Tuesday, April 26, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 17


TUJUH BELAS
Hadif masih membuat pelawaan untuk menghantar aku pulang ke rumah petang itu. Aku benar-benar tidak faham dengan sikap Hadif! Bukan dia tidak tahu betapa Aqil tarik muka dengan kejadian semalam, mengapa dia masih mahu menghantarku pulang? Apa yang cuba dia buktikan pada Aqil? Sudahnya, aku terpaksa menolak tawarannya itu. Aku tidak mahu membangkitkan kemarahan Aqil lagi. Aku juga sudah lemas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan gelaran yang menyakitkan hati.
“Betul ni, kau tak nak aku hantar kau balik?” Hadif masih lagi bertanya walaupun sudah aku berikan jawapannya.
“Tak apalah, Dif. Terima kasih. Aku balik dululah.” aku lemparkan senyuman hambar kepada Hadif, kemudian aku terus saja meninggalkan bilik pensyarah. Aku harus segera keluar daripada bangunan tinggi itu dan seterusnya mendapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Takut pula aku tidak dapat pulang tepat seperti hari biasa memandangkan hari kian gelap ditambah pula dengan bunyi guruh yang sesekali kedengaran. Aku berjalan pantas, keluar daripada kawasan universiti menuju ke perhentian teksi.
Jam hampir pukul 7 malam, namun tidak ada langsung teksi yang mahu berhenti ketika aku menahannya. Aku menghembus nafas resah. Tidak tahu berapa lama lagi aku harus menunggu di situ. Akhirnya aku kembali duduk di bangku panjang yang disediakan di perhentian teksi itu. Aku yang sedari tadi hanya memandang kosong telefon bimbit di tanganku, kembali memandang ke arah jalan raya apabila terdengar bunyi hon kereta berkumandang.
“Nysa, naik!” Aqil terus saja mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya sebaik sahaja dia menurunkan tingkap kereta di sebelah penumpang hadapan.
Aku yang terkejut dengan kehadiran Aqil di situ terus saja mengalihkan pandangan. Pura-pura tidak menyedari kehadiran Aqil di perhentian itu. Melihat tindakanku, Aqil terus saja keluar daripada keretanya dan berjalan menghampiriku. Aku masih enggan menoleh ke arahnya walaupun dia kini betul-betul berdiri di hadapanku. Mujur saja hanya aku seorang yang menunggu teksi di situ. Jika tidak, pasti malu dengan tindakan Aqil itu.
“Ini... merajuk ke, protes?” Aqil mencekakkan pinggangnya.
Aku yang tidak mahu menjawab soalan itu, terus saja bangun dan berjalan laju meninggalkan Aqil sendirian di perhentian itu. Tidak ada kuasa mahu melayan sikapnya. Hati yang luka masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu sembuh. Jadi segala apa yang diperkatakan mahu pun yang dilakukan olehnya, tidak aku endahkan.
“Betul Nysa dah tak nak bercakap dengan abang lagi?” Aqil mengejarku dari belakang.
Aku buat tidak tahu dan berjalan meneruskan haluan yang aku sendiri tidak pasti ke mana arahnya. Yang aku tahu, buat masa ini, aku hanya ingin berada jauh daripadanya. Sehinggalah satu saat yang dapat mengembalikan kesembuhan pada luka di hatiku.
“Nysa jangan nak cabar kesabaran abang. Nysa ingat... Nysa siapa, nak buat abang terkejar-kejar Nysa macam ni? Tolonglah Nysa, abang dah cukup penat melayan karenah Nysa.” Lantang suara Aqil kedengaran walaupun bunyi kenderaan lalu lalang sepatutnya menenggelamkan suaranya.
Kakiku berhenti melangkah mendengar bicara itu. Bagai dihempap dengan batu-bata apabila mendengar setiap katanya. Hati yang sudah lama retak kini tinggal menunggu saatnya saja menanti belah dan berkecai hancur. Ingin sekali aku menangis diketika itu, melaung sekuat-kuat hati dan menyatakan kepadanya betapa kejam dirinya di atas setiap apa yang telah dilakukannya padaku. Hari-hari bersamanya umpama aku mencampakkan diriku di lembah derita yang penuh dengan duri sengsara. Namun dia tidak pernah tahu tentang itu kerana aku tetap tersenyum atas semua perbuatannya. Cintaku padanya telah membuatkan aku membunuh perasaan hatiku sendiri. Demi membuat dirinya bahagia, aku terpaksa menyusun air mataku menjadi hiasan hati agar terselindung setiap apa yang aku rasa.  Tapi tidak ada satu pun yang dihargainya!
“Nysa tahu... Nysa bukanlah siapa-siapa pada Abang Aqil. Kalaulah ditakdirkan, Tuhan jemput Nysa saat ini juga, mesti Abang Aqillah insan yang paling gembirakan? Nysa yakin Abang Aqil akan tersenyum dan hidup dengan lebih bahagia tanpa Nysa.” Serius aku berbicara.
“Abang Aqil pun dah penat... Abang Aqil baliklah. Tak payah kejar Nysa yang tak bawa apa-apa makna dalam hidup Abang Aqil. Abang Aqil dah banyak susah sebab Nysa. Abang Aqil anggaplah, ini kali terakhir Nysa susahkan Abang Aqil. Lepas ni, Nysa akan pastikan, Nysa tak akan muncul lagi depan Abang Aqil walaupun secara kebetulan.” air mata mula gugur setitis demi setitis. Tidak dapat aku bendung lagi. Cukuplah segala kesedihan yang terpaksa aku tanggung selama ini.
Aku merenung lama mata Aqil sebelum melangkah jauh meninggalkan dirinya. Entah betul atau tidak keputusan yang aku lakukan itu, aku sendiri tidak pasti. Aku tahu, aku bakal dimarahi ayah dan mungkin juga dibenci oleh kedua orang tua Aqil. Tapi aku tidak ada cara lain selain mengembalikan dunia Aqil yang hanya ada Lily.
Aku berjalan entah ke mana halanya. Aqil juga sudah tidak lagi mengejarku. Sehinggalah kaki berasa penat, barulah aku berhenti seketika. Bersandar di tiang lampu yang kian bersinar terang. Tidak mahu terus menunggu di situ, aku segera menahan teksi yang dapat aku perhatikan dari jauh. Bersyukur kerana teksi itu berhenti. Aku terus saja masuk dalam teksi. Laungan azan yang kedengaran dari pembesar suara di dalam teksi itu berjaya menghimpun rasa tenang seketika.
“Anak ni... nak ke mana?” soal pemandu teksi yang berkopiah putih.
Lama aku merenung ke luar tingkap. Mencari arah tuju. Kemana harus aku pergi saat ini? Hati tertanya. Akhirnya suara azan yang memuji kebesaran Illahi itu telah mengirimkan ilham yang pastinya diutus oleh Maha Pencipta.
“Pak cik hantarkan saya ke masjid yang berdekatan ya,” aku nyatakan destinasi yang ingin aku tuju.
“Bagus juga tu, pakcik pun nak singgah solat juga ni.” balas lelaki tua itu dengan senyuman. “Kalau pakcik tanya sikit... anak jangan marah ya. Anak ni menangis kenapa?”
Soalan lelaki tua itu membuatkan hatiku kembali sayu. Hati isteri mana yang tidak sedih apabila tidak berpeluang mendapat kasih seorang suami. Mata isteri mana yang tidak mengalirkan air mata, jika di hati suaminya ada wanita lain dan bukan dirinya.
“Dugaan hidup, pak cik!” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Aku berharap, lelaki tua itu tidak bertanya lebih. Aku takut air mata yang baru saja berhenti, kembali renyai membasahi pipi.
“Tak akan ada hidup tanpa dugaan, nak. Hanya orang-orang yang beriman saja yang akan diuji. Itukan janji Allah! Jadi, pak cik nasihatkan, janganlah terlalu bersedih sebab itu tandanya anak tidak redha dengan ujian Allah.”
Nasihat itu membuatku aku merenung diri sejenak. Benarkah aku tidak redha dengan ujian ini? Aku mula beristgfar panjang dalam hati. Itu tidak harus berlaku. Aku seharusnya redha dengan segala ketentuan Allah untukku.
“Anak percayalah, ujian daripada Allah itu akan beserta kebahagian jika kita redha,” lagi tambahnya.
“Tapi saya tak cukup kuat, pak cik.” itulah apa yang aku rasa.
            “Kekuatan itu datangnya daripada Allah, nak. Bukankah Allah tu Maha Pemurah, mintalah pada-Nya dengan hati yang sabar. Sesungguhnya Allah SWT malu untuk tidak menunaikan permintaan hamba-hamba-Nya. Berdoalah, doa itukan senjata orang mukmin.” masih ada butir bicara mutiara yang keluar daripada mulut orang tua itu.
            “Terima kasih pakcik,” aku lagukan itu dengan hati yang ikhlas. Terasa kebenaran kata-kata lelaki tua itu. Hanya Allah yang mampu merubah hati sekalian makhluknya. Jadi aku akan berdoa, semoga Allah memelihara hatiku agar terus tabah menghadapi hari mendatang. Hati juga mula berjanji... berjanji untuk tidak terlalu mengikut perasaan dan sama sekali tidak akan membiarkan tangis kekecewaan melebihi tembok redha. 

PUKUL empat pagi aku tiba betul-betul di hadapan pintu rumah. Bukan niatku untuk kembali lagi ke rumah itu apatah lagi dengan sengaja berada di situ untuk bertemu dengan Aqil. Aku masih pegang janji-janjiku untuk terus hilang daripada hidupnya. Hati mula tenang setelah lama aku bertafakur sendirian di dalam masjid Ibnu Majah. Terasa  kerdilnya diriku bersendirian di situ memohon dan memanjatkan doa kepada-Nya.
            Akhirnya perkataan redha itu wujud juga dalam hati. Kali ini aku tidak akan berkata apa-apa andai takdir menetapkan bahawa Aqil akan melepaskan aku pergi. Pasti itu takdir terbaik tetapan-Nya. Aku kembali lagi ke rumah itu sekadar untuk mengambil semua barang-barang milikku dan akan terus melangkah pergi sebaik sahaja selesai mendapatkan semuanya. Makanya aku berharap Aqil sudah pun tidur saat ini. Jadi tidak perlulah untuk aku bertemu dengannya lagi. Perlahan aku membuka mangga yang ada pada grill rumah. Berhati-hati agar tidak menghasilkan sebarang bunyi yang mungkin akan membuatkan Aqil terjaga dari tidurnya.  
            Keadaan rumah gelap gelita, tapi aku langsung tidak berniat untuk memasang lampu. Masih ada sinar yang dapat memberikan cahaya daripada ruang balkoni yang menghadap jalan-jalan utama. Jadi aku masih mampu menapak untuk naik ke bilik dengan selamat walaupun dengan sinaran cahaya yang sedikit itu. Segera aku masuk ke bilik, mengemas semua barang yang ada dan memasukkannya ke dalam beg milikku. Mujur barangku tidak banyak mana. Selesai saja mengemas, aku segera keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu utama rumah yang sengaja tidak aku tutup rapat tadi.
            Hatiku lega sebaik saja kaki melangkah ke luar menuju ke ruangan lif utama. Segalanya sudah selesai dan kini aku hanya perlu berhadapan dengan ayah dan ibu untuk menjelaskan segala-galanya. Harap mereka dapat menerima semuanya, terutama sekali ayah. Gerun hatiku setiap kali memikirkan tentang ayah. Takut kalau-kalau dia akan teruk memarahiku dengan keputusan yang telah aku buat. Tapi aku harus hadapinya juga. Tidak ada lagi alasan untuk aku terus tinggal bersama-sama Aqil kerana kehadiranku ternyata tidak disenanginya sama sekali.
            Aku yang baru saja mahu melangkah masuk ke dalam lif tidak dapat meneruskan hayunan kaki sebaik sahaja melihat Aqil keluar daripada lif itu. Segera aku menukar langkah, cuba membawa begku menuju ke pintu kecemasan yang menempatkan anak-anak tangga. Laju aku aturkan langkah, melarikan diri daripada Aqil yang pastinya sudah jelak melihat wajahku ini. Tidak sesekali aku menoleh kerana aku sudah berjanji untuk tidak akan membiarkan lelaki itu melihat diriku yang begitu membebankan dirinya. Satu persatu anak tangga aku turuni dengan langkah tergesa-gesa. Bertindak berlari sejauh mungkin. 
            “Nysa!” suara Aqil bergema di ruang tangga itu. Mungkin kerana pintu-pintu rintangan api yang tertutup rapat di setiap tingkat yang telah menghasilkannya.
            Aku tidak sesekali menghentikan langkah. Malah, semakin laju aku membawa kakiku menuruni anak tangga. Tidak sanggup untuk aku terus mendengar kata-kata yang menyakitkan hati. Namun kudrat wanitaku tidak sehebat mana, dengan beg besar yang terpaksa aku bimbit bersama telah membuatkan Aqil berjaya mengekori aku rapat dan kemudiannya berjaya menghalang aku daripada terus melangkah. Segera aku alihkan wajah apabila Aqil berada di hadapan mata. Aku tidak akan membiarkan dia menatap wajahku lagi.  
            “Nysa... please! Puas abang cari Nysa.” Aqil kembali mendapatkan wajahku, namun segera aku menoleh. Tidak mengizinkannya memandang wajahku.
            “Jangan buat abang macam ni, Nysa... Bagilah abang peluang untuk tebus semuanya.”
            Hatiku tersenyum sinis mendengar permintaan itu. Peluang? Kenapa tiba-tiba saja dia inginkan peluang itu daripadaku? Takkan baru beberapa jam aku hilang daripada pandangan matanya telah membuatkan dia sedar betapa amat pentingnya aku dalam hidupnya? Hatiku ketawa lagi. Tidak masuk akal! Permintaan itu tidak aku hiraukan kerana aku tahu permintaannya itu bukan seperti apa yang diingin oleh hatinya.
“Abang Aqil tak perlukan peluang tu!” Aku tepis perlahan tangannya yang sedari tadi menghalang laluanku. Kembali aku melangkah, membawa hati yang pudar.
            “Nysa... boleh tak Nysa jangan tinggalkan abang? Tolonglah Nysa, jangan buat macam mana yang Lily pernah buat pada abang!”  jeritan Aqil yang masih berada di belakangku, tidak aku endahkan.
           

SAKIT KEPALA menyerang lagi, perut juga rasa tidak sedap. Mungkin kerana belum ada satu butir makanan pun yang sempat masuk ke dalam perutku sejak petang semalam. Tidak tahu apa lagi yang perlu aku lakukan kini. Aku terus pulang ke rumah orang tuaku selepas aku keluar dari rumah Aqil semalam. Bukan tidak mempunyai timbang rasa kerana enggan menghulurkan Aqil peluang seperti mana pintanya. Cuma, aku dapat rasakan bahawa hakikatnya terlalu sukar untuk aku dan Aqil terus hidup bersama. Hatinya bukan untukku, dan yang sebenarnya dia langsung tidak memerlukan peluang itu.
            Tapi ayah dengan teganya kembali menyeret aku ke rumah kenangan Aqil dan Lily ini. Sedikit pun tidak ingin mendengar alasan mahupun ceritaku. Apa yang dia tahu, dia tidak mahu aku menjadi seorang isteri derhaka. Meninggalkan suami tanpa bicara! Kata ayah, aku bukan lagi anaknya jika aku dengan berani-beraninya meninggalkan Aqil sekali lagi. Ugutan yang sama, yang pernah aku dengar satu ketika dahulu ketika meminta agar pertunanganku dengan Aqil diputuskan. Melihat tangisan ibu semasa ayah meluahkan kata-kata itu, hati kecilku sebagai seorang anak berusaha menghapuskan air mata ibu.
Dan kerana itu, kini aku kembali terperangkap di dalam hidup Aqil. Aqil sendiri terkejut melihat ayah menyerahkan aku kembali padanya awal pagi sebegini. Ayah turut mengingatkan Aqil tentang tanggungjawabnya dan meminta Aqil segera menyelesaikan segala konflik yang ada di dalam perhubungan kami yang membuatkan aku merajuk pulang ke rumah ibu bapa. Jadi, langkahku sudah dikunci rapat. Tidak mampu lagi untuk aku bergerak. Umpama tahanan dalam kurungan besi. Tidak mengapa, selepas ini, setiap kali terluka, aku akan menggunakan senjataku, doa sebagai perisai hati.
Aqil yang masih lagi berdiri di muka pintu bilikku terus memandangku yang sedang berbaring di atas katil itu. Sejak ayah pulang sebentar tadi tiada satu patah perkataan pun yang terkeluar dari bibirnya buatku. Dan aku juga terus membisukan diri.
“Abang serius bila abang minta Nysa bagi abang peluang sekali lagi. Tak apalah, Nysa rehatlah dulu, dari malam tadi Nysa tak tidurkan. Nanti kita bincang lagi.” Aqil kemudiannya menutup rapat pintu bilikku.
Aku langsung tidak melihat ke arahnya sehinggalah dia keluar daripada bilikku. Aku langsung tak ada hati untuk berbicara tentang apa–apa sekalipun. Mujur hari ini merupakan hari cuti bagiku. Jika tidak terpaksalah aku mengambil cuti kecemasan memandangkan tidak mungkin bagiku ke universiti dengan keadaanku sekarang. Aku memejamkan mata seketika dan terus saja terlena sudahnya.
Aku terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi pintu bilikku diketuk. Terkebil-kebil mataku menerima cahaya matahari yang membias masuk ke dalam kamarku.  Aku pegang kepalaku yang tetap saja rasa sakit. Tidak sikitpun mahu berkurangan rasa sakit itu walaupun sudah beberapa jam aku melelapkan mata. Mungkin migrinku kembali menyerang. Aku gagahkan juga diriku untuk bangun. Belum sempat aku berjalan menuju ke muka pintu, Aqil telah terlebih dahulu membuka pintu bilikku dan melangkah masuk. Aku yang baru saja berdiri, kembali duduk di atas katil. Jiwa rasa tidak senang dengan kehadiran Aqil di situ. Entah apa lagi mahunya.
            “Abang dah masak makanan tengah hari untuk Nysa. Semua abang dah sediakan kat bawah. Jom kita turun makan!” Aqil berjalan menghampiriku lalu duduk di sebelahku, di atas katil itu.
            Aku terus mendiamkan diri. Kenapa baik pula sikap Aqil hari ini? Apa yang tidak kena dengan dirinya?
            “Abang betul-betul minta maaf pada Nysa.” tiba-tiba sahaja Aqil memegang tanganku.  “Abang nak kita bina semula hubungan kita. Abang janji, abang takkan lukakan hati Nysa lagi.” Aqil menarik daguku, membawa wajahku itu menghadap wajahnya.
Akhirnya kami berpandangan. Aku tidak tahu apakah aku harus mempercayai kata-katanya? Ketika bibirku cuba menolak permintaannya itu, kenapa pula hatiku tetap sahaja mahu memberikan kepercayaan buat Aqil untuk yang kesekian kalinya.
            “Kenapa dengan tiba-tiba?” aku luahkan keraguan hati.
            “Abang pun tak tahu kenapa. Apa yang pastinya, abang nak kita mulakan dari awal.”
            “Boleh ke, Abang Aqil cintakan Nysa?” sengaja aku mengingatkannya persoalan itu.
            “Abang akan cuba. Mungkin akan makan masa, tapi abang harap... Nysa faham keadaan abang.” Aqil mengharapkan pengertian dariku.
            “Lily macam mana?” aku mahu semuanya jelas sebelum aku membuat keputusan.
            “Lily?” Aqil menundukkan wajah apabila nama wanita itu meniti di bibirnya. Lama dia mendiamkan diri, membuatkan aku tertunggu-tunggu.
“Abang tak nak dengar Nysa cakap pasal Lily lagi lepas ni. Dah jom kita turun makan.” Aqil mula bangun. Tanganku turut ditariknya membuatkan aku terpaksa mengikut saja langkahnya.
            Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku pada ketika ini. Apa yang Aqil mahu lakukan sebenarnya? Mengapa tiba-tiba saja dia berubah laku sehingga membuatkan aku bertambah resah. Haruskah aku memberi peluang seperti mana pintanya? Perlukah aku membuka kembali jalan cinta buat dirinya? Patutkah aku mempercayainya? Dan kenapa tiba-tiba saja hatiku terasa seperti sudah dipujuk? Nampaknya, harus ada pertimbangan yang sewajarnya supaya aku tidak lagi membuat keputusan yang salah buat kali kedua.
________________________________________________________________
Sedutan Bab 18.
                “Aqil!”
                Laungan kuat nama Aqil membuatkan pandangan mataku dan Aqil yang tadinya bersatu pada satu titik, terpisah. Kami sama-sama memandang ke arah seorang wanita yang dari jauh melambai ke arah Aqil. Melihat ke arah wanita itu membuatkan jantungku berdegup laju. Mungkinkah itu Lily? Wanita itu mempercepatkan langkahnya mendatangi kami dengan senyum kegembiraan yang terpancar jelas. Aku menoleh ke arah Aqil yang seakan kaku di situ. Terasa seperti mahu lari saat itu.

Thursday, April 14, 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

Assalamualaikum semua.... Alhamdulillah, akhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 menjelma kembali. KLIBF kali ini pasti lebih meriah daripada tahun-tahun yang sebelumnya dengan pernyertaan banyak syarikat penerbitan. Bagi peminat-peminat buku, pasti kehadiran KLIBF diumpamakan seperti JUALAN MEGA SALE. Mana tidaknya, masa inilah semua pembaca boleh mendapatkan diskaun terbaik untuk buku-buku kegemaran mereka. Pendek kata, membeli-belah hingga kering duit dalam poket. He3  
AH amat-amat bersyukur dan berterima kasih kerana pada KLIBF kali ini, AH sekali lagi menerima undangan daripada Penerbitan FAJAR PAKEER. Untuk menghadirkan diri dalam sesi bertemu dengan rakan-rakan pembaca. Alhamdulillah, rasanya semua pengunjung blog AH pun dah tahu karya-karya AH yang sudahpun berada di pasaran. Harapan AH... AH dapat bertemu dengan rakan-rakan pembaca yang sudi memiliki dan membaca karya-karya AH. Sama-sama menjalinkah ukhwah fillah. :) Jadi untuk semua pembaca, AH attach kan sekali poster yang sempat AH buat untuk memaklumkan kemunculan AH di KLIBF nanti.. (ha2 siap poster lagi)  Harap bertemu dengan semua rakan-rakan pembaca di sana ya..... !




Dan............. tak lupa, AH attachkan sekali poster makluman rakan-rakan seperjuangan AH yang lain yang turut sama di undang pada KLIBF nanti.... :)




JUMPA DI SANA YA! :)

Jauh Dari Cinta - Bab 16


ENAM BELAS
            Aku mendapatkan semula senarai kedatangan yang ditandatangani oleh para pelajarku. Kemudian aku mula membuat kiraan bilangan para pelajar dalam kelas untuk memastikan bilangannya sama dengan senarai yang sudah ditandatangani. Apabila bilangannya sama, barulah aku menyimpan senarai kedatangan itu di dalam fail merah milikku.
            “Grup mana yang masih belum lagi bagi tajuk untuk presentation, esok last day. Please remember. Kalau tak, jangan salahkan saya kalau markah awak kena tolak.” aku memberikan peringatan terakhir untuk para pelajarku.
            “Baik Puan Nysa!” hanya suara pelajar-pelajar lelaki yang kedengaran jelas.
            Okay class, dismiss! Assalamualaikum.” aku terus keluar daripada bilik tutorial sebaik sahaja salamku dibalas oleh para pelajar. Bunyi nyaring telefon bimbitku membuatkan langkahku terhenti. Segera aku keluarkan telefon yang terus berbunyi di dalam tas tanganku. Panggilan daripada nombor yang tidak aku kenali.
            “Assalamualaikum.” Salam aku hulurkan, memulakan perbualan. Tertanya-tanya, siapakah yang menghubungiku.
            “Wa’alaikumusalam. Ini Cik Nysa ke? Saya doktor Kamal! Staff saya kata, Cik Nysa minta saya segera hubungi Cik Nysa. Ada hal apa ya?”
            “Oh... Doktor Kamal. Maaf sebab terpaksa ganggu. Doktor Kamal ingat saya lagi tak? Saya Nysa Sakinah.” Aku cuba mengingatkan dirinya.
            “Nysa Sakinah?” Melonjak suara Kamal seakan terkejut.
            “Ya, Nysa Sakinah. Adik angkat Farish Aqil masa kat universiti dulu. Doktor Kamal tak ingat ke?” aku terangkan panjang lebar. Semoga dia dapat mengingatiku.
            “Lah.... Nysa rupanya!” mula ada tawa kedengaran di hujung talian.
            “Nysalah. Doktor sihat?” soalku, gembira. Tidak sangka dia masih mengingatiku walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.
            “Alhamdulillah, sihat! Tak payahlah Nysa nak panggil abang doktor. Panggil macam dulu aje lagi bagus. Lama dah tak jumpa Nysa, mana Nysa hilangkan diri? Ada apa Nysa cari abang? Nak abang bantu apa-apa ke?”  Banyak pula soalan yang Kamal berikan.
            “Boleh tak Nysa nak jumpa Abang Kamal? Nanti Nysa cerita semuanya.” aku mula menyatakan hasratku. Semoga Kamal tidak keberatan dengannya.
            “Boleh, tak ada masalah. Nysa datanglah bila-bila masa pun. Abang ada kat klinik ni.” Kamal memberikan kebenaran.
            “Kalau macam tu, lepas Nysa habis kerja nanti, Nysa sampai. Petang ni, Abang Kamal ada kan?” aku cuba mendapatkan kepastian.
            “Ada, datanglah!” Kamal mengesahkan dan kedengaran sedikit teruja.
            “Terima kasih, Abang Kamal! Kita jumpa nanti, ya! Assalamualaikum.” aku terseyum gembira. Kamal sudah aku temui. Ini bermakna, misiku hampir selesai.
            “Wa’alaikumusalam.” Kamal mematikan talian.
            Aku menarik nafas lega. Sinar bahagia buat Aqil kian terpancar jelas. Aku yakin semuanya akan selesai tidak lama lagi. Aqil akan kembali meraih cintanya dan aku akan merelakan semuanya dengan seikhlas hati. Bukan kerana aku terlalu baik budi, merelakan Aqil terus mencintai wanita lain sedangkan aku isterinya. Semuanya kerana aku tahu, kebahagiaan itu tidak mampu dimiliki dengan hanya ijab dan kabul. Kebahagiaan itu hanya dapat dikecapi apabila kita redha dengan semua ketentuan-Nya. Pasti apa yang telah ditentukan itu akan disertakan dengan gajaran bernilai yang tidak dapat dilihat dengan mudah. Hanya hati-hati yang yakin dengan janji-Nya saja yang dapat melihat hikmahnya di suatu masa yang telah ditetapkan. Pujuk hatiku sendiri.

KAMAL masih enggan percaya dengan apa yang aku perkataan. Kisah perkahwinan aku dan Aqil begitu sukar sekali untuk diterimanya. Dia lebih banyak termenung, mungkin memikirkan sejauh mana kebenaran kata-kataku. Namun pandangan matanya yang memandangku tajam kadang-kala membuatkan aku tidak senang duduk. Kalau bukan kerana aku ingin mendapatkan maklumat tentang Lily, tidak mungkin aku sanggup bertemu dengannya semula.
Masih ada rasa bersalah di hatiku kerana menolak cintanya sewaktu di universiti dahulu. Tapi apakan daya, hanya ada Aqil di hatiku walaupun pada ketika itu, Aqil sudah pun memaklumkan dia tidak dapat menerima aku dalam hidupnya. Mungkinkah inilah hukuman buatku? Menolak hati Kamal, dan kini sekali lagi cintaku ditolak Aqil. Aku tahu apa yang Kamal rasa, tapi aku tidak mampu berbuat apa-apa. Hatiku benar-benar tidak dapat menerima Kamal waktu itu.
            “Susah abang nak percaya semua yang Nysa ceritakan ni. Macam yang abang ceritakan tadi, hubungan abang dengan Aqil retak pun atas sebab Lily. Takkan semudah itu aje Aqil terima Nysa sebagai isteri?” Kamal masih tidak mahu percaya kata-kataku.
            Aku mengeluh sendiri. Ya, aku sudah dengar kisah keteganggan antara dirinya dan Aqil tadi. Semuanya gara-gara Kamal cuba membantu Aqil melupakan Lily. Sudahnya, Aqil salah anggap terhadap Kamal. Menuduh Kamal suka dengan perpisahan yang terjadi antara mereka. Sejak itu Kamal rajuk hati dengan Aqil. Tidak sangka Aqil mensia-siakan niat baiknya yang dengan ikhlas ingin membantu Aqil kembali hidup bersemangat seperti dulu walau tanpa Lily. Sehingga ke hari ini Aqil langsung tidak pernah menghubunginya. Patutlah aku langsung tidak melihat Kamal semasa hari persandinganku dahulu. Kini baru aku tahu kisahnya.
            “Terpulanglah sama ada Abang Kamal nak percaya ataupun tidak. Nysa tahu, susah Nysa nak buat Abang Kamal percayakan Nysa.” aku teruskan berbicara.
            “Abang tak bermaksud begitu. Nysa jangan salah faham pula. Abang cuma tak faham, kenapa Aqil tiba-tiba aje nak terima Nysa sedangkan dia cintakan Lily sepenuh hati.” balas Kamal.
            “Sebab Abang Aqil cintakan Lilylah, Abang Aqil kahwin dengan Nysa.” perlahan aku menyuarakan itu.
            “Maksud Nysa?”
            “Terlalu susah Nysa nak terangkan pada Abang Kamal. Sebab Nysa sendiri pun tak faham dengan Abang Aqil. Biarlah, Nysa tak nak fikir pasal tu. Nysa datang jumpa Abang Kamal ni sebab Nysa nak tanya Abang Kamal satu perkara.” aku nyatakan niat sebenar kedatanganku.
            “Apa dia?”
            “Abang Kamal tahu tak apa-apa pasal Lily? Dia kat mana sekarang?” Aku terus terang. Soalan itu membuatkan Kamal terkejut.
            “Nysa nak buat apa cari Lily?” soal Kamal dengan mata membulat.
            “Ada janji yang perlu Nysa tunaikan!” balasku ringkas. Tidak mahu membongkarkan semuanya. Cukup sekadar ia menjadi rahsia hatiku seorang. Janji seorang isteri buat seorang suami.
            “Nysa tahu yang Aqil tak pernah cintakan Nysa, tapi kenapa Nysa tetap terima Aqil dalam hidup Nysa?”
            Soalan Kamal membuatkan aku tertunduk membisu. Tiada jawapan yang mampu aku berikan padanya. Sungguh aku tidak akan menerima Aqil andai aku tahu lebih awal yang Aqil tetap mencintai Lily sepenuh hati. Aku sangkakan Aqil sudah membuka hatinya untuk menerima aku dalam hidupnya. Rupa-rupanya....
            “Mungkin dah memang takdir Nysa”. aku hanya mampu menyatakan itu.
 
TERLALU sukar menjejaki Lily. Kamal juga tidak berani memberikan apa-apa pengesahan tentang wanita yang aku cari itu. Menurut Kamal, terlalu banyak berita yang diterimanya tentang Lily sehinggakan dia sendiri tidak tahu yang mana satu adalah benar. Ada yang mengatakan Lily sudahpun mendirikan rumahtangga dan kini menetap di California. Ada juga berita yang mengkhabarkan Lily telah meninggal dunia kerana menghidap masalah buah pinggang. Kata Kamal lagi, dia sendiri sudah terlalu lama tidak berhubung dengan Lily. Semua itu membuatkan aku kini berada di jalan buntu. Tidak tahu lagi kemana arah yang harus aku tuju untuk terus menjejaki Lily. Aku benar-benar hampa.
            Aku berhenti apabila lampu isyarat bertukar warna, daripada oren menjadi merah. Aku pejamkan mata seketika, cuba menguraikan sedikit kekusutan yang melanda. Apabila ada bunyi hon yang kedengaran, aku segera membuka mata. Namun entah apa yang terjadi pada keretaku, enjinnya mati tiba-tiba dan gagal dihidupkan walaupun sudah aku cuba berkali-kali. Sudahnya, terpaksa juga menyalakan lampu kecemasan, memberikan isyarat kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Lama aku duduk dalam kereta. Memikirkan apa yang perlu aku lakukan. Ini kali pertama berlaku sejak aku mendapat lesen memandu.
            Aku tahu aku perlukan pertolongan seseorang saat ini. Tapi siapa yang boleh aku harapkan? Mungkinkah aku boleh mendapatkan bantuan Aqil? Tidak mungkin! Aku sudah berjanji tidak akan mengganggu masa dan menyusahkan dirinya dalam apa juga keadaan. Makanya aku harus berpegang teguh pada janjiku itu. Puas berfikir, akhirnya aku berkeputusan untuk menghubungi Hadif dan mendapatkan pertolongannya. Hanya dia yang boleh aku harapkan, aku yakin. Lantas, segera aku menelefon Hadif apabila melihat langit kian gelap.
            Hadif datang tidak beberapa lama kemudian. Dia membantuku menghubungi pihak penunda kereta dan meminta keretaku di bawa ke bengkel. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan aku seorang kawan sebaik Hadif. Sentiasa ada di sisi saat aku memerlukan bantuan dan pertolongan. Hadif bukan sahaja membantuku menyelesaikan masalah keretaku, Hadif juga membantu menghantar aku pulang ke rumah sebaik sahaja urusan dengan pihak bengkel kereta selesai.
            “Terima kasih Hadif. Kalaulah kau tak datang tadi, entah macam manalah dengan aku ni.” aku ucapkan itu dengan seikhlas hati.
“Sama-sama, tak ada masalah pun. Hal kecil aje.” Hadif tersenyum dengan katanya.“Tapi aku peliklah, Nysa, kenapa kau tak telefon husband kau aje?” Hadif memulakan soalan yang menjeratku. Lelaki yang seorang ini, memang selalu suka mendugaku.
“Aku tak nak susahkan dia.” hanya jawapan itu aku yang ada.
“Apa yang kau merepek ni, Nysa. Menyusahkan apa pula, dia kan suami kau!” Hadif masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan.
“Dia kan sibuk.” lagi jawapan ringkas aku berikan.
“Orang lain pun sibuk juga, Nysa.”  sinis Hadif berbicara.
“Dahlah Hadif, dia memang betul-betul sibuk. Aku sebagai isteri, aku patut faham.” masih lagi aku cuba menangkan Aqil. Entah kenapa sehingga ke hari ini, dapat aku rasa Hadif dan Aqil ada perselisihan. Kerap kali aku perhatikan mereka berdua bertegang urat setiap kali bertemu muka. Tapi kisah apa yang telah menjadikan mereka berdua sedemikian rupa? Ataupun sebenarnya hanya aku yang berburuk sangka? Persoalan itu tetap melekat dalam hati.
“Aku bukan apa Nysa, aku tak nak kau susah hati sebab dia!”
“Kenapa kau cakap macam tu? Kau ada sembunyikan apa-apa cerita daripada aku ke, Dif?” giliran aku pula meletakkan Hadif dalam jerangkap samar. Mana tahu perangkap yang aku pasang itu menghidangkan sesuatu yang tidak aku duga.  
“Sembunyikan cerita apa pula? Dahlah... tunjukkan aku kat jalan ke rumah kau.”
Hanya jawapan itu yang aku dengar, keluar daripada mulut Hadif. Jawapan yang kurang jelas. Namun tidak mengapa, dengan jawapan itu aku yakin kisah tentang Aqil tamat dibincangkan setakat itu saja. Hati kian lega. Daripada jalan utama itu, aku segera menunjukkan jalan menuju ke Kondominium DeCasa Bayu. Hatiku penuh dengan harapan agar Aqil masih lagi belum tiba di rumah sebaik sahaja aku sampai nanti. Malas mahu bersoal jawab dengannya perihal kelewatanku kali ini.
Aku meminta supaya Hadif menurunkan aku di tepi jalan sahaja. Tidak mahu menyusah Hadif lebih-lebih. Bukan mudah untuk orang luar masuk ke dalam kondominium itu. Prosedurnya terlalu banyak dan melecehkan. Kawalannya begitu ketat. Mungkin kerana ia merupakan kondominium elit. Jadi aku lebih rela berjalan kaki untuk masuk ke dalam. Lagi pula, pintu gerbang kondominium itu sudah dapat aku lihat dengan jelas dari tempat aku diturunkan.
“Sampai juga akhirnya. Terima Kasih, Dif.” aku sekali lagi mengucapkan ucapan itu  sebaik sahaja turun daripada keretanya. Hadif turut sama turun daripada keretanya.
“Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis ucap terima kasih kat aku. Kan aku dah cakap tadi... sudahlah. Tak payah nak ucap banyak kali, aku tak pekak tau.” Hadif tersenyum.
“Alah... aku dah terbiasalah, Dif. Lagipun ucapan terima kasih ni kan bagus. Boleh buat kita rasa dihargai.” balasku, tidak mahu mengalah kerana aku memang suka dengan ucapan terima kasih. Satu ucapan yang cukup menyenangkan hati.
“Ni yang payah nak berlawan cakap dengan pensyarah komunikasi ni!” kali ini, Hadif dan aku sama-sama ketawa. Ayat-ayat yang bermain di bibir Hadif selalu saja mengundang gelak tawaku.
“Nysa!”
Aku segera berpaling apabila terdengar namaku dilaung kuat di tepi jalan itu. Hadif juga begitu.
“Abang Aqil.” nama itu aku sebut ketika melihat ke arah gerangan yang memanggil namaku. Aqil yang memberhentikan keretanya tidak berapa jauh dari kereta Hadif, mula menutup pintu keretanya dan berjalan menghampiran aku dan Hadif yang masih berdiri di tepi jalan itu. Langsung tidak aku perasan bila Aqil memberhentikan keretanya di situ.
“Abang baru balik.” aku terus saja mendapatkan tangan Aqil, bersalaman dan mencium tangannya ketika dia sampai di hadapanku. Aku tidak mahu meninggalkan sebarang syak wasangka dalam diri Hadif yang tidak menampakkan sebarang tanda untuk beredar.
            “Nysa buat apa kat sini?” Aqil menjelingkan mata ke arah Hadif ketika bertanyakan soalan itu.  Dengan senyuman, Hadif menggerakkan langkah, menghampiri Aqil dan menghulurkan salam. Aqil hanya menyambut hambar tangan Hadif. 
            “Kereta Nysa rosak, jadi Hadif tolong hantar Nysa balik!” aku jelaskan semuanya. Tidak mahu Aqil salah faham.
            “Pasal apa tak call abang aje? Kenapa nak susahkan orang lain pula?” muka Aqil masam mencuka. Pandangannya saling silih berganti antara wajahku dan Hadif.
“Jangan asyik nak salahkan Nysa je. Kadang-kadang kita kena tengok diri kita juga. Mungkin Nysa lebih selesa bila aku yang bantu dia.” Hadif pula menjawab soalan itu bagi pihakku membuatkan Aqil merenung tajam wajah Hadif.
Sudah aku jangkakan, pasti itulah yang berlaku setiap kali kedua-dua lelaki itu bersua. Entah kenapa dengan mereka berdua. Seolah-olah saling bermusuhan. Apa yang tidak kena sebenarnya? 
“Nysa tak perlukan orang asing dalam hidup dia. Dia dah ada aku!” Aqil membalas dengan nada kasar. “Apapun, terima kasih atas pertolongan yang tak seberapa ni.” sejurus menyatakan itu, Aqil terus menarik tanganku. Membawa aku berjalan menuju ke keretanya.
Aku tergamam dengan apa yang berlaku. Tidak sempat aku mengucapkan selamat tinggal pada Hadif, Aqil telah terlebih dahulu membawa aku pergi. Makanya aku hanya mampu menoleh, memandang Hadif di belakang dengan harapan Hadif memahami situasiku itu.
“Jalanlah cepat... tengok apa lagi tu!” Marah Aqil padaku.
Terpaksa jugalah aku berlari kecil, supaya langkahku seiring dengan langkah Aqil yang masih enggan melepaskan genggaman tanganku. Sebaik tiba di keretanya, Aqil mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya. Aku hanya menurut segala perintahnya tanpa bersuara kerana aku tahu, pasti Aqil dalam keadaan marah pada ketika ini.
Aqil membawa laju keretanya, melepasi kereta Hadif yang masih ada di bahu jalan. Walhal, pintu gerbang Kondominium DeCasa Bayu tidak jauh mana, cuma sekangkang kera saja. Letak sahaja kereta di kawasan pakir miliknya, Aqil mengambil satu beg plastik yang letaknya di tempat duduk belakang kemudian dia terus saja turun dan berjalan laju, meninggalkan aku yang hanya mampu memerhati semua kelakuannya itu.
Dengan lemah, aku hanya berjalan perlahan mengekori Aqil, tidak sesekali cuba mengejar langkahnya. Dari jauh dapat aku lihat Aqil masuk ke dalam lif utama. Tapi tidak sedikitpun aku mempercepatkan hayunan kakiku. Biarlah Aqil terlebih dahulu sampai ke rumah.
“Boleh cepat sikit tak?”
            Terkejut aku melihat Aqil masih berada di dalam lif yang terbuka lapang pintunya. Tidak terduga bahawa Aqil menungguku untuk naik bersama. Lantas aku melangkah masuk dan jari Aqil yang tadinya memegang punat yang menyebabkan pintu lif terbuka luas, mula bertukar posisi. Kini pintu lif tertutup rapat.
            “Abang Aqil tak kunci kereta ke?” Bicaraku perlahan, cuba memancing Aqil untuk berbual dalam lif itu. Tidak selesa apabila masing-masing terus membisu. Lagipun aku sedar Aqil langsung tidak mengunci keretanya tadi kerana aku adalah orang terakhir yang turun daripada keretanya ketika dia sudah berjalan jauh.
            “Nysa peduli apa... Kereta Nysa ke?” balas Aqil pantas.
            Mendengar jawapan itu, aku terus menutup ketat mulutku. Tidak ingin lagi bertanya mahupun berkata apa-apa dan keadaan itu berterusan sehinggalah pintu lif terbuka dengan sendirinya ketika tiba di tingkat 20. Aqil terlebih dahulu keluar dari lif dan berjalan laju menuju ke rumahnya. Masuk sahaja ke dalam rumah, Aqil meletakkan plastik putih miliknya itu di atas meja makan kemudian memaku dirinya di situ. Aku pula hanya mampu memerhati. Tidak pula berniat mahu menegur kerana aku tahu apa natijahnya jika cuba bersuara.
            “Berapa kali abang nak cakap, abang tak nak Nysa minta apa-apa pertolongan lagi daripada lelaki tu.” Aqil bersuara tanpa sedikitpun memalingkan wajahnya memandangkan aku di belakangnya.
            “Lelaki mana?” soalku, sengaja mahu menduga. Aku tahu maksud Aqil dan aku tahu siapa lelaki yang dimaksudkan olehnya. Biarkan, aku mahu melihat reaksinya.
            “Lelaki mana lagi... Hadiflah!” barulah kini Aqil memandang wajahku.
            “Tahu pun Abang Aqil nama Hadif, ingatkan tak tahu.” aku tersenyum. Sengaja mahu menggegar hati lelakinya. Kenapa pula dia mahu berasa marah apabila melihat aku bersama-sama Hadif? Munginkah kerana cemburu? Tidak mungkin sama sekali! Bukankah dia cuma menganggap aku sebagai adiknya.
“Boleh tak Abang Aqil jangan salah faham. Nysa bukannya ada apa-apa hubungan pun dengan Hadif. Dah banyak kali Nysa bagi tahu pada Abang Aqil. Hadif cuma kawan baik Nysa je.”  jelasku.
            “Tak payah Nysa nak jelaskan apa-apa pada abang. Abang tak tanya pun apa hubungan Nysa dengan dia.” Serius muka Aqil. “Abang cuma nak Nysa jaga diri dan kebebasan yang abang bagi pada Nysa. Jangan sampai abang tarik balik semuanya.”
            “Abang Aqil!” suaraku meninggi. “Walaupun Nysa tahu Abang Aqil tak pernah anggap Nysa sebagai isteri, tapi Nysa masih ada pegangan agama. Nysa tahu mana satu pahala... mana satu dosa. Nysa tak pernah lupa kedudukan Nysa sekarang.” aku terus saja pergi meninggalkan Aqil. Aku benar-benar terluka dengan sikapnya. Sampai hati dia menganggap aku begitu.
            Sejak berkahwin dengan Aqil. Inilah kali pertama aku benar-benar terguris rasa. Air mata mula mengalir deras. Rasa sebal dengan kata-kata Aqil. Apa yang dia fikirkan tentang aku dan Hadif? Tergamak dia! Saat itu terasa aku ingin keluar sahaja daripada rumah itu. Pergi buat selama-lamanya, supaya dia tidak lagi rasa sakit hati dengan kewujudan diriku yang ternyata banyak mengganggu ruang hidupnya. Aku terasa patah hati dengan semua yang terpaksa aku tempuhi. Dugaan berat yang terpaksa aku kendong sendirian itu betul-betul menyiksa diri. Kalau diikutkan, aku sebenarnya sudah tidak mampu lagi bertahan. Aku juga kian lemah dengan rintang yang ada. Tapi, pilihan apa yang aku ada?
            Aku menghempas pintu bilikku kuat. Biar Aqil tahu betapa aku marah dengan semua yang diperkatakannya. Biar Aqil sedar bahawa aku bukanlah orangnya yang dengan mudah-mudah saja membiarkan harga diriku dicalar dengan sesuka hati. Terasa ingin saja aku meraung sekuat hati. Tapi semua rasa itu hanya mampu aku pendam sendiri. Tiada langsung tempat mengadu cerita. Ingin dikongsikan bersama ibu, risau pula kalau ayah akan mendapat tahu. Makanya, seperti selalu aku harus menelan setiap rasa pahit itu sendirian.

PAGI menjelma lagi. Namun rasa kecewa dan sakit hati sejak malam tadi langsung tidak mahu hilang. Tapi itu tidak bermakna aku boleh mengabaikan semua tanggungjawabku di rumah itu. Aku masih bangun pada awal pagi, mengemas rumah, dan menyediakan sarapan buat Aqil. Semuanya telah tersedia menjelang pukul 7.00 pagi. Beg plastik putih yang mengandungi kotak di dalamnya itu tidak aku hiraukan walaupun ianya sudah berada di atas meja makan itu sejak malam semalam. Aku tidak berminat langsung untuk mengetahui isinya. Bukan hakku!
Selesai saja menyediakan semuanya, aku terus naik ke bilik, mengambil tas tangan dan beg kerjaku untuk bertolak ke universiti. Memandangkan keretaku masih di bengkel, makanya aku harus bertolak lebih awal. Risau kalau-kalau sukar untuk mendapatkan teksi nanti.
            Sewaktu aku kembali turun, Aqil sudahpun ada di meja makan. Dia langsung tidak menoleh ke arahku dan aku juga tidak berharap dia berbuat begitu. Aku terus saja keluar daripada rumah tanpa mengeluarkan sepatah kata. Tidak perlu mengucapkan apa-apa kerana aku tahu semuanya bakal berakhir dengan rasa sakit hati bila aku bersuara. Aku menunggu lif yang akan membawa aku turun. Sebaik sahaja lif tiba, aku terus melangkah masuk ke dalam lif dan menekan punat bersimbolkan huruf GF. Pintu lif yang sepatutnya tertutup rapat itu, tiba-tiba saja terbuka lapang dengan kehadiran Aqil di situ. Aku hanya menundukkan wajah ketika Aqil melangkah masuk dan menekan punat yang akan memberhentikannya di bahagian pakir.
            “Abang hantarkan Nysa pergi kerja.” Aqil bersuara tiba-tiba.
“Tak payahlah. Nysa boleh naik teksi.” aku menolak tanpa memandang wajahnya walaupun sedikit.
“Jangan nak mengada-ngada. Ingat senang ke nak dapat teksi pagi-pagi macam ni?” Aqil tidak membenarkan.
“Teksi banyak kat KL ni.” balasku pendek. Kemudian suasana sunyi seketika.
“Suka hati Nysalah. Susah nak bercakap dengan orang yang keras kepala ni!”
Aqil terus saja keluar daripada lif apabila pintu lif terbuka di tingkat yang menempatkan kawasan pakir. Hatiku pula bertambah sakit dengan tutur katanya itu. Sewenang-wenang melabelkan aku sebagai keras kepala. Nampak gayanya, tidak ada tanda-tanda perang dingin antara aku dan Aqil bakal berakhir. Biarlah... kali ini aku tidak mahu mengalah! Aqil harus aku berikan pengajaran dan sedikit peringatan supaya dia pandai menghormati hatiku ini.
Namun entah kenapa setiap kali aku cuba melakukan itu, setiap kali itu jugalah aku tewas dengan cintanya yang ada dalam dada. Tapi buat kali ini, aku sudah bertekad, aku tidak mahu lagi mudah mengalah dan membiarkan aku terus-terusan makan hati dengan kata-katanya. Cukup setakat ini saja, Nysa Sakinah tidak akan mengalah lagi! Tekad hatiku.
______________________________________________________________________________
Sedutan Bab 17…
“Abang Aqil tak perlukan peluang tu!” Aku tepis perlahan tangannya yang sedari tadi menghalang laluanku. Kembali aku melangkah, membawa hati yang pudar.
            “Nysa... boleh tak Nysa jangan tinggalkan abang? Tolonglah Nysa, jangan buat macam mana yang Lily pernah buat pada abang!”  jerit Aqil yang masih berada di belakangku.

P/s    Terima kasih krn terus mengikuti kisah ini....