. Ambil kau! Aku tenyeh-tenyeh bayangan wajah Zulhairi dengan tapak kaki. Cuba melahirkan satu rasa kepuasan di hati.
“Suraya…”
Panggilan pak cik Ismail membuatkan aku tersentak. Kaki yang tadinya ligat bekerja, mula berhenti bergerak. “Ya, pak cik?”
“Untuk pengetahuan, Su. Kami sekeluarga dah dengar cerita sebenar daripada Zulhairi.” Tiada senyuman yang aku ukirkan tatkala mendengar kata permulaan dituturkan oleh pak cik Ismail. Padahal sepatutnya pada saat-saat begini, seorang wanita yang bakal disunting harus melebarkan senyumannya, bergembira dan bersenang hati. Namun aku sedikitpun tidak mampu melakukan itu.
Resah kalau-kalau reaksiku itu bakal mengecilkan hati keluarga Zulhairi, terpaksa aku kembali tundukkan diri, menyembunyikan wajah daripada dikesan. Aku tidak pasti apa kelebihan yang aku ada sampaikan mereka tetap mahu menjadikan aku sebagai menantu walaupun sudah Zulhairi kemukakan kebenarannya. Diriku sebagai calon isteri Zulhairi hanyalah watak ciptaan Zulhairi. Ia sepatutnya tidak menjadi lebih daripada itu! 
“Pak cik mewakili Zulhairi nak minta maaf pada Su” sambung pak cik Ismail.
Maaf? Hatiku sedikit rasa bersalah mendengar perkataan itu. Sepatutnya akulah orang yang harus memohon kemaafan kerana menjadi rakan kongsi pembohongan Zulhairi. Tapi sebaliknya mereka pula yang terlebih dahulu meminta maaf.
“Pak cik sebenarnya tak tahu macam mana nak bagi tahu pada Su”
            Mata sudah aku pejamkan rapat. Kalaulah aku boleh membantah saat ini, pasti sudah aku lakukan itu. Membayangkan wajah mak cik Khamsiah dan pak cik Ismail yang selama ini menjadi tempat aku mengadu rasa, tidak tega pula mahu meruntuhkan harapan mereka. Sukar untuk aku jelaskan perasaanku kini.
            “Abang, biar Siah yang jelaskan pada Su” mak cik Khamsiah mengambil alih tugas suaminya yang terdiam tiba-tiba.
            “Su, mak cik tahu yang mak cik dah janji untuk masuk meminang Su hujung bulan ni. Tapi…” Nampak seperti mak cik Khamsiah sudah berjangkit dengan pak cik Ismail. Kedua-dua mereka seakan sukar meneruskan kata dengan tiba-tiba. “Zul cakap, kalau boleh Zul nak terus nikah dengan Su!”
            Mataku terus mencari wajah Zulhairi sebaik sahaja mendengar penerangan daripada mak cik Khamsiah. Zulhairi! Mata aku buntangkan. Kau sengaja nak cari nahas Zul! Kalau sudah sampai tahap ini. Aku tak boleh terima. Suka-suka hati saja Zulhairi membuat keputusan tanpa bertanyakan aku terlebih dahulu. Huh! Mustahil dia mahu mendapatkan pendapat aku. Sedangkan mahu menjadikan aku pengantin pun aku tak mahu, inikan pula nak bernikah segera dengan dirinya. Pasti aku tolak mentah-mentah!
            Pandanganku dibalas Zulhairi. Kenyitan matanya dihadiahkan padaku. Siap beribenkan senyuman simpul. Semua itu membuatkan hatiku bertambah panas. Langsung tak ada tanda-tanda penyelasan pada wajahnya. Jadi aku rumuskan, ungkapan maaf yang keluar dari mulutnya sewaktu aku tiba tadi hanyalah sekadar perisai yang dapat melindungi dirinya daripada menjadi mangsa amukkanku. Kurang asam kau, Zul!
            “Mak cik, Su tak boleh terima semua ni! Su tak boleh terima!” Sudah sampai masa untuk aku melindungi diri. Kalaulah aku terpaksa putus sahabat dengan Zul sekalipun, aku takkan berdiam diri lagi. Janjinya sebagai sahabat, dia akan sentiasa ada untuk melindungi aku. Nampaknya kini semuanya sudah bertukar arah. Kalau beginilah kisahnya, bukankah aku yang sedang melindungi dia? Zulhairi punya janji, ternyata langsung tak boleh pakai!
            “Su… janglah macam ni. Tahun depan aje, Su. Takkan Su tak boleh tunggu?” mak cik Khamsiah mula memegang tanganku. Mengharapkan sebuah pengertian.
            Tahun depan? Apa pula kena mengena dengan tahun depan? Kepala yang tidak gatal minta digaru. Apa sebenarnya? Aku mula tidak faham. “Mak cik, Su tak…”
            “Zul, kamu punya pasallah ni. Kamu nak kahwin tahun depanpun kamu punya sukalah. Kalau emak meminang Su hujung bulan ni, pun apa masalahnya?”
            Belum sempat aku mahu mendapatkan penjelasan sebenar, mak cik Khamsiah terus saja bangun, berjalan beberapa langkah ke arah tempat duduk Zulhairi, lalu menyerang anak lelakiya itu dengan kata-kata. Dalam kebinggungan, aku cuba mencari jawapan.
            “Tahun depan. Zul tetap nak semuanya diuruskan tahun depan!” balas Zulhairi penuh tegas.
            Rasanya aku sudah dapat menangkap maksud yang sebenar. Zulhairi berusaha menghalang majlis peminangan hujung bulan ini. Ya, pasti itu yang sedang berlaku kini! Bukan seperti apa yang aku sangkakan.
            “Baik, kalau tu yang Zul nak. Tapi Zul jangan menyesal kalau ada orang lain yang meminang Su nanti” mak cik Khamsiah memberikan peringatan.
            Zulhairi membungkam seketika. Kemudian, Zulhairi bangun dari duduknya. “Zul takkan izinkan itu berlaku. Zul percayakan Su. Dia takkan dapat cintakan lelaki lain selain daripada Zul!”
            Pehhh… ayat plastik Zulhairi, bukan main lagi! Kalau buat dialog filem ni, mesti meletop panggung. Hati sudah ketawa girang. Sangat senang hati. Habis lebur semua keresahan yang ada. Walaupun aku masih belum terlepas sepenuhnya, setidak-tidaknya aku masih ada baki masa empat bulan lagi pada tahun ini ditambah dengan dua belas bulan lagi pada tahun hadapan untuk menguruskan hati Zulhairi. Zul, aku tarik balik semua kata-kata negatif pasal kau tadi! Suara yang kedengaran di hati itu membuahkan rasa kesenangan yang panjang.
            “Su, jom kau hantar kau balik!’ Zulhairi mengeluarkan arahan sambil menghantar isyarat matanya supaya aku bergerak keluar dengan kadar segera.
            Aku menganggukkan kepala. Sementara keputusan menjadi sebegitu baik, lebih elok aku cepat beredar sebelum keputusan berubah menjadi sesuatu yang mengerikan seperti tafsiranku yang ternyata salah tadinya.
            “Mak cik, Su balik dulu” segera aku bangun, mendapatkan tangan mak cik Khamsiah.
            “Su, mak cik minta maaf ya. Mak cik janji, Su tetap jadi menantu mak cik!”
Hanya lukisan abstrak kekesalan yang dapat aku lihat pada wajah mak cik Khamsiah. Kerana kini aku sudah mampu tersenyum, maka aku perlihatkan senyuman untuk mak cik Khamsiah. Aku mahu memadam rasa itu.
“Mungkin susah untuk Su terima, tapi Su akan cuba faham kehendak Zul, sama macam yang mak cik harapkan” Tiba-tiba pula aku tukar pernyataan. Kalaukah ada para wartawan kat sini, pasti aku sudah tertanggap kerana cubaan memutar belitkan cerita. Sekejap tidak bersetuju dan kini mudah-mudah pula berubah fikiran, dan mendengar kata seperti saranan Zulhairi. Bukankah itu pelik namanya! Harapnya, mereka yang ada tidak dapat mengesan semua itu.
“Kak Ina, Su balik dulu” tangan Kak Zarina mula aku genggam kemas. “Pak cik, Abang Bad, Su balik dulu” aku langsung mengundur diri. Keluar daripada rumah itu dengan langkah yang laju.

“ZUL, kau ni memanglah… Mati-mati aku ingat aku dah confirm kena jadi isteri kau.” Apabila Zulhairi hanya mendiamkan diri, maka aku terpaksa mengambil inisiatif untuk menghidupkan suasana. Zulhairi mengerling ke arahku seketika. Baru kini aku dapat lihat senyuman di bibirnya. Walaupun senyuman itu tidak selebar mana, namun sekurang-kurangya itu dapat melegakan hatiku.
            “Tapi memang powerlah ayat-ayat kau tadi, Zul. Lakonan kau pun dah setanding dengan Fizz Fairuz, Aaron Aziz… erm siapa lagi? Ha, Zul Huzaimi! Pendek cerita memang menggagumkanlah!” Aku ketawa kecil. Terimbas kembali semua yang tadinya terjadi.
            “Tengok oranglah!” Zulhairi tunjuk muka lagak.
            “Ceh, belagak! Kau ni memang spesis yang tak boleh kena pujikan?”
            Zulhairi ketawa mendengar kata-kataku. Tawanya itu turut menimbulkan tawaku.  
            “Eh, Zul… Apa yang kau dah cakap dengan family kau?” Aku ingin tahu.
            “Rahsia!” Zulhairi enggan berkongsi cerita.
            “Eleh, rahsia konon… Kau tu kan, lain kali boleh tak kalau kau nak buat rancangan tu, kau cerita kat aku dulu. Biar aku tahu rancangan kau. Nasib baik aku tak kantoi tadi.” Aku mula protes. Meluahkan rasa tak puas hati. 
            “Betul ni, kena cerita kat kau dulu?” Zulhairi cuba mendapatkan kepastian.
            “Haahlah.” Aku mengiyakan.
            “Su, cuba kau bayangkan. Kalau betullah mak aku jadi meminang kau hujung bulan ni, apa yang kau nak buat?”
            Soalan yang Zulhairi berikan itu membuatkan langkah kakiku terhenti. Hanya otak yang berjalan sendiri, mencari jawapan. Zulhairi yang sudah berada beberapa langkah di hadapan, berpatah balik, mendapatkan aku.
            “Entahlah Zul. Paling tidakpun, mungkin aku larikan diri kut. Lari kat suatu tempat yang kau orang tak dapat nak jumpa aku lagi!” Aku tersenyum. Ya, itu jawapan paling tepat. Apa lagi yang dapat aku buat untuk mengelakkan diri, selain daripada itu. Melihat perubahan air muka Zulhairi secara tiba-tiba, aku jadi serba-salah. Senyuman yang tadinya sedikit kelihatan, kini sudah hilang.
            “Sampai macam tu sekali?” Zulhairi seakan enggan percaya.
            Aku sudah tidak mahu bersuara. Jadi aku hanya menganggukkan kepala. Zulhairi merenung anak mataku. Aku jadi tidak selesa dengan ekor mata Zulhairi yang masih terus memerhati. Aku tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran Zulhairi saat ini. Tapi aku tidak dapat meneka apakah itu? 
            “I have no chance anymore!” Suara Zulhairi kedengaran perlahan.
            “Apa dia?” Aku minta Zulhairi ulang kembali kata-katanya. Tidak berapa jelas setiap patah kata Inggeris yang baru saja dituturkannya. Namun Zulhairi hanya mendiamkan diri.
            “Pekaklah kau ni, Su. Dah, jom jalan!” Zulhairi menolak kepalaku dengan tangannya. Kemudian terus dia menyambung perjalanan yang tadinya terhenti.
Aku mula tak puas hati. Paling pantang orang tolak kepala. Zulhairi! Sudah berkali-kali aku ingatkan hal itu. Tapi dia masih dengan tabiat yang sama, menolak kepalaku ikut suka hati dia! Beratus kali aku marah, beratus kali jugalah dia mengulanginya. Sedikitpun dia tak ambil peduli tentang hal itu.
“Aku patahkan tangan tu kang, baru tahu!” Aku bercakap seorang diri. Langkah kaki aku pasang kembali. Malas mahu jalan bersaingan dengan Zulhairi lagi, jadi aku hanya mengekori langkahnya dari belakang. Zulhairi juga sudah tidak menoleh padaku. Dia meneruskan perjalanan seolah-olah aku ada di sisinya. Padahal aku jauh di belakang. Sekali sekala aku dapat melihat Zulhairi memandang ke langit malam yang tinggi. Dan pada saat ini, aku yakin Zulhairi benar-benar ada penyimpan satu masalah di hatinya. Sudah terlalu lama aku kenal Zulhairi. Setiap kali dia dilanda masalah, hatiku dapat merasakannya. Aku tidak pernah silap tentang hal itu.
“Terima kasih, Zul. Kaulah kawan aku dunia, akhirat.” Ucapan itu memang ikhlas aku zahirkan dari hatiku sendiri sebaik sahaja sampai di rumahku. Sepanjang aku hidup, memang lelaki itulah yang banyak membantu.
“Kawan dunia, akhirat?”
“Ya, dunia dan akhirat.” Aku perjelaskan sekali lagi.
“Kalau macam tu, kau boleh tolong akulahkan?”
“Boleh, no problem!” aku bersetuju.
“Boleh tak kau berhenti padankan aku dengan Madihah?”
“Ha?” aku benar-benar terkejut dengan pertolongan yang Zulhairi perlukan. Jadi, keresahan yang ada padanya adalah berpunca daripada Madihah? Aku cuba meneka.
“Tapi Zul, kau…”
“Aku nak kau tolong aku satu tu aje, Su. Dah, cepat masuk, aku nak balik ni!” Zulhairi tidak membenarkan aku menyudahkan kata.
Sudah kataku dipotong, aku tidak tahu apakah perlu untuk aku untuk terus bersuara lagi. Zulhairi sendiri tidak mahu mendengarnya. “Kau baliklah dulu, Zul. Aku nak ambil angin kat luar ni sekejap” aku pinta Zulhairi pulang terlebih dahulu. Aku rasa aku perlu fikirkan kembali soal Zulhairi dengan Madihah. Kenapa pula Zulhairi kelihatan berat membiarkan aku membawa Madihah masuk ke dalam hatinya? Apa yang menjadi kerisauan Zulhairi?
Aku takkan percaya kalau Zulhairi mengatakan dia tidak dapat menyukai Madihah. Renungan pertamanya pada Madihah sudah cukup untuk membuktikan ruang hatinya boleh dibuka untuk wanita itu. Atau sebenarnya Zulhairi takut kalau-kalau Madihah menolak cintanya? Ya, boleh jadi begitu! Jadi mungkin aku boleh aturkan percintaan mereka secara tersembunyi, tidak terang-terangan. Zulhairi tidak tahu, Madihah pun begitu. Apa yang mereka sedar nanti, mereka sudah jatuh cinta. Suka sama suka. Ya, mungkin itu yang terbaik.
“Kau masuklah, dah malam ni. Tak elok berembun, nanti sakit. Masuk sekarang!”
“Kau ni, Zul… macamlah aku budak-budak. Nanti aku masuklah!”
“Degil, nak kena tolak kepala?” Zulhairi dah mula mengangkat tangannya. Pandai saja dia cari kelemahan aku.
“Iyalah, nak masuklah ni.” Akhirnya aku yang terpaksa mengalah. Pintu pagar aku buka. “Pergilah balik!” kataku sambil kembali mengunci mangga pada pagar. Zulhairi hanya tersenyum. Aku berjalan terus ke pintu utama, membuka grill dan terus membuka pintu. Sewaktu grill dan pintu kembali aku tutup, dapat aku lihat Zulhairi masih ada di luar pagar. Aku dah tahu, dah, dia memang takkan puas hati selagi aku tak masuk ke dalam rumah.
Setelah pintu bertutup, aku berdiri seketika di belakang pintu. Beberapa minit kemudian, setelah yakin Zulhairi telah pulang, aku kembali membuka pintu, berniat untuk duduk diluar seperti mahuku tadi. Dengan senyum panjang sampai ke telinga, aku buka pintu semula.
“Hah! Nak kemana tu?”
Hampir jatuh jantungku mendengar suara itu. Zulhairi! Dia masih berdiri di situ. 
“Aku dah agak dah… orang degil macam kau ni, mesti tak dengar cakap punya” Suara Zulhairi lantang kedengaran.
Aku sudah malu sendiri. Kuang asam punya Zulhairi! Aku ingatkan dia dah balik. Boleh pula dia duk tunggu lagi depan pagar.  “Aku lupa nak bawa masuk seliparlah.” Aku cipta alasan.
“Iyalah kau tu…” sambung Zulhairi. Pasti dia tidak percaya. Sejak bila aku simpan selipar di dalam rumah? Akupun satu hal, buat alasan tak berfikir dulu.
“Dahlah kau Zul, kau duduklah situ sampai pagi.” Aku jelirkan lidah, mengejek, lalu terus kembali menutup pintu. Rancangan untuk mengambil angin diluar aku matikan begitu saja. Malas dah nak buka pintu lagi, takut kalau Zulhairi masih di situ. Tapi rasanya Zulhairi takkan buat kerja gila begitukan!

Bersambung...

Kata AH : Alhamdulillah, kerana AH agak kelapangan hari ini, maka AH postkan new entry utk SAC. AH sgt gembira mmbaca komen2 yang dikirimkan oleh rakan2 pembaca sekalian. Setiap komen yang AH baca pasti membawa bersama senyuman utk AH. Syukur atas sokongan padu semua. Semoga masih setia utk mengikuti Saat Ada Cinta... Jumpa Next Week... :)

Salam Ukhwah,
AH