Monday, June 27, 2011

Ada Di Hati - Bab 2


DUA
            Aku mula merenung rumah berwarna biru laut lot tepi yang kini betul-betul berada di hadapanku. Aku menelan air liur. Inilah rumah itu, rumah yang telah aku jadikan tempat untuk menyelamatkan diri daripada anjing gila minggu lalu. Maknanya ini rumah ‘Lelaki Poyo’ tu. Aku mula menghela nafas panjang.
            Mahu atau tidak, aku terpaksa berada di rumah ini tiga hari berturut-turut kerana rumah ini merupakan rumah pelanggan Kak Diah yang akan melangsungkan majlis perkahwinan anaknya. Aku harus sentiasa berada di rumah ini untuk membantu Kak Diah dalam melancarkan majlis kahwin itu. Pastinya aku akan bertemu dengan lelaki itu lagi.
            Ish… takkanlah? Aku mula tidak sedap hati. Peluh mula bertamu di dahi saat ini. Jantungku mula berdegup kencang, hatiku berdebar hebat. Sungguh tidak enak perasaan ketika ini. Eh, kenapa pula aku harus berperasaan begitu? Errr... Entah? Tapi yang amat pasti saat ini, aku tidak ingin berjumpa dengannya lagi, meluat betul rasanya. Baru difikirkan sudah rasa meluat, inikan pula bila bertentang mata.
            Kalau aku tahu begini jadinya, sumpah aku takkan menjadi pekerja sambilan Kak Diah. Aku lebih rela duduk terperuk di rumah dalam keadaan yang amat membosankan daripada menatap muka lelaki poyo itu selama tiga hari berturut-turut. Perasaan benci pula yang hadir di hati.
            Aku pun tidak tahu mengapa aku harus membenci lelaki itu, sedangkan dia telah membantuku minggu lalu. Sepatutnya aku berterima kasih padanya, bukan membencinya sebegini. Arghh… aku tak peduli, lelaki itu memang wajar dibenci. Sikapnya yang berlagak dan seperti buaya darat itu benar-benar membangkitkan kemarahanku minggu lalu.
Namun aku bukannya kacang yang sering melupakan kulit, melupakan jasa orang setelah dibantu, tetapi ayat-ayat yang digunakan lelaki itu memang menyakitkan hatiku tambahan pula bila mengenangkan lelaki itu sengaja menyimbah air ke badanku sehingga basah lencun. Aku pulang ke rumah Kak Diah pagi itu dengan perasaan malu yang menggunung. Mana tidaknya, banyak mata yang memandangku bersilih ganti sebelum mereka kemudiannya melemparkan pandangan pada dada langit. Mungkin pelik melihat aku yang basah seluruh badan sedangkan pagi itu langit terang benderang. Sampai sahaja di rumah pula, Kak Diah menyoal pelbagai soalan dan  Ikin tukang tambah perasa dengan memerli diriku. Ish… mengenangkan itu semua memang mengundang amarahku.
            “Ewah-ewah sedapnya bersantai cik kak, meh tolong angkat barang.” Ikin menegurku dari belakang dan berlalu semula ke arah van yang diletakkan di hadapan rumah.
            Aku yang tersentak pantas membantu Ikin memasukkan beberapa kotak barangan yang akan digunakan untuk membuat pelamin di dalam rumah itu. Setelah semua barang siap diangkut ke dalam rumah, aku, Kak Diah, Ikin, dan Dewi mula memasang pelamin yang bertemakan warna biru dan putih. Aku sempat berdoa di dalam hati semoga diriku tidak bertembung dengan lelaki itu hari ini.

AKU dan beberapa pekerja Kak Diah yang lain sedang sibuk membentangkan kain alas meja pada setiap meja di dalam khemah yang mempunyai gabungan warna putih dan biru itu. Sambil-sambil itu, mataku sempat juga merayap ke sekeliling, mencari kelibat lelaki itu. Bukannya aku teringin sangat berjumpa dengannya, cuma aku mahu mengatur strategi. Kalau terpandang saja wajah lelaki itu di mana-mana nanti, aku akan cepat-cepat menyembunyikan diri. Aku tidak mahu bertembung dan terserempak dengannya. Biarlah minggu lalu merupakan pertemuanku dengannya buat kali pertama dan juga kali terakhir.
            Semalam aku amat bersyukur kerana tidak bertemu dengannya walaupun aku berada di rumah itu dari pagi hingga malam. Hari ini aku tidak pasti. Betul ke ini rumah dia, hatiku mula ragu-ragu. Kalau betul ini rumahnya ke mana dia pergi sedangkan ahli rumah ini yang lain begitu sibuk melakukan persiapan terakhir. Tidakkah dia juga perlu turut membantu. Entah-entah dia pengantin lelakinya, sebab itu dia tidak membantu?
Kalau lelaki itu pengantin lelaki, aku amat bersyukur, pasti dia tidak akan bertembung denganku kerana sudah tentu dia sibuk pada hari ini dan esok kerana perlu melayan tetamu-tetamu yang hadir. Hatiku ketawa senang.
            Ish… tapi, takkanlah dia pengantin lelaki, bisikku perlahan. Melihat pada wajahnya rasanya lelaki itu baru berusia 23 atau 24 tahun... begitulah. Takkan pada usia semuda itu dia ingin menamatkan zaman bujangnya, hatiku bertambah ragu. Tapi tidak mustahil juga kerana sekarang ini ramai juga lelaki yang kahwin awal.
            Argh… Malas aku mahu menyesakkan otakku memikirkan tentang lelaki itu. Aku mempercepatkan kerja menghamparkan semua kain alas meja pada setiap meja, takut nanti Kak Diah fikir aku curi tulang pula, buat kerja yang mudah tapi mengambil masa yang lama. Tambahan pula sekarang sudah pukul 11 pagi, sebentar lagi pasti ramai tetamu yang akan hadir untuk menyaksikan majlis akad nikah selepas Zuhur nanti.
            Selesai menghamparkan semua alas meja itu aku masuk ke dalam rumah untuk membantu Ikin menyusun dan membetulkan sedikit lagi hantaran yang telah Kak Diah gubah sejak beberapa hari lalu. Sedangku membetulkan sirih junjung yang kelihatan agak senget itu, aku terpempan, di hadapanku kini lelaki yang tidak ingin aku jumap itu sedang rancak berbual dengan beberapa orang lelaki lain. Aku pantas berpusing, membelakangkan lelaki itu. Hatiku terus berdoa moga lelaki itu berganjak dari situ dengan segera.
            “Safi, apasal kau ni, pucat semacam je. Kau okay tak?” Soal Ikin cemas apabila melihatku hanya berdiri kaku di situ tanpa sebarang kata.
            “Tak… tak… aku tak apa-apa, aku okay je.” Jawabku menutup perkara yang sebenar.
            “Kalau okay, cepatlah susun hantaran tu, kang mengamuk pula Kak Diah,” arah Ikin padaku.
            Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum menoleh ke belakang semula. Fuh… selamat, aku menarik nafas lega apabila lelaki itu sudah tidak berada di situ lagi.


AKU bersandar di tepi van milik Kak Diah, ramai orang yang sudah beransur pulang. Kini hanya tinggal beberapa orang di dalam khemah itu yang masih lagi sedang berbual-bual. Aku mengeluh kepenatan, bukan penat kerana kerja yang menimbun tetapi penat kerana melarikan diri dari lelaki poyo yang tidak aku ketahui namanya itu.
            Ke mana saja aku pergi di dalam rumah itu pasti aku akan ternampak wajahnya, mujur setiap kali itu jugalah aku berjaya menyembunyikan diri dan aku amat pasti dia tidak menyedari kehadiranku di rumah itu sehingga kini. Namun ada juga aku terfikir, mengapa aku harus terus bersembunyi daripadan diriya? entah-entah lelaki itu langsung tidak mengingatiku, mungkin dia sebenarnya tidak lagi mengecam diriku, perempuan yang dibantunya minggu lalu.  Entah-entah sikit pun dia tidak hairan, aku saja yang terlebih perasan.
            “Safi buat apa kat sini seorang diri?”
            Aku berpaling melihat Kak Diah di sebelah, aku melemparkan senyuman pada Kak Diah. “Tak ada apa, saja aje,” balasku pantas.
            “Penat sangat ke?” Soal Kak Diah lagi, risau agaknya Kak Diah apabila melihatku begitu.
            Aku menggeleng, tersentuh hatiku dengan keprihatinan Kak Diah.
            “Safi tolong Kak Diah bawa semua chafing-dish tu ke belakang. Kita nak kena basuh semua tu, esok nak guna lagi.”
            Aku mengangguk dan terus berlalu mendapatkan semua chafing-dish yang berada dalam khemah itu untuk di bawa ke belakang rumah untuk diberikan kepada pekerja-pekerja Kak Diah yang lain. Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Macam mana nak angkat semua ni… banyak tu, bebelku sendirian. Tak apalah angkat separuh dulu. Aku mula mengangkat chafing-dish itu dan dibawa ke belakang rumah. Selesai meletakkan kesemua chafing-dish itu di belakang rumah aku ke khemah semula untuk mengambil baki chafing-dish yang masih lagi berada di dalam khemah itu.
            Sebaik sahaja aku sampai di hadapan khemah tersebut, aku terkejut melihat lelaki yang membantuku minggu lalu sedang duduk di dalam khemah dan memandang tepat padaku. Aku mula panik. Kakiku kaku tidak mampu bergerak saat itu. Aku mula memikirkan jalan bagaimana harusku mengambil chafing-dish itu tanpa melintas di hadapannya. Otakku terbejat seketika, tidak mampu berfikir apa-apa. Hendak atau tidak aku terpaksa juga lalu di hadapan lelaki itu kerana lelaki itu duduk selang semeja dengan meja yang harusku tuju.
            Sudah puas aku cuba lari dan menyembunyikan diri darinya tetapi tetap juga aku bertembung dengannya. Aku mula mengorak langkah, sedikit pun aku tidak menoleh pada lelaki itu, pura-pura tidak nampak akan dirinya sedangkan aku begitu pasti lelaki itu masih lagi memerhatikan setiap gerak-geriku sedari tadi.
            Sewaktu aku makin dekat padanya aku terdengar siulannya padaku. Aku  berpura-pura tidak mendengar siulannya yang bertubi-tubi itu. Aku cuba memekakkan telinga.
            “ Awak… awak…”
            Aku masih terus memekakkan telinga. Aku tahu lelaki itu memanggilku tapi aku sama sekali tidak akan menghiraukannya. Tidak sama sekali! Aku menarik nafas lega kerana telah berjaya melepasinya. Hanya beberapa langkah saja lagi aku akan sampai ke meja yang terletak chafing-dish tersebut.
            “Safiah Aisyah Muhammad Irfan!”
            Langkah kakiku terhenti. Aku tergamam, ada suara lelaki yang memanggil nama penuhku. Siapa yang memanggil aku? Lelaki itu ke? Macam mana dia tahu nama aku? Ish… kacaulah kalau macam ni, gumamku. Aku masih membatu di situ. Aku tidak menoleh ke arah suara itu dan aku juga tidak meneruskan langkahku. Aku hanya mampu terpaku di situ.
            Terdengar derapan kaki yang semakin menghampiri. Aku mula berkira-kira, apa yang perlu dilakukan kini. Derap kaki itu makin mendekatiku dan nah… kini lelaki itu telah pun  berada di hadapanku dengan wajah selamba dan memeluk tubuhnya, berlagak macho di depanku. Aku menjuihkan bibir, meluat melihat tingkahnya itu.
            “Safiah Aisyah, right?” Soal lelaki itu sambil memetik dan menghalakan jari telunjuknya padaku.
            Aku hanya memandang wajah lelaki itu tanpa kata. Malas melayan lelaki itu.
            “Jumpa lagi kitakan. Cuma bezanya kali ini, baju awak tak dibasahi peluh gara-gara dikejar anjing.” Ujar lelaki itu lagi, sinis padaku.
            Baju aku basah hari tu sebab kau simbah air kat aku bukan sebab peluhlah, bodoh! Jeritku tapi hanya bergema di dalam hati. Tidak tahu kenapa hari ini aku tidak betah melawan kata-kata lelaki itu.
            So, what should I call you? Aisyah, Syah, Safiah or maybe Safi?” Soal lelaki itu sambil tersenyum-senyum dan memandang tepat ke mataku.
            Bertambah meluat aku mendengar lelaki itu berbicara dalam bahasa Inggeris. Apa sudah tidak tahu berbahasa Melayu lagikah? Konon-konon nampak macholah bila berbahasa Ingeris. “Dah tak reti cakap bahasa Melayu ke?” Soalku pula padanya, walaupun soalan lelaki itu tadi padaku masih belum berjawab dan aku sememangnya tidak ingin menjawab soalan lelaki itu.
            Lelaki itu ketawa besar sebaik sahaja mendengar kata-kataku. Aku membeliakkan matanya, tanda protes dengan tawanya. Aku tidak tahu apa yang kelakar dengan soalanku tadi sampai lelaki itu boleh tergelak sehingga begitu sekali.
            Why? Don’t  you understand English?” Soal lelaki itu lagi. Bertambah galak nampaknya lelaki itu ingin mengenakanku.
            Eleh, apa dia ingat dia aje yang tahu berbahasa Inggeris? Bagiku lelaki itu memang melampau, dia memandang rendah pada diriku. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menjawab soalan-soalannya itu dalam Bahasa Inggeris juga, tapi untuk apa? Saja untuk menunjuk-nunjuk sepertinya? Oh... Aku bukan begitu, prinsipku, aku hanya akan menggunakan bahasa Melayu apabila berbual dengan orang Melayu. Aku tahu kepentingan berbahasa Inggeris pada hari ini, tapi tidak ada salahnya jika kita memartabatkan bahasa ibunda kita sendiri. Bisik hatiku sendiri.
            Aku masih merenung diri lelaki itu dengan renungan tajam, rasanya ingin sahaja aku menelan lelaki di depanku itu hidup-hidup. Biar lenyap terus dari bumi ini.
            “Okaylah, disebabkan awak pun tak faham bahasa Inggeris, biar saya berbahasa Melayu aje lah ya. Maklumlah bahasakan jiwa bangsa, tak gitu?” Makin galak lelaki itu mengenakanku.
            Aku hanya membiarkan suasana sepi seketika.
            “Jadi, apa saya nak panggil awak ni?” Desak lelaki itu terus padaku apabila aku masih lagi mendiamkan diri di depannya.
            “Panggil jelah apa-apa pun, jangan panggil Babun sudah,” kataku dan kemudian berlalu dari terus memandang mukanya. Aku terus menuju ke meja di belakangnya. Sampai saja di meja itu aku mula menyusun kesemua chafing-dish tersebut untuk mengangkatnya.  Hatiku mula ragu-ragu bagaimana lelaki itu boleh mengetahui namaku? Siapa yang memberitahunya? Aku mengerutkan keningku dan otakku kian ligat mencari jawapan yang aku sendiri tidak pasti.
            Hampir terlepas chafing-dish di tanganku apabila tiba-tiba lelaki poyo itu muncul di sisiku. Aku mengurut dada, beristifar di dalam hati.
            “Apasal kerutkan dahi sampai macam tu sekali. Berat sangat ke chafing-dish tu atau awak pelik macam mana saya boleh tahu nama awak?”
            Aku pantas memandang lelaki itu. Bagaimana lelaki itu tahu apa yang sedangku fikirkan pada ketika ini. Lelaki itu mengangkat-angkat keningnya. Arghh… mungkin kebetulan. Aku terus mendiamkan diri dan menyambung semula tugas agar boleh cepat-cepat berlalu dari situ. Malas melayan lelaki yang selalu saja berjaya menyakitkan hatiku.
            “Janganlah jual mahal sangat. Orang tua-tua kata kalau perempuan jual mahal nanti lambat kahwin tau,” usik lelaki itu sambil menyiku lenganku.
            Aku tersentak dengan tindakan lelaki itu. Marahku mula meluap-luap. “Kalau saya lambat kahwin pun apa kena-mengena dengan awak. Suka hati sayalah. Bukannya menyusahkan awak pun,” perliku, makin sakit hatiku apabila lelaki itu masih lagi dengan wajah tenangnya sedangkan aku pula yang makin kelam-kabut menyusun semua chafing-dish itu supaya cepat aku dapat berlalu dari sisinya.
            “Ish… mestilah ada kena-menggena dengan saya. Awakkan pengantin perempuan saya. Tapi masalahnya saya ni jenis tak boleh sabar tunggu lama-lama macam tu,” jawab lelaki itu sambil tertawa kecil di setiap hujung kata-katanya.
            Aku makin geram, lelaki itu makin melampau-lampau. “Eh… siapa nak kahwin dengan awak, jangan nak perasan. Diacu senapang M16 kat kepala saya ni pun saya takkan kahwin dengan awak tau,” balasku sambil menunjal sedikit kepalaku sendiri. Biar lelaki itu faham dan mengerti yang aku sedikit pun tidak berkenan dengannya.
            Lelaki itu masih lagi ketawa dan mengeleng-gelengkan kepalanya. “Jangan bongkak sangat, Tuhan tak suka orang yang bongkak.”
            Aku menjelingnya tajam dan mula mengangkat semua chafing-dish tersebut dan melangkah laju berlalu dari situ. Sedikitpun aku tidak menoleh pada lelaki itu lagi.
            “Kalau macam tu, saya panggil awak Safi ajelah ya.” Laung lelaki itu padaku yang makin jauh daripadanya.
            Aku tahu pasti lelaki itu telah pun mengetahui nama gelaranku memandangkan lelaki itu telah pun mengetahui nama penuhku, tetapi sengaja lelaki itu mahu mempermainkan diriku dengan menanyakan perkara itu. Daripada mana lelaki itu tahu namaku, masih lagi tidakku tahu dan aku tidak mahu ambil tahu lagi tentang itu, biarlah ianya begitu sahaja.
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku masih lagi cuba menenangkan jiwaku sendiri, amat susah untukku menenangkan diri apabila selesai berbicara dengan lelaki itu. Terasa seperti amarahku tidak akan pernah padam untuknya.

Bersambung...

Tuesday, June 21, 2011

Ada Di Hati - Bab 1


SATU
PAGI itu, aku berlari dengan sekuat hati, peluh mula merintik di dahi. Sambil berlari, sempat juga aku menoleh ke belakang, melihat anjing yang masih lagi dengan penuh semangat mengejarku. Aku mula panik, dalam kiraanku anjing itu mulai dekat dengan diriku saat ini. 
            Otakku mula ligat mencari jalan bagaimana untuk melarikan diri daripada anjing gila itu. Mujurlah pagi itu, pagi ahad. Ramai penghuni di kawasan perumahan itu masih lagi tidak bangun daripada tidur. Kalau pada hari biasa, pasti pada waktu ini banyak mata yang sedang melihat bagaimana bersusah payahnya aku melarikan diri daripada anjing durjana itu.
            Dari mana datang anjing itu, aku sendiri pun tidak pasti. Tapi yang pastinya sewaktu aku sedang berjoging dan sampai di taman permainan kawasan perumahan ini, anjing itu mula mengejarku. Aku mula berfikir apa yang menyebabkan anjing itu mengejarku? Apa salah aku padanya? Aku ada menganggu ketenteramannya ke? Rasanya tak ada. Buat apa aku nak menganggu  haiwan yang paling aku tak suka itu.
            Salakkan anjing itu semakin lama semakin kuat kedengaran di telingaku. Aku tidak sanggup untuk menoleh ke belakang lagi, takut melihat anjing itu menyeringai ke arahku. Sampai sahaja di simpang jalan aku melihat ada sebuah rumah yang tidak menutup pintu pagarnya. Tanpa berfikir panjang aku terus masuk ke dalam porch rumah terbabit dan menutup rapat pagar rumah itu, menghalang anjing itu mendekati diriku.
            Aku menarik nafas lega apabila melihat anjing itu hanya mampu menyalak di depan pagar terbabit tanpa mampu melangkau pagar rumah yang agak tinggi itu. Nafasku tercunggap-cunggap sambil melihat anjing itu dan anjing itu masih terus menyalak ke arahku.
            “Padan muka, ada hati nak kejar aku, tolong sikit aku juara lumba lari 100 meter tau kat sekolah dulu,” bebelku sendirian.
            Aku mula mencari jalan bagaimana untuk menghalau anjing itu dari depan pagar rumah terbabit. Bukannya apa, takut nanti tuan rumah itu bangun dan melihatku berada di depan rumahnya, pasti kecoh jadinya. Aku mula menoleh di sekeliling untuk mencari apa-apa yang boleh dijadikan alat untuk menghalau anjing itu. Aku tersenyum apabila melihat sebatang kayu mop terletak di tepi tembok berdekatan pagar. Aku mula menuju ke tembok di sebelah kiri untuk mengambil batang mop itu.
            Belum sempat batang kayu mop itu kucapai, terdengar anjing itu menyalak dengan lebih kuat. Pantas aku menoleh dan melihat anjing itu yang telah mencicit melarikan diri apabila disimbah air oleh seorang lelaki yang sudah pastinya tidakku kenali.  Aku lihat lelaki itu masih lagi memerhatikan anjing yang melarikan diri. Dan aku pula, masih merenung lelaki baik yang telah membantuku lalu melangkah menghampirinya. Aku terus tersenyum panjang, nasib baik ada lelaki ini.
            Sebaik sahaja lelaki itu menoleh ke arahku, air yang keluar melalui paip air yang dipegang lelaki itu menyimpah badanku, bukan sikit tetapi hampir keseluruhan badanku kini telah basah. Aku terperanjat apabila melihat baju t-shirtku yang berwarna putih habis lencun terkena air. Aku mula mengangkat wajah dan merenung wajah lelaki itu.
            “Opsss… Sorry, I don’t mean it…” ujar lelaki itu sambil tersenyum lebar seperti tiada apa-apa yang berlaku pada diriku.
            Aku mula merengus marah, melihat pada senyuman lelaki itu ketika ini. Aku tahu dia memang sengaja menyimbah air itu padaku. Mustahil lelaki itu tidak nampak aku yang berdiri terpacak di sini. Sengaja nak cari pasal dengan aku agaknya.
            “Memang suka main kejar-kejar dengan anjing, ke? Salah satu hobi awak ke? Anywhere, this is a first time saya tengok orang main kejar-kejar dengan anjing.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum ke arahku.
            Aku mengetap gigi menahan geram yang mula bersarang di hati. Pada mulanya aku fikir lelaki itu ikhlas ingin membantuku, tetapi ternyata langsung tidak nampak keikhlasan di wajah lelaki itu pada ketika ini.
            “Ha’ah kenapa? Ada masalah ke?” Soalku pula sinis sambil mula mengatur langkah untuk berlalu dari rumah itu.
            “Aik! Blah macam tu je.”
            Aku pantas menoleh ke belakang apabila lelaki itu mula bersuara. Aku merenung tajam lelaki yang memakai t-shirt kelabu dan seluar pendek paras lutut itu. Beberapa meter di belakang lelaki itu terdapat sebuah motor TZM dan sebuah baldi di sebelah motor itu. Agaknya lelaki itu sedang membasuh motornya di situ sewaktu aku mula memasuki rumah itu. Aduh, macam mana aku boleh tak perasan dia ada kat situ masa aku masuk rumah ini tadi.
            “Hmm… hm…”
            Lamunanku terhenti bila mendengar lelaki itu berdehem berulang kali.
            “So, anything did you want say to me, sweet girl?”
            Meluat betul rasanya bila mendengar soalan itu. “Nak cakap apa pulak?” Soalku pula, malas untuk bermanis bahasa dengan lelaki ini.
            “Anything…” Balasnya acuh tak acuh.
            “Terima kasih.” Aku pula yang membalas acuh tak acuh dan mula berpusing untuk melangkah pergi.
            “Terima kasih je?” Soal lelaki itu sambil menghalangku daripada terus melangkah.
            Aku yang terperanjat mula berundur setapak ke belakang apabila lelaki itu begitu rapat denganku saat ini. “Iyalah, habis tu nak cakap apa lagi?” Nada suara mula kurendahkan apabila melihat wajah lelaki itu ketika ini yang begitu serius memandang tepat ke wajahku. Aku mula kecut perut dan sepantas kilat aku cuba berfikir mencari jalan untuk cepat berlalu dari rumah ini, pandangan lelaki itu ketika ini betul-betul membuatkan aku rimas dan lemas.
            “Tak adalahkan, penat-penat saya tolong awak tadi, I guest you want to tell me your name or your phone number or something like that.”
            Dasar buaya tembaga, jeritku yang hanya mampu bergema di dalam hati.
Lelaki begini memang tidak boleh dilayan, jika dilayan makin menjadi-jadi. “Aik! Mengungkit nampak, macam tak ikhlas je?” Aku mula meninggikan nada suaraku semula, perasaan takut tadi kubuang jauh. Lelaki sebegini memang tidak boleh diberi muka.
            “Bukan mengungkit atau tak ikhlas tapi at least saya nak juga sedikit faedah daripada kebaikan yang saya buat tadi?”
            “Kita ni kalau nak tolong orang jangan nak minta balasan. Kalau minta balasan juga, tu dah dikira tak ikhlas namanya, faham?” Ujarku dengan penuh berani dan sambil itu tanganku mula membuka pintu pagar rumah tersebut dan terus berlalu meninggalkan lelaki itu dan rumahnya, tanpa menoleh ke belakang lagi.
            Aku melangkah laju menuju pulang ke rumah Kak Diah yang turut berada di kawasan perumahan yang sama. Sudah malas rasanya untuk menyambung jogingku yang tergendala kerana anjing itu. Moodku juga hilang entah ke mana lebih-lebih lagi selepas bersua muka dengan lelaki yang boleh dikategorikan sebagai lelaki poyo.

KAKIKU mulai terasa lenguh yang teramat di saat ini. Sudah dua jam aku berjalan menemani Kak Diah membeli pelbagai persiapan untuk majlis kenduri kahwin pelanggannya yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Oleh sebab anak pelanggan atau merangkap kawan baiknya berkahwin minggu hadapan, maka Kak Diah telah dilantik menjadi perunding perkahwinan tersebut memandangkan Kak Diah sendiri mempunyai butik Andaman pengantin terkenal di kawasan Cheras ini. Semua persiapan perkahwinan tersebut akan diuruskan oleh Kak Diah, daripada soal baju pengantin hinggalah ke katering. Kak Diah memang pandai berniaga. Satu masa dahulu dia hanya mempunyai sebuah butik Andaman pengantin, tetapi kini dia sudahpun mempunyai perkhidmatan katering yang akan menguruskan katering untuk pelbagai majlis.
            Majlis itu akan diadakan dua hari, hari pertama akan berlangsung akad nikah dan hari kedua akan berlangsung majlis persandingan. Semuanya akan diuruskan oleh Kak Diah sambil dibantu sedikit sebanyak oleh tuan rumah.
            Aku pula memang menjadi pekerja sambilan Kak Diah selepas tamat konvokesyen sebulan lalu. Dengan hanya berbekalkan diploma sains kesetiausahaan, amat sukar bagiku untuk mencari kerja pada waktu ini. Bagiku daripada duduk sahaja di rumah dalam keadaan bosan, lebih baik aku bekerja dengan Kak Diah, dapat juga sumber pendapatan walaupun tidak sebanyak mana.
            Makin mencucuk pula rasa lenguh di kakiku ini. Nasib baik pagi tadi aku berjoging tidak sampai 15 minit jika tidak rasanya sudah tercabut kakiku petang ini. Selalunya aku akan berjoging sekurang-kurangnya 45 minit tapi gara-gara anjing gila dan lelaki poyo plus berlagak yang aku jumpa pagi tadi, hilang terus moodku untuk meneruskan larian.
            Huh, terbayang sahaja muka lelaki poyo itu di ruang mataku membuatkan hatiku bertambah sakit. Eee… geram gila rasanya dengan lelaki poyo itu. Nak menolong tapi tak ikhlas, dahlah habis baju aku basah dikerjakannya. Geram tahap tak ingat dah aku pada dia kini.
            Lamunanku tersentak apabila Ikin menyiku tangan kiriku. Aku mula memandang Ikin di sebelah, muncungnya sudah panjang sedepa kerana terpaksa mengangkat banyak barang. Ikin merupakan kawan baikku, dari sekolah rendah kami telah berkawan sehingga di sekolah menengah.
            Muncung Ikin yang panjang itu membuatkan aku tertawa kecil. Lupa terus aku pada lelaki poyo tu.
            “Safi, aku penatlah. Kau tak penat ke?” Soal Ikin padaku dengan muncungnya yang masih lagi sedepa ke depan.
            “Mestilah penat dari tadi berjalan mana ada rest langsung.” Gumamku pula menyokong kata Ikin. Siapa yang tak penat jika berjalan dari satu shopping compleks ke satu shopping compleks semata-mata untuk mencari beberapa meter kain dan bunga. Barang utama yang dicari masih lagi tidak dibeli tetapi barangan yang tiada dalam senarai pula yang berlambak-lambak dibeli, dan yang menjadi mangsa mengangkut semua barang itu tak lain dan tak bukan tentunya aku dan Ikin.
            “Kau suruhlah kak Diah rest sekejap, aku dah tak larat ni. Tekak pun dah haus. Kalau terus macam ni, unta pun boleh mati tau.” Marah Ikin bersungguh-sungguh pada kakak kandungnya yang sudah meluncur laju ke depan meninggalkan aku dan Ikin di belakang.
            “Eh, kan kakak kau tu, kaulah yang suruh aku ni pekerja sambilan je tau.” Luahku pula. Pandai sungguh Ikin membuat lawak bodoh, takkan aku yang hanya makan gaji ini hendak mengarahkan majikan, lainlah Ikin, diakan adik kandung Kak Diah walaupun  merangkap pekerja Kak Diah juga.
            “Alah, tolonglah. Kak Diah tu kalau aku cakap dia mesti tak layan punya. Tolonglah Safi.” Rayu Ikin. Ikin tahu akaknya itu tidak akan menuruti kehendaknya itu.
            Aku hanya mengeleng berkali-kali, betul-betul tidak mahu.
            “Alah lecehlah kau ni Safi.” Rungut Ikin dan kemudian berlari-lari anak mengejar kakaknya itu. Aku pun turut melajukan langkah kaki mengekori Ikin. Sampai saja Ikin di belakang kakaknya itu, tangan kakaknya dicapai untuk memberhentikan langkah kakaknya.
            “Kak Diah rehatlah dulu penatlah. Akak tak penat ke dari tadi berjalan. Ikin penatlah, haus tau tak. Safi ni pun hah… macam nak tercabut lutut gayanya tau.”
            Aku pantas menampar lembut bahu Ikin, nama aku pula yang dijaja sedangkan dia yang merunggut dari tadi. Tapi betul juga kata-kata Ikin itu, memang macam nak tercabut lutut aku dibuatnya. Mana tidaknya, pada mulanya berpusing-pusing di sekitar Semua House kemudian ke Sogo serta Pertama Kompleks lepas itu ke Maidin dan kini berpatah balik semula ke Semua House tetapi barang yang ingin kak Diah beli masih lagi tidak jumpa.
            “Alah macam akak tak tau, Ikin tu yang sebenarnya lebih-lebih. Safi tak kata apa pun.” Kak Diah cuba membela diri.
            Aku cuma mampu tersenyum, malas nak mencampuri pertelingkahan dua beradik itu.
            “Yelah kalau ye pun duduklah rehat dulu. Minum-minum ke? Kalau kitaorang pengsan kejap lagi siapa nak tolong kak Diah bawa barang-barang tu semua?”
            “Yelah, yelah… membebel macam mak nenek. Jom Safi kita pergi minum,” ajak Kak Diah dan Kak Diah mula menarik tanganku.
            Aku menuruti langkah Kak Diah, Ikin mencebik, memandangku dan kak Diah. Marah Ikin pada kak Diah belum lagi reda. Aku hanya mampu mengeleng melihat telatah kedua-dua beradik itu. Suka sangat menyakat antara satu sama lain.
            Sampai sahaja di medan selera yang tedapat di dalam kompleks Semua House aku terus duduk di kerusi makan itu dan memandang pinggan kotor yang masih belum berangkat. Keadaan medan selera yang penuh sesak dengan orang ramai itu mungkin menyebabkan tukang bersih di medan selera itu sibuk dan tidak sempat membersihkan meja tersebut. Untuk mencari meja lain aku sudah tidak sanggup, melihat begitu ramai orang di situ menjadikan aku begitu pasti tiada lagi meja kosong.
            “Ish… kotornya meja, mana tukang cuci ni. Tak buat kerja ke?” Marah Ikin yang kini telah duduk di sebelahku.
            “Cubalah bawa bersabar, tak nampak ke ramai orang. Kejap lagi dorang kemaskanlah meja ni.” Celah Kak Diah, nyata tidak gemar dengan perangai adiknya yang tidak tahu bersabar itu, semuanya nak cepat.
            “Ish… leceh betullah, Ikin nak pergi tandas dululah. Safi jom…”
            “Malaslah Ikin, kau pergi jelah ye. Aku penatlah.” Tolakku, baru sahaja duduk malas mahu bangun.
            “Alah pergi jelah sendiri yang nak ajak-ajak Safi buat apa? Kan Ikin juga yang cakap tadi lutut Safi tu dah macam nak tercabut, takkan nak suruh dia berjalan lagi?” Perli Kak Diah pada Ikin.
            Ikin mula menarik muka apabila ditegur oleh kakaknya itu. Akhirnya dia pergi juga ke tandas seorang diri. Aku mula berasa simpati pada Ikin tapi aku betul-betul sudah tidak larat. Ikin memang selalu begitu tidak sabar dan cepat merajuk. Amat berbeza sekali dengan Kak Diah yang begitu penyabar orangnya. Aku mula memandang sekeliling mencari-cari tukang cuci supaya meja ini cepat dibersih sebelum Ikin balik dari tandas dan meradang dengan lebih dasyat lagi.
            Aku terkedu apabila melihat ke meja yang paling hujung. Haris… berada di situ dengan seorang wanita lain di sisinya dan mereka kelihatan begitu mesra sekali.  Haris aku perhatikan memeluk pinggang wanita itu dengan erat. Aku mula panik, apa yang perlu dilakukan saat ni. Jika Ikin nampak apa yang sedang aku lihat ini, pasti perang dunia akan meletus antara Ikin dan teman lelaki kesayangannya itu. 
            “Safi… Safi…”
            Aku pantas menoleh pada Kak Diah apabila dia berulang kali memanggil namaku.
            “Akak nak pergi beli makanan ni Safi nak makan apa?”
            “Apa-apa jelah kak, ikut suka akak.”
            “Betul?”
            Aku menganggukkan kepalaku pada Kak Diah tapi mataku masih lagi tertumpu pada Haris dan wanita di sisinya itu.
            “Okay Safi tunggu sekejap ye.” Ujar Kak Diah dan berlalu dari situ.
            Aku memandang Kak Diah sekilas kemudian memandang ke arah Haris semula yang kini sudah mula bangun bersama wanita itu lalu berlalu dari situ. Mataku masih lagi mengiringi setiap pergerakkan Haris sehingga mereka hilang dari pandangan. Aku mula menarik nafas lega. Hatiku benar-benar lapang kini. Aku pun tidak tahu mengapa, mungkin kerana aku takut Ikin terserempak dengan Haris, pasti hati Ikin akan hancur luruh kerana teman lelaki yang begitu dipercayainya curang di belakangnya.
            Itu bukan kali pertama aku ternampak Haris dengan wanita lain, masuk kali ini sudah tiga kali. Dan setiap kali terserempak dengannya pasti wanita yang berada di sisinya berlainan. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kenapalah aku yang nampak semua perlakuan jahat Haris di belakang Ikin. Mengapa bukan Ikin sendiri? Nak bagi tahu Ikin atau tidak? Tapi Ikin percaya ke dengan apa yang akan aku ceritakan pada dia nanti?
            Arghhh… Aku mula buntu. Kalau aku beritahu Ikin perkara yang sebenar pun mungkin Ikin tidak akan mempercayainya kerana Ikin begitu menyayangi dan mempercayai Haris. Tetapi jikalau aku tidak menceritakan pada Ikin, pasti Haris akan terus mempermainkan cinta Ikin. Ishh… tak tahulah nak buat apa sekarang ni, buntu rasanya akal.
            “Aik tak kemas lagi meja ni ke? Hish… ni yang aku nak mengamuk ni.”
            Aku menoleh ke sebelah, Ikin sedang memandang ke segenap pelusuk medan selera itu sambil mencekak pinggang, lagak seorang bos yang sedang mencari pekerjanya yang sedang mencuri tulang. Marah benar Ikin kali ini.
            “Sabar Ikin jangan marah-marah kat sini malu kat orang tengok. Kita pindah meja sana, meja tu bersih. Dah jom.” Aku memujuk Ikin, takut pula kalau-kalau Ikin mengamuk di medan selera itu. Aku menarik tangan Ikin dan menuju ke meja yang aku maksudkan tadi.
            “Ikin aku tanya sikit kau jangan marah ye,” soalku sewaktu kami telah duduk di meja itu.
            “Ish, takkanlah kau tanya aku nak marah. Kau ni buang tabiat apa?” Balas Ikin tapi jarinya masih lagi menekan-nekan telefon di tangannya.
            “Kenapa kau macam tak ada mood je aku tengok hari ni? Dah tu asyik marah-marah tak tentu pasal.”
            “Tak adalah, si Haris ni, dari pagi aku call asyik tak dapat je. Sms pula tak berbalas. Sakit betul hati aku,” jawab Ikin, geram.
            Aku menelan liur. Nak bagi tahu sekarang, ke? Aku mula berkira-kira di dalam hati. Hendak beri tahu ataupun tidak? Arghhh… beri tahu jelah janji aku dah menjalankan tugas aku sebagai seorang kawan. Aku tidak mahu kawan baikku terus ditipu oleh teman lelakinya. Tekad sungguh aku kali ini.
            “Ikin sebenarnya aku…”
            “Makanan dah sampai. Ikin pergi beli air. Nah ambik duit ni.” Perintah kak Diah setelah meletakkan dulang makanan di atas meja.
            “Alah Kak Diah ni dah beli makanan belilah sekali airnya, pemalas betullah.” Gerutu Ikin tetapi masih tetap mengambil duit di atas meja itu dan bangun.
            “Ewah… kita pulak yang dikatanya pemalas,” balas Kak Diah sambil menjeling tajam adiknya yang telah berlalu itu.
            Aku sedikit kecewa, belum sempat menceritakan hal yang sebenar pada Ikin, Kak Diah telah muncul dan memotong percakapanku. Tak apa esok masih ada, pujuk hatiku sendiri.

Bersambung...

Monday, June 20, 2011

SURPRISE!!!

Assalamualaikum semua.

Entry kali ini hanyalah sebuah entry yang pendek kerana tujuaan AH menuliskan entry ini adalah untuk memaklumkan bahawa AH dengan rasa rendah hati akan menyiarkan E-Novel terbaru AH di blog AH ni, berkuatkuasa 22 JUN 2011. Dan yang istimewannya, E-novel kali ini akan disiarkan secara keseluruhan ceritanya di blog AH tanpa perlu menunggu ianya diterbitkan di pasaran kerana AH memutuskan untuk tidak menerbitkan E-Novel ini. Jadi Hanya Eksklusif di blog AH sahaja. 

Sebagai salam perkenalan, AH sertakan kat bawah ni, cover novel (Special thanks to Simply Art Studio) dan sinopsisnya untuk tatapan semua pengujung setia blog AH. 100% love story, khas buat semua pembaca. Semoga sukakannya.

MEMPERSEMBAHKAN



Safiah Aisyah hanyalah gadis biasa, baginya tiada apa yang istimewa dalam dirinya, dia sama saja seperti gadis-gadis yang lain.  Hidup diteruskan seperti biasa sehingga hadir Zafril Adli dalam hidupnya yang berjaya menyemakkan kotak fikirannya dengan perangai yang amat menyakitkan hati.

“Buaya Tembaga,” luahku.
 “Amboi eksotiknya gelaran yang awak bagi untuk saya,” kata Zafril dengan tawa yang masih bersisa.

Sakit hatinya pada lelaki itu tiada penghujungnya. Dia paling benci dengan ‘Buaya Tembaga’ itu. Mujur hadir lelaki itu dalam hidupnya hanya sekadar persinggahan sementara. Dan hidupnya kembali tenang tanpa wajah, senyuman, suara dan tawa lelaki itu.

Bertahun Zafril Adli hilang daripada hidupnya dan sekalipun bayang lelaki itu tidak lagi hadir dalam harinya. Namun tidak disangka lelaki yang pernah dibencinya kembali muncul mewarnai hidupnya dan kini cuba memikat hatinya dengan pelbagai cara.

Safiah Aisyah buntu. Perlukah dia menerima lelaki itu sedangkan lelaki itu teman lelaki kawan baiknya sendiri? Apa perasaannya terhadap lelaki itu? Bagaimana pula dengan Qistina Shania yang turut menaruh perasaan pada Zafril Adli? Dan masakan dia dapat melangkahi prinsip hatinya yang tidak akan sesekali menerima cinta ‘Buaya Tembaga’ seperti Zafril Adli itu... 


Nantikannya....

Salam Sayang

Tuesday, June 14, 2011

Menanti Semua Pembaca

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pengunjung blog AH. Terima kasih kerana tetap sudi singgah ke blog AH. Alhamdulillah, AH telahpun menyusun jadual karya AH yang bakal AH kongsikan di blog AH ini. Semoga karya-karya yang bakal menyusul ini mendapat tempat di hati semua pembaca setia karya2 AH. Siapapun anda, dimanapun anda, Terima kasih atas sokongan yang menjadi tulang belakang AH untuk terus berada dalam bidang penulisan ini. Terima Kasih!


Khas buat pembaca setia yang merindukan Ra'if Arjuna dan Puteri Mahkota Nur Shaafiah. Nantikan karya ini pada 30 JUN 2011. Selami perasaan Ra'if Arjuna yang tidak pernah diketahui sebelum ini. 

___________________________________________________________



Istimewa buat pembaca tegar JDC. Nantikan kisah zaman universiti antara Nysa Sakinah dan Farish Aqil. Sama-sama selami kisah suka, duka mereka berdua. Akan menemui anda pada 5 SEPTEMBER 2011.

___________________________________________________________



E-Novel terbaru daripada saya akan mula menemui anda pada 30 SEPTEMBER 2011. Sebuah kisah santai untuk hiburan semua. Jangan lupa temujanji kita.


Sekian saja jadual karya AH untuk dikongsi bersama semua rakan pembaca. Selamat membaca!


Salam Sayang,

Friday, June 3, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 20


DUA PULUH
Sepanjang perjalanan aku tidak berkata apa-apa. Selama itu jugalah Aqil turut  tidak bersuara. Lebih senang begitu. Hatiku akan rasa lebih lega. Mujur Aqil tidak bercerita langsung tentang Lily sepanjang perjalanan itu. Sampai saja di rumah, aku terus naik ke bilik. Laju langkah aku aturkan, tidak mahu terus ada bersama Aqil. Risau, lambat laun Aqil akan membuka cerita juga akhirnya.
“Nysa, tunggu sekejap. Abang ada hal nak cakap sikit.” Aqil membuka kerisauan hati.
            Terpaksa juga aku berhenti. Seperti selalu hati mula mentafsir sesuatu yang belum pasti. Rasa tidak sedap mendengar ayat terakhirnya itu. Ada hal nak dicakapkan? Apakah halnya? Mungkinkah mengenai Lily? Adakah dia ingin meminta keizinan aku untuk menikahi Lily? Hati wanitaku terasa bagai dicincang halus saat itu. Apa yang harus aku perkatakan andai benar apa yang aku fikirkan itu?
            “Duduk dulu.”
            Arahan itu menghantar aku terus ke ruang tamu. Aku mula duduk di situ dan mendiamkan diri. Menunggu saja Aqil meluahkan segala. Jantungku berdegup hebat, seperti sudah tidak mampu lagi memperlahankan rentaknya.
            “Ada dua perkara yang abang nak cakap pada Nysa” Aqil mula bersuara. Ada senyuman di bibirnya
“Tapi sebelum tu, nah... ambil ni. Dah lama frame gambar ni terbiar atas meja makan tu. Tapi Nysa, jangan kata nak tanya apa yang abang beli, nak tengok pun tak nak.” Aqil menyerahkan kepadaku beg plastik putih yang diletakkannya di atas meja makan pada malam Hadif menghantar aku pulang ke rumah ini.
“Nanti, bila Nysa dah letak gambar Nysa, bagi balik pada abang.” Aqil tersenyum lagi.
Dapat aku rasakan dia dalam mood gembira saat ini. Tidak pernah senyumannya seceria itu. Mungkin berita yang dibawa oleh Nani petang tadi telah membuatkan Aqil kembali tersenyum gembira. Itu belum lagi Lily muncul di depan mata.
Aku renung lama bingkai gambar berwarna biru yang aku keluarkan daripada kotaknya itu sambil memikirkan, perlukah aku meletakkan gambarku di dalam biliknya? Takut pula kalau gambarku itu nanti bakal menambahkan lagi beban di dadanya. Tiba-tiba saja teringat catatan Aqil yang aku baca tempoh hari. Kan bagus kalau Nysa... Ayat itu tidak sempat aku habiskan. Tapi rasanya aku mampu menyambung ayat itu sendiri. Kan bagus kalau Nysa pergi daripada hidupku, menyusahkan saja! Mungkin itulah ayat penuhnya.
            “Nysa.”
            Panggilan Aqil mematikan lamunanku. “Nysa tak ada gambarlah, Abang Aqil. Semua ada kat rumah ayah.” aku berikan alasan yang wajar. Berkeputusan untuk tidak terus menjadi penganggu ruang hidupnya.
“Abang Aqil simpanlah dulu frame ni.” Aku kembali memasukkan bingkai gambar itu ke dalam kotaknya lalu meletakkannya di atas meja kopi, dekat dengan Aqil. “Hal apa yang Abang Aqil nak cakap pada Nysa?” aku teruskan dengan agenda sebenar. Tidak mahu terlalu lama duduk berdua dengan dirinya.
            “Okey.” Aqil menarik nafas dalam, membuatkan debaran kian kuat aku rasakan. “Perempuan yang kita jumpa petang tadi tu, sebenarnya best friend Lily. Since Nysa dah tahu apa yang Nani nak ceritakan pada abang, abang rasa ada baiknya abang ceritakan pada Nysa semuanya.”
            Nafasku tersekat mendengarkan itu. Bersediakah aku untuk mendengar semuanya? Aku ajukan soalan itu pada hatiku sendiri. Kenapa kaki terasa mahu melangkah jauh, pergi saat itu juga? Adakah itu bermakna aku tidak rela mendengar apa-apa tentang Lily? Tapi bukankah aku yang beria-ia mencari dirinya?
            “Abang nak Nysa dengar dan faham betul-betul. Yang sebenarnya Lily...”
            “Abang Aqil!” segera aku pintas katanya. Tidak sanggup mendengar apa-apa. Aku takut air mata akan jatuh menitis saat itu juga. “Abang Aqil tak perlu cerita apa-apa pada Nysa pasal Lily. Nysa dah lama faham. Nysa tak akan cakap apa-apa walau apapun keputusan Abang Aqil. Nysa terima seadanya. Nysa dah katakan dari awal, Nysa cuma nak Abang Aqil bahagia. Itu janji Nysa.” aku pandang tepat mata Aqil ketika menyatakan itu. Aku mahu Aqil betul-betul faham bahawa aku tidak bermain dengan setiap patah kata yang aku luahkan.
            Aqil hanya mampu memandangku. Lidahnya seakan kelu mendengar kata-kataku itu. Aku segera mengalihkan pandangan. Tidak mahu terus masuk ke dalam jiwa Aqil yang bukan untukku.
            “Apa perkara kedua yang Abang Aqil nak cakapkan?”  pantas aku menutup ruang yang ada. Tidak mahu kisah Lily terus menerus dibicarakan. Aqil pula menundukkan wajahnya seketika.
            “Tak ada apa yang penting. Abang cuma nak minta maaf pada Nysa.”
            Aku menarik nafas lega. Tidak ada apa yang perlu aku risaukan tentang perkara kedua itu. “Sejak Nysa kenal Abang Aqil, Nysa dah ingatkan diri Nysa untuk maafkan setiap kesalahan Abang Aqil. Jadi Abang Aqil jangan risau.” aku tunjukkan senyuman agar Aqil tidak dapat melihat garis luka dan duka yang ada.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Nysa naik dululah, Abang Aqil,” Aku bingkas bangun, senyuman tetap ada menemani bibirku.
            “Kalau Nysa betul-betul maafkan abang, abang nak Nysa minta sesuatu yang boleh melegakan hati abang.”
            Baru saja aku mahu melangkah. Namun kata-kata yang keluar daripada mulut Aqil itu membuatkan langkahku kaku serta merta. Aqil turut bangun dari duduknya dan mula berdiri di hadapanku, merenungku dengan renungan tajam.
 “Jangan buat permintaan yang bukan-bukan lagi. Kali ni, Abang nak Nysa minta sesuatu yang berpihak pada Nysa.” Aqil masih dengan kata-katanya. 
            Aku menjadi binggung. Kenapa pula Aqil mahu melakukan itu? Renungan matanya itu cukup jelas menggambarkan bahawa aku harus juga melakukan seperti mana pintanya.
“Jangan suruh Nysa  buat apa-apa permintaan lagi. Nysa tak nak apa-apa pun.” aku menolak. Sudah jelak dengan permintaan demi permintaan yang terpaksa aku buat. Namun tak ada satu pun yang tertunai. Jika bukan Aqil yang menolak untuk menunaikan permintaanku itu, pasti aku yang akan menyebabkan itu berlaku. Permintaan demi permintaan yang aku buat hanya menambah beban Aqil. Jadi aku ingin menghentikan perbuatan bodoh itu.
            “Itu maknanya, Nysa tak maafkan abang.” ayat Aqil itu memerangkapku.
            “Abang Aqil tak ada salah apa pun. Kenapa pula Nysa nak kena buat permintaan.” aku mempertahankan pendirianku untuk mengakhiri semua itu.
            “Tapi hati abang tak senang. Mintalah apa pun, abang janji, abang akan tunaikan.” Aqil bersungguh dengan katanya dan aku pula mula rimas. Tidak ada cara lain. Selain meminta sesuatu yang tidak mungkin mampu ditunaikan olehnya. Aku tahu, saat ini, aku harus melakukan itu.
            “Betul abang Aqil akan tunaikan semua permintaan Nysa?” aku memulakan rencana.
            “Apa pun!” dengan yakin Aqil membalasnya.
            “Nysa nak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri Abang Aqil untuk tempoh satu hari, boleh?” aku luahkan permintaan yang pastinya sukar untuk dia tunaikan itu.
            Seperti yang sudah aku jangka, Aqil terkejut dengan permintaanku itu. Terdiam dirinya di situ.
            “Untuk satu jam?” aku cuba bertolak ansur. Mungkin satu hari itu adalah tempoh masa yang terlalu lama untuknya. “Kalau satu hari tak boleh, satu jam pun tak boleh, boleh tak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri untuk satu minit?” aku terus menyerang Aqil dengan kata-kataku. Aku tahu Aqil tidak mampu melakukan itu. Lebih-lebih lagi, kini Lily semakin hampir dengan dirinya. Mustahil untuk dia menunaikan permintaanku itu.
            “Permintaan sekecil ni pun Abang Aqil tak mampu nak tunaikan. Jadi Nysa harap lepas ni, Abang Aqil tak suruh Nysa buat apa-apa permintaan lagi. Nysa cuma nak Abang Aqil tahu, bukan semua permintaan yang ada kita mampu tunaikan.” aku segera berjalan, meninggalkan Aqil di situ. Aku rasa semua itu sudah cukup membuatkan dia sedar bahawa dia tidak mampu memaksa dirinya melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak suka.
            Ada rasa kecewa bersarang di jiwa. Mengapa itu yang aku rasa sedangkan permintaan yang aku buat itu sekadar untuk menyedarkan Aqil? Kenapa pula ada rasa sengsara? Mungkinkah kerana permintaan itu adalah apa yang sebenarnya ada dalam hatiku? Pintu bilik aku tutup rapat. Kemudian aku rebahkan diri di atas katil. Sudah aku cuba bertahan, tapi air mataku tetap juga mahu mengalir.

AKU menadah tangan, menghadap yang Maha Pencipta. Hanya Dia tempat terbaik bagi mengadukan semua yang aku rasa. Hanya Dia yang mengetahui setiap apa yang aku tanggung.
            “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya engkaulah tempat bagiku memohon pertunjuk. Hambamu ini buntu, Ya Allah. Setiap jalan yang ada terasa kian jauh dari ketenteraman jiwa. Ya Allah, aku tidak mampu menjadi seorang isteri seperti mana mahuMu. Isteri yang membahagiakan seorang suami ketika adanya duka, yang menenangkan seorang suami saat munculnya derita. Aku tidak mampu membuatkan dia terus merasa nikmatnya alam rumahtangga.”
”Maka janganlah Engkau membiarkan suamiku terus menangung beban di jiwa dengan meletakkan aku di sisinya. Aku redha dengan setiap ketentuanMu. Bantulah diriku Ya Allah. Tunjukkan aku jalan yang patut aku lalui agar tak ada lagi hati-hati yang luka dan derita. Andai sudah Kau takdirkan aku bukanlah suri hidupnya, binalah jarak yang dapat memisahkan kami berdua. Dan satukanlah dirinya dengan insan yang ada di hatinya.  Aku merayu padaMu Ya’Allah, kirimkan bahagia bersamanya. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menghampakan setiap hambaMu yang berdoa. Maka perkenankanlah permintaaku ini Ya’ Allah. Hanya Engkau tempatku memohon pertolongan. Amin.” air mata menitis laju saat aku memohon semua itu. Sesungguhnya apa yang aku pohonkan itu adalah ikhlas dari hatiku. Sudah aku tetapkan untuk redha dengan setiap ketentuannya.
            Seusai berdoa, aku tenangkan hati dengan membaca baris-baris kalimah yang mampu memberikan kekuatan buatku. Allah memilih aku untuk menggalas dugaan berat ini dan aku takkan berhenti berjalan walau apapun rintangan yang terpaksa aku tempuhi.
Andai benar Aqil tidak pernah tercipta untuk diriku, maka saat ini aku sudah bersedia melepaskan dirinya daripada hidupku buat selama-lamanya. Aku tidak akan meminta lagi Aqil untuk terus ditetapkan untukku. Mula ada kesedaran dalam hati. Apabila adanya cinta, itu tidak bermakna harus bersama. Jam meja tinggal beberapa minit lagi menjelang pukul 6 pagi. Harapanku, pagi yang bakal menjelma dengan sinaran mentari itu akan memberikan sedikit harapan buat Aqil.

MATA aku buka perlahan. Kemudian aku segera bangun. Tidak terduga aku boleh terlena di atas sejadah itu. Jam di atas meja aku jeling sekilas. Sudah hampir pukul 8.00 pagi. Aku segera menanggalkan telekung dan melipatnya. Sudah terlewat untuk ke universiti. Hari ini kelasku bermula seawal pukul 8.30 pagi. Mustahil bagiku untuk tiba dalam masa setengah jam lagi walhal aku belumpun bersiap. Sarapan pagi juga tidak sempat aku sediakan. Aku mula marah pada diri sendiri. Pasti Aqil sudah ke tempat kerja tanpa sarapan. Rasa bersalah muncul lagi.  
            Aku segera menuruni anak tangga, laju sekali. Risau akan bertambah lewat memandangkan aku harus ke univerisiti dengan menaiki teksi. Keretaku hanya akan siap pada hari esok seperti mana yang dimaklumkan oleh tuan bengel kenderaan tempoh hari. Maka aku sudah tidak boleh membazirkan masa lagi. Aku melintasi ruang makan untuk terus sampai ke muka pintu.
            “Nysa, tunggu.” Aqil menyapa membuatkan aku terpaksa berhenti daripada terus melangkah. “Abang dah sediakan sarapan pagi ni, makanlah dulu...” Aqil berdiri di sisi meja.
Mataku mula memandang hidangan yang ada di atas meja. Semuanya lengkap seperti yang aku sediakan selalu. Cuma menunya saja berlainan sedikit. Aku kembali menatap wajah Aqil. Apa kena dengan lelaki itu? Mengapa dia begitu berbeza pagi ini? Aqil kemudiannya berjalan dengan penuh senyuman menghampiriku.
            “Kita sarapan dulu, ya.” Aqil menarik tanganku membawa aku menuju ke meja makan.  Entah kenapa aku mengikut saja semua kehendak Aqil itu? Fikiranku masih ligat mencari jawapan kepada soalan-soalan yang sedang berlegar-legar di dalamnya. Sehingga akhirnya aku temui puncanya.
            “Abang Aqil, permintaan Nysa semalam tu cuma...” aku cuba menerangkan, namun Aqil lebih pantas meletakkan jarinya di bibirku. Membuatkan aku terdiam. Tidak sempat menghabiskan kata-kata.
            “Abang nak tunaikan permintaan Nysa. Jangan halang abang. Sekarang Nysa duduk makan dulu.” Aqil menarik kerusi untuk aku duduk.
            Aku mula tidak senang dengan tindakan Aqil itu. Kenapa dia mahu menunaikan permintaan bodohku itu? Aku sekadar ingin menyedarkan dirinya. Bukankah aku sudah maklumkan itu semalam?
            “Nysa nak makan apa? Nasi goreng ke, roti bakar?” Aqil menyoal dengan senyuman.
            Senyumannya itu membuatkan aku rasa sakit hati. Senyuman itu walaupun jelas kelihatan, namun di sebalik senyuman itu aku tahu ada rasa sengsara yang terpaksa ditanggung semata-mata mahu menunaikan permintaanku itu.
            “Nysa pergi kerja dulu, Nysa dah lambat.” Aku pantas bangun, meninggalkan situasi yang menyiksa aku dan dirinya dalam diam. Namun Aqil lebih tangkas mengejar dan menarik tanganku.
            “Hari ni, Nysa tak boleh ke mana-mana tanpa abang. Jadual Nysa bersama abang saja. Abang yang akan tentukan ke mana Nysa akan pergi.” Aqil menggenggam erat kedua-dua tanganku.
            “Nysa betul-betul dah lambat. Nysa tak nak bazirkan masa students Nysa.” aku jelaskan. Aku cuba menarik tanganku, namun genggaman Aqil begitu kuat.
            “Hari ni, masa yang ada hanya untuk Nysa dan abang. Bukan untuk orang lain. Cepat makan, ada banyak benda yang kita nak kena buat hari ni.” Aqil masih enggan memahami.
            “Abang Aqil, Nysa...”
            “Abang suami Nysa. Seorang isteri kena ikut perintah suami.” Aqil mematahkan kata-kataku. Membuatkan aku terpaksa juga mengaku kalah akhirnya.

AKU terus keluar daripada bilik doktor selesai saja mendengar keputusan pemeriksaan yang dibuat ke atas diriku. Sudah aku katakan aku tidak mempunyai apa-apa penyakit yang serius, tapi Aqil tetap berkeras mahu membawa aku menjalani pemeriksaan. Aku cuma penghidap migraine. Sudah berkali-kali aku jelaskan tentang itu. Terdengar tapak kasut Aqil berderap laju, mahu menyaingiku.
            “Kan senang, dah tahu tak ada apa-apa penyakit.” Aqil tersenyum. Dia berjalan seiring dengan diriku.
            “Nysa dah cakap, Nysa tak ada apa-apa. Abang Aqil aje yang tak nak percaya.”
            “Bukan tak nak percaya. Bila bercakap, kena ada bukti. Lagipun tak salah kalau Nysa buat check up. Mencegahkan lebih baik daripada merawat. Nysa suka ke, kalau Nysa sakit?” Aqil masih cuba memihak pada dirinya.
            “Mana ada orang yang suka sakit. Tapi sakit tukan ketentuan Allah. Kalau nak kira pasal mati, tak sakit pun akan mati juga satu hari nanti.” aku tahu apa yang ada di fikiran Aqil. Lantas aku suarakan supaya dia tahu bukan semua kematian itu berpunca daripada penyakit. Mungkin kerana dia doktor, maka dia hanya melihat kematian-kematian yang berlaku berpunca daripada penyakit sehingga dia hanya mampu memikirkan hal itu.
            “Nysa dengan ayah sama ajekan. Kalau tak bercerita pasal mati, boleh tak?” marah Aqil tiba-tiba.
            “Kan kita disarankan agama supaya selalu mengingati mati.” balasku.
            “Ya, itu betul. Tapi itu tak bermakna kita kena redha dengan setiap penyakit yang ada, tanpa berusaha menyembuhkannya. Redha dengan usaha kena seiring.” Aqil memandang wajahku tajam. Aku buat muka selamba, seolah-olah tidak perasan akan renungan tajamnya itu.
“Dah, jom kita ke destinasi seterusnya.” Aqil tersenyum semula. Tanganku digenggamnya. Membawa aku mengekori langkahnya. Bahagia mula terasa di hatiku dengan tautan itu.
Tiba saja di parkir, Aqil membukakan pintu kereta untukku. Tersenyum kemudian mempersilakan aku masuk. Aku pandang wajah Aqil dan pandanganku mati di situ. Jujur aku gembira dengan setiap layanannya itu, namun tidak aku nafikan tetap ada rasa bersalah dalam diriku kerana menyebabkan dirinya terpaksa menjadikan aku seorang isteri.
“Kenapa pandang abang macam tu? Abang hensem sangat ke, hari ni?” Aqil tersenyum lagi. Aku segera masuk ke dalam kereta. Tidak tahu mahu membalas apa-apa.
Aqil terus memacu kenderaannya menuju ke destinasi yang tidak aku ketahui. Aku lebih banyak memandang ke luar tingkap. Tidak tahu apa yang patut aku bualkan saat itu. Aqil pun sama. Dia hanya menumpukan perhatian pada pemanduannya.  Mujur juruhebah di radio tidak berhenti bercakap. Jika tidak, pasti sunyi sepi keadaan.
Apabila telefon bimbitku berbunyi, aku segera membuka beg tanganku, lalu aku keluarkan telefon bimbit. Tertera nama Kamal pada skrin telefonku itu. Aqil mengalihkan pandangannya ke arahku sekilas sebelum terus menumpukan perhatian pada jalan raya. Berat hati aku ingin menjawab panggilan itu. Aku tidak mahu Aqil tahu tentang perjumpaanku dengan Kamal tempoh hari.
            “Kenapa tak jawab telefon tu?”
            Aku tersentak saat Aqil mengajukan soalan itu. Nampak gayanya, aku harus juga menjawab panggilan Kamal. Jika tidak, Aqil akan menaruh syak wasangka terhadapku.
            “Assalamualaikum.” Aku terus saja mengulurkan salam saat talian itu aku jawab.
            “Wa’alaikumusam. Nysa kat mana ni? Ada masa tak? Abang nak jumpa Nysalah.” Kamal menyatakan tujuan dirinya mengubungiku.
            “Ada apa ya?” aku bersoal jawab. Aqil di sebelah, ada kalanya menoleh ke arahku.
            “Pasal Lily. Lily dah balik Malaysia dan abang dah tahu Lily ada kat mana sekarang.” Gembira nada suara yang Kamal tunjukkan.
            Aku terkejut dengan apa yang aku dengar. Benarkah Kamal sudah mengetahui di manakah kedudukan Lily? Aku terus mengalihkan pandanganku pada Aqil yang begitu tenang sekali wajahnya. Benarkah Lily sudah pulang ke sini? Jadi mungkin inilah berita gembira yang Nani sampaikan pada Aqil tempoh hari.
            So, bila Nysa nak jumpa abang?” masih terdengar jelas suara Kamal di talian.
            “Secepat yang mungkin. Nanti apa-apa, Nysa call balik.” balasku.
            “Okey, abang tunggu panggilan Nysa ya. Jumpa nanti.” Kamal mematikan talian. Hatiku berasa lega kerana talian dimatikan awal. Risau kalau-kalau Aqil dapat menghidu semuanya.
            “Siapa tu?” soalan itu terus saja menerjah masuk ke dalam telingaku sebaik sahaja aku menjarakkan telefon dari telingaku. Tidak mungkin bagiku untuk berterus terang tentang gerangan sebenar yang menghubungiku lebih-lebih lagi ada salah sangka antara mereka berdua.
            “Kawan.”
            “Kawan aje? Jawapan yang terlalu general. Spesifikkan sikit. Kawan lelaki ke, perempuan? Nama?” Aqil bertubi-tubi menambah soalan.
            “Kawan perempuan.” aku terpaksa berbohong. segera aku palingkan wajah. Tidak dapat memandang Aqil saat itu. Rasa amat bersalah.
            “Bukan Hadif?” Aqil menoleh ke arahku. “Tapi abang tak rasa yang Nysa bercakap dengan kawan perempuan. Ingat, berdosa tau menipu suami...” Aqil mengingatkan. Ada senyuman yang Aqil kuntumkan. Sekaligus menjerat hatiku. Ya, itulah yang sedang aku rasakan saat ini. Tapi aku tidak berkemampuan untuk berterus terang. Aku yakin, keadaan akan bertambah buruk andai aku berkata jujur.
            “Bukan Hadif. Betul, Nysa tak tipu.” aku mempertahankan. “Abang Aqil nak bawa Nysa pergi mana ni?” Aku segera menukar topik perbualan.
            Aqil cuma tersenyum apabila soalan itu aku ajukan. Umpama dirinya sudah ada agenda yang teratur kemas dalam mindanya. Apabila topik Kamal berjaya aku tutup, aku turut mengunci mulutku untuk terus berbicara. Sesungguhnya fikiranku sangat kacau saat ini. Berita kepulangan Lily membuatkan ada rasa takut dalam diriku. Adakah Allah sudah memakbulkan doaku? Tidak aku sangka secepat ini permintaanku ditunaikan. Nampaknya aku harus bersiap sedia dengan semua kemungkinan.

RASA tidak tersuap nasi masuk ke dalam mulutku apabila Aqil sedari tadi memerhati setiap tingkahku. Aku buat-buat tidak perasan dengan pandangannya itu padahal hanya Tuhan yang tahu betapa hati aku getar melihat renungan matanya yang tidak sudah-sudah bertapak di wajahku. Sungguh tidak selesa apabila dipandang begitu.
Aku hanya merenung butir-butir nasi yang ada di dalam pinggan. Langsung tidak membalas renungannya. Ada ketikanya pula aku terpaksa alihkan pandangan jauh, dengan harapan Aqil akan segera berpaling apabila melihat aku mengangkat wajah. Namun aku hampa keranan Aqil tetap terus memandang wajahku dengan senyumannya.
            “Boleh tak Abang Aqil jangan pandang Nysa macam tu!” aku luahkan juga semuanya. Tidak terdaya membiarkan Aqil terus membuatkan aku serba tidak kena dengan renungan matanya.
            “Hai... nak pandang isteri sendiri pun tak boleh?” Dengan mudah Aqil mematahkan kataku.
            “Abang Aqil sengaja nak buat Nysa serba salahkan?”
            “Nysa nak serba salah kenapa pula?”
            “Cukuplah, Abang Aqil. Tak payahlah Abang Aqil nak tunaikan permintaan yang merepek ni lagi. Nysa nak baliklah.” aku nyatakan niatku. Memang itu apa yang hatiku mahu. Rasa tidak senang dengan semua lakonan Aqil yang menambahkan luka di hatiku.
            “Macam yang abang cakapkan pagi tadi, hari ini kita akan habiskan masa berdua. So... selagi matahari tak terbenam, selagi itulah Nysa kena ada dekat dengan mata abang.” Aqil memberikan peringatan. “Lepas ni, Nysa jangan cakap apa-apa lagi. Makan cepat.”
            Aku mendiamkan diri sudahnya. Tahu, aku sudah tidak dapat berkata apa-apa lagi. Semua arahan Aqil harus aku dengar dan ikut saja. Rasa terjerat dengan keadaan dalam diam. Biarlah, ianya bakal berakhir tidak lama lagi. Lily akan aku ketahui dimana kedudukannya sebaik sahaja bertemu dengan Kamal nanti. Sudah aku tetapkan untuk bertemu dengan Kamal esok, selepas waktu kerja. Tidak mahu lagi melengahkan masa yang sudah banyak terbuang. Aqil akan aku pastikan menemui kebahagiaannya seperti mana yang telah aku janjikan dulu. 
            Sejurus selepas membuat bayaran, kami singgah sebentar di surau yang berhampiran untuk menunaikan solat Zohor. Kemudiannya, Aqil membawa aku menuju ke destinasi yang seterusnya. Tidak aku sangka Aqil akan membawa aku ke situ. Taman Metropolitan! Entah kenapa dia memilih untuk ke sana? Mungkinkah kerana dia dapat merasakan bahawa impiannya untuk hidup dengan Lily sudah hampir tercapai lalu dia membawa aku ke situ untuk memaklumkan hal itu melalui kitte masagge yang pernah aku ajarkan dahulu? Mula ada rasa kesal kerana mengajarkan perkara itu padanya.
            Sebaik saja tiba, Aqil terus membeli dua buah layang-layang yang ada dijual di situ. Aku hanya menjadi pemerhati. Sementelah dia tidak membenarkan aku berkata apa-apa, ada baiknya aku diam sahaja. Biarlah dia ingin buat apapun, aku hanya akan mendiamkan diri walaupun mungkin hatiku akan bertambah sakit dengannya.
            “Nah, satu untuk Nysa.” Aqil menyerahkan layang-layang berwarna ungu kepadaku.
            “Nak buat apa ni?” aku tanyakan itu. Tidak tahu apa tujuan sebenar Aqil menyerahkan layang-layang itu kepadaku.
            “Nysa yang ajar abang hari tu, kan? Dah lupa?”
            Fahamlah aku semuanya. Pasti dia mahukan aku menulis isi hatiku pada layang-layang itu. Tidak! Itu tidak akan aku lakukan.  Setiap kali melihat layang-layang aku akan terbayangkan mesejnya buat Lily dahulu. Kini aku bencikan layang-layang, permainan yang amat aku gemari dahulu.
            “Tak naklah. Nysa bukannya ada apa-apa yang nak diluahkan pun. Abang Aqil gunalah untuk Abang Aqil sendiri. Lagipun Nysa tak suka warna ungu. Nysa bukan Lily.” aku kembali menyerahkan layang-layang ungu itu kepada Aqil. Aku tidak akan melakukan itu walaupun dalam hatiku ada seribu satu rasa yang ingin diluahkan.
“Nysa nak jalan-jalan kat tasik sana. Kalau Abang Aqil nak stay kat sini, Nysa tak kisah. Abang Aqil ambillah banyak mana pun masa yang Abang Aqil nak.” aku terus berjalan meninggalkan Aqil bersama layang-layangnya. Berjalan terus tanpa menoleh ke arahnya.
Segera langkahku mencari tasik luas yang cukup indah itu. Jeti tasik itu kosong. Tidak berpenghuni. Aku melihat jam di tangan, baru pukul 3.30 petang. Patutlah tidak ramai pengunjung di taman itu. Lebih-lebih hari bekerja begini. Lantas aku melabuhkan punggungku di atas jeti tasik itu. Mengambil angin petang sambil mencari ketenangan diri. Terasa penat dengan semua yang menimpa kini. Ruang cinta Aqil yang kian sempit untuk diriku mula membuatkan nafasku sesak. Aku harus segera keluar daripada ruang sempit itu. Tapi bagaimana harus aku meneruskan hari-hari tanpa dirinya? Soalan itu membekam dalam kalbu.
“Jauh termenung, teringat kat siapa tu?”
Kehadiran Aqil di situ secara tiba-tiba mengejutkanku. Tersentak aku dengan suara itu. Setiap kali suaranya kedengaran, setiap kali itu jugalah ada debar di hatiku. Aku hanya memerhati Aqil yang mula mengambil tempat di sisiku. Tiada lagi layang-layang bersamanya.
Honestly, abang bagi tahu, abang tak suka tengok Nysa termenung.”
Tersentuh aku mendengar patah kata yang kedengaran itu. Terasa diri disayangi. “Kenapa pula?” soalku, ingin tahu sebabnya dia berkata begitu.
“Entahlah, abang pun tak tahu kenapa. Yang pastinya, abang tak suka tengok Nysa termenung.” Aqil memberikan jawapan ringkas atas pertanyaanku itu.
“Dan jujurnya... Nysa pun tak suka tengok Abang Aqil termenung,” aku menyatakan kebenaran.
Why?” sepatas kilat Aqil bertanya. Soalan sama yang aku ajukan padanya sebentar tadi.
“Sebab setiap kali Abang Aqil termenung, Nysa akan nampak kesedihan dalam mata Abang Aqil. Nysa tak boleh tengok Abang Aqil bersedih,” entah kenapa saat itu, mulutku dengan mudah menyatakan apa yang berlegar dalam hati.
Aqil tersenyum memandangku. Kemudian dia mengambil tanganku, membawa ke dalam genggamannya. Erat sungguh genggaman itu. “Terima kasih, Nysa.” Aqil meluahkan itu dengan tiba-tiba.
“Abang Aqil, boleh tak Nysa sandarkan kepala Nysa dekat bahu Abang Aqil?” aku membuat permintaan. Entah kenapa tiba-tiba saja ada rasa untuk sandarkan kepalaku di bahunya. Rasa hati yang tidak sedap membuatkan aku membuat permintaan itu. Aqil tersenyum mendengar permintaanku itu. Dia menganggukkan kepalanya, tanda memberikan keizinan kepadaku.
Dengan perlahan aku merebahkan kepalaku di bahunya. Buat pertama kali terasa ada bahagia dalam jiwa. Kepalaku di bahunya manakala kedua-dua belah tanganku dalam genggamannya. Aku pejamkan mata. Kedamaian jiwa mula meresap di dada. Aku tahu itu semua untuk seketika sahaja, tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya masih ada kenangan indah yang dapat aku kenang dalam hidupku nanti. Harap itu tidak membebankan dirinya.
Telefon bimbitku berbunyi. Aku yang baru saja ingin terlena terpaksa jua mengangkat kepalaku dari terus berada di bahu Aqil. Aqil juga terpaksa melepaskan genggaman tangannya yang sedari tadi tidak mahu dilepaskannya. Telefon bimbit aku keluarkan daripada beg tanganku. Hadif membuat panggilan! Entah mahu menjawabnya ataupun tidak? Aku masih berkira-kira, termenung memandang skrin telefon yang bercahaya terang. Sedang aku memikirkannya, tiba-tiba Aqil mengambil telefon itu daripada genggamanku. Terus saja dia mematikan talian itu dan kemudian tanpa rasa bersalah dia matikan pula telefonku itu.
“Hari ni, hari untuk kita berdua aje.” Aqil meletakkan telefonku di sisinya kemudian dia membawa kepalaku terus singgah di bahunya dan kembali mengenggam erat tanganku seperti sebelumnya.
Dalam diam, hatiku mula mengukir senyuman. Kalau aku mempunyai kuasa luar biasa, sudah pasti aku akan hentikan masa saat itu. Aku ingin terus berada di sisinya dan dia tetap di sampingku. Biar kami begitu sahaja bukan untuk sehari dua, tapi untuk selama-lamanya...

TEMUJANJI antara aku dan Aqil tamat sebaik sahaja Aqil mendapat panggilan daripada emaknya yang meminta supaya aku dan Aqil segera ke rumah. Menurut Aqil, tidak pula emaknya menyatakan tujuan kami diminta pulang. Yang pastinya, tentu ada hal mustahak. Jika tidak, masakan emak mertuaku itu meminta kami segera datang walaupun pada ketika itu wajah petang sudah hampir menghilang.
            Seperti yang dipinta, aku dan Aqil terus menuju ke rumah emak mertuaku. Hatiku rasa tidak senang. Entah apa mahunya. Kami tiba ketika matahari mula terbenam. Sebaik saja sampai, aku dan Aqil segera turun daripada kereta yang diletakkan di luar pagar. Aqil tetap mahu memegang tanganku, memimpin aku masuk ke dalam walaupun sudah aku halang niatnya itu. Aku tidak mahu emak mertuaku menganggap masih ada sinar harapan dalam perhubunganku dengan Aqil. Sedangkan apa yang mungkin dilihatnya itu hanya satu kepalsuan dalam menunaikan satu permintaan.
            Aqil tenang memberikan salam di muka pintu. Aku pula memandang setiap apa yang mampu dilihat semata-mata ingin membuang resah. Dan keresahan itu bukannya semakin berkurangan sebaliknya ia bertukar menjadi kegusaran yang dalam apabila mataku menangkap satu objek yang amat aku kenal. Tertanya-tanya, bagaimana layang-layang yang pernah membuatkan hatiku hancur itu ada di situ? Aku memejamkan mata seketika, kemudian kembali membuka mataku, berharap semuanya hanya mainan mata. Tapi ternyata layang-layang itu masih tetap ada di situ, di tepi pasu bunga.
            Apabila pintu di buka, aku segera membawa wajah kembali memandang pintu utama. Jantungku seakan mahu terhenti apabila melihat wanita yang berdiri dengan penuh senyuman di hadapan aku dan Aqil itu.   
            “Aqil... please maafkan I. I mengaku kalah. I tak mampu hidup tanpa you.”
            Tanpa segan silu, Sara terus saja merangkul erat lengan kanan Aqil. Tergamam aku di situ menyaksikan semuanya. Fikiranku cuba mentafsir sesuatu, mungkinkah Lily yang aku cari selama ini sebenarnya ialah Sara? Ya pasti itulah hakikatnya, jika tidak masakan Sara merangkul lengan Aqil seerat itu. Aku kelu tanpa kata di situ. Hanya mampu memerhati babak pertemuan semula dua insan itu. Aqil juga kaku di muka pintu, mungkin terkejut melihat Sara. Namun kemudian, perlahan-lahan Aqil melepaskan genggaman tanganku. Membuatkan aku sedar, aku tidak lagi diperlukan di situ.
            Aku berundur setapak ke belakang, kemudian aku palingkan tubuh dan wajahku, tidak sanggup melihat semuanya. Dadaku menahan sebak, ingin dilepaskan, tapi untuk apa? Siapa yang akan mengambil kisah? Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Menepuk tangan atas penyatuan dua hati itu atau melangkah terus, berlalu meninggal mereka?
            “Assalamualaikum.”
            Suara yang memberi salam di muka pagar seakan aku kenal. Segera aku angkat wajah. Hadif! Sekali lagi aku tersentak. Hadif tersenyum ke arahku. Aku binggung seketika, bagaimana Hadif boleh berada di sini? Mahu apa dirinya? Ada rasa seperti mahu rebah, namun aku kuatkan juga semangat. Terus bertahan semata-mata ingin mengetahui kebenaran yang mungkin sudah jelas cuma aku yang tidak dapat melihatnya.
Apa yang terjadi sebenarnya? Air mata yang tiba-tiba menitis segara aku hapuskan. Tidak mahu sesiapa pun melihatnya. Apapun yang terjadi, dalam diamku, aku akan bertahan sendirian!

                                                                                                        Bersambung di versi cetak...
____________________________________________________________________

P/S : Berbanyak terima kasih kepada semua pembaca JDC. Seperti yg perna AH maklumkan tempoh hari, ini adalah entry terakhir di blog ini. Untuk kesinambungannya, harap semua pembaca sudi mendapatkannya di pasaran apabila siap dicetak nanti. Makluman awal yg AH terima, JDC dijangka diterbtkan pada bulan 9 nanti. Jadi, teruskan menanti JDC. Semoga semua berpuas hati dan gembira dgn endingnya dan kirimkanlah komen membina buat AH setelah membacanya nanti. Terima kasih sekali lagi, semoga bertemu pada karya yang lain pula. LOL :)