Tuesday, November 29, 2011

Ada Di Hati - Bab 34


TIGA PULUH EMPAT
            Wajah ibu yang terjengul di depan pintu rumah mak langku ku tatap lama sebelum masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Ibu menutup perlahan pintu utama rumah sebelum memegang lenganku dan membawaku hingga ke hujung sudut rumah. Aku memandang emak dengan seribu tanda tanya. Dalam masa yang sama, aku tercari-cari kelibat mak lang di ruang tamu yang agak luas itu, namun bayangannya pun tidak kelihatan.
            “Safi dah bagitahu Nia pasal Safi dengan Zafril ke?”
            Aku terus membawa pandanganku pada wajah ibu. Aku menganggukkan kepala. “Tapi bukan Safi yang bagi tahu Nia. Zafril yang bagi tahu dia semalam. Safi pun baru tahu pasal ni pagi tadi.”  Aku menerangkan semuanya pada ibu. Alang-alang ibu sudah pun mengetahui semua kisah antara kami bertiga, tidak salah kalau aku menceritakan perkara itu juga.
            “Ibu dah agak. Pasal tulah Nia semacam je.” Ibu mengeluh perlahan.
            “Nia masih belum keluar-keluar dari bilik ke bu?”
            Ibu mengeleng. “Ibu rasa dia tak boleh nak terima hubungan Safi dengan Zafril. Tu yang dia jadi macam tu. Berkurung dari malam tadi kata mak lang kamu.” Nada risau ibu kendengaran. Sudah lama kau tidak mendengar ibu berbicara secemas ini.
            “Safi nak jumpa Nialah.” Aku terus berpaling, ingin terus menuju ke tingkat atas ke bilik Shania.
            Pantas Ibu menghalangku dengan menarik lenganku. “Safi nak buat apa jumpa Nia?” Ibu kelihatan bertambah cemas.
            “Safi nak bersemuka dengan Nia. Nak berbincang baik-baik dengan dia.”
            “Bagus juga tu. Jelaskanlah baik-baik kat dia. Mudah-mudahan dia boleh terima. Patutlah ibu tak sedap hati je bila dengar cerita kamu hari tu. Ibu tak sangka pula keadaan boleh jadi seteruk ni. Risau pula ibu dengan kamu bertiga ni.” Wajah kerisauan memang tergambar jelas pada wajah ibu.
            Aku menjadi serba salah. Kerana masalah percintaanku, ibu pula yang risau. Rasa menyesal kerana telah menyusahkan orang tuaku ini. Tapi jika hari itu aku tidak mendapatkan nasihat daripadanya, aku tidak tahu tindakan apa lagi yang perlu aku ambil.
            “Ibu janganlah risau sangat. Tak ada apa-apalah. Semuanya akan okay.” Aku cuba untuk menenangkan dirinya. Rasa tidak sanggup melihat wajahnya yang penuh dengan kerisauan menatap wajahku.
            “Mana ibu tak risau. Kamu tu anak ibu. Nia pula ibu dah anggap macam anak ibu sendiri. Ishhh, entah macam manalah kamu berdua boleh terperangkap dengan cinta tiga segi ni.”
             Aku  tertawa kecil mendengar ibu menyebut cinta tiga segi.
            “Eh, budak ni ibu tengah serius kamu boleh ketawa pula.” Marah ibu dengan sikapku.
            Aku cepat-cepat mengetap kedua-dua bibirku. Tidak mahu ibu marah padaku. Aku tahu dia cukup terbeban dengan masalahku ini. “Ibu janganlah risau sangat nanti darah tinggi ibu tu naik siapa yang susah. Safi dengan ayah jugakan.” Aku cuba untuk memujuk kegalauan hatinya.
            “Amboi…merungut nampak! Kamu pun tahukan siapa yang selalu buat darah tinggi ibu naik?” ibu memandangku tajam, aku tahu dia mahu aku mengakui kesalahanku yang sering membuatkannya marah.
            “Yelah, Safi salah. Ibu ni…” kataku manja, sengaja mahu memujuk hatinya. Dan ibu akhirnya tersenyum. “Safi naik atas dulu ek, jumpa Nia.”
            “Ibu ikut sekali.”
            Aku tersenyum dan menganggukkan kepala sebelum berpaling meneruskan langkah ke tingkat atas rumah mak lang sambl berbimbing tangan dengan ibu. Hatiku lapang ketika berbimbing tangan dengan ibu, aku tahu dia cuba untuk menenangkan hatiku. Nampaknya dia benar-benar risau dengan keadaan aku dan Nia.
            Sebaik sahaja aku sampai di tingkat atas, mak lang sudah pun duduk berehat di sofa yang terdapat di ruang itu. Melihat sahaja ketibaanku mak lang terus menuju ke arahku dan mengenggam erat kedua-dua belah tanganku.
            “Safi tolong mak lang ye. Tolong pujuk Nia keluar. Mak lang pun tak tahu kenapa dia tak nak keluar sejak semalam. Puas mak lang tanya tapi dia tak nak jawab. Safi rapat dengan Nia kan. Safi tolong mak lang ye pujuk dia.” Rayu mak lang bersungguh-sungguh padaku.
            Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Sejurus kemudian, aku terus menuju ke pintu bilik Shania yang sedang tertutup rapat. Aku tidak tahu sama ada aku akan dapat memujuknya atau pun tidak. Atau kehadiaranku ini akan lebih menyakitkan hatinya.
            Tapi bukan itu niatku ke sini. Aku mahu berhadapan dengan Shania sendirian. Selepas Zafril berbicara dengannya, aku rasa sudah tiba masanya untuk aku berhadapan dengan Shania berdua pula. Oleh sebab itu aku tidak mahu Zafril turut serta ke sini. Aku mahu berbicara dari hati ke hati dengannya.
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan kata dengan mengetuk beberapa kali pintu bilik Shania. “Nia, akak ni. Akak nak cakap sikit den…” dan belum sempat aku menghabiskan kata pintu bilik itu sudah pun terbuka dari dalam. Tersembur wajah Shania pada muka pintu yang terbuka luas itu.
            “Shania…” terus mak lang meluru mendapatkan Shania dan memeluknya yang masih tidak berganjak di muka pintu dan merenungku tajam. “Kenapa dengan Nia ni? Mama suruh Nia buka pintu Nia tak nak. Kenapa ni Nia, cuba bagi tahu mama.”
            “Nia nak bercakap dengan Kak Safi je.” Kata Shania sambil terus memandangku tanpa menghiraukan mak lang yang masih menanti jawapan darinya.
            Mak lang memandangku dan Shania silih berganti. Pasti saat ini pelbagai andaian yang menyinggah di minda wanita itu. Aku juga terus memandang Shania yang masih tidak lepas-lepas merenungku.
            “Milah, mari kita keluar. Biar budak-budak ni bincang. Mungkin Nia nak kongsi masalah dia dengan Safi je.” Ibu cuba memujuk Mak lang agar membenarkan Shania bercakap berdua sahaja denganku.
            “Tapi…”
            “Jom Milah.” Ibu masih berkeras. Dipautnya kedua-dua belah bahu mak lang dan membawanya keluar dari bilik Shania. Dan sewaktu melintasiku ibu memadangku dengan senyuman kelat. Aku hanya mampu membalas senyumannya tu seadanya sahaja.
            Sebaik sahaja ibu dan mak lang berjalan menuruni tangga menuju ke tingkat bawah Shania terus masuk ke dalam biliknya. Pintunya terus dibiarkan terbuka luas, membenarkan aku masuk ke dalam kamarnya. Tanpa membuang masa aku terus masuk ke dalam biliknya dan menutup rapat pintu itu. Aku tidak mahu sesiapa pun mendengar perbualan kami ini. Biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dengannya sahaja.
            Shania duduk di atas bangku meja soleknya mengadap cermin meja soleknya. Aku ingin memulakan kata namun melihat dia yang sedang duduk membelakangkanku membuatkan aku membiarkan suasana sepi seketika. Biarlah dia bertenang dahulu sebelum aku memulakan kata. Aku mengambil tempat duduk di atas katilnya yang sering menjadi tempat kami berkongsi cerita hampir setiap malam jika aku bermalam di sini.
            “Siapa bagi kebenaran pada akak duduk atas katil Nia?”
            Aku tersentap mendengar kata-kata itu dengan nadanya yang ternyata amat menjengkelkan buatku. Aku memandangnya yang sedang memandangku melalui cermin di hadapannya.  Terus aku bangun dari dudukku.
            Shania mula berpusing dan mengadapku, wajahnya masam seperti yang aku lihat sebentar tadi. Tiada langsung riak manis untukku. Aku terdiam memandang wajahnya, sepanjang aku meniti kedewasaan bersama-samanya tidak pernah sekali pun dia melemparkan wajah dan pandangan sebegitu padaku. Dan dia tidak pernah langsung meninggikan suaranya padaku walau apa keadaan sekali pun. Namun ternyata hari ini dia sudah berubah.
            “Betul ke akak dengan Abang Add sekarang ni?” Soalnya terus padaku.
            Aku menganggukkan kepala. Mengiakan semua katanya, walaupun ayatnya itu tidak terlalu jelas bagiku namun aku tahu apa yang sebenarnya dimaksudkan olehnya pada tika ini.
            Berombak dada Shania saat melihat reaksiku. Aku dapat melihat matanya mula menakung air jernih. “Sampai hati akak buat Nia macam ni kan?” nadanya masih keras seperti tadi, langsung tidak mahu berlembut denganku seperti selalu.
            “Nia, akak tak pernah bermaksud nak buat Nia macam tu. Akak bercinta dengan Abang Add sebelum akak tahu Nia pun cintakan dia. Akak…”
            “Akak tipu!” Jerit Shania tiba-tiba.
            Bergetar hebat jantungku saat mendengar jeritannya itu. “Nia!” Aku turut mengeraskan suara. Aku tidak mahu dia menjerit sesuka hati. Bagaimana kalau mak lang yang berada di bawah mendengar jeritannya itu pasti pelbagai soalan yang menantiku nanti.
            “Bila akak bercinta dengan Abang Add? Bila?” suara Shania masih meninggi.
            “Akak…”
            Dan belum sempat aku menghabiskan kata dia mula mencelah.
            “Baru beberapa bulan ni kan. Bila akak jatuh cinta pada Abang Add? Baru-baru ini juga kan? Tapi Nia, Nia dah cintakan Abang Add sejak dulu lagi. Akak sendiri pun tahu perasaan Nia pada Abang Add macam mana kan? Nia selalu cerita dengan akak pasal Abang Add sejak dulu, sebelum akak kenal Abang Add lagi. Tapi kenapa akak still nak bercinta dengan dia? Kenapa?” Shania mula hilang arah, ke hulu ke hilir dia berjalan di hadapanku.
            “Nia, memang Nia selalu ceritakan pada akak pasal Abang Add dulu, tapi akak tak terfikir pula yang Nia cintakan Abang Add.”
            “Alasan! Nia tak tahu apa yang akak tak puas hati dengan Nia, sampai akak nak rampas Abang Add dari Nia.”
            “Nia! Akak tak pernah rampas Abang Add dari sesiapa pun. Akak terima Abang Add masa tu Abang Add tak ada sesiapa pun dalam hidup dia. Lagipun kita orang memang saling mencintai.” Aku sudah mula geram dengan Shania. Bagaimana dia tergamak berkata begitu padaku. Aku sememangnya tidak merampas Zafril darinya, jika Zafril sememangnya sudah bersama-sama dengannya tidak mungkin aku tergamak berbuat begitu padanya. Jadi dia tidak ada hak untuk menuduhku sehingga sebegitu sekali.
            “Alasan… Semuanya alasan. Nia tak dengar apa-apa pun alasan dari akak. Nia benci akak.” Shania memeluk tubuh, air mata sudah mula membasai pipinya.
            Benci? Sehingga begitu sekali perasaannya padaku? Aku pun seperti hendak mengalirkan air mata mendengar pengakuannya itu. Sudah lupakah dirinya akan hubungan baik kami selama ini? Sudah lupakah dia betapa rapatnya aku dan dirinya dahulu sehingga ramai yang mengelarkan aku dan dia tidak umpama seperti belangkas yang sentiasa berdua tidak kira ke mana sahaja? Hanya kerana perkara ini dia sudah membuang aku jauh dari hidupnya, dari kenangan manisnya?
            “Tak boleh ke Nia terima kenyataan?” aku cuba berdiplomasi pula kali ini. Kekerasan tidak akan membawa aku dan dia ke mana-mana dalam perbincangan ini.
            “Kenyataan? Kenyataan apa? Kenyataan yang akak dah rampas Abang Add dari Nia dan akak dah rampas kebahagian Nia.” Shania masih lagi tidak mahu mengalah.
            Aku mengeluh perlahan, susah benar untuk aku berhadapan dengan dia kali ini. “Akak tak tahu apa yang harus akak cakap pada Nia lagi. Habis tu Nia nak buat apa lagi sekarang ni?” aku sudah malas mahu berbalah dengannya. Aku ingin cepat-cepat menamatkan perbualan ini.
             “Nia tak nak akak ada apa-apa hubungan lagi dengan Abang Add.”
            “Apa?” Aku benar-benar terperanjat dengan permintaannya itu.
            Shania tersenyum sinis dan mula menyeka air matanya. “Nia nak akak tinggalkan Abang Add.”
            “No!” Aku membantah keras. Tergamak dia membuat permintaan itu padaku. Tidak mungkin aku akan meninggalkan Zafril hanya kerana mahu memenuhi permintaannya itu.
            “Huh, Nia memang dah agak akak memang pentingkan diri akak sendiri.”
            Ternyata Shania sudah berubah sepenuhnya, Shania yang aku kenal dulu tidak mungkin akan berkata begitu pada diriku. “Akak pentingkan diri sendiri? Salah ke kalau akak pertahankan cinta akak dengan Abang Add?” aku mencerunkan mata memandang Shania yang masih  merenungku.
            Shania tergelak sinis padaku. “Kalau macam tu tak salah juga kalau Nia cuba pertahankan cinta Nia pada Abang Add kan?”
            Aku terdiam memandangnya yang sedang berjalan menghampiriku. “Nia juga cintakan Abang Add. Dan Nia akan berjuang untuk dapatkan cinta Nia.”
            Aku mula beristigfar dalam hati. Mencari ketenangan dalam diam. “Abang Add cintakan akak dan dia takkan dengan mudah berpaling pada orang lain. Akak yakin.” Aku cuba membina keyakinan dalam dirinya, mudah-mudahan dia melupakan niatnya itu.
            “We’ll see. Keluar dari bilik Nia sekarang. Nia tak nak tengok muka akak lagi.”
            Sebaik sahaja meluahkan kata itu padaku Shania terus berlalu ke bilik air yang terdapat di dalam biliknya itu dan menghempas kuat pintunya. Dentuman pintu itu menhenyak hatiku. Hari ini aku sudah kehilangan seorang adik yang amat aku sayangi selama ini.
            Aku juga terus melangkah keluar dari bilik yang terasa bahangnya itu. Aku berjalan pantas menuruni anak tangga seterusnya mahu meninggal emak dan mak lang begitu sahaja. Namun mak lang terlebih dahulu menghalang jalanku.
            “Kenapa ni Safi? Apa yang dah jadi? Nia macam mana?” mak lang terus menyerang dengan soalan-soalan itu.
            Lama aku memandang mak lang sebelum anak mataku beralih kepada ibu yang juga berada di sebelah mak lang. apa yang harus aku jelaskan pada mak lang? andai aku ceritakan kebenarnnya, mungkinkah mak lang juga akan bertindak seperti Nia, membenci diriku? Gusar kian bertambah. “Maafkan Safi, mak lang. Safi pun tak nak benda ni jadi!” pantas aku meninggalkan mak lang dan ibu setelah menzahirkan ucapan maaf. Terdengar jeritan namaku dilaung beberapa kali. Tidak mungkin bagiku untuk terus berada di situ. Semua mula menyerabutkan fikiran. Apa yang akan Nia lakukan untuk mendapatkan Zafril? Aku sangat takut saat ayat itu diluahkan Nia. Aku tak akan benarkan perkara itu terjadi walau apa sekalipun.

Bersambung…

P/S : Maaf atas kelewatan... byk urusan yg x dpt dielakkan. Selamat membaca :)

Saturday, November 26, 2011

Ada Di Hati - Bab 33


TIGA PULUH TIGA
            Aku membasuh beberapa mug yang berada di dalam sinki pantry. Selesai itu, aku mencapai bekas kopi dan gula yang berada di dalam kabinet. Aku ralit menyediakan secawan kopi untuk Zafril seperti selalu setiap pagi.
            “Hah!”
            Terlambung sudu yang berada di tanganku berserta istigfar yang meniti di bibir. Pantas aku menoleh melihat orang yang berjaya memeranjatkanku sebegitu. Zafril ketawa kuat melihat wajahku yang sudah mula pucat. Sudah aku agak pasti kerja Zafril.
            “Zaf ni tak ada kerja lain ke? Nasib baik tak gugur jantung Safi ni tau.” Bebelku sambil mencekak pinggang memandangnya yang tidak sudah-sudah ketawa.
            Zafril kelihatan cuba mematikan ketawanya, namun entah kenapa aku lihat dia agak sukar untuk mengawal tawanya itu saat ini. Hinggakan tawa itu terus menerus aku dengari.
            “Sorrylah Zaf bergurau je tadi. Tak sangka pula Safi terperanjat sampai macam tu sekali.” Zafril membela dirinya dalam tawa yang masih bersisa.
            “Bergurau? Em… tak pasal-pasal terpelanting sudu tu.” Aku memeluk tubuh dan memadang sudu yang sudah terpelusuk di bawah meja.
            “Okay, okay, Zaf kutip balik sudu tu.” Zafril mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda meminta maaf, kemudian dia mengambil semula sudu yang sudah kaku di bawah meja bulat. Sesudah mendapatkan sudu itu semula, dia menuju ke sinki membasuh semula sudu itu. Seketika kemudian dia mendapatkan aku.
            “Nak buat kopi untuk Zaf ke?” Soalnya apabila sudah berdiri di depanku.
            Aku mengangguk sahaja, tanganku pantas mematikan suis apabila air di dalam cerek elektrik itu sudah mendidih. Kemudian aku mengapai mug yang sudah ku basuh tadi.
            “Tak apa hari ini biar Zaf buat kopi Zaf sendiri.”
            “Eh, tak apalah. Biar Safi buatkan.” Aku menarik mug yang telah turut sama dipegangnya. Namun dia masih lagi tidak mahu melepaskan pegangannya pada mug itu.
            “Tak apa hari ini Zaf buat sendiri. Tapi Safi kena temankan Zaf. Dah pergi duduk kat meja tu dulu.”
            Antara mahu dan tidak aku menurutkan sahaja kata-kata Zafil itu. Mug yang berada di tangan aku lepaskan. kemudian aku duduk di bangku meja bulat itu. Sementara menunggu Zafril membuat airnya sendiri, aku mengerling ke luar tingkap memandang jalan yang masih lagi penuh sesak dengan kenderaan walaupun waktu pejabat hampir bermula.
            “Tengok apa tu?”
            Aku menoleh memandang Zafril yang telah pun berada di sisiku dengan meletakkan dua mug kopi di atas meja. “Kenapa sampi dua cawan kopi ni?” aku memandang satu cawan kopi susu yang masih panas di hadapanku.
            “Satu untk Zaf, satu untuk Safi.”
            “Amboi, baiknya hati, siap buatkan untuk Safi sekali.” Aku mengangkat kening, menandang Zafril yang sudah semakin lebar senyumannya.
            “Kira Safi bertuahlah sebab ni first time Zaf buatkan air untuk orang lain. Lagipun tak salah buatkan air untuk bakal isterikan.” Ujar Zafril sebelum berlalu semula ke kebinet.
            Aku tersenyum mendengar perkataan bakal isteri yang ditutur Zafril.  Pertama kali diperdengarkan dari bibirnya buatku.
            “Nak buat apa biskut-biskut ni?” terus aku bertanya apabila dia kembali duduk di sisiku.
            “Temankan Zaf sarapan.”
            “Zaf belum sarapan lagi ke?” berkerut dahiku memandang Zafril yang sudah pun mengambil sekeping biskut dan dicicah ke dalam air sebelum dimasukkannya ke dalam mulut. Selalunya dia akan bersarapan terlebih dahulu sebelum masuk ke pejabat.
            “Tak sempat.” Zafril menjawab ringkas dan mengambil sekeping lagi biskut di dalam piring itu.
            “Kenapa pula tak sempat?”
            “Zaf dari rumah mama tadi, Safi tahu jelah Sri Kembangan tu kalau keluar lambat lima minit pun, mahunya tersangkut dalam jam. Tu yang Zaf keluar cepat, sampai tak nak sempat sarapan”
             Aku menganguk kepala dan mula mencicip sedikit kopi yang dia sediakan untukku. Boleh tahan juga rasanya. Sesuai dengan citarasaku, tidak terlalu manis. Aku menongkat dagu, ralit memandangnya yang asyik dengan sarapannya. Laju sahaja dia mengunyah biskut-biskut itu, mungkin terlalu lapar. Sesekali dia menyuakan biskut kepadaku dan aku pantas mengeleng. Aku sudah bersarapan sebentar tadi dan perutku masih lagi kenyang.
            “Zaf ada benda nak bagi tahu Safi.”
            Aku yang dari tadi terus memerhatikannya terhenti langsung pandangan padanya. “Bagi tahu apa?” soalku kembali.
            Dia tersenyum seketika dan menolak mugnya ke hadapan. Tumpuannya hanya padaku ketika ni. “Nak tahu kenapa Zaf balik rumah mama semalam lepas Zaf hantar Safi balik?”
            Aku menjungkitkan bahu. Tidak tahu. Semalam sewaktu perjalanan pulang dari Cherating tidak pula dia memberitahuku yang dia mahu terus ke rumah orang tuanya itu.
            “Sebab Nia ada kat rumah mama semalam. Hafiz hantar dia kat situ.”
            Apabila dia membangkitkan nama Shania, hatiku mula gundah,  Dia pulang ke rumah Makcik Hasnah semata-mata kerana Shania berada di situ? Rasa cemburu segera pantas menerpa ruang hatiku.
            “Cemburulah tu.” Sakat Zafril tiba-tiba.
            Pantas aku membeliakkan mata, tidak sangka dia dapat membaca hati semudah itu. “Mana ada?” segera aku menolak andaiannya yang ternyata benar.
            Zafril ketawa kuat.
            “Zaf ni janganlah main-main, ceritalah cepat.” Pujukku malas mahu mendengar semua sakatannya.
            “Okaylah Zaf cerita.” Zafril mematikan katanya dan terus memandangku.
            Aku juga memandangnya menanti dia meneruskan ceritanya.
             “Malam tadi Zaf dah bagitahu Nia pasal kita.”
            Rasa cemburu yang bermaharajalela tadi teus lenyap dari hatiku. Namun kini jantungku pula yang degup dengan kencang sekali. Baru semalam aku memaklumkan hal in pada Zafril, dia sudah memaklumkan perkara ini pada Shania. Dalam masa tidak sampai satu hari?
            Bagaimana agaknya penerimaan Shania pada waktu itu? Dapatkah dia menerimanya dengan rela? Dan bagaimanakah keadaan Shania waktu ini? Sebagai wanita aku tahu apa perasaannnya tika ini. Pasti sakit hatinya apabila cintanya tidak kesampaian seperti kisah cinta orang lain.
            “Zaf… Dah… bagi tahu Nia…” tergagap-gagap aku meluahkan pertanyaan.
            Zafril mengangguk laju.
            “Cepatnya…”
            “Zaf tak nak tunggu-tunggu lagi.”
            “Kan kita dah janji nak bagi tahu sama-sama?” aku terus menerjahnya dengan soalan itu. Sewaktu perjalanan pulang semalam aku dan dia sudah berbincang dan sudah sependapat yang kami akan memberitahu Shania bersama-sama.
            “Zaf tahu, tapi lepas hantar Safi balik, Zaf rasa Zaf yang perlu bersemuka dengan Nia sendri. Jelaskan hal ni. Safi jangan risau, semuanya okay.” Dia cuba menyakinkanku.,
            “Nia kata apa?” aku benar-benar ingin tahu jawapan itu saat ini. Apa agaknya reaksi Shania waktu itu.
            “Dia tak ada kata apa-apa, tapi Zaf tengok, dia nampak okay masa Zaf bagi tahu dia waktu tu.”
            “Hah!” Aku terkejut, benar-benar terkejut. Tidak mungkin dengan semudah itu Shania menerimanya. “Dia tak kata apa-apa langsung?” aku terus menyoal, aku tidak percaya Shania langsung tidak berkata apa-apa.
            “Betul… Dia tak kata apa pun. Dia diam je. Lagipun Zaf dah explain pada dia baik-baik. Dan Zaf rasa dia boleh terima.”
            Aku terdiam. Kenapa begitu sukar untuk aku mempercayai reaksi sebegitu yang Shania tunjukkan padanya? Tidak mungkin dia tidak terasa apa-apa.
            “So, Nia masih ada kat rumah makcik Hasnahlah sekarang ni?”
            “Tak, malam tadi dia dah balik rumah mak lang Safi. Zaf pun tak perasan bila dia balik.”
            Jawapan Zafril itu langsung tidak menyenangkan hatiku Seperti ada sesuatu yang menyekat diriku untuk berasa tenang selepas mendengar semua ini.
            “Safi tak payah risau lagi. Zaf kenal Shania, dia baik dan seorang yang kuat. Dia pasti boleh terima hubungan kita.” Zafril terus menyakinkanku yang makin terdiam.
            Aku ingin terus bertanya, namun mulutku terkunci apabila terlihat kelibat Fazura muncul di pintu pantry yang begitu tajam merenungku. Wajahnya juga keruh semacam umpama tidak senang denganku kini.
            “Seronok berbual, tak payah buat kerja, ke?” Bentak Fazura tiba-tiba sambil melangkah mendekatiku dan Zafril di meja bulat.
            Zafril menoleh memandang Fazura yang menarik kerusi di sebelahnya dengan kuat sebelum menhenyakkan punggung ke kerusi itu. Dengan mata yang mencerun tajam padaku dan memeluk tubuh dia mengulangi soalannya sebentar tadi sekali lagi.
            Aku sudah tidak senang duduk. Aku tahu dia menujukan soalan itu padaku. Tidak mungkin soalan itu dia tujukan untuk CEO syarikat ini.
             “Yang you nak marah-marah ni kenapa? Ada lagi lima minit sebelum masuk waktu pejabat, so terpulanglah we all nak buat apapun. Yang you angin ni kenapa?” Kini mata Zafril pula yang mencerun tajam pada Fazura. Mungkin ada rasa tidak puas hati dengan apa yang diperkatakan Fazura..
            “I bukan apa Zaf, cuma I tak suka orang curi tulang.” Fazura cuba membela diri apabila Zafril memenangkanku.
            “Oh, maksudnya you nak kata I curi tulanglah ye.” Makin menyinga Zafril tika ini.
            “I bukan kata you okay.”
            “Habis tu you mengata siapa kalau bukan I?”
            “I kata kat Safi yang you pula nak terasa ni kenapa?” wajah putih melepak Fazura mula merah padam menahan marah.
            “Of course I terasa, sebab kalau you mengata Safi, samalah juga macam you mengata I, faham!”
            “Ish, malaslah I nak cakap dengan you hari ni.” Fazura segera bangun dari duduk. Kerusi yang didudukinya tadi hampir terjatuh ke belakang apabila ditolak kasar olehnya. Muka Fazura masam mencuka meninggalkan pantry itu dengan mulut yang terkumat-kamit, memperkatakan sesuatu.
            “Zaf tak baiklah Zaf marahkan Fazura macam tu. Depan Safi pulak tu.” Aku bersuara setelah sekian lama menyepi, mendengar sahaja pertengkaran dua sahabat itu. Aku tahu Fazura marah padaku sebentar tadi. Walaupun aku tidak tahu apa puncanya tapi yang pasti selepas bertikam lidah dengan Zafril sebentar tadi pasti dia akan lebih memarahiku.
            “Habis yang dia herdik Safi depan Zaf tu baik ke?” Zafril mempertahankan tindakannya.
            “Dia tak sengaja tadi tu.” aku terus mempertahankan Fazura. Lagipun Zafril dan Fazura berkawan baik. Aku tidak mahu mereka bertengkar kerana hal sekecil ini.
            “Itu bukan tak sengaja. Itu sengaja cari pasal namanya.”
            Aku mengeluh berat. Nampaknya Zafril masih lagi memarahi Fazura. Aku tidak mahu mereka berselisih faham sebegini. Mereka selalu keluar bersama untuk berjumpa pelanggan jadi jika mereka berselisih faham begini pasti sukar unuk mereka berkerjasama nanti.

AKU sudah tidak senang apabila melihat nama ibu yang tertera di telefon bimbitku. Hampir berbelas miss call daripadanya tertera di telefon bimbitku. Rasa cemas mula mencengkam diri. Apa agaknya yang berlaku di rumah sehingga Ibu bersungguh-sungguh mencariku sebegini?
            Janganlah ada apa-apa perkara buruk yang berlaku hendaknya. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi saat ini. Hanya wajah ibu dan ayah yang melintas di hati dan fikiranku. Terus aku mendail semula nombor telefon rumah orang tuaku.
            Sudah beberapa kali aku mendail nombor tersebut namun tiada satu pun panggilanku yang berbalas. Aku menjadi semakin takut. Apa yang berlaku sebenarnya? Mengapa ibu tidak menjawab panggilanku? Aku mencuba pula menghubungi telefon bimbit ibu.
            Aku menarik nafas lega apabila mendengar suara ibu member salam. Namun masih ada lagi rasa risau di hati. Apa yang berlaku sebenarnya?
            “Kenapa ibu call Safi banyak kali? Ada apa-apa masalah ke ibu?” terus aku bertanya.
            “Er… “ Ibu seakan-akan berat untuk meluahkan kata.
            “Kenapa ni bu?” aku terus menyoal, bertambah cemasku rasakan mendengar nada yang ibu gunakan.
            “Safi ada cakap apa-apa pada Nia ke?”
            Aku terkejut mendengar soalan ibu. Apa pula kaitannya dengan Shania.
            “Kenapa bu?”
            “Ibu kat rumah mak lang kamu ni. Mak lang kamu kata dari malam tadi Shania dalam bilik tak keluar-keluar. Sepatutnya hari ni dia ada meeting dengan lembaga pengarah Tiara Holding. Tapi dia tak pergi. Semua orang kat pejabat tu sibuk cari dia. Dari pagi tadi mak lang kamu pujuk dia, suruh dia keluar tapi dia tak bersuara apa pun. Tu yang ibu nak tanya kamu ni.” Terang ibu panjang lebar.
            Aku terkedu seketika. Ternyata Shania bukan seperti apa yang Zafril sangkakan. Aku memang pasti dari tadi, dia tidak akan boleh menerima hakikat ini semudah itu. Aku bukan baru mengenalinya setahun dua, tapi sejak dia kecil aku kerap bersama-samanya.
            “Safi datang sini lepas kerja nanti boleh?”
            Aku masih mendiamkan diri. Apa yang aku akan katakan padanya jika aku berhadapan dengannya dalam keadaan ini?
            “Okay, nanti Safi sampai.” Dan belum sempat mindaku memberikan arahan mulutku sudah mula berjanji.

Bersambung…

Tuesday, November 22, 2011

Ada Di Hati - Bab 32


TIGA PULUH DUA
            Mataku terus merenung ke lautan yang luas yang terbentang di hadapan mataku saat ini. Lepas sahaja menunaikan solat subuh tadi, mataku langsung tidak mahu terpejam semula. Walaupun sejak kebelakangan ini sememangnya lenaku telah hilang entah kemana. Jadi aku keluar dari chalet bersendirian. Shania masih lagi lena di bilik selepas menunaikan solat subuh. Sudah hampir sejam aku duduk di dalam restoran chalet yang mengadap laut ini. Langsung tiada sarapan yang masuk ke dalam perutku sejak tadi, kerana aku sememangnya tiada selera.
            Aku sedikit terkejut apabila tiba-tiba sahaja Hafiz muncul di hadapanku tanpa sebarang kata. Dia melemparkan senyuman padaku dan aku hanya mampu membalas seadanya sahaja.
            “Dah sarapan?” Tanya Hafiz dengan senyuman memanjang.
            “Er… Dah.” Bohongku teragak-agak. Aku bukan sengaja mahu membohonginya. Aku terpaksa. Aku tidak mahu dituduh melayannya berlebih-lebihan sepert mana tuduhan Zafril padaku malam semalam.
            Aku bukan bermaksud ingin melayankan berlebihan atau apa sahaja seperti tanggapan Zafril. Semua yang aku lakukan itu tidak lebih kerana aku anggap Hafiz sebagai kawan. Lagi pula dia merupakan kawan baik Shania, jadi tidak mungkin aku akan memingirkan dirinya begitu sahaja. Salahkah aku menganggapnya kawanku? Namun aku tidak faham mengapa Zafril boleh terfikir sehingga jauh ke situ malam semalam.
            “Dah?” Hafiz kehairanan. “Tak ada pinggan dengan cawan pun atas meja ni? Safi sarapan apa? Sarapan angin laut? Kenyang ke?”  Seloroh Hafiz yang mungkin sudah dapat membaca gelojak rasaku yang agak acuh tak acuh melayannya pagi ini.
            Aku hanya mampu tersenyum kelat. “Bolehlah setakat nak alas perut.” Aku sekadar berbasi-basi dengannya. Dan sungguh aku tidak sangka dia galak ketawa mendengar kata-kataku itu.
            “Tak kenyanglah maknanya tukan. Tak apa nanti saya ambilkan sarapan untuk Safi. Nak mee goreng ke nasi lemak?”
            “”Eh, tak apa nanti saya boleh ambil sendiri. Lagipun saya nak tunggu Nia sekali ni, sarapan sama-sama.” Aku cuba menghalang niat baik Hafiz itu.
            “Tunggu Nia? Kalau macam tu entah bilalah Safi nak sarapan agaknya. Tadi masa saya pergi jumpa dia, dia baru aje bangun tidur.”
            “Tak apa saya tunggu dia. Lagipun saya tak lapar sangat sekarang ni. Kalau Hafiz nak, Hafiz pergilah sarapan dulu.”
            “Betul ni?”
            Aku menganggukkan kepala.
            “Okay, tapi jangan pergi mana-mana, temankan saya sarapan kat sini.” Ujarnya sebelum bangun dari kerusi.
            Aku menyoroti langkah Hafiz menuju ke dalam restoran dan bergerak terus ke meja panjang yang menyediakan plbagai hidangan sarapan pagi secara buffet. Kemudian aku melepaskan pandangan ke tengah laut semula. Aku menyambung lamunan yang terhenti kerana kehadiran Hafiz sebentar tadi. Fikiranku terus membawa pada peristiwa malam semalam sewaktu BBQ. Hampir satu jam aku menghilangkan diri malam tadi, kononnya ke tandas tapi sebenarnya aku duduk menenangkan diri di dalam chalet sebelum kembali semula menyertai mereka. Tapi apabila aku kembali ke situ, Zafril telah pun masuk ke dalam chaletnya, seolah-olah cuba melarikan diri dariku. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku mahu menjernihkan suasana antara diriku dan dirinya semula.
            Sedang aku asyik memikirkan tentang Zafril, Hafiz tiba disebelahku dan meletakkan sepinggan nasi lemak lengkap dengan ramuannya berserta seketul peha ayam goreng. Secawan milo panas juga turut dia letakkan di hadapanku. Sepertinya dia tahu itu adalah sarapan kegemaranku. Aku tersenyum kecil, Hafiz ini degil juga orangnya, bukankah aku telah katakan tidak mahu bersarapan tadi, namun dia masih juga ingn menyediakan sarapan untukku. Melihatkan dia masih lagi berdiri disebelahku dan seperti tidak mahu duduk aku pantas mendongak memadangnya yang berada di sisiku.
            “Hafiz, kan sa…” Aku terus sahaja mematikan kata-kataku apabila melihat bukan Hafiz yang berada di sisiku. Aku menelan liur, terus hilang senyuman yang bergayut di bibirku. Jantungku mula menendang-nendang kuat dada, angin laut yang berhembus dingin kurasakan sebentar tadi, kurasakan berbahang tiba-tiba. Renungan yang tajam itu menyentak tangkai jantungku. Rahang yang bergerak-gerak seolah-olah menahan marah itu menyentap ketenangan yang telah lama hilang dalam diriku.
            “Zaf! Zafril Adli Zulkepli! Dah lupa nama Zaf ke, sampai depan Zaf pun boleh sebut nama Hafiz? Ke nama Hafiz tu dah melekat kemas kat hati Safi?” Soal Zafril marah. Kali ini dia kelihatan benar-benar marah padaku. Lebih daripada kemarahannya malam tadi.
            Aku terdiam, terkedu sama sekali. Bukan aku sengaja, aku tidak menyangka Zafril yang menghantar makanan itu padaku. Aku fkirkan Hafiz yang menyediakan semua itu untukku. Hampir menitis air mataku, sewaktu membalas renungan tajam daripadanya.
            “Hah, Zafril nak join sekali ke?” Soal Hafiz sambil meletakkan dulang yang dibawanya ke atas meja.
            Aku merenung dua pinggan mee goreng, sandwich dan dua cawan teh susu yang dibawa Hafiz. Aku pasti Hafiz mengambil sarapan untukku jua. Aku mengeluh nafas berat. Kejadian semalam berulang semula. Kedua-dua lelaki itu menyediakan makanan untukku. Kalau semalam aku serba salah tidak tahu mahu menyambut hidangan dari siapa tapi pagi ini aku bertekad aku tidak akan menerima hidangan yang disediakan Hafiz untukku sebaliknya aku akan memakan sarapan yang Zafril sediakan untukku. Aku tidak mahu mengecilkan hati Zafril sekali lagi. Setiap kali Zafril terasa hati denganku, hatiku turut merasa kesakitannya.
            “Eh, nasi lemak siapa ni? Bila Safi ambik makanan?” Hafiz yang ingin meletakkan sepinggan mee goreng ke hadapanku mematikan tindakannya.
            “Yang ni…”
            “Oh, yang ni aku nak bagi kat Shania. Aku ingatkan dia ada kat sini tadi, rupa-rupanya belum keluar dari bilik. Tak apalah aku pergi hantar nasi lemak ni kat bilik dia. Mungkin dia tak larat nak keluar sarapan kut pagi ni. Tak apalah, korang makanlah. Enjoy your great meal.” Pantas Zafril memotong kataku dan terus berlalu pergi dari situ.
            Jujurnya aku ingin memanggil, meneriak namanya supaya dia tidak meninggalkanku dan mendengar dahulu penjelasanku, namun bibirku benar-benar terkunci saat ini.

AKU melewati kawasan pantai itu bersendirian. Dari pagi lagi aku sudah berada di sini berjalan-jalan di persisiran pantai. Apa yang Zafril, Shania dan Hafiz lakukan tika ini langsung tidak aku hiraukan. Aku menghilangkan diri sejak sarapan sebentar tadi. Jiwaku benar-benar gundah saat ini.
            Langkahku terhenti dan mataku asyik memandang dua orang kanak-kanak perempuan yang sibuk membina istana pasir di persisiran pantai. Terdengar dengan jelas gelak ketawa mereka yang kelihatan benar-benar seronok walaupun di bawah cahaya mentari yang terik. Aku memerhati sekeliling mencari kelibat ibu bapa kanak-kanak itu. Kemudian mataku tertancap pada seorang wanita yang sedang duduk di bawah pohon redang dan sedang asyik memerhati anak-anaknya bermain. Tiba-tiba kanak-kanak itu berkelahi mereput penyodok plastik, aku tersenyum kecil dan menghampiri kanak-kanak itu.
            “Kenapa gaduh-gaduh ni?” Soalku apabila tiba di hadapan kedua-dua kanak-kanak itu. Aku duduk di atas pasir pantai itu dan mengusap lembut rambut kanak-kanak yang sedang mengalirkan air mata.
            “Kakak tak nak bagi pinjam mainan tu kat adik.” Adu kanak-kanak yang mengalirkan air mata.
            Aku tersenyum memandang kanak-kanak yang sedang menangis itu, kemudian aku memandang pula kanak-kanak yang sedari tadi mencebikkan bibir. Melihat mereka berdua yang berwajah seiras menyakinkanku pasti kanak-kanak dalam lingkungan lima atau enam tahun itu pasangan kembar. “Kenapa kakak tak bagi adik pinjam, kakak tak sayang adik ke?”
            “Sayang!” sepatah kata yang keluar dari bibir kanak-kanak tu membuakan esakkan adiknya terhenti walaupun masih kendengaran sendu sendannya.
            “Kalau macam tu bagilah adik pinjam mainan tu sekejap. Adik nak pinjam sekejap aje kan?” Aku menyoal adik pula dan dengan pantas adik mengangguk laju.
            Serentak itu kakak menyerahkan mainan itu pada adiknya tanpa banyak bicara lagi. Sebaik sahaja adik mendapat mainan terus dia menglap air mata dan menyambung mengorek pasir di hadapannya.
            “Boleh makcik joint sekali?”
            Kakak tersenyum dan mengangguk laju. Aku turut sama berganding bahu dengan pasangan kembar itu membina istana pasir. Hilang sementara bebanan fikiran apabila sama-sama bermain mereka. Kadangkala aku turut sama ketawa seperti pasangan kembar itu apabila istana pasir yang dibina roboh sedikit demi sedikit. Namun cepat-cepat mereka menampal semula istana itu dengan lebih banyak pasir di atasnya.
            “Makcik tahu tak makcik nampak cantik bila makcik senyum.” Tiba-tiba si kakak bersuara padaku walaupun tumpuannya masih lagi pada istana pasir yang hampir runtuh.
            Aku tertawa kecil mendengar kata-kata kakak. Inilah pertama kali aku mendengar kata pujian untukku dari kanak-kanak sekecl itu. “Ye ke?” sengaja aku mahu melayan bicara kakak.
            “Ha’ah betul. Tapi kakak jarang nampak makcik senyum. Kenapa ye?”
            Jarang nampak aku tersenyum? Apakah maksud kanak-kanak itu? Pernahkah aku dan dia bertemu sebelum ini. Aku mengamati kakak dan adik. Rasanya kedua-dua mereka aku tidak pernah bertemu sebelum ini.
            “Dah tiga kali kakak jumpa makcik, tapi muka makcik muram je.” petah sungguhk anak kecil itu berbicara.
            “Tiga kali?”
            “Ha’ah, malam semalam masa makcik tengah makan-makan, pagi tadi masa makcik tengah sarapan dengan masa makcik duduk atas batu sana tu.” Kakak memuncungkan bibir ke arah batu yang aku duduki sebelum aku melangkah kaki menuju ke sini sebentar tadi.
            Maknanya sejak malam semalam lagi dia sudah dapat menarik perhatian si kecil ini. Aku tersenyum sendiri, tidak sangka akan hal itu. Aku merenung pula si adik yang bertungkus lumus menyelamatkan istana pasirnya daripada runtuh, perbualan kakaknya dan aku langsung tidak dihiraukannya.
            “Makcik bergaduh dengan pakcik ye?”
            Sehingga sebegitu sekali kanak-kanak itu terfikir. “Eh, taklah. Lagipun…”
            “Alah makcik tak payah tipulah kakak tahu. Mama pun pernah juga duduk termenung sebab gaduh dengan papa. Tapi papa selalu pesan kat mama dengan kakak. Orang perempuan tak boleh selalu muram, sedih, termenung sebab takut nanti cepat nampak tua, muka pun nanti cepat berkedut.” Bebel kakak dengan bermacam-macam memek muka.
            Aku ketawa besar mendengar penerangan kakak. Sungguh petah sekali dirinya. Aku mengusap kepalanya. Aku tidak tau apa yang perlu aku balas padanya. Gembira sungguh hatiku dapat berjumpa dan berbual dengannya walaupun da masih kecil.
            “Kakak, adik… papa ajak balik.” Laung satu suara dari arah belakang.
            “Okay mama.” Sambut kakak dan mula mengemas kesemua peralatan mainannya yang berselerakkan. Aku turut membantu memasukkan permainan itu ke dalam bakul yang dibawa mereka.
            Selesai mengemas aku memimpin kedua-dua tangan pasangan kembar itu untuk dipimpin ke ibunya. Sebaik sahaja aku berpaling aku melihat sepasang suami steri yang sedang menanti di bawah pokok. Namun pandanganku pada pasangan suami isteri itu tidak lama apabila mataku lebih tertumpu pada Zafril yang berdiri tidak jauh dariku. Zafril makin mendekatiku. Aku kaku di situ. Mengenangkan peristiwa di restoran pagi tadi,  aku tidak tahu bagaimana mahu memulakan kata.
            Tangan kiriku yang ditarik-tarik menyebabkan tumpuanku teralih pula pada si kakak.
            “Ini pakcik, ke??”
            Soalan kakak menyebabkan aku dan Zafril berbalas pandangan sekali lagi.
            “Pakcik janganlah buat makcik sedih lagi, kesian makcik.”
            Aku tertawa kecil mendengar bebelan kakak. Zafril turut tersenyum dan mengusap pipi kakak.
            “Balik dulu ye makcik, pakcik.” Kakak mula menyalami dan mencium tangan aku dan Zafril kemudian dikuti pula dengan adik yang agak pendiam melakukan hal yang sama seperti kakaknya.
            “Makcik janji tau, Smile. Tata… jumpa lagi.” Tambah kakak sebelum berlari-lari anak berpimpin tangan bersama adiknya. Kakak memberikan lambaian padaku apabila sampai pada kedua ibu bapanya dan aku turut membalas lambaiannya.
            “Cepat packing barang. Dah nak check out ni.”
            “Shania mana?”
            “Hafiz ada hal, urgent. So Nia temankan dia balik dulu.” Ujar Zafril sebelum berlalu meninggalkanku.
            “Zaf sekejap.” Aku menghalang Zafril dari meneruskan langkah. Dia segera berpaling memandangku semula.
            “Safi nak cakap sikit dengan Zaf.”
            Zafril mula bergerak mendekatiku namun pandangannya hanya terarah ke tengah lautan, bukan padaku. Aku tahu dia benar-benar marah padaku.
            “Safi nak minta maaf pada Zaf.” Aku memulakan kata. Hanya itu yang terlintas di fikiranku kini dan sememangnya itu yang aku perlu aku lakukan.
            Zafril mula memandangku, tapi dia masih lagi membisukan diri.
            “Safi tahu kebelakang ni Safi banyak sakitkan hati Zaf.” Aku mendiamkan diri seketika untuk menguatkan diri. Aku ingin mengikut nasihat ibu, aku tidak patut menyakiti hatinya lagi atau membuatkan dia merasa sangsi denganku. Segalanya perlu jelas hari ini juga. Aku sudah tidak sanggup memendamkan apa-apa lagi dari pengetahuannya.
            “Safi ada sebab kenapa Safi belum beritahu Shania tentang kita.”
            “Sebab apa? Sebab Hafiz?” terjah Zafril tiba-tiba.
            “Zaf, Hafiz tak ada kena mengena dengan semua ni. Lagipun dari dulu Safi dah kata dengan Zaf yang Safi dengan dia tak ada apa-apa.” Aku menegaskan sekali lagi.
            “Habis tu sebab apa?”
            “Sebab Safi tak tahu macam mana nak bagitahu pada Nia tentang hal ni?”
            “Kenapa pula?”
            Aku mengeluh perlahan. “Sebab…” sukar untukku meluahkan kata. “Sebab… Nia cintakan Zaf.” Aku terus mendiamkan diri setelah menyatakan kebenarannya. Mahu mendengar kata yang keluar daripada mulut Zaf pula. Namun Zaf juga terdiam dengan semua kata-kataku.
            “What? Apa Safi cakap ni? Mana Safi tahu?” ternyata Zafril juga terperanjat sepertiku sewaktu mengetahui hakikat ini.
            “Nia sendiri yang cakap pada Safi.”
            Zafril terdiam seketika. Matanya terus memandangku. “Safi…” Zafril meraup wajahnya seketika. “Habis tu kenapa Safi tak terus terang tentang hal kita masa Shania bagi tahu Safi macam tu?”
            “Safi tak sampai hati.”
            “Sebab tu aje? Sebab tak sampai hati? Come on Safi.”
            Aku terasa hati dengan kata-katanya itu. Seperti dia memperlekah alasanku. “Zaf, Safi dah anggap Nia macam adik kandung Safi sendiri. Kalaulah Zaf tahu macam mana excited nya dia setiap kali dia bercerita pada Safi semua benda tentang Zaf, mesti Zaf sendiri pun tak sanggup nak cerita apa-apa pasal hubungan kita. Nampak sangat yang dia cintakan Zaf” satu persatu penjelasan aku perdengarkan. “Safi bukan bermaksud nak rahsiakan hubungan kita, cuma Safi nak cari masa yang sesuai untuk beritahu kat dia. Zaf ingat Safi tak ada hati perut ke, nak terus beritahu kat dia tentang kita, bila dia confess perasaan dia pada Zaf depan Safi waktu tu. Safi pun ada rasa kesian. Perasaan Safi masa tu tuhan je yang tahu. Safi nak pertahankan cinta kita, tapi dalam masa yang sama Safi tak mahu hati dia luka teruk. Tapi Zaf tuduh Safi yang bukan-bukan. Zaf tahu tak apa yang Safi rasa?” aku cuba berlagak tenang walaupun geloranya terlalu sukar untuk aku kawal. Aku sudah tekad untuk tidak merahsiakan apa-apa lagi.  “Salah ke, kalau Safi cuma nak cari masa yang sesuai untuk terangkan semuanya pada dia, supaya dia boleh terima” Panjang lebar aku meluahkan rasa geram. Mungkin mudah untuknya berkata, namun aku yang perlu berhadapan dengan semua perkara ini, aku sendiri yang merasa sakit peritnya, bukan dia atau orang lain.
            Zafril masih terdiam. Mungkin kini dia faham bagaimana rasanya kehilangkan kata. “Safi…I’m so sorry. Zaf tahu Zaf tak patut cakap macam tu pada Safi. I’m sorry okay.”
            Dia cuba melembutkan hatiku yang sudah mula terasa panas.  Aku mendiamkan diri.
            “Zaf pun salah juga dalam hal ni. Zaf tak patut harapkan Safi je untuk bagi tahu pada Shania tentang kita.” Suaranya lembut memujukku.
            Bukan salah dirinya, aku yang mahu memberitahu Shania perkara ini dan menghalang dirinya untuk memberitahu Shania. Aku sangkakan aku mampu memberikan kejutan pada Shania, namun nampaknya perkara yang sebaliknya berlaku. Dan kemudian keadaan menjadi serumit ini.
            “Zaf tak sangka yang Shania tu…” Zafril mematikan kata, mungkin dia tidak mahu menyebut perkara itu di hadapanku.
            “Safi pun tak sangka. Safi betul-betul buntu macam mana nak bagi tahu kat Nia dalam keadaan dia macam tu.”
            “It’s okay. Safi jangan fikirkan lagi hal ni. Biar Zaf je yang uruskan hal ni dengan Nia, okay. Zaf janji yang perkara ni takkan membebankan fikiran Safi lagi”
            “Macam mana Zaf nak bagi tahu Nia? Apa kata kita sama-sama bagi tahu pada Nia? Mungkin dengan cara ni, Nia akan faham!” Aku cuba membuka pandangan.
            “Biar Zaf fikirkan dulu pasal hal ni. Safi jangan risau apa-apa lagi. Tapi Safi kena janji dengan Zaf, lepas ni kalau ada apa-apa masalah lagi, Safi jangan pendam sorang-sorang. Zaf sentiasa ada untuk kongsi semuanya dengan Safi.” Zafril menambahkan keyakinan padaku.
            Aku hanya mengangguk. Hati kian lega. Walaupun aku tidak pasti apa yag akan Zafril lakukan, tapi sekurang-kurangnya, Zafril sudah jelas dengan semuanya.
            “Safi harap, Zaf tak ragui lagi cinta Safi pada Zaf!” Sekali lagi aku mengingatkan dia tentang itu.
Zafril tersenyum mendengarnya. “Maafkan Zaf. Zaf tahu yang Safi hanya cintakan Zaf, dan Zaf pun nak Safi tahu, yang Zaf tak mungkin cintakan orang lain selain Safi” bicara Zafril penuh teratur.         
            “Pandai Safi pujuk budak-budak tu ye. Dah ada ciri-ciri ibu mithali ni.” Zafril sengaja mengubah topik perbualan. Dan buat pertama kalinya sejak kami datang bercuti di sini dia melemparkan senyuman manisnya padaku.
            “Ibu Mithali?” aku tidak sangka ke situ pula tanggapan Zafril. Entah berapa lama agaknya dia menjadi pemerhati aku dan pasangan kembar tu hinggakan dia tahu bahawa aku yang memujuk mereka.
            “Betul cakap budak tu tadi. Zaf pun perasan sejak kebelakang ni Safi banyak muram dan termenung. Jarang nak nampak Safi senyum. Perempaun yang selalu muram ni muka dia memang senang berkedut dan cepat nampak tua tau.”
            Aku mencebik bibir, pasti dia dapat mendengar semua perbualanku dengan kembar itu sebentar tadi dan sekarang dia sengaja mengulangi kata-kata itu padaku sekali lagi. Aku mendiamkan diri, malas mahu memanjangkan isu diriku yang kerap bermuram dan termenung kebelakangan ini.
            “You know one thing?” Zafril cuba menarik perhatianku semula.
            “What?” Soalku malas.
            “And now you got wrinkles around your eyes.”
            “Hah, ye ke?” kelam kabut jemariku menyentuh sekeliling mata. Takkan sehingga sebegitu sekali.
            Zafril ketawa kuat melihatku. Aku mengetap bibir dan mencekak pinggang apabila melihat Zafril yang menekan perutnya sambil ketawa besar, membuatkan aku yakin dia sengaja mahu menggenakanku kali ini.
            “Zaf tipu Safikan.”Aku memukul kuat lengannya. Sakit hatiku melihat tawanya yang tidak mahu surut. Dan tidak lama selepas itu aku juga turut tertawa apabila teringatkan kegopohanku sebentar tadi. Percaya bulat-bulat dengan kata-katanya. Sudah lama aku tidak melihat dia ketawa sebegitu. Dan sudah pasti dia juga sudah lama tidak melihat diriku tertawa seriang ini kebelakang ini. Apapun, aku benar-benar rasa lega sekarang…

Bersambung…

P/S : Assalamualaikum semua. Mohon maaf atas kelewatan entry ini, ada urusan kerja yg x dpt dielakkan. Ada yang bertanya berapa bab kesemuanya bagai ADH. Insya'Allah 48 bab kesemuanya... hanya tingga 16 bab terakhir untuk dihabiskan. Semoga rakan2 sekalian terus sudi mengikuti ADH hingga ke akhirnya.. Terima kasih dari hati AH. Salam Sayang buat semua :)